Setiap Ujian Ada Hikmahnya

Saya berumur 32 tahun, sudah berkahwin selama 8 tahun, belum mempunyai anak. Di sini cukuplah saya ceritakan dua ujian saya di beri pertama saya belum di kurniakan zuriat, kedua ujian dalam rumahtangga.

1. Belum di kurniakan zuriat

Saya dah ikhtiar pelbagai untuk saya mengandung dan berdoa setiap kali sembahyang agar saya di kurniakan zuriat. Pada mulanya saya menyalahkan Allah, adakah Allah tidak sayangkan saya, saya tidak pernah putus doa supaya saya di kurniakan zuriat. Sampai tahap saya behenti berharap, saya menyalahkan Allah. Tetapi ada hikmahnya Allah ingin menguji saya begini, setakat ni hikmah yang saya sedar, saya sentiasa ada masa untuk suami dan keluarga & saya tidak pernah mengalami masalah kewangan. Rezeki saya Alhamdullilah Allah luaskan, saya mempunyai 1 kereta, 3 aset rumah walaupun bergaji kerani dan tidak berhutang (Sebab rumah yang tinggal sekarang ni habis bayar, 2 rumah lagi saya sewakan).

Dan baru-baru bulan puasa ini saya perasan hikmah lain, iaitu saya mempunyai masa untuk ingat kepadanya. Allah berikan saya hidayah sedikit untuk mempertingkatkan ibadah sembahyang sunat & membaca Al-Quran (Padahal sebelum ni teramat jarang nak buat). Buat pertama kali saya rasa bersyukur kerana memberikan saya ujian agar saya terus mengingatinya. Saya meminta ampun kerana bersangka buruk kepadanya selama ini.

2. Ujian berumahtangga

Pada tahun ke-4 usia rumahtangga saya, saya mendapat tahu yang suami saya seorang penagih syabu di tambah lagi suka main judi online. Semakin lama suami sudah pandai mengangkat tangan dan panas baran. Walaupun tidak mendatangkan kecederaan tetapi hati sakit yang amat. Sebenarnya suami saya seorang yang baik, solat terjaga, belanja semua suami tanggung dan tidak pernah kedekut memberi nafkah duit. Tidak masuk di akal saya suami saya sebegitu rupa, lantas saya berdoa apa hikmahnya saya di uji begini.

Sepanjang kehidupan saya lalui dengan suami setelah ketahui dia mengambil syabu, tidak perlu lah saya ceritakan rasanya semua orang boleh bayangkan. Cukuplah saya katakan saya masih bersamanya kerana dia minta saya berikan dia peluang untuk berubah dan dia tidak boleh berubah kerana perlukan sokongan & bantuan dari saya. Walaupun sebelum ini saya pernah nekad ingin meninggalkan dia tetapi saya lembut hati setelah mendengar pujuk rayunya. Sepanjang 4 tahun saya bersabar dengan karenahnya, sampai tahap 1 tahun saya kemurungan kerana masalah yang di timbulkan suami. Alhamdullilah sekarang nampak perubahan, suami makin lupakan syabu, masa mula-mula suami biasa ambil setiap hari, lama kelamaan berkurang dan sekarang suami bebas dadah (harap-harap lepas ni dia tak ulang ambil).

Hikmahnya, yang saya nampak setakat ini, hubungan kami semakin erat dan lebih kerap sembahyang berjemaah dan mengajak saya beribadah membaca Al-quran bersama. Mungkin ada hikmahnya yang lain cuma saya belum nampak atau belum terjadi. Yang penting saya kena percaya kepada Allah.

Ada lagi ujian-ujian lain saya di beri, seperti keluarga mentua, salah faham ipar duai, keluarga sendiri. Tetapi bagi saya masalah sebegini remeh dan tidak perlu di fikirkan kerana saya mempunyai masalah yang lebih berat dari ini.

Setiap orang pelbagai ujian diberi, ujian jodoh,anak, rezeki, kewangan, rumah tangga, pembelajaran, keluarga, diri sendiri, istidraj dan sebagainya. Yang penting Allah tak akan uji hambanya melebihi kemampuan. Tetapi percayalah setiap ujian di beri mesti ada hikmah samada sedar ataupun tidak atau belum terjadi.

Kadang-kadang saya cemburu melihat kehidupan orang lain. Lebih-lebih lagi kalo scroll timeline fb, boleh kemurungan jadinya. Sebab tu saya elak scroll timeline dan tidak pernah update FB saya. Tetapi saya sentiasa positif kan diri, walaupun terbit perasaan cemburu namun saya belajar untuk menerima seadanya.

Jika saya mempunyai anak, mungkin saya tidak ada masa untuk memperbaiki diri saya dan saya lalai. Dan Mungkin Allah belum memberikan saya anak agar saya dapat membantu masalah ketagihan suami. Dan bayangkan jika saya mempunyai anak mungkin saya tidak mempunyai masa memikirkan masalah suami dan akan berpisah dengan suami kerana ingin lari dari masalah yang dia cetuskan. Mungkin selepas ini ada hikmah lain, cuma saya belum tahu. Harap pembaca terutamanya yang pernah melalui boleh dapat nampak hikmahnya. Walapun berat ujian mana pun kita di beri Sentiasalah bersangka baik dengan Allah.

– Hawa

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *