Setiap Sesuatu Berpasangan-Pasangan

Sunnahtullah..

Allah berfirman, “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka atau pun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya” (Surah Yassin; Ayat 36).

Fitrah ingin berpasangan adalah sunnahtullah. Begitulah juga apa yang aku rasakan.

Seingat aku, sejak aku mula bersekolah menengah aku sudah mula rasa suka kepada lawan jenis. Aku perempuan. Semasa di tingkatan 1, aku crush dengan abang pengakap. Dia tingkatan 3 ketika itu. Dia selalu memimpin kawad kaki pengakap. Kami ada latihan kawad hampir setiap minggu.

Aku suka dia sebab dia nampak manis, badan tegap, ada ciri kepimpinan dan dia baik. Kulitnya sawo matang, rambutnya kerinting halus. Sekali pandang wajahnya ada iras penyanyi Ezad Exist, tapi versi tinggi dan tegap.

Aku meminatinya dalam diam. Bila ada latihan kawad, aku selalu bersemangat, sebab nak jumpa idaman hati. Namun, setelah beberapa bulan menyimpan perasaan, hatiku patah bila dapat tahu yang abang pengakap itu rupanya ada hati pada budak kawad lain yang sama tingkatan denganku.

Siapa je tak menaruh hati pada budak tu. Dia putih, lemah lembut, cantik. Tak macam aku. Aku sedikit berisi, wajah bertahi lalat, kulit cafe latte. Tidak lama selepas itu, mereka selalu kelihatan berdua, berjalan beriringan sambil senyum dan ketawa. Tak mengapa. Walaupun sedikit patah hati, aku move on.

Aku crush lagi dengan senior lain di sekolah. Abang scooter. Dia anak orang kaya. Kawan-kawan di sekolah kata rumahnya banglo besar warna putih di tepi jalan utama dekat sekolah. Abang scooter selalu datang ke sekolah dengan geng scooternya.

Dia selalu pakai topi yang dilengkungkan bahagian depannya. Orangnya tak tinggi sangat, berbaju berjenama, gaya ala baggy dan rapper. Kulitnya putih kuning, matanya sepet, tapi melayu.

Tak lama selepas itu, aku dapat tahu lagi yang abang scooter tengah ‘try’ kawan baik aku. Selama ni aku perasan dia memerhatikan aku sebab dia selalu memandang ke arah geng aku. Rupanya dia usha kawan aku. Haha. Takpe. Aku tak patah hati sangat. Aku move on.

Piano

Aku budak asrama sekolah harian. Di dewan makan asrama kami ada piano. Aku selalu main piano di situ. Tanpa aku sedari, ada mata-mata lelaki yang memandang.

Suatu hari, ada kakak senior panggil aku. Katanya ada abang senior nak jumpa budak yang selalu main piano. Aku lah tu. Aku tanya siapa nak jumpa. Abang Fadil katanya. Akupun pantas kata tak nak. Kemudian dia paksa-paksa jumpa juga. Aku abaikan.

Masa aku berjalan kaki ke surau sekolah, Abang Fadil tiba-tiba ada di tepiku berjalan sama. Dah menjadi rutin, semua aspura aspuri akan ke surau sekolah semasa waktu maghrib dan isyak. Solat berjemaah dan dengar tazkirah.

Abang Fadil tanya ‘Kenapa tak keluar?’, merujuk kepada kenapa aku tak datang masa dia panggil. Aku diam, aku tak jawab, makin laju langkah aku meninggalkan dia.

Sejak hari itu, dia selalu memandang tajam aku setiap kali aku terpandang wajahnya, dengan muka tak puas hatinya tu. Haha. Aku tak boleh. Aku tak minat dia. Walaupun dia manis. Anak orang kaya juga, ayahnya pakai Mercedez tapi hatiku tak tertarik.

 

Tak lama selepas itu, aku dengar Abang Fadil couple dengan Kak Farah. Senior asrama puteri. Bagi yang tak tahu, aspura bermaksud asrama putera, aspuri bermaksud asrama puteri. Aku ok. Tak jeles pun. Malah aku rasa macam kesian kat Kak Farah sebab jadi pilihan kedua selepas aku bolayan Abang Fadil. Haha.

Asrama penuh

Selepas keputusan yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), aku pun meninggalkan sekolah tersebut dan pindah ke sebuah sekolah berasrama penuh. Jauh beratus batu dari rumahku, nun di seberang lautan. Homesick jangan cakap. Huhu.

Disebabkan jauh dari keluarga, kawan-kawanlah jadi ‘keluarga’ kami di sini. Kami memang rapat terutamanya kawan-kawan sekelas. Sekelas ada 20 orang, campur lelaki dan perempuan.

Bila musim buah, kami pesan buah berguni-guni dari orang kampung. Kami makan beramai-ramai di bawah pokok tepi padang sekolah. Bila ada yang demam, kami sama-sama ambil berat, carikan ubat dan pastikan dia kembali sihat.

Kami pernah buat gila, main baling air, tepung dan telur semasa sambut hari jadi salah seorang kawan sekelas. Sedar-sedar cikgu disiplin dah terpacak depan kelas sambil cekak pinggang dengan wajah begis memandang kami tajam. Semua terdiam dan pandai sendiri kemas semula kelas. Mujur tak kena denda lari keliling padang atau ketuk ketampi. Kelakar kalau ingat balik!

Semasa majlis solat hajat sebelum menduduki peperiksaan Sijil Penilaian Malaysia (SPM), kami sampai declare kami bukan lagi kawan-kawan, tapi adik-beradik diiringi juraian air mata. Namun, ada yang menyelit “Tapi kalau kahwin ‘adik-beradik’ takpe kan?!”. Sebab ketika itu, ada sepasang kawan sekelas aku yang tengah couple. Mereka berdua ni memang macam belangkas. Geram juga kadang-kadang.

Selalu mereka dapat tazkirah free dari kami mengingatkan ‘jangan dekati zina’. Tambahan pula kami nampak mereka dah mula pegang-pegang tangan. Tapi ‘adat’ orang bercinta. Semuanya indah. Dosa pun nampak indah.

Minat dalam diam

Aku pula dalam diam minat pada kawan yang duduk di hadapan aku dalam kelas. Faiq namanya. Dia wakil pelajar di sekolah, macam pengawas la. Aku minat dia sebab pada pandangan aku dia ada kualiti seorang suami dan bapa yang baik. Dia berkaliber, berdaya kepimpinan. Suaranya besar dan dalam, macam M. Nasir. Wajahnya sedap mata aku memandang. Rambutnya belah tengah, lurus, licin halus.

Pernah ada yang menegur rambutnya cantik. Dia kata dia pakai syampu Rejoi**. Nak kata handsome sangat, tidak. Manis tu ada. Ada bekas-bekas jerawat di wajahnya. Matanya kecil tapi tak sepet. Kulitnya coklat kuning. Tapi bila malu, kulit wajahnya jadi merah padam.

Dia selalu puasa sunat Isnin dan Khamis. Bacaan al-Qurannya baik. Pernah juga dia jadi muazzin dan imam di surau sekolah. Kadang-kadang dia ke prep malam di kelas berserban sebab sebelum prep malam, semua pelajar solat berjemaah maghrib dan isyak di surau. Orangnya tak tinggi sangat tapi tinggi lah sejengkal dua daripada aku.

Kerana piano

Di sekolah ini pun ada piano. Waktu riadah petang, orang lain sibuk bermain di padang, aku sibuk bermain piano di dewan. Suatu hari, semasa aku sedang ralit main piano, tiba-tiba dia muncul di depanku. “Kau boleh main piano’. Tak tahu lah itu ayat pernyataan atau ayat soal.

Tapi aku jawab “Tak lah”, walaupun obvious aku main piano tadi. Kemudian dia ambil satu lagi kerusi dan duduk tepi aku “Tepi sikit. Ajar aku main piano”, katanya.

Maka, bermulalah sesi pengajaran dan pembelajaran piano kami mulai hari itu saban petang. Hatiku berbunga setiap kali sampai waktu riadah petang. Mengharapkan dia datang main piano dengan aku. Bila dia tak muncul, aku kecewa. Tapi aku jenis pendam. Aku tak ungkapkan apa yang aku rasa. Aku diam je.

Origami, tisu dan telefon

Masa hari jadi aku, dia buat origami dan hadiahkan untuk aku. Kawan-kawan sekelas yang lain pun nak juga bila tengok aku dapat origami. Dia buatkan juga untuk mereka. Orangnya berseni. Tulisan dia cantik. Macam printer. Dia selalu jadi mangsa bila nak tulis di cover portfolio. Jadi printer manual tak berbayar. Kesian dia!

Masa hari jadi aku tahun hadapannya, dia bagi aku satu pek tisu muka, sebab dia kata dia takde apa nak bagi. Aku ambil, aku simpan, aku tak guna pun. Dalam kelas masa cikgu mengajar, aku pandang depan, tapi mata aku selalu melirik ke dia. Tak tahulah cikgu perasan ke tidak.

Kami selalu bersembang. Dia pernah cakap dia pernah couple dengan budak sekolah lamanya. Tapi budak perempuan tu ada boyfriend lain sekarang. Walaupun begitu, dia masih contact budak perempuan tu. Dia bawa telefon bimbit ke asrama.

Aku takde telefon bimbit. Aku telefon keluarga guna telefon dinding yang masuk duit tu. Sekarang dah pupus dah telefon macam tu. Dia pernah cakap ,“Aku tak pandang perempuan lain pun masa aku couple dengan dia”. Mesti dia sangat suka budak tu.

Dia pernah tunjuk aku gambar budak perempuan tu. Free hair, kecil molek, ala-ala Anne Ngasri. Dalam hati aku “Oh, macam ni taste dia. Jauhlah aku daripada taste dia”.

Terhangat di pasaran

Seperti biasa, wakil-wakil pelajar ni selalunya jadi spotlight dan kegilaan ramai. Dia pun sama. Ada seorang kakak senior dan seorang kawan kelas sebelah tengah try dia. Berbalas-balas surat. Menggeletis bila lalu sebelah. Kedua-dua perempuan tu cantik, putih selepuk. Memang jauh lah daripada aku ni.

Cuma yang kakak tu, konon nak jadi kakak angkat. Padahal, berkenan, cakap je la. Faiq pernah cakap juga yang dia suka perempuan yang lebih tua daripada dia. Aku pun layan je lah drama melayu depan aku ni hari-hari, tambahan pula di sekolah kami tu memang takde tv.

Pernah dua kali aku hampir-hampir nak meluahkan perasaan suka kat dia tapi niat tersebut terbantut sebab aku takut kecewa dan aku tahu aku akan kecewa.

Suatu hari, semasa cuti sekolah, aku di rumah ketika itu, aku dapat panggilan dari rakan sekelasku, Amin. Dia hubungi telefon rumah. Itu sahaja telefon yang ada ketika itu. Lama juga kami berborak.

Abahku memantau sahaja perbualan kami sambil buat-buat baca surat khabar di atas sofa tak jauh dari aku. Abah tanya siapa tu. Aku jawab kawan satu kelas. Amin masih selalu menelefon aku, walaupun ketika itu dia dah fly jauh sambung belajar ke luar negara.

Fakhrul pun selalu menelefon aku. Semasa dia sedang belajar di luar negara pun dia selalu telefon aku. Kami boleh berborak hingga sejam kadang-kadang. Entah apa yang kami bualkan. Macam-macam topik barangkali. Dari gosip hingga hal negara!

Kalau diikutkan, ramai kawan-kawan lelaki yang selalu call aku ajak berborak, tanya khabar aku. Tak aku nyatakan semua namanya disini. Aku pun tak tahulah kenapa. Aku pernah tanya kenapa, katanya sebab selesa dengan aku.

Desperado

Tapi Faiq tak pernah call aku atau sms tanya khabar aku dulu. Aku dan Faiq belajar di universiti tempatan je. Berdekatan. Pernah kami keluar sekali tengok wayang dan makan-makan. Masa tu aku sedang ‘patah sayap dan dahan tempat bergantung’. Ayah aku meninggal dunia semasa aku masih belajar. Faiq tak tahu. Semua kawan-kawan aku tak tahu. Aku pendam, aku diam.

Aku nampak ok, happy macam biasa. Tapi hatiku meronta, jiwaku desperate mencari dahan baru untuk aku berpaut. Makin dirundung malang, seluruh keluarga berpaut pada aku yang patah sayap ni untuk meneruskan kehidupan. Ibuku sakit, adik-adikku masih bersekolah, saudara ibarat tiada. Yang dipesan pada aku ‘Jaga mak. Jaga adik-adik’.

Jiwaku menjerit ‘Habis aku macam mana?! Siapa nak jaga?!’. Aku terkapai-kapai sendirian. Aku desperate mencari ‘pengganti’ ayahku. Aku perlukan seorang provider dan protector untuk diri aku.

Aku buat keputusan untuk ‘cuba sajalah’. Cuba luah perasaan kepada crush aku, lelaki yang aku rasa aku suka dan ada kualiti yang aku nak. Aku sedia tanggung risiko ditolak. Lagipun aku terinspirasi dengan kisah Siti Khadijah ra meluahkan dulu perasaan kepada Rasulullah saw. Tiada istilah perigi cari timba. Zaman sekarang dah takde perigi, semua pakai pili air!

Maka aku mulakan dengan Faiq. Aku teks dia “Ada benda aku nak cakap kat kau. Aku sebenarnya….dah lama suka kau”. Seperti jangkaan, Faiq tak ambil masa lama untuk menjawab “Aku minta maaf. Aku tak boleh upgrade kau lebih daripada seorang kawan”.

Masa tu, bibirku tersenyum, tapi hatiku menangis. Aku balas “Hahaha. Aku main-main je lah. Kau ingat aku serius? Hahaha. Ok kita lupakan eh apa aku cakap tadi”. Dan aku cuba berlakon seperti tiada apa pernah berlaku sebelum ni.

Kemudian aku try Badrul. Dia crush aku semasa di matrikulasi. Terus aku kena ghosting.

Kemudian aku try Khalis, kawan sekelas aku dulu. Kami agak rapat. Sampai ke universiti pun masih berhubung malah kadang-kadang keluar bersama, ramai-ramai dengan kawan-kawan.

Kami pergi taman tema, makan-makan dan jalan-jalan. Dia ada juga telefon aku tapi kami selalu ketandusan idea nak sembang. Tapi aku tahu dia selesa dengan aku, dan aku pun sama. Aku pun try tanya dia juga. Dia balas beri dia masa.

Dalam pada aku menunggu jawapan daripada Khalis, ada lelaki lain yang meluah perasaan pada aku. Dia tanya aku, nak tak jadi teman istimewanya. Norman.

Norman kawan sekolah aku juga. Kami tak pernah berborak di telefon sebab dia jenis pendiam. Biasanya kami teks sahaja. Pada aku Norman seorang yang membosankan. Tapi dia baik, kacak tinggi orangnya, nampak maskulin dan bukan jenis lelaki gatal. Dia belajar di universiti di selatan tanah air.

Sejak sekolah dia memang terkenal seorang yang genius. Selalu naik pentas terima anugerah. Kami lost contact selepas aku bertukar sekolah. Kemudian dia dapat hubungi aku semula semasa kami di universiti.

Kembali pada soalan Norman kepada aku, nak tak jadi teman istimewanya. Aku jawab “Nak”.

Keesokan harinya Khalis menelefon aku, menyatakan yang dia telah fikir tentang aku dan kami. Dia nak menjadikan aku teman istimewanya. Namun ibarat lagu Micheal Learns to Rock, 25 minutes, too late. Dia tanya aku “Kau ni desperate ke ape?”. Aku jawab dalam hati je “Ya memang aku desperate”.

Semasa hari raya, Khalis datang ke rumahku dari jauh. Jauh betul, rumahku di utara tanah air, rumahnya di selatan, tapi sanggup dia datang. Dia datang beramai-ramai dengan kawan-kawan yang lain.

Aku layan dia seperti biasa, macam kawan-kawan yang lain. Dia bisik padaku “Macam tak pernah jadi apa-apa pun sebelum ni” dengan nada sinis. Aku cuma memandang dia, kosong.

Ada je lelaki-lelaki lain yang ‘dalam radar kawan-kawan’ denganku dan aku tahu dia ada menaruh hati denganku, malah ada yang dah bawa mak ayahnya datang beraya ke rumah aku. Tapi aku tak tanya dia untuk ke next level. Sebab ada ciri-ciri yang aku nak sebagai pasangan, ciri-ciri yang wajib ada, mesti kena ada. No kompromi.

Aku pernah tanya lelaki-lelaki ni, kenapa suka kawan dengan aku. Antara jawapan yang aku pernah terima, aku cantik (nak termuntah masa dengar ni.

Mana ada cantik!), manis (Boleh lah diterima), sedap mata memandang (bergantung kepada mata yang menadang), tak gedik, lemah lembut, sopan, pakaian sopan, selesa bila sembang, boleh sembang banyak benda, tahu banyak benda, lain daripada perempuan lain, tak mengada-ngada, wife material, berpotensi jadi isteri dan ibu yang baik. Itu apa yang mereka kata ya. Bukan aku kata.

Hidup baharu

Selepas habis belajar, aku bekerja. Di tempat kerja, ada juga rakan sekerja yang menunjukkan minat pada aku. Malah tanya aku “Kalau abang masuk meminang, awak terima tak?”. Hal ini aku ceritakan pada Norman. Norman pun tak pernah cakap nak kahwini aku. Aku perlukan jaminan. Selagi dia tak berjanji, aku pun tak berjanji.

Fast forward, aku dan Norman telah pun berumahtangga dan mempunyai anak-anak. Masing-masing mempunyai kerjaya yang stabil, berpendapatan T20 apabila digabungkan. Aku mampu memiliki beberapa buah rumah dan kenderaan ditengah-tengah kotaraya.

Secara zahirnya, kami nampak sempurna. Tapi hakikatnya kami juga berperang dalam rumahtangga. Bukan sahaja berperang secara fizikal tetapi dengan jiwa, perasaan dan mental.

Masih membosankan dan makin memenatkan

Norman masih lelaki yang sama, lelaki yang membosankan. Di rumah, aku dan dia jarang bercakap. Jika aku whatsapp pun sering di blue tick sahaja. Pillow talk hampir tak pernah. Dia seorang yang workaholic. Tidur pun selalu asing, walaupun aku selalu pesan jangan buat aku rasa macam nusyuz setiap hari. Tapi dia abaikan je apa aku cakap.

Dia selalu tiada di rumah. Jika di rumah pun, dia lebih suka menghabiskan masa bersendirian, me-time sambil hisap rokok dan melayan telefon di balkoni rumah. Pernah je aku ajak bersembang, tapi ibarat bercakap dengan dinding.

Aku cuba menjadi isteri dan ibu yang terbaik. Niatkan bekerja untuk membantu suami. Semasa di rumah menjalankan tugas biasa seorang isteri dan ibu – memasak, melayan, mengemas, mencuci dan sebagainya.

Cuma sekarang aku selalu ‘meletup’. Aku penat. Terlalu penat. Fizikal, mental, emosiku terlalu penat. Aku selalu meluah kepada Norman dan minta diperbaiki kehidupan rumahtangga ini.

Tapi Norman macam biasa, hanya diam membisu. Jika pun dia lakukan perubahan, dia hanya buat, tapi tak pernah menjelaskan. Selalu juga dia terus diam tanpa menjelaskan dan tanpa buat apa-apa perubahan. Aku tertekan. Sangat tertekan.

Apa yang aku tertekan sangat? Sini aku senaraikan antaranya. Norman selalu keluar malam-malam melepak dengan kawan-kawan lelaki, kadang sampai 2-3 pagi baru balik. Kalau tak lepak, dia kerja kontrak secara sambilan, subuh baru balik. Solatnya lompong-lompong. Subuh nak kena dikejutkan, kalau tak kejut, tak solat subuh lah.

Solat berjemaah, puasa sunat Isnin Khamis, baca al-Quran lagilah jauh sekali. Aku pernah hadiahkan dia senaskah al-Quran. Adalah sekali dia sentuh. Sekarang dah berhabuk al-Quran tu.

Pernah juga dia terlibat dengan kumpulan ajaran sesat batiniah. Dia pernah nak bawa aku sekali ke pusat ajaran sesat tu, tapi aku tak kan pergi. Aku bagi kata putus pada dia. Aku kata tempat dia di hati aku terletak di kedudukan ketiga selepas Allah dan rasul. Jika dia melanggar apa-apa ajaran Allah dan rasul, aku akan tinggalkan dia tanpa ragu-ragu.

Mulai hari itu, perasaan aku pada dia jadi lain sangat walaupun sekarang dia telah berubah. Aku dah tak harap dia jadi provider dan protector aku. Aku lebih provide dan protect diri aku sendiri. Aku beli rumah, aku beli aset, untuk masa depan aku sendiri. Aku fikir diri aku sendiri.

Dia pergi kerja pun selalu lambat. Bila terlalu lambat, dia mesej bosnya minta cuti kecemasan dengan alasan yang tak wujud. Sebelum ni dia pernah dapat Voluntary Separation Scheme (VSS) atau berhenti kerja dengan pampasan sebab syarikat ditutup.

Masa tu akulah tanggung perbelanjaan rumah semuanya. Aku tak terasa sangat sebab memang selama ni aku yang banyak support family sebab gajiku lebih besar dan syarikatku lebih stabil.

Cuma aku selalu mengamuk semasa fasa dia hilang pekerjaan tu. Sebab bila aku balik kerja penat-penat, dia yang duduk di rumah tak boleh nak urus rumah dan sediakan makanan. Tak kan nak harapkan isteri yang dah penat keluar kerja tolong dia cari rezeki ni juga balik masak dan urus rumahtangga?! Dia tak boleh fikir ke?! Takde perasaan?!

Dia hampir tak pernah main atau berborak dengan anak-anak. Jenuh dah aku share dengan dia pentingnya bonding antara ayah dan anak untuk menghasilkan anak lebih bijak dan cerdik, macam-macam “tazkirah” barat dan islamik aku bagi. Tapi macam biasa dia “blue-tick” je dan tiada perubahan dan komunikasi.

Paling berbekas di hati aku adalah dia abaikan sahaja nasihat doktor pakar untuk berhenti merokok kerana anak-anak kami mudah kena asma. Walaupun tak merokok di hadapan anak, tapi asap rokok yang melekat di baju pun boleh trigger asma anak. Tahu apa dia buat? Instead of dia berhenti merokok, dia berhenti dukung anak dan dia jarakkan diri dia dari anak.

Pernah juga aku terjumpa transaksi pelaburan Forex yang dah disahkan haram disisi agama Islam dalam telefon bimbitnya, beberapa video dan cerpen luc**, dan beberapa transaksi lain yang aku tak pasti, atas nama florist**. Bila aku tanya dia mengelak. Aku pun malas nak bergaduh dan selidik. Aku suruh dia berhenti dan aku bagi kata dua.

Aku berhenti check telefon dia. Aku mohon Allah tolong jaga aku. Kalau dia suami yang buruk untukku, aku mohon Allah pisahkan aku dan dia dengan mudah tanpa banyak jiwa kecewa. Pernah aku ke pejabat agama, nak mohon nasihat, tapi yang aku dapat, disuruh mengadu secara online. Dah mengadu secara online, tiada maklumbalas.

Pernah aku cuba deep talk dengan dia. Aku tanya dia, mana hala tuju keluarga kita? Kemana awak nak bawa keluarga kita? Apa cita-cita dan harapan awak dalam kerjaya dan keluarga kita? Tahu dia jawab apa? “Biasa-biasa sajalah”.

Aku pun tak tahu nak respon macam mana lagi. Aku putus asa, putus harapan. Aku hanya harap pada diri aku sendiri je sekarang. Aku pun tak tahulah apa masalah dengan dia ni.

Cinta ke tak cinta?

Mungkin juga sebab dia tak cintakan aku? Tapi bila ditanya, dia kata dia cinta. Masa awal perkahwinan dulu, kantoi dia letak password email dengan nama crush dia yang juga kawan rapat aku. Dah la masa tu aku tengah mengandung bunting pelamin.

Masa dapat tahu tu aku terkedu. Hati aku berkecai, sakit. Aku kan jenis diam, pendam. Aku kutip balik cebisan hati aku dan aku gamkan balik elok-elok. Aku teruskan peranan aku sebagai isteri yang baik.

Dia balik kerja, semua dah tersedia, makanan, rumah dah kemas, anak dah bersih wangi. Walaupun aku pun bekerja, aku pun penat. Malah lebih jauh tempat kerja aku daripada dia.

Dia pula pernah cakap pada aku, dia sengaja sampai rumah lewat sikit sebab nak bagi masa aku selesaikan semua urusan rumahtangga dulu sebelum dia sampai rumah. Aku buat sebab ‘Redha Allah terletak pada redha suami’. Aku nak jadi isteri yang diredhai sebab aku nak masuk syurga.

Dia pernah tulis di Facebook dia tentang aku semasa perkahwinan kami menginjak 5 tahun, “Mengahwinimu ibarat mimpi jadi kenyataan”. Itu apa yang dia rasa. Apa yang aku rasa?

Dia pernah kata dia ampunkan semua dosa aku dan dia redha pada aku sampai bila-bila. Masa dengar tu, hatiku tak berbunga, tapi aku rasa bersyukur kepada Allah.

Cuma kini, aku makin rasa tak kisah pasal masuk syurga. Ada api dalam jiwa aku yang kian marak sampai aku dah tak hirau ancaman pedihnya api neraka.

Banyak yang aku tak puas hati pasal Norman dan rumahtangga kami. Sejak dulu aku pendam, simpan, diam. Sebab pada aku, meluah akan menyakitkan hati suami. Menyakitkan hati suami adalah suatu dosa.

Tapi sekarang ni, selepas bertahun-tahun, aku meletup. Aku luah. Marahku meluap-luap. Aku menjerit-jerit. Pernah aku pukul-pukul Norman. Aku baling dan hempas barang-barang. Aku rasa macam orang gila.

Anak-anak pun jadi mangsa kemarahan dan pukulan aku. Mungkin kesabaran aku dah sampai had maksimum. Berapa banyak dah hanger baju patah. Belum kira berapa banyak kali hati yang ‘patah’ mendengar luahan amarah aku yang tidak bertapis. Kebanyakkan ungkapan kemarahanku kepada anak-anak sebenarnya adalah untuk Norman.

Kini, api yang marak dalam dada aku kian membakar seluruh ruang hati. Aku makin berani. Makin berani kurang ajar dengan suami.

Aku cakap ‘aku kau’ dengan dia. Aku marah, herdik, tengking dia. Aku kata dia bodoh tak boleh fikir.

“Tak kan semua benda nak biarkan aku yang urus? Tak kan semua benda nak kena cakap suruh buat? Aku pun penat kerja. Penat sambung belajar. Pejabat aku lagi jauh. 4 jam setiap hari berulang alik. Tak kan nak tunggu aku juga sampai rumah untuk urus rumahtangga setiap hari?! Aku kerja pun sebab tolong kau cari rezeki! Tak boleh fikir ke?! Takde otak?!”

Hatiku belum puas. Aku ungkit segala pengorbanan aku.

“By right isteri tak payah kerja! Semua suami yang tanggung! Tapi kalau nak harap kau, entah kat mana kita merempat. Rumah ni siapa yang beli? Aku.

Ade pernah kau berterima kasih aku tolong kau sediakan rumah? Tak! Semua benda dalam rumah ni siapa beli? Aku! Sekali pun kau tak pernah ucap terima kasih! Kau memang tak bersyukur! Orang yang tak tahu berterima kasih dengan orang, dia tak bersyukur dengan tuhan! Kau tak hargai aku!”

Sebegitu aku hamburkan api kemarahanku. Aku dah tak peduli syurga neraka. Api kemarahanku terus menyambar segala yang berdekatan. Aku ungkit perbuatan orang yang menyakitkan hati aku dulu termasuk keluarganya, mak ayahnya. Dulu aku pendam, kini aku ledakkan semua.

Manakala dia, tetap diam, membisu, seperti biasa.

Diversion

Selalu aku cuba redakan tekanan dan api kemarahanku dengan melencongkan fikiranku kepada perkara-perkara yang aku suka. Aku suka shopping, makan atau masak makanan kegemaranku, spend me-time aku. Aku cuba gembirakan diri aku sendiri.

Banyak benda yang aku kena buat sendiri selama aku berumahtangga dengan Norman. Selalu aku rasa diri aku terpaksa menjadi ibu kepada Norman dan bukannya isteri. Aku penat.

Setiap kali aku bergaduh dengan Norman, aku akan teringatkan Faiq. Aku tahu, Faiq sebagai suamipun belum tentu sempurna. Mana ada manusia yang sempurna.

Aku sedar aku sedang cuba mengalihkan fikiran aku kepada orang lain. Aku sedang mencipta harapan dan cinta yang tidak akan menambahkan kekecewaan hati aku. Jika aku terus meletak harapan dan cinta pada Norman, aku akan bertambah sakit jika aku diabaikan dan makin dikecewakan.

Jika aku terus berharap dan menyintai Faiq dalam diam, aku sakit tapi tidak akan bertambah sakit. Aku perlu mempunyai harapan sebagai semangat untuk terus hidup.

Lagipun, benarkah aku cintakan Norman? Apa yang aku rasa pada Faiq lain. Aku tak rasakan ini apabila aku teringat pada lelaki lain, termasuk Norman. Sukar untuk aku gambarkan. Setiap kali aku teringatkan Faiq, terasa ibarat arus elektrik menjalar dari jantung ke seluruh tubuhku. Rindu itu sakit dan nikmat dalam masa yang sama. Aku pun tak pasti, adakah ini rasa cinta?

Memohon

Pernah aku berdoa agar Allah satukan aku dengan Faiq. Tapi aku tak kan sanggup mengecewakan wanita lain. Dia telah berkeluarga, dia bahagia, sekurang-kurangnya daripada apa yang ditayangkan di media sosial. Biarlah aku yang kecewa. Lagipun Faiq tak cintakan aku. Tiada apa yang dikesalkan kerana aku telah pasti semasa aku meluahkan perasaan pada Faiq dulu.

Pernah juga aku berdoa agar Allah jodohkan aku dengan lelaki yang benar-benar provider dan protector. Agar aku rasa aku dijaga dan dimanja selayakmya seorang isteri dan ibu. Kerana aku dah penat menjadi provider dan protector kepada rumahtangga dan keluarga aku.

Bukan fitrah aku sebagai wanita menjadi provider dan protector, apatah lagi ketika mengandung, melahirkan, menyusukan dan menjaga anak.

Kesemua ini telah aku luahkan beribu kali kepada Norman. Aku mohon agar dia fahami aku dan berubah. Jika dia tak mahu berubah, aku yang akan berubah.

Kepada keluarganya juga telah aku adukan. Tapi tiada apa yang banyak berubah. Aku selalu merasa Norman terlalu dimanjakan. Dia anak bongsu dan ada masalah kesihatan semasa kecil.

Big Red Flag

Sebenarnya sebelum berkahwin dengan Norman pun aku telah berdoa dan buat solat istikharah, mohon dikurniakan jodoh yang terbaik. Mungkin Allah dah berikan petunjuk tapi aku yang ‘buta’ dan ‘pekak’ ataupun bodoh.

Allah dah tunjuk big red flag. Norman pernah ajak aku berzina tapi aku tolak, aku pertahankan kesucianku. Mujur dia tak memaksa. Walaupun kami tak pernah berzina tapi pada aku ‘kek yang dah dicuit-cuit tak eloklah diberi kepada orang lain, makan sendiri sajalah’.

Aku juga fikir pada masa itu mungkin dia dah dikategorikan sebagai individu wajib berkahwin, sebab tu dia jadi begitu. Sebab Norman baik. Aku kenal dia sejak sekolah.

Aku ajak dia kahwin cepat. Tapi dia kata tak cukup duit. Dia minta tolong aku buatkan personal loan untuk kahwin. Memang tak lah aku nak buatkan. Ini another red flag bagi aku. Aku pantang lelaki minta duit daripada perempuan.

Pada aku lelaki kena jadi provider dan protector bagi perempuan, bukan sebaliknya. Sebab Allah dah berfirman, Dia lebihkan lelaki daripada perempuan, Dia jadikan lelaki pemimpin bagi perempuan, Dia arahkan lelaki menafkahi dan melindungi perempuan.

Untuk tujuan itu, Allah dah kurniakan lelaki dengan kudrat yang lebih kuat, akal fikiran yang lebih tinggi dan tajam, serta emosi yang lebih stabil berbanding perempuan.

Lagipun, aku tak plan nak minta duit hantaran pun. Aku nak senaskah al-Quran dan sepersalinan telekung je. Mas kahwin RM1000. Ibarat aku nak bagi ‘free’ je diri aku ni kat dia.

Mungkin sebab aku letak nilai diri aku rendah dan tak kisah, sebab tu dia terus memandang nilai aku rendah sampai sekarang. Sebab tu dia tak berterima kasih, tak menghargai aku, tak bersyukur ada aku, tak peduli dan tak kisah pun nak cukupkan semua keperluan aku.

Kalau ikutkan, aku dah minta putus tunang masa tu. Di atas Bukit Ampang, aku tanggalkan cincin tunang dan aku serahkan pada Norman. Tapi Norman merayu.

Guess what, rayuannya pun non-verbal. Dia letak balik cincin di tapak tangan aku, dia genggam tangan aku, tunduk dan menggeleng-gelengkan kepala dia tanda tak setuju dan jangan putuskan pertunangan.

Tak lama selepas itu, mak ayahnya datang ke rumah orang tuaku untuk mempercepatkan proses kahwin. Pendek cerita, kami kahwin juga akhirnya dengan ‘bantuan’ mak ayah dan keluarga Norman. Lagipun, aku kan desperate nak dahan tempat bergantung.

Selepas akad nikah, hatiku tak berbunga. Hatiku rasa kosong, dan sedih.

Terima seadanya

Aku cuba menerima Norman seadanya. Seperti nasihat daripada Tun Mahathir, “Kita dan pasangan adalah dua individu yang berbeza. Terima pasangan kita seadanya”.

Kata Tun, beliau dan Tun Hasmah pun kerap bergaduh semasa awal perkahwinan kerana isu punctual. Tun Mahathir sangat punctual dan pantang dengan orang tak punctual. Manakala Tun Hasmah sangat santai dan sering lambat. Tapi, walaupun mereka individu yang berbeza, perkahwinan mereka berjaya kekal hingga lebih 70 tahun.

Aku selalu fokuskan sisi baik Norman. Aku cuba bersyukur. Itu yang membuatku masih bertahan. Dia sebagai suami tak pernah berkasar dengan aku, tak pernah pukul atau herdik aku.

Gajinya habis dibelanjakan untuk aku dan anak-anak walaupun tak banyak. Malah kesemua gajinya diserahkan kepada aku untuk diuruskan. Untuk dirinya sendiripun tiada, kecuali rokok. Dia selalu berlemah lembut dan berhemah jika menegur aku dan anak-anak. Dia ajarkan anak-anak hormat pada aku walaupun aku selalu garang.

Dia tak bercakap, tapi dia selalu peluk aku untuk memujuk, dia biarkan aku sejuk dulu. Sekarang dia makin buat kerja rumah tanpa disuruh. Malah baju anak-anak dan aku, dia yang ironkan setiap hari.

Kereta baharunya dia bagi aku yang pakai. Manakala kereta burukku dia yang pakai. Kadang-kadang dia bawa kami makan di luar atau jalan-jalan. Dia belikan kek hari jadi dan ulangtahun perkahwinan. Dia ajak aku tengok movie berdua walaupun ajakannya non-verbal.

Lagipun dia memang cita rasaku. Banyak ciri-ciri lelaki yang aku nak ada pada dia. Budak sains fizik dan engineering, ada degree, budak pandai, bijak, nampak maskulin, handsome di mata aku.

Tubuhnya yang tinggi membuatkan aku rasa selamat apabila disampingnya. Bukan kaki betina. Ini setakat yang aku tahu dan nak ambil tahu la. Aku cuba berdamai dengan segala kekurangan Norman.

Aku selalu cuba cipta momen bahagia. Orang kata, bahagia perlu dicipta. Bahagia tak datang sendiri. Maka itu menjadi motivasi untuk aku terus cuba menjadi bahagia. Aku selalu ajak dia dating. Aku whatsapp dia gambar-gambar selfie aku. Aku ajak dia buat aktiviti dengan anak-anak, keluar jalan-jalan, makan bersama di meja makan, dan macam-macam lagi.

Tapi kebanyakkan daripada ajakkanku dan usahaku dia abaikan saja, dia “blue-tick” sahaja. Dia lebih suka keluar rumah, lepak dengan budak-budak bujang atau kawan-kawan lelakinya. Hati aku sakit, aku kecewa. Pendam dan diamku akhirnya menatijahkan api yang marak membakar seluruh jiwaku terhadap dia.

Redha

Hatiku telah severely injured. Api mungkin boleh dipadam. Tapi kemusnahan, kesakitan dan parut akibat kebakaran tidak mudah untuk dibaiki dan dihilangkan. Hatiku dah tak sama. Setiap kali api membakar, setiap kali itu hatiku berubah. Musnah dijilat api, sakit dan pedih dibakar api, meninggalkan parut yang tak mungkin hilang.

Seringkali aku bersihkan kembali ruang hati yang terbakar. Aku cuci sebersih-bersihnya. Aku cat dan aku isi semula dengan hiasan baharu. Tapi aku makin penat. Aku makin tak mampu baiki hati aku lagi. Akhirnya nanti, aku tak kan baiki lagi.

Akan aku biarkan ia terbakar hingga menjadi debu yang berterbangan dan hilang. Jika mampu mungkin akan ku bina hati baharu bersama orang yang mahu sama-sama membina dan menjaga hati ini.

Begitulah suka-duka kehidupanku dalam mendapatkan pasangan yang dijanjikan Allah kepadaku. Kita mungkin boleh memilih pasangan, tapi hakikatnya Allah lah yang menentukan jodoh kita. Terima jodoh pemberian Allah dengan rasa syukur. Itu yang selalu aku ingatkan kepada diri sendiri. Semoga aku sentiasa bersyukur.

Aku tak tahu masa depanku. Aku tak tahu jodohku setakat mana. Aku bertawakal kepada Allah setelah sedaya upaya berdoa dan berusaha. Aku juga sedar hidup di dunia ini adalah ujian. “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (QS Al-Ankabut:2-3).

Tolong bantu aku untuk terus kuat menjalani hari-hari mendatang. Doa, nasihat, cadangan, komen dan ulasan sangat aku alu-alukan dan aku dahului dengan ucapan terima kasih.

Aku harap tulisan ku ini dapat menjadi pengajaran dan membantu memberi kesedaran kepada pembaca tentang hakikat berpasangan serta reality kehidupan. Terima kasih juga kerana sudi membaca hingga ke noktah terakhir. Tidak lupa kepada pihak admin kerana menyiarkan tulisan ini.

– Burung yang pernah patah sayap (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *