Salam sidang pembaca yang dihormati sekalian, hari ini aku ingin berkongsi rahsia terbesar dalam hidup aku. Kisah yang aku simpan dengan rapi tanpa pengetahuan sahabat-sahabat baik ku. Mari aku mulakan kisah aku sejak aku sekolah rendah.
Aku ada seorang abang (anak angkat mama papa aku juga) tua 2 tahun dari aku. Kami selalu bergaduh walaupun hal remeh-temeh, dia suka buli aku. Aku bertubuh besar dan tinggi, agak lasak dan kasar, yang paling penting tak reti berdandan atau cantikkan diri.
Abang aku malu mengaku aku adik dia, ikutkan memang kami bukan adik beradik, lain emak lain bapa.
Abang aku nasib dia agak baik, ibu dan ayah dia masih ada dan setiap kali hari raya mesti kami pergi beraya rumah diorang. Ibu ayah abang kawan papa aku, diorang satu tempat kerja.
Aku pula tak tahu siapa emak dan ayah aku, mama papa cakap emak aku sakit masa diorang ambil aku dekat hospital, aku anak sulung untuk pasangan emak dan ayah.
Ayah aku pula tidak dapat dikesan sehingga sekarang, entah hidup entah mati. Surat beranak aku semua berbintikan papa aku, mungkin dulu boleh kot. Tu sebab dulu aku tak tahu yang aku dan abang ni hanyalah anak angkat papa dan mama.
Masa aku dah masuk sekolah menengah, masuk ke universiti sampai dah kerja aku masih lagi tak tahu yang aku dan abang aku ini anak angkat. Ingat lagi, masa aku nak masuk universiti, papa mama aku cakap takde duit nak tampung aku belajar lagi lepas spm. Aku sedih.
Diorang suruh aku kerja, spm pun dah cukup untuk kerja kata mereka, sebab papa aku banyak hutang, mama tak kerja, lagipun papa kata, sekurang-kurangnya aku dah pernah masuk sekolah asrama sebelum ni, dah cukuplah tu.
Aku kuatkan semangat, aku tak nak susahkan diorang lagi. Jika disebabkan aku masuk sekolah asrama dulu tu diorang cakap aku umpama memberi beban pada mereka, takpelah aku cuba cari duit sendiri untuk teruskan hasrat aku sambung belajar.
Aku jadi juruwang dekat pasaraya, lama aku kerja nak kumpul duit. Alhamdulillah dapat juga masuk universiti, bayar yuran semua guna duit sendiri.
Dulu masa di universiti, aku buat ‘part time’ kerja dekat kantin, dapatla duit poket sikit, duit ptptn aku, aku bagi papa mama untuk tampung perbelanjaan keluarga, sebab papa mama selalu cakap takde duit.
Masa mula-mula nak pilih bidang di universiti macam-macam orang mengata aku,
Sepupu aku, pak cik mak cik aku semua cakap pilihan aku tu salah, aku pilih bidang kejuruteraan, situ nanti kerja pegang spanar la, perempuan mana ada ambil bidang tu la, eh macam-macamlah kecaman yang aku terima.
Tapi aku buat tak tahu sahaja. Elok habis belajar, aku dapat kerja terus dekat tempat aku praktikal di perodua servis. Tak sempat nak mengganggur. Anak mak cik yang kecam aku dulu tu sibuk tanam anggur kat rumah sebab takde tawaran kerja.
Lama juga aku bekerja di situ, sehinggalah satu hari aku dapat tawaran bekerja di sektor awam sebagai jurutera dalam bidang yang aku minati. Aku bersetuju dan terus mula bekerja.
Sejak itu, ramai kawan-kawan sekuliah yang mula meluahkan perasaan untuk serius bercinta dengan aku, sejak aku dah tamat belajar, tapi semua aku tolak, aku nak kitaorang berkawan dulu.
Persekitaran aku ramai lelaki jadi ada banyak pilihan boleh di buat, siap buat analisis lagi hihi.
Aku bukan jual mahal cuma aku nak pastikan bakal suami aku tu bukan panas baran, aku tak nak jadi macam mama, kesian dia sampai dah tua pun masih kena layan panas baran papa aku tu.
Tapikan ada satu benda aku tabik dekat papa, walaupun mama tak boleh berikan dia zuriat tapi dia tak pernah tinggalkan mama, dia sayang mama cuma kelemahan dia tak reti kawal amarah.
Setelah agak lama aku menguji setiap calon yang cuba nak mendekati aku, aku akhirnya jumpa si pujaan hati, mr R.
Dia kerja satu jabatan dengan aku, lain bahagian, nampak dia bersungguh dengan aku. Aku suruh dia jumpa papa mama aku kalau dia betul nak serius, sekali betul dia jumpa, aku pulak risau. Papa mama aku cakap diorang ok saja.
Sehinggalah satu hari mr R cakap nak hantar rombongan merisik dan bertunang, aku bagitahu dekat papa mama, tiba-tiba diorang panggil balik dan bawa mr R sekali, penting katanya. Aku takdelah pelik, jadi aku ajak mr R jumpa papa mama aku petang tu juga.
Masa kami jumpa, itulah detik paling sedih dalam hidup aku. Selama 25 tahun aku hidup, aku tak sangka aku akan dikejutkan dengan berita ni.
Papa mama menangis-nangis membuat pengakuan bahawa aku ini bukanlah anak kandung mereka, aku hanya anak angkat mereka, mereka terpaksa beritahu hal ini, sebab aku nak kahwin.
Ikutkan mereka tak mahu aku berkahwin sebab mereka boleh simpan rahsia ni sampai bila-bila.
Waktu tu aku berperang dengan diri sendiri, perasaan bercampur-baur, sedih, marah, geram, rasa dikhianati, benci semualah.
Aku jadi tak suka dengan diri sendiri. Aku mengeluh dengan nasib aku. Siapa emak dan ayah aku? Kenapa permulaan hidup aku teruk ye? Kenapa emak aku buang aku?
Kenapa takde yang mencari aku semula dalam tempoh 25 tahun ni. Ke memang emak ayah aku benci aku. Aku memang anak pungut yang tak tahu siapa emak dan ayahnya.
Aku menangis semahunya. Aku tak tahu mr R tu masih nak aku lagi tak? Aku takde asal usul keturunan.
Aku hanya sendiri. Masa tu juga papa mama aku ceritakan, yang abang aku pun anak angkat, cumanya dia anak kawan papa. Tu sebab papa akan lebihkan abang dalam segala benda dan aku sering disisihkan oleh papa dan mama.
Waktu ni barulah aku faham, kenapa kalau abang baju raya atau baju baru dia semua yang brand mahal di butik, aku ni beli dekat kedai kaki lima saja.
Walaupun abang aku tu sering buat hal, malas bekerja, suka melepak, belajar pun tak mahu, terlibat masalah sosial, isu dadah la apa lah tetap di sayang dan disanjung.
Aku ni nak belajar ke apa ke semua sendiri, takde yang peduli. Aku belajar dapat pointer 4.0 dan dapat anugerah dekan pun papa mama buat tak tahu saje. Macam melukut ditepian gantang.
Berbalik pasal mr R, dia tanya dengan aku depan-depan betul ke aku tak tahu, aku cakap memang aku tak tahu dan aku cakap kat dia kalau dia tak boleh terima aku, aku ok, kita kawan saja. Dia cakap dia nak balik bincang dengan keluarga dia, aku masa ni dah redha.
Yelah mana ada orang nak terima menantu yang asal usul pun tak tahu. Tiba-tiba mr R bagitahu aku yang emak dia dan keluarga dia setuju untuk teruskan majlis merisik dan bertunang. Cuma masa kahwin mereka minta adakan 1 majlis sahaja di belah perempuan.
Masa ni aku sedih dan gembira, tak sangka mereka sanggup terima aku apa adanya diri aku. Kemudian bermulalah episod di pejabat agama buat permohonan wali hakim dan proses pencarian wali aku.
Memang sampai sudah tak jumpa. Mama papa aku siap bersumpah depan hakim yang mereka memang tak kenal keluarga aku, mereka ambil aku sebab ustaz tempat kerja ayah aku bagitahu ada orang baru lepas bersalin dan keadaan si ibu tu nazak.
Si ibu tu minta ada keluarga ambil aku dari dia sebab dia tak mampu nak jaga dan dia tak akan tuntut sebab mungkin hidup dia pun tak lama. Majlis kahwin kami berlangsung dengan meriahnya, kami kumpul duit sama-sama.
Selesai sahaja majlis semua aku dan mr R yang langsaikan bayaran, papa mama aku tak keluarkan duit 1 sen pun. Esoknya tu sesi pengiraan duit salam kaut, masa tu aku malu dengan mr R.
Papa mama aku ambil semua duit salam kaut tu, sikit pun tak bagi kami, dah lah majlis duit kami yang keluar, duit tu pun mereka kebas semuanya.
Alasannya sebab ini adalah ganjaran buat mereka sebab mereka besarkan aku, semua diorang kira. Masa ni aku kecewa dengan sikap mereka.
Mama papa ni anggap aku barang ke? Sungguh mr R sangat cool, dia pujuk aku, bukan rezeki kita, tak perlu bulan madu, kita duduk rumah saja.
Setelah lebih 3 hari di rumah papa mama kami pun terus pulang ke rumah sewa kami, kami cuba positifkan diri, nasib barang rumah masa bujang dulu ada beli sikit-sikit, cukupla untuk kami hidup berdua.
Aku memang bersyukur Allah kurniakan mr R untuk aku, memang dia ada kelemahan dan ada kelebihannya tapi kita berkahwin ni untuk saling melengkapi.
Aku suka kongsi semuanya dengan dia, pertama duit sebab dia tak pernah kedekut dengan aku pun jadi aku pun rasa tak salah untuk sama-sama kongsi duit gaji untuk melengkapkan kehidupan kami,
Kedua cerita atau masalah ke atau apa-apalah (tiada rahsia antara kami), dia lah kawan aku, pengkritik aku dan suami aku.
Kini kami dah ada 3 orang anak dan dah hampir dua dekad kami bersama melayari bahtera rumah tangga. Dia banyak mewarnai hidup aku dan anak-anak.
Untuk yang ada masalah lebih kurang macam aku, aku nak nasihatkan korang, jangan mudah mengalah, kuatkan hati banyakkan berdoa pada Allah,
In sha Allah meskipun permulaan kisah hidup kita tidak indah dan menyedihkan tapi kalau kita tekad berazam untuk keluar dari kemelut tu in sha Allah pasti ada jalannya.
Tak kisahlah permulaan hidup kita ni macam mana, tapi yang penting pengakhiran hidup kita macam mana, apa pilihan yang kita ada?
Sekarang ni pun masih lagi belum sampai ke penghujungnya. Masih banyak yang perlu kami perbaiki yang penting kami gembira bila bersama.
Rezeki Allah tu maha hebat, dia sayangkan kita tanpa kira siapa pun kita ni. Percayalah pada Dia. Aku berhenti di sini dahulu lah. Nanti ada masa aku cerita lagi.
– Chantiq (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit