Sesal Separuh Nyawa

Salam semua pembaca IIUM Confession. Satu-satunya tempat aku meluahkan segala yang terbuku di dada. Tempat yang mana membantu aku secara tidak langsung untuk jadi lebih kuat.

Aku mengenali IIUM Confession ketika aku menghadapi krisis rumahtangga beberapa tahun lalu. Dan aku selesa dengan medium IIUM Confession kerana komen-komen lebih kepada logik akal, ada sifat belas dan bahasanya juga lebih molek jika nak dibandingkan dengan KRT.

Aku dah 2 tahun bercerai selepas perkahwinan berusia 5 tahun aku hancur. Hancur kerana keluarga bekas suami dan bekas suami aku sendiri. Dan tajuk yang aku tulis ni sebenarnya aku tujukan buat bekas suami aku. “Sesal separuh nyawa”.

Perkahwinan kami hanya indah awal pernikahan sahaja beberapa hari. Tak sampai sebulan dah mula episod drama dari keluarga bekas mertua dan juga bekas suami.

Semua tentang hal ehwal rumahtangga diatur sehabisnya oleh mereka. Aku yang naif dek kerana takut jadi isteri derhaka hanya turut membabi buta.

Aku berhenti kerja selepas berkahwin sebab aku terpaksa mengikut bekas suamiku yang duduk di negeri lain. Memang kiranya nampak best sebab tak perlu sebumbung dengan mertua. Tapi hakikatnya sama pedih. Tiada beza.

Hidup tetap diatur dan bekas suami jenis pak turut. Adik beradik bekas suami langsung tak terima kehadiran aku dalam keluarga mereka sebab mereka lebih sukakan ex gf bekas suamiku.

Pendek kata aku bukanlah calon menantu pilihan. Menyesal sungguh aku tak periksa latar belakang keluarga bekas suami sebelum bersetuju menerima lamaran dia. Aku sangkakan bekas suami sangat sayangkan aku.

Tahun kedua dan ketiga, bekas mertua mula tunjuk taring. Berturut-turut tahun mereka suruh bekas suami aku ceraikan aku. Tanpa sebab kukuh. Disuruhnya juga supaya bekas suami aku tinggalkan aku.

Aku menunggu hari demi hari kepulangan suami aku. Tapi hampa, bekas suami hanya pulang dengan membawa surat cerai dan minta aku hadir ke perbicaraan mahkamah.

Tahun keempat kisah mahkamah mula menjadi perjalanan hidup aku. Aku ditinggalkan tanpa nafkah. Hanya nampak bekas suami di mahkamah sahaja. Itupun bekas suami tidak berpuas hati kerana aku menggunakan khidmat peguambela.

Aku tak kuat untuk melontar kata. Emosi aku berkecamuk. Bekas suami sampai tuduhkan aku ada skandal dengan peguam. Sedangkan aku sampai mohon jasa peguam untuk ambil kes aku. Kerana ikutkan sudah mudah kes di mahkamah jika suami memang nak lafazkan cerai.

Aku tak dapat terima kerana aku hanya nak tahu apa dosa dan salah aku hingga ditinggalkan tanpa simpati dan aku langsung tidak nusyuz tinggalkan rumah bekas suamiku.

Selama ini aku turut segala kata dia dan keluarganya. Aku dah cuba menyesuaikan diri dengan mereka tapi kita sendiri sedar diri kalau dari awal tak diterima apa lagi boleh dilakukan?

Aku turun naik mahkamah demi menyelamatkan rumahtangga kami. Tapi bekas suami seboleh-bolehnya tak beri kerjasama dan akhirnya aku akur dengan keputusan. Aku terima penceraian tu dengan hati terbuka.

Lepas bercerai aku masih duduk di rumah bekas suami sepanjang iddah. Menghitung hari iddah habis. Aku dapat tawaran kerja setimpal dengan ijazahku. Aku dapat pekerjaan yang sangat stabil dan gajiku juga cukup untuk aku bina hidup baru.

Rupanya sepanjang iddah bekas suamiku ada pulang ke rumah itu ketika aku keluar bekerja. Dia mengamuk dan marahkan aku.

Terus dimaki hamun aku dan dia lontarkan kata pedih kepadaku seolah olah aku tidak layak dapat kebahagiaan dan kejayaan selepas bercerai. Bekas suami membentak kerana katanya aku sudah semakin pandai bergaya, semakin kaya.

Aku katakan pada bekas suami.. mungkin ini adalah rezeki Allah untuk aku kerana sepanjang perkahwinan hak aku sebagai isteri diabaikan. Nafkah zahir mahupun batin disia-siakan.

Bekas suami selalu katakan duitnya adalah untuk keluarganya. Aku terpaksa buat kerja part time sepanjang perkahwinan untuk tanggung kos klinik jika aku demam, beli makan minum dan membayar hutang bank.

Bekas suami semakin merimaskan aku. Dia sudah mula panas punggung. Segalanya dia nak tahu tentang aku. Sedangkan dia sendiri yang nekad ceraikan aku saat aku merayu jangan ceraikan aku. Dia mesej aku dengan tangisan demi tangisan. Tapi hati aku dah kosong. Jiwa aku kosong.

Sayang sekalipun tapi takkan terima bekas suami aku dalam hidup aku semula. Cukuplah derita aku sepanjang 5 tahun perkahwinan. Aku sudah tunaikan permintaan dan doa keluarganya untuk kami bercerai.

Lega bila dah dilepaskan secara talak. Tapi aku berharap bekas suami aku turut lepaskan aku untuk bernafas. Usah dikongkong lagi aku sebab aku pun ada hidup aku untuk aku teruskan.

Jika aku lebih berjaya atau bahagia dari dia, aku berharap dia doakan aku dan terima dengan hati terbuka. Sebab aku juga ‘lepaskan’ dia kerana aku sayang. Aku taknak dia tersepit antara aku dan keluarga dia.

Sesal separuh nyawa pun aku tak mampu lagi untuk tempuh dan buang usia aku untuk perkahwinan yang penuh duka. Banyak pahit yang aku telan hinggakan aku sendiri kosong. Hancur hidup aku dan aku terpaksa bina semula.

Kepada bekas suami,

Aku doakan kau bahagia. Pilihlah isteri yang keluarga kau suka. Usah seksa anak orang lagi bila dah dibawa masuk ke dalam keluarga kau. Aku tak mahu buka banyak cerita derita secara detail kat sini sebab hanya memberi clue pada sesiapa yang tahu kisah hidup aku.

Anggaplah rezeki yang aku terima sekarang adalah berkat kesabaran aku sepanjang menjadi isteri kau. Berbahagialah.

– Teratai (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *