Si Anak

Masih segar di dalam ingatan ayah, saat pertama kali ayah tahu akan adanya denyutan nadi kamu di rahim mama. Betapa ayah melonjak kegembiraan, betapa ayah rasa beruntungnya diri ayah.

Saban hari, 9 bulan kamu di dalam kandungan mama kamu, apa yang bermain di fikiran ayah adalah bagaimana ayah mahu membesarkan kamu dengan kasih sayang.

Ayah orang susah, tapi ayah yakin akan rezeki yang akan disebabkan oleh kehadiran kamu. Apa yang ayah tak impikan untuk kamu anak? Segalanya yang ayah buat adalah untuk kamu. Saat kamu lahir ke dunia, saat kali pertama ayah mendengar tangisan kamu, ayah adalah orang yang paling gembira.

Ayah keluar dari bilik bersalin, dengan satu langkah yang ayah rasa sangat bermakna. Ayah beritahu hampir semua staff yang berada di wad bersalin Hospital Besar Seremban tentang kamu. Bahawa ayah telah bergelar seorang ayah.

Ayah ingat lagi ketika ayah balik ke rumah mencari di segenap penjuru mencari duit syiling untuk membeli baby wipes. Ayah ingat lagi di saat mama jatuh sakit ketika berpantang ayah memegang tangan mama di dalam ambulan dan mengatakan semuanya akan okay.

Ayah ingat lagi ketika ayah bergegas ke rumah mengambil kamu dan membawa kamu ke hospital untuk menemani mama. Ayah ingat lagi anak disaat ayah bertekak dengan sikap sambil lewa doktor yang merawat mama.

10 bulan kita bersama anak, 10 bulan yang sentiasa ada di dalam hati sanubari ayah. Saat kamu tidur di atas dada ayah. Saat kamu belajar bermain dengan kereta Hotwheels ayah. Saat kamu mula memanjat dan merangkak.

Saat kamu tidak tidur di waktu malam akibat overdose makan biskut Munchy’s. Saat ayah mendukung kamu berjam-jam lamanya semata untuk mendodoikan kamu. Saat kita berbaring bersama. Saat ayah memeluk kamu. Manis kan anak? Manis yang hanya sementara.

Maafkan ayah anak, ayah telah cuba mempertahankan apa yang sepatutnya. Tetapi ayah ini insan yang hina anak. Ayah melakukan kesilapan yang menjadi dendam bagi mereka. Maafkan ayah kerana berlalu pergi dari hidup kamu. Maafkan ayah kerana ayah tidak dapat bersama kamu. Maafkan ayah sayang.

Ketahuilah, ayah terseksa di hari-hari yang ayah lalui. Ayah terluka saat tiap kali ayah teringat kamu. Saat ayah memegang lampin kamu, yang ayah ambil di hari terakhir ayah bersama kamu. Ayah akan berduka. Entah berapa banyak airmata ayah yang mengalir. Pesan ayah:

1) Jagalah mama sebaiknya.

2) Sayangilah mama sedalamnya.

3) Patuh akan rukun yang 5 dan 6.

4) Laksanakan 13 rukun dengan sebaiknya.

5) Jangan lupa akan Allah.

6) Cintailah diri kamu sebelum mencintai yang lain.

7) Belajarlah setinggi yang boleh.

8) Jadilah seorang anak yang soleh.

9) Saat mama kamu berduka, belailah rambutnya.

10) Andai kamu terjatuh,bangunlah dan lap luka kamu sendiri.

Akhir kata dari ayah, kita mungkin tidak akan dapat bertemu. Tetapi, yakinlah pada ayah bahawa ayah akan laksanakan hak kamu. Percayalah kepada ayah anak. Jangan buat kesilapan seperti yang ayah lakukan.

Dzal Aidi, membesarlah kamu dengan baik. Ayah sentiasa ada dengan kamu di antara nyata dan maya. Doa ayah sentiasa ada bersama kamu.

Maafkan ayah.

– A.Rashid (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *