Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUMC. Pakcik merupakan seorang pencen guru dan sudah bersara lebih sedekad. Coretan ini dah lama pakcik karang, baru harini siapnya. Di usia yang sudah lanjut pelbagai sakit yang pakcik hidapi dan paling ketara ialah sakit saraf tapi tidaklah kronik, cumanya pergerakan itu agak sedikit lambat. Pakcik bersyukur dikurniakan seorang isteri dan empat orang anak (Along, Angah, Alang & Manja) yang menyayangi pakcik. Berbalik pada tajuk cerita ini, pakcik ada sedikit coretan mengenai anak bongsu pakcik yang amat pakcik sayangi tapi pakcik tidak reti untuk zahirkan rasa itu.
Puteri bongsu ayah,
Tatkala Manja lahir, ayah merupakan insan yang paling gembira. Meskipun jarak usiamu dengan adik beradik lain jauh namun itu tidak membataskanmu bergaul mesra dengan yang lain kerana sikap Manja yang ceria. Tapi ayah terkadang leka dengan hal kerja sampaikan ayah akui ayah tidak pernah membasuh najis Manja apatah lagi menyuapkan makanan. Semuanya ayah serahkan pada ibu untuk menguruskan kerana pada pandangan ayah, ayah dah penat mencari rezeki. Ayah lupa bahawa ibu Manja pun mengajar, tapi kerana sikap ayah memang begini, ayah minta maaf.
Kini yang selalu buang serta basuh najis ayah tak lain tak bukan Manja juga. Sampai berebut dengan ibu kerana Manja taknak ibu bersusah payah di usianya yang senja. Ayah tahu Manja menahan nafas dan geli pabila melihat najis ayah tapi Manja sabar sehinggakan tidak pernah ayah dengar Manja menyebut “’Uwekkk”, cuma sesekali berdehem bagi melapangkan rongga hidungmu. Betapa beruntungnya ayah dikurniakan anak sebaik Manja.
Puteri bongsu ayah,
Sewaktu Along, Angah dan Alang membesar, ayah rajin mengambil gambar mereka. Mungkin sewaktu itu ayah teruja, mana taknya ayah sanggup membeli kamera dan bergulung-gulung filem jenama Kodak ayah simpan di rumah, senang bila-bila masa mahu ambil gambar, filem sudah ada. Tidak lupa juga berbuku-buku album gambar siap dicuci ayah susun cantik gambar-gambar Along, Angah dan Alang. Namun bila Manja lahir, tidak banyak gambar yang ayah ambil, boleh dikira dengan jari berapa saja gambar yang ada. Rasa teruja itu tidak sama dan ayah pun tidak tahu mengapa ayah bersikap sebegitu. Ayah teringat Manja bertanya pada ibu, macam mana rupa Manja sewaktu kecil, ibu hanya mampu memandang ayah dan suruh Manja membelek album Along, Angah dan Alang kerana wajah mereka saling tak tumpah macam Manja. Sewaktu Manja Darjah Enam, Manja mendapat anugerah tokoh pelajar.
Cikgu sekolah meminta untuk membawa gambar-gambar Manja dari bayi sehingga yang terkini untuk dijadikan video montaj. Manja berasa sedih kerana tiada gambar Manja sewaktu bayi yang ayah ambil, Manja hanya mampu menipu cikgu dengan membawa gambar Angah dan mengatakan itulah gambar Manja. Sedihnya ayah bila mengenang kembali kesilapan ayah. Maaf Manja, ayah alpa. Kini Manja lah orang yang selalu mengambil dan mencuci gambar kita sekeluarga, semuanya disimpan rapi dan kemas di dalam album. Manja pernah kata sekurang-kurangnya kalau ada yang telah tiada, gambar inilah pengubat rindu.
Puteri bongsu ayah,
Ayah ingat lagi sewaktu Manja Darjah Lima, Manja mendapat B untuk subjek Kajian Tempatan. Tak silap ayah lagi satu markah untuk Manja dapat A. Ayah tak tahu apa yang merasuk ayah tapi ayah marah Manja macam Manja dah gagal UPSR. Walhal subjek itu bukannya termasuk dalam UPSR. Manja menangis-nangis minta maaf dan berjanji untuk buat betul-betul ujian seterusnya namun ayah ego dan ayah biarkan Manja tertidur dalam linangan air mata. Mujur ibu ada untuk memujuk Manja.
Keesokkan harinya ayah buat tak layan Manja, mungkin kerana ego. Manja ke sekolah dengan hati yang hiba. Maafkan ayah kerana selalu marah Manja bila keputusan peperiksaan tidak memuaskan hati ayah namun jarang sekali ayah memuji bila Manja cemerlang. Harini bila ayah yang melakukan kesilapan sewaktu Manja mengajar ayah menggunakan social media seperti Facebook dan Whatsapp, Manja tidak pernah meninggi suara malahan sabar mengajar berulang kali sehingga ayah faham.
Puteri bongsu ayah,
Ayah menyimpan satu rahsia ini dah lama. Masihkah Manja ingat sewaktu Manja mendapat 5A dalam UPSR, Manja bersungguh-sungguh mengisi borang permohonan ke SBP dan MRSM lalu meminta ayah ke pejabat pos untuk mengepos surat itu? Sejujurnya ayah tidak pernah pos pun surat tersebut, borang-borang itu masih disimpan rapi oleh ayah. Ayah takut ayah rindu tapi ayah ego untuk melafazkannya. Ayah tahu Manja kecewa kerana tiada tawaran pun yang Manja dapat dek perbuatan ayah namun ayah sebenarnya tidak mahu berjauhan dengan Manja, lebih-lebih lagi di usia Manja meningkat remaja. Kalau boleh ayah ingin lihat Manja membesar di depan mata ayah. Maafkan ayah kerana bersikap pentingkan diri. Dan ketika mendapat keputusan PMR yang cemerlang,
Manja telah mohon ke asrama sendiri, dan akhirnya mendapat tawaran. Namun begitu Manja telah menolak tawaran tersebut, ayah tahu Manja ingin sangat pergi tapi ayah ego tidak menyokong langsung Manja untuk terima. Sewaktu Manja melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi dan Universiti, ayah hanya pernah melawat manja dua kali sahaja, itupun cuma waktu pendaftaran dan seusai tamat belajar. Ayah tahu jauh dalam lubuk hati Manja cemburu melihat bagaimana ibu dan ayah sanggup melawat Along, Angah dan Alang tapi apakan daya kudrat ayah semakin lanjut usia membataskannya. Alhamdulillah sepanjang Manja melanjutkan pelajaran, Manja sedikit tidak pernah mengeluh mengangkut barang-barang yang banyak menaiki bas kerana Manja seorang anak yang baik dan taat. Walaupun Manja yang bongsu tapi Manja yang paling pandai berdikari.
Puteri bongsu ayah,
Ayah tahu Manja lebih rapat dengan ibu, segala perihal Manja semuanya Manja akan bercerita kepada ibu termasuklah kisah percintaan. Mungkin ayah nampak tidak ambil kisah tapi kebiasaannya ibu akan kembali bercerita dengan ayah selepas Manja luahkan dengan ibu. Baru-baru ini Manja bercinta dengan seorang lelaki yang ayah tahu akhlak dan adabnya memang elok. Ibu dan ayah merestui hubungan Manja dengan Dia, namun tidak sesekali ayah mengizinkan kamu berdua keluar berdating seperti pasangan lain yang normal.
Bagi ayah kehormatan Manja perlu dijaga selagi ayah masih bernyawa. Ayah pernah berpesan jangan sesekali mudah ucapkan sayang dan cinta pada seorang lelaki yang belum lagi menjadi halal buat Manja. Bila sampai masanya ucapkanlah sebanyak mana pun, ayah tidak akan halang malahan ayah lebih gembira bila Manja dijaga oleh seorang suami yang menyayangi diri Manja. Namun ayah sangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari, kekasih hati Manja mempunyai kekurangan dari segi kesihatan meskipun tidak kronik, boleh dirawat dengan mengawal pemakanan dan lifestyle tapi ayah bimbang mampukah sang kekasih menjaga
Manja sebaik-baiknya? Di usianya yang muda sudah mempunyai sakit, ayah khuatir untuk menyerahkan Manja padanya, ayah bimbang. Puas Manja pujuk dan cuba meyakinkan ayah bahawa si Dia mampu menjaga Manja, namun hati ayah ibu yang mana ingin melihat anaknya susah. Ayah hanya mampu berdoa agar Allah menunjukkan jalan yang terbaik untuk permasalahan ini. Ayah tahu Manja amat suka pada si Dia namun dengan rasa suka itu belum tentu boleh menjamin masa depanmu wahai anakku. Ketahuilah ayah lebih makan garam, ayah tahu bagaimana ibu Manja bersusah payah menjaga ayah yang tidak sihat ini. Itupun mujur ayah sakit di penghujung usia, namun ayah risau akan keadaan Manja jika perlu menjaga suami yang sakit di usia yang muda.
Akhirnya satu hari sewaktu ayah dan Manja menonton ceramah di TV bertajuk “Kerana Cinta Aku Derhaka”, mungkin terkesan dengan kata-kata penceramah “cinta kekasih boleh berubah hati, cinta dan sayang ibu ayah tiada galang ganti”. Tidak lama kemudian ayah dapat tahu dari ibu yang Manja telah memutuskan hubungan dengan si Dia. Leganya hati ayah Allah sahaja yang tahu. Sesungguhnya ayah bersyukur dikurniakan zuriat seperti Manja yang patuh akan ibu bapa meskipun hati Manja terluka tapi percayalah ada hikmah semuanya ini berlaku. Buat si Dia kekasih hati Manja, andai ada jodoh kamu dan anak pakcik, pakcik tidak dapat menghalang tapi pakcik harap kamu mampu jaga anak pakcik sebaiknya dan ubah gaya hidupmu. Dan sekiranya tiada jodoh, maka pakcik berdoa agar Allah hadirkan seorang insan yang terbaik saling melengkapi untuk kamu berdua.
Puteri bongsu ayah,
Harini ayah teringin makan nasi lemak yang dijual di kedai yang agak jauh dengan rumah kita. Ayah tahu Manja penat baru balik niaga tapi demi memenuhi keinginan ayah, Manja gagahi juga. Ayah turut ikut Manja pergi beli nasi lemak itu. Setibanya di kedai, ayah terjumpa dengan sahabat lama ayah. Kami berbual mesra sehingga tiba-tiba isteri kepada sahabat ayah menegur yang kulit Manja sedikit gelap. Dia kelihatan musykil kerana sebelum ini dia tahu yang Manja mempunyai kulit yang putih melepak. Manja tersenyum kelat dan hanya mengatakan cuaca panas dan kerap berjemur. Di dalam kereta Manja banyak berdiam diri, mungkin terkesan akan teguran itu.
Wahai anakku, pedulikan apa orang nak kata, kerana ayah tahu pengorbananmu kepada keluarga amat besar. Manja merupakan pelajar cemerlang semenjak di bangku sekolah malahan turut memegang ijazah kelas pertama (ANC), pernah mendapat tawaran menjadi PTD, sudah bekerja di PBT namun melihatkan kesihatan ayah yang semakin merudum, Manja ketepikan semua itu. Manja lebih tegar berniaga di tepi jalan, memasang payung dan khemah, berjemur di tengah panas meredah hujan lebat, mengumpul rezeki yang hanya cukup-cukup makan dek kerana ingin waktu bekerja yang lebih fleksibel supaya Manja boleh bawa ayah ke hospital mengikut masa yang ditetapkan, menguruskan makan minum serta najis ayah dan mempunyai masa untuk membantu ibu menguruskan hal-hal di rumah.
Ayah tahu orang sekeliling memandang rendah dan hina akan perniagaan Manja, mereka menganggap perniagaan Manja ini picisan namun ketahuilah anakku, dunia ini sementara dan akhirat kekal selamanya. Ibu dan ayah sentiasa berdoa kepada Allah supaya syurgalah ganjaran Manja yang sanggup berkorban dunia demi menjaga kunci syurga ini.
Puteri bongsu ayah,
Di usia yang muda, ayah tahu anak ayah banyak berkorban untuk keluarga. Jujur ayah katakan Manja seorang anak yang baik. I don’t know what I did to deserve you but I’m proudly sure to have you in this world. Untuk itu ayah ingin ucapkan terima kasih atas segalanya dan syukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaan ini. Alhamdulillah.
Sentiasa menyayangimu,
– Ayah
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit