Si Buta Yang Membebankan Keluarga

Aku tertarik dengan beberapa confession dan komen pembaca di FB IIUM Confession terutamanya berkaitan topik OKU Penglihatan.

Antara yang aku ingat lebih kurang tajuk Moga Terus Tabah, Aku Bidadari Di Mata Hatimu, dan Dua Dunia Yang Berbeza.

Bagi aku secara peribadi segala perkongsian ni memang sangat bermanfaat. Belajar pandang sudut positif dan perbaiki sudut negatif.

Kenapa aku ni fokus sangat nak tulis pasal topik OKU Penglihatan / orang buta walaupun aku ni celik?

Salah satu sebabnya adalah aku banyak belajar erti syukur dan sabar daripada sepupu perempuan aku yang seorang ni. Aku namakan dia sebagai Tasha (bukan nama sebenar).

Jarak umur kami hanya beza setahun. Jadi memang boleh dikatakan sama kepala gila & ceria macam tu la.

Secara ringkas sepupu aku ni dari lahir memang dah alami masalah ketidakupayaan penglihatan. Tapi masih boleh melihat objek macam biasa. Cuma tulisan tu perlukan tulisan yang agak besar sedikit berbanding tulisan biasa.

Zaman kanak-kanak memang dipenuhi dengan aktiviti bermain macam kanak-kanak lain. Cuma aku belajar untuk jaga sepupu aku ni takut-takut dia tercedera dengan situasi mata dia yang kurang penglihatan.

Sehinggalah sewaktu darjah tiga, Tasha terpaksa menjalani pembedahan mata akibat jangkitan kuman. Dan hasil pembedahan mata ni selalunya sangat tipis untuk memperoleh semula penglihatan seperti asal.

Dan masa tu sekolahkawasan kampung memang tidak mendapat pendedahan mengenai murid berkeperluan khas (MBK) lebih-lebih lagi yang macam sepupu aku ni.

Dari darjah empat hingga darjah enam, masa tu langsung tak ada inisiatif untuk membantu pembelajaran Tasha.

Dia hadir ke sekolah, masuk kelas, duduk & dengar apa cikgu ajar. Tapi TAK DAPAT membaca & menulis sebab tahap penglihatan dia yang tak mengizinkan. C

ikgu & pentadbir masa tu pun tak ada ilmu serta pengalaman berdepan murid macam ni.

Akhirnya, keputusan UPSR Tasha masa tu memang sangat menyedihkan.

Secara peribadi, aku sebagai sepupu Tasha ni tahu sangat yang Tasha ni sebenarnya budak pandai. Buktinya, dia boleh ingat formula matematik dan selesaikan latihan matematik hanya secara congak.

Guru & kawan-kawannya juga terkejut dengan kebolehan Tasha menjawab dengan betul soalan yang diajukan dalam kelas walaupun dia tak membaca atau menulis.

Seingat aku juga Tasha tak dapat sambung persekolahan di peringkat menengah berikutan kedua orang tuanya enggan menghantarnya ke sekolah menengah.

Alasannya khuatir Tasha dipergunakan serta diambil kesempatan oleh orang jahat.

Masa tu aku tengok dari jauh Tasha melutut pegang kaki ayah & ibunya memohon agar dia dibenarkan untuk belajar.

Dia betul-betul teringin nak belajar macam kawan-kawan lain. Dia teringin membaca dan menulis macam kawan-kawan lain.

Tapi masa tu segala harapan hanya tinggal angan-angan bagi dirinya. Aku masa tu sering ajak Tasha keluar bermain dan datang ke rumah aku. Sambil-sambil tu aku ajar dia sikit-sikit apa yang aku tahu.

Andai kalian boleh nampak keterujaan di wajahnya masa tu, aku sendiri tak dapat nak gambarkan semangat belajar yang membara dalam dirinya.

Memang tak pernah aku tengok orang begitu bersungguh-sungguh dahagakan ilmu sampai macam tu.

Tapi aku terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk menyambung pengajianku tak lama selepas tamat tingkatan lima. Tasha menangis sedih mengenangkan dia tak ada lagi tempat untuk dia belajar memajukan diri.

Selama beberapa tahun tersebut aku hanya mampu berhubung melalui panggilan telefon bertanyakan khabar dan perkembangan dirinya di kampung.

Pernah dia menceritakan pengalaman pahit getir sepanjang dia mengikuti setiap adik-beradiknya (yang semua perempuan), tinggal bersama mereka selama beberapa bulan.

Katanya ibu bapanya ingin melihat adakah terdapat adik-beradiknya yang mampu menjaga kebajikan Tasha seandainya kedua-dua orang tua itu sudah tiada lagi di dunia.

Namun hakikat yang benar-benar pahit perlu ditelan oleh Tasha dan membuka mata ibu bapanya ialah apabila kesemua adik-beradiknya langsung tidak menjaga kebajikan Tasha sepanjang merantau bersama setiap orang daripada mereka.

Bahkan Tasha dilayan tidak lebih sebagai hamba (bukan orang gaji sebab tak dibayar satu sen pun). Setiap urusan rumah dari menjaga anak, mengemas rumah, mencuci pakaian, segalanya diuruskan Tasha.

Sehinggakan saat mata Tasha mengalami luka yang bernanah juga menghampiri tahap kritikal kerana adik-beradiknya melengah-lengahkan urusan rawatan hospital.

Pernah satu ketika aku terdengar dalam panggilan telefon bersama Tasha, aku mendengar ungkapan lebih kurang begini daripada kakaknya,

“Kau ni tak habis-habis menyusahkan kami dari dulu hingga sekarang. Ingat kami ni banyak masa ke nak uruskan kau yang OKU ni!”.

Aku betul-betul tersentak dengan kata-kata kakak Tasha tu. Tapi aku juga tak boleh campur tangan dalam urusan keluarga mereka. Tasha sendiri mengakui itu baru sedikit kata-kata yang dihamburkan.

Dan dia pun tak ada pilihan untuk terima semua hinaan dan makian keluarga sendiri. Tapi semangat memajukan diri tak pernah padam dalam dirinya.

Ketika usianya mencecah awal 20-an, dia dah membuat empat kali percubaan untuk keluar dari rumah semata-mata ingin belajar di pusat latihan bagi orang buta. Namun masa itu Allah belum mengizinkan keberhasilan usahanya.

– Syarifah Shaklee (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *