Assalamualaikum w.b.t. Di sini aku mahu kongsikan mengenai sebahagian nasihat dan pesanan yang telah kudapatkan, hasil daripada pertemuan dengan beberapa pensyarah dan alumni UKM sekitar Minggu Mesra Siswazah baru-baru ini. Oh ya, aku merupakan pelajar sarjana baharu di UKM.
Sebagai pelajar baharu, bagiku, butir-butir kata yang dilontarkan semasa taklimat tersebut merupakan mutiara nan berharga yang boleh dijadikan bekal untuk perjalanan yang panjang ini.
Oleh demikian, aku nukilkan perkongsiannya di sini dengan harapan ianya dapat menyuntik semangat juang dalam diri seorang pelajar sepertiku, bukan sahaja di peringkat siswazah malah di peringkat pengajian yang lain juga.
Nasihat yang ditulis di sini adalah pesanan yang dititipkan oleh penceramah dan ahli panel forum dalam taklimat tersebut.
Aku hanya memetik sebahagian daripada keseluruhan intipatinya dan kukreditkan nama penyampainya di akhir setiap pesanan. Ada ayatnya yang kuolah dengan gaya penulisanku sendiri tanpa merubah maksud asal.
Nah, silakan membacanya…
_ _
1) Tips Menulis
Pertama; write with your heart. Tulis apa sahaja yang anda rasa nak tulis. Jangan ambil peduli lagi tentang apa yang betul dan apa yang salah pada langkah pertama menulis. Kebanyakan orang mahu terus menulis dengan ayat yang betul, sehingga asyik tulis padam, tulis padam. Itu memakan masa yang lama.
Kedua; write with your head. Bila dah siap menulis dan selesai mengeluarkan maksimum idea yang ada, semak kembali apa yang ditulis. Masa inilah kita gunakan untuk potong isi mana yang tak perlu dan tukar perkataan mana yang kurang sesuai.
Mana yang salah, diperbetulkan. Tidak mengapa jika banyak salah. Itulah yang dinamakan proses belajar. Kita perlu belajar daripada kesalahan, untuk tahu perkara yang betul.
-Prof. Nik-
2) Mencari Kebahagiaan
Mencari kebahagiaan bukanlah satu pilihan, tetapi ia adalah satu perkara yang kita perlu usaha cari. Kita yang perlu cipta kebahagiaan itu.
Bila kita sambung pengajian, akan bertambah peranan yang baharu, tetapi tak akan berkurang peranan yang lain. Jadi, carilah kebahagiaan semasa anda belajar dengan menyeimbangkan kehidupan.
Work life balance. Then, enjoy the journey and make it happy.
-Dr. Mohd Izwan-
3) Batu Permata
Permata yang belum digilap, umpama batu yang selalu kita nampak di tepi jalan. Pada mulanya, kita sering tak perasan dan tak tahu ada apa dengan permata itu sebab ia belum digilap.
Begitulah diri kita. Kita tidak akan pernah tahu potensi diri sendiri selagi kita tidak mahu mencuba dan bermula melakukan perkara yang baharu serta menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi. Tugas kita adalah untuk menggilap potensi diri kita.
Setelah proses menggilap selesai, permata tadi itu akan bersinar dengan indahnya, sehingga ia menjadi sesuatu yang sangat tidak ternilai harganya. Oleh demikian, gilaplah permata anda hingga sinarnya berjaya menyinari kehidupan anda dan orang sekeliling.
-Dr. Mohd Izwan-
4) Prinsip Hidup
Dalam perjalanan ini, berpeganglah kepada prinsip; “Kita permudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita” dan “Ikut resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk”.
PhD adalah pencapaian akademik yang paling tinggi di dunia. Tetapi jangan kita lupa, pencapaian dalam hidup yang sebenar-benarnya adalah apabila kita berjaya mengenali siapa diri kita dan siapa pencipta kita.
Proses pembelajaran adalah untuk menjadikan kita lebih menyedari betapa diri kita ini kerdil dan bukannya untuk berbangga dan bermegah dengan apa yang kita peroleh.
-Dr. Wan Nor Fadzilah-
5) Jaga Hubungan
Petua untuk kita sentiasa berada di landasan yang tepat ialah kita perlu ada susunan strategi yang betul. Kemudian, selepas usaha, tawakal itu juga sangat penting. Kebergantungan dengan Allah yang tinggi perlu ada.
Banyakkan berdoa agar semua urusan dipermudahkan hingga doa itu sebati dalam hati kita. Amalkan juga amalan-amalan yang menjemput kejayaan seperti bersedekah dan bantu orang lain.
Seterusnya, jangan abaikan hubungan dengan penyelia. Jaga adab dengan penyelia. Kasihi penyelia, sayangi penyelia dan doa yang baik-baik untuk penyelia. Kerana penyelia adalah guru kita, yang menjadi sumber penyuluh kejayaan kita.
-Dr. Mohamad Siri-
6) Kebaikan dan Aura Orang Hebat
Rasulullah S.A.W. bersabda; “Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”.
Jangan kita remehkan sebuah kebaikan, kerana kebaikan yang kita buat hari ini, kita tak pernah tahu kebaikan apa yang bakal kita dapat sebagai balasannya pada masa akan datang. Sesungguhnya, setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.
Untuk menjadi orang yang hebat, kita boleh berpegang pada pepatah Arab yang maksudnya berbunyi lebih kurang begini; “Kita bukanlah hebat. Tetapi bila kita lihat dan pelajari daripada orang yang hebat, kita akan dapat tempias aura hebat.”
-Dr. Muhamad Syawal-
7) Set Your Mind and Heart
Impian bukanlah sekadar kata-kata. It is not only words. It is very deep. Penting untuk kita tulis dan lukiskan impian yang sangat spesifik, objektif dan magnetik agar impian itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Impian yang selalu kita tulis dan lukis itu boleh menjadi sebuah doa.
It is the power of having goals and the power of writing your goals. Be a visionary person. Clear your mindset and your heartset to achieve what you want. Then, put your heart in everything you do.
-Dr. Sharmini-
8) Teruslah Belajar
Jadikan pembelajaran itu sebagai satu tabiat dan membaca itu sebagai aktiviti harian.
Kata Saidina Abu Bakar R.A.; “Learning is the life of the mind. Pembelajaran adalah kehidupan minda atau fikiran.” Bererti, kalau kita berhenti belajar, minda kita akan mati.
Belajar, belajar dan teruslah belajar, walau berapapun umur kita, tak kira di mana kita berada, secara formal atau tidak formal. Sekarang ini, di mana-mana dan dengan apa cara sekalipun, kita boleh belajar.
Walaupun kemudahan teknologi yang ada pada masa dahulu dan kini tidak sama, kita tetap boleh belajar. Hanya cara sahaja yang berbeza. Oleh itu, gunakanlah kelebihan dan kemudahan yang ada sekarang dengan sebaiknya.
-Prof. Norazah-
_ _
Demikianlah sedikit perkongsian daripadaku untuk coretan di sini. Semoga tulisan ini dapat memberi manfaat dan menjadi asbab kebaikan buat kita semua.
Terima kasih kerana sudi membaca hingga ke akhirnya.
Sekian.
– Imanina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit