Seram Seram Kuku

Hai korang. Lately ni macam banyak cerita sedih ja kan. Jadi ni aku ada nak share cerita seram-seram kuku untuk korang. Bacalah moga hati girang. Tak baca pun takpe. Up to you. 

Benda ni jadi tahun ni, pertengahan tahun kot. Kami pindah ke rumah sekarang time awal-awal PKP dulu. Rumah kami beli ni subsales. Dapat kunci awal januari 2020 pastu dah kena PKP kan.

Jadi masa pindah rumah tu aku dengan laki aku jela yang buat bacaan yasin itu ini. Semua sendiri-sendiri. Jadi ceritanya kami tak pernah la panggil orang masjid ke siapa-siapa ke untuk acara pagar rumah ke ape ntah orang panggil tu. 

Anak aku 3 orang. Sulung 6 tahun, kedua 5 tahun dan bongsu 1 tahun lebih. Tapi anak kedua aku ni special sikit. Eh bukan ke anak nombor 2 ni memang istimewa? Aku dan suami aku pun anak nombor 2 jugak. Haha.

Ok sambung, korang tahu kan ada anak kecik ni cemane letih dia?

Aku ni kerja, balik kerja tulah amek anak-anak dekat rumah pengasuh pastu gi beli barang nak masak dinner dan ada kalanya kadang-kadang kena paw ayam gunting dengan anak-anak atau kena pujuk rayu pergi kedai eco untuk beli pensel pemadam yang akhirnya depa borong mainan.

Kalutnya aku tiap-tiap petang tu balik dengan rushing lagi nak masak sebab nanti anak-anak nak pergi ngaji dah. Kena bagi makan dulu sebelum gi ngaji. Jadi kenapa aku cerita panjang lebar ni?

Aku nak korang paham betapa energy aku dah drained kaw-kaw. Jadi kebanyakkan masa tu memang esok pagi tu baru aku bereskan kemas sinki tu atau setelkan sampah. Ha ini yang problemnya. 

Korang tahu kan sisa-sisa makanan ni makanan jin atau hantu setan namanya kan? Sebenarnya aku kerap je nampak kelibat-kelibat macam melintas. Dan kadang-kadang ada bau yang busuk datang macam sepintas lalu macam tu kan.

Tapi aku rasa tu tak mengganggu aku pun. Sebab tu aku ignore je. Dan memang kerap jugak mak aku tegur suruh setelkan sinki dulu dan sampah tu tutuplah kalau tak nak buang lagi. Tapi aku ni utamakan keletihan aku tu lagi berbanding nak kemas-kemas tu. Rilek-rilek jangan kecam.. haha..

Yelah korang, anak bongsu aku tu menyusu badan, kadang aku dah tertido sambil susukan dia. Penat weh penat. Suami aku ada je, tapi dia pun penat. Adakala dia setelkan sinki tu dulu. Adakala kami biarkan, esok baru setel. Ye dah tua-tua ni memang mudah penat. 

Dah terhantuk baru nak terngadah. Itulah diibaratkan kami ni. Selepas anak kedua kami tu kena gangguan barulah kami datang keinsafan tu. Huhu.

Sebenarnya aku ni rajin je dapat lebam-lebam di anggota badan tanpa diketahui punca. Tu pun tanda-tanda kan. Dan aku ni jugak kesabaran senipis kulit bawang. Memang aku mudah nak marah anak-anak aku yang kadang-kadang aku rasa eh tak patut pun aku baran sebegitu.

Jadi apa yang jadi? Ada satu malam tu anak kedua aku, aku panggil dia kakak lah senang. Kakak kejut aku, dia cakap mama bangunlah mama kakak takut. Aku masih tidur sama-sama lagi dengan anak-anak ya. Tahun depan baru plan nak pisahkan tempat tidur.

Aku masa tu mamai-mamai lagi. Pastu dia kejut lagi, mama bangunlah. Kakak takut ni. Aku pun bangunlah, aku tanya mimpi apa? Sebab aku ingatkan dia mimpi. Tapi dia tak jawab. Dia suruh aku pegang tangan dia, dan dia tertidur la sambil peluk tangan aku.

Tapi bila aku tarik tangan aku tu dia cepat-cepat tarik balik. Oh ya masa tu aku tengok jam 3 pagi. Pagi esok aku tanya dia kakak mimpi apa. Dia diam tak nak cakap. 

Malam kedua pun dia bangun exactly 3 pagi jugak kejutkan aku. Skrip dia sama. Mama bangunlah kakak takut ni. Aku masa tu macam dah sense sesuatu yang tak kena. Tapi bila aku tanya pagi tu dia tetap tak nak cerita. Jadi aku ceritakan kejadian 2 malam ni pada pengasuh aku.

Pengasuh aku cakap sebenarnya lama dah dia nak tanya aku. Aku pun dah cuak masa tu. Dia cakap, dulu masa dia mula-mula pindah masuk rumah sewa dia yang sekarang ni. Kakak ni ada tanya dia, umi siapa tu dalam bilik umi tu, mukanya pucat, takut kakak tengok.

Anak aku ni cakap dengan pengasuhnya (umi) sambil dia menyorok belakang umi tunjuk dekat bilik. Aku harap korang boleh bayangkanlah cemana.

Pastu aku cakap. Yeke umi? Kenapa baru nak cerita kat saya. Yelah setahun lebih dah umi pindah masuk rumah sewa baru dia ni ha. Maknanya cerita dah lama sangat la kan.

Pastu umi cakap, sebab kakakla hari-hari umi baca yassin lepas tu pastu pasang quran lagi tiap-tiap hari without failed lepas kakak cerita kat dia tu ha. Tapi lepas beberapa ketika umi cakap dia ada tanya lagi kakak. Kakak kata dah takde dah umi, nenek tu dah takde. 

Sebelum aku nak cerita apa hasil soal siasat umi dengan kakak pasal kejadian dia terjaga 3 pagi tu. Aku nak cerita yang kakak ni kan kalau kita g lotus ke econsave kedai acheh ke mata dia akan melilau ke atas tau.

Pernah dia cakap, eh mama ada monyet besar muka berdarah-darah kat atas tu ha. Masa tu dekat econsave weh dia cakap. Tapi aku ingatkan budak-budak kan daya imaginasi tinggi. Dia masa tu baru 4 tahun. Manelah aku nak tahu dia ada boleh nampak-nampak ni.

Sebab kat rumah tak pernah lah dia melalak nangis-nangis sampai mata ke atas tu ha. Sebab kami pindah masuk yang time pkp tu kakak baru setahun setengah masa tu. Sebab tulah aku ignore je ha segala kelibat, bau bauan atau bunyi gerak-gerak perabot tengah malam.

Tapi bagi aku bila hantu jin syaitan ni dah start main kasar, kacau anak-anak aku, jiwa keibuan aku ni meronta-meronta lah nak marah siapa yang berani buat anak aku kan. Ha gitu. 

Ok sambung, aku kat opis memang tak sabar dah nak tahu cerita dari umi pasal kakak ni. Tapi kakak balik tadika pukul 12 ha, tunggu transport hantar ke rumah umi lagi. Memang aku tabah jela menunggu hasil update tu.

Tapi pukul 2 jugak la baru umi wasap aku. Yelah kasi setel makan, mandi dulu barulah boleh rilek-rilek nak korek rahsia pun kan. Kakak cakap ada syaitan lelaki kat rumah kakak umi, dia curi makan nasi rumah kakak.

Pastu umi tanya lagi, kakak kan tengah tidur masa tu macam mana kakak boleh tahu syaitan tu curi makanan? Bijak kan soalan umi? Tapi jawapan kakak lagi menyeramkan weh. Kakak cakap syaitan tu kejut kakak bangun. Kakak tak nak bangun, kakak takut, kakak takut nak bukak mata.

Umi tanya lagi macam mana syaitan tu kejut kakak bangun? Korang tahu kakak jawab apa? Syaitan tu cakap kat kakak umi, dia cakap bangunnnn bangunnnnn bangunnnn. Macam manalah budak tu tak takut. Kesian anak aku weh dikacau dek syaitan lelaki tu!

Lepas umi cerita hasil soal siasat ni aku call mak aku. Mak aku ni dia tahula sikit-sikit cemana nak buat kan. Mak aku cakap ada benda yang nak berkawan dengan kakak, tapi kakak tak nak.

Tapi nasihat mak aku yang mula-mula sekali dia suruh aku setelkan dulu sinki kasi bersih-bersih, sampah berikat atau tutuplah tong sampah tu sebelum tidur tiap malam.

Dan mulai haritu jugakla aku memang setelkan sinki sampah apa semua sebelum tidur walau macam mana aku penat sekalipun. Mak aku suruh beli garam kasar, pastu letak dalam bekas jangan penuh sangat lepas tu letak air. Letakla dalam beberapa bekas. Bekas-bekas tu mak aku suruhla letak kat mana-mana yang rasa ada benda tu.

Mak aku pesan lagi, esok kalau air dalam bekas tu berkurang tambahla lagi, lusa berkurang tambah lagi, tulat tu insyaAllah takkan berkurang. Tu menandakan benda tu dah takde, insyaAllah kita ikhtiar katanya.

Balik tu gigih aku gi merata kedai acheh, semua garam kasar dah habis. Time-time nilah nak habis pun. Aku ni nak balik rumah dah la takut sebab dah tahu cerita kan? Kalau tak tahu steady je lagi. Garam kasar pulak abis. Jadi cara ni memang aku tak dapat nak buktikan menjadi ke tak. Sebab sampai sekarang aku tak buat pun. Hihi

Lama jugak aku dan tiga-tiga anak aku melepak dalam kereta kat luar pagar rumah. Takut punya pasal nak masuk rumah. Kakak la ni punca. Nak harapkan laki aku, maghrib baru dia sampai rumah. Lambert lagi haa. Pastu si bongsu dah start merengek tak selesa kan.

Aku pun kuatkanlah hati masuk rumah jugak. Tapi ayat kakak memang spoil. Aku bukak je pintu rumah, dia cakap mama mama tengok tu tengok tu syaitan tu dah keluar. Aku cakap dah cepat-cepat kita masuk tutup pintu. Berlari-lari kami ha anak beranak masuk, takutkan si syaitan tu!

Aku baru nak lepaskan lelah sekejap, baru nak ambil mood nak masak, tetiba kakak cakap. Alamak dia dah masuk balik!

Aku pun terus bukak youtube pasang ayat usir hantu jin tu ha. Aku ignore jela apa yang kakak cakap lepas tu,sebab masa tu aku macam rasa ye ke kakak ni, ke dia ni menokok tambah cerita. Antara percaya dengan tak lah aku waktu tu. 

Tapi dia dah cerita sebijik-sebijik macam yang dia cerita kat umi. Boleh percaya la aku rasa. Malam tu aku pasang lagi youtube tu sampai ke pagi. Dan aku ada cakap kuat-kuat, jangan kacau lagi anak aku. Gitulah lebih kurang.

Malam tu kakak tidur lena tanpa bangun lagi jam 3 pagi dan sampai ke harini takde lagi dia bangun cakap takut. Beberapa hari lepas tu kan, aku perasan bau busuk yang tiba-tiba datang tu memang dah takde. Dan aku ada tanya kakak, syaitan lelaki tu ada lagi ke kakak? Takde dah mama.

Eh dia pergi mana kakak? Tu ha rumah depan tu katanya. Hahahaha. Aku tak tahulah nak percaya ke tak. Tapi asalkan dia tak kacau kakak lagi sudahla. Pastu aku tanya kenapa dia keluar dari rumah kita kakak? Yelah sebab mama marah dia, dia keluarlah. Hahaha terhibur aku dengan jawapan kakak.

Mak mana yang tak marah bila ada yang mengacau anak dia kan?

Dah panjang sangat pulak ni, tak sempat aku nak cerita yang asbab kakak nilah aku tahu aku ada terima saka tanpa sengaja dan mak aku baru bukak cerita yang kami ni ada leluhur keturunan jugak. Tapi nantilah aku ceritakan pasal aku satu family berubat buang saka ni (kalau rajin)

Sikit lagi sambung. Baru-baru ni masa kami pergi rumah nenek budak-budak ni (mentua aku), masa nak balik tu kakak cakap mama ada poconglah. Kakak tu pun satu dah tahu nenek tinggal sorang time nak balik nilah dia sebut bukan-bukan. Kesian nenek dah takut. Hahahaha..

Aku cakap ish takdelah mak, kakak saja je tu. Padahal aku pun takut ha. Ampun mak! Dalam kereta on the way balik rumah tu aku tanya kakak betul ke dia nampak pocong tu. Ya kakak cakap. Rumah depan rumah nenek tu. Kira jiran nenek lah.

Ada pocong belakang pakcik tu mama. Pakcik tu keluar rumah dia, tapi pocong tu duduk toing toing kat belakang pakcik tu tapi pocong tu tak boleh keluar rumah tu. Kesian dia katanya.

Hahahaha.. kakak kakak.. agaknya dia dah kalis kot, dia macam dah tak berapa nak takut sangat dah sekarang kalau dia nampak tu. Lepas tu aku tanya dia, eh kakak rumah kita ada syaitan lagi tak? Takde dah katanya.

The end. Terima kasih sudi baca. 

– Mama Kakak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *