Si Buta dan Zaman Kanak-Kanak

Salam PKP semuanya, semoga kita semua terus tabah menghadapi dugaan ini. Kali ini saya ingin berkongsi kisah zaman kanak-kanak yang dilahirkan kurang upaya penglihatan seperti saya.

Kepada yang rajin boleh terus membaca dan menambah ilmu dan kepada yang malas mohon abaikan sahaja kisah ini, tiada paksaan, hehe.

Saya anak kedua daripada 5 orang adik-beradik. Sebelum detik-detik kelahiran saya doktor telah memberi tahu mak bahawa beliau akan ditahan di hospital.

Namun, memikirkan kakak yang masih kecil dan tiada penjaga mak saya mengambil keputusan untuk menipu doktor dengan meminta izin untuk pulang ke rumah menyiapkan apa yang patut… tapi mak tak kembali ke hospital dan melahirkan saya di rumah bersendirian.

Mengikut penceritaan beliau agak mudah melahirkan namun bantuan lambat sampai, saya agak kekeringan air pada ketika itu “nota: saya kurang faham mengenai hal ini dan tidak boleh menghuraikan dengan lebih lanjut”.

Ketika berusia 3 tahun mak mulai perasan ada sesuatu yang tak kena, saya hanya memandang tempat yang bercahaya. Saya kelihatan seperti kanak-kanak sombong kerana tidak memberi riaksi Ketika dibawa bermain.

Saya hanya boleh mencari mak saya berpandukan suara. Mak mula membawa saya berjumpa doktor untuk memastikan sama ada saya mengalami masalah penglihatan atau tidak. Namun, doktor enggan berbuat apa-apa Ketika itu kerana saya masih terlalu kecil.

Semasa usia menjangkau 6 tahun mak saya meneruskan usaha untuk membuat pemeriksaan mata. Maka bermulalah kisah saya berulang-alik ke hospital.

Hospital merupakan tempat yang saya benci Ketika itu, saya bukan sahaja kadang-kadang dimarahi doktor, malahan saya merasa bosan, penat dan sakit apabila mata disulu berkali-kali.

Rawatan terhenti begitu sahaja sehingga saya bersekolah darjah 1 di sekolah biasa. Tiada penyelesaian apa-apa daripada pihak doctor.

Semasa bersekolah darjah 1 sekali lagi nasib malang menimpa. Sekolah yang sepatutnya tempat kanak-kanak berseronok tidak saya nikmati.

Apa yang saya rasakan adalah bosan dan risau sepanjang masa lebih-lebih lagi jika ada subjek Pendidikan jasmani. Kami perlu berbaris dan bergerak ke padang sekolah.

Masalahnya saya tidak boleh mengenal pasti rakan-rakan sekelas kerana semua memakai pakaian seragam yang serupa. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa di kantin sekolah…

Ketika itu saya menghulurkan duit untuk membeli pisang goreng, duit mereka ambil tapi saya balik dengan tangan kosong kerana pisang goreng itu perlu diambil sendiri oleh pelajar.

Apabila pulang ke rumah saya mengaduh kepada mak dan selepas itu saya tidak pernah menjejakkan kaki ke kantin lagi, hehehe.

Meskipun guru-guru telah dimaklumkan bahawa saya tidak boleh melihat namun, tindakan yang diambil hanyalah meletakkan saya berhampiran papan hitam.

Keadaan ini tidak membantu langsung kerana saya tidak boleh melihat tulisan, apatah lagi menulis sendiri. Saya mendapat nombor kosong setiap kali peperiksaan.

Nombor kosong adalah nombor yang lebih teruk berbanding nombor uncit kerana saya tiada nombor, hahahaha.

Setelah berpindah ke sekolah yang lebih besar ketika darjah 2 mak dah tak mampu memaksa saya untuk ke sekolah. Maka akhirnya jadilah saya kanak-kanak penganggur pada ketika itu hahaha.

Saya juga seperti kanak-kanak biasa, bermain, berlari, melompat dll. Pada waktu tengah hari saya akan curi-curi keluar rumah untuk berlatih berlari dan melompat di jambatan agar tidak ketinggalan dengan rakan yang lain. Rumah kami terletak di atas air pada ketika itu.

Ketika air cetek saya dan rakan-rakan turun mencari kerang dan mainan. Mainan yang tidak dilupakan sehingga hari ini adalah handphone plastik panjang seperti jari telunjuk.

Penglihatan yang sangat terhad menyebabkan saya akan melanggar tiang-tiang rumah dan adakalanya terjatuh di jambatan, hahaha.

Selain itu, saya juga menjaja ikan dari rumah ke rumah bersama rakan-rakan. Memang seronok zaman itu kerana kami tidak kenal apa itu OKU. Sekiranya saya tertinggal jauh di belakang saya akan menjerit meminta rakan-rakan menunggu, hehehe.

Setelah berhenti sekolah saya hanya duduk di rumah basuh pinggan dan bermain. Begitulah kisah kanak-kanak oku tercicir. Akhir sekali saya simpulkan beberapa pengajaran dari kisah ini.

Kepada ibu bapa:

1. Sekiranya melahirkan anak tolong dengar nasihat doctor agar tiada penyesalan di kemudian hari.

Dalam kes saya, meskipun kecacatan yang saya alami tidak dapat disahkan berpunca daripada kecuaian mak namun, pernah saya dengar beliau ungkapkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku.

2. Walaupun mak tidak mengenal huruf namun beliau gigih mencari jalan untuk menghantar saya ke sekolah dan mendapatkan rawatan.

Cumanya, saya kurang bernasib baik pada ketika itu kerana doktor-doktor pakar mata dan guru-guru langsung tidak memberi solution yang berkesan. Walau bagaimanapun, Allah telah membalas segala penat lelah mak.

3. Rajin-rajin bertanya kepada anak kecil kerana mereka boleh jawab soalan tetapi mereka tidak pandai meluahkan isi hati seperti orang dewasa.

Sebenarnya saya tak nak bersekolah kerana sekolah baru itu besar dan kelas saya berada di tengah. Saya sangat risau tak jumpa kelas dan akhirnya berkeras untuk tak nak ke sekolah lagi.

Kepada guru/pendidik:

Tolong jangan biarkan OKU tercicir kerana ada dalam kalangan mereka berpotensi untuk berjaya.

Untuk isu OKU mohon rujuk ke jabatan kebajikan masyarakat. Pastikan OKU diberi Pendidikan melalui sekolah Pendidikan khas atau mana-mana pusat Latihan yang bersesuaian.

Kepada doctor mata:

Sekiranya ada pesakit anda yang tidak mampu dirawat mohon beri surat untuk mereka mendaftar sebagai warga OKU agar mereka tidak tercicir daripada mendapat kemudahan seperti pendidikan, teknologi, bantuan kewangan dll.

Untuk makluman semua ini adalah kisah 20 tahun yang lalu.

Sekian sahaja perkongsian ini.

– Si buta (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *