Assalamualaikum wbt. Salam perkenalan juga kepada semua pembaca iium confession, terlebih dahulu nama aku Sya berumur 26 tahun, merupakan anak sulung dari 3 beradik.
Sudah beberapa kali aku berfikir untuk menghantar perkongsian ini di iium confession tapi baru kali ini aku tekad untuk berkongsi dengan semua. Ingin aku ingatkan perkongsian aku lebih kepada soal kewangan dan hala tuju hidup yang sekarang ini bermain di ruang fikiran aku. Aku juga sangat mengalukan sebarang komen positif mahupun negatif serta tips dari kamu semua.
Aku mulakan cerita aku berkenaan soal kewangan. Untuk pengetahuan semua, aku sudah bekerja dan alhamdulillah berkat doa mak aku dapat kerja dengan angka gaji bersih sebanyak RM2400 sebulan. Tetapi apa yang menjadi masalah sekarang ini walaupun sudah hampir 2 tahun bekerja jujur aku katakan aku tidak mempunyai sebarang simpanan di bank walhal lebihan gaji aku adalah hampir RM900. Okay disini aku nyatakan sekali perbelanjaan aku setiap bulan.
Kereta : RM480
Emak : RM500
Undi : RM400
Bil telefon :RM60
PTPTN : RM 50 @ RM100
Topup Mak & Adik2 : RM90
Duit Minyak Kereta : RM100
Perbelanjaan yang aku kongsikan itu yang wajib aku bayar pada setiap bulan tapi biasanya jika aku keluar pasti ada perbelanjaan runcit yang lain macam tiba-tiba adik-adik aku minta seluar atau baju kerana yang lama sudah koyak atau lusuh dan kadang-kadang aku gunakan untuk perbelanjaan peribadi tapi biasanya tidak melebihi RM100. Pendek kata semua aku kawal dan untuk duit makan aku tak masukkan sekali kerana di pejabat sudah disediakan makanan.
Tetapi aku ada satu habit yang mana bila hari gaji aku akan belanja makan family aku di luar dan aku perasan habit ni dah menjadi kebiasaan setiap bulan. Jujur aku katakan sampai sekarang aku masih tidak tahu mana puncanya aku tidak dapat menabung. Oh iya, ingin aku huraikan duit RM500 yang aku bagi ke emak itu adalah fix walaupun mak sekarang masih bekerja. Duit gaji mak digunakan untuk perbelanjaan atok dan nenek kerana kami menumpang di rumah mereka sejak kecil lagi.
Tetapi aku ikhlaskan semua yang aku belanjakan untuk family cuma aku perlukan tips untuk menyimpan duit supaya hujung bulan aku tidak sesak, kerana untuk pengetahuan kamu semua hampir setiap bulan duit gaji aku tingal RM300 dan itu belum termasuk lagi jika ada kes kecemasan pada hujung bulan.
Kisah kedua, ialah tentang hala tuju hidup, sebelum kamu semua kongsikan pandangan ingin aku beritahu bahawa mak ialah ibu tunggal dan ayah sudah pun meninggal 6 tahun lalu, namun saat ayah masih hidup kami tidak merasai kehadiran ayah kerana mereka tinggal berasingan seawal aku 7 tahun. So, kehidupan aku ketika kecil tiada yang manis dan tiada yang indah untuk diingati. Aku dah diasuh untuk menjadi matang seawal umur 10 tahun kerana pada masa itu mak sudah kembali bekerja setelah melahirkan adik ketiga.
Terus terang aku katakan aku tidak mempunyai sahabat baik mahupun masa bermain ketika kecil kerana terlalu sibuk menguruskan adik-adik. Perhubungan kawan-kawan yang aku ada adalah terhad di sekolah sahaja, kami tidak berjumpa atau belajar bersama di luar kerana aku sangat rendah diri jika mereka mengetahui siapa ayah yang sebenar. Terus terang aku katakan, aku tidak kisah jika mereka tau aku miskin tapi aku takut bila cikgu atau kawan-kawan bertanya dimanakah ayah kerana pada waktu itu ayahku seorang Pen*gih D*d*h. Rahsia ini aku simpan kemas sedari umur aku 7 tahun dan aku pendamkan semua masalah yang aku ada sehingga aku jadi tidak percaya dengan orang disekelilingku.
Aku ringkaskan sedikit cerita ini, dengan berkat doa mak aku dapat masuk ke universiti dan perjalanan hidup aku mula terbuka tapi pada masa yang sama ketika aku sudah selesai latihan industri mak menyatakan hasrat supaya aku cepat-cepat bernikah sedangkan pada ketika itu aku belum berhasrat untuk berkahwin kerana aku sudah terbiasa dari bangku sekolah tidak mempunyai kawan lelaki.
Sehingga lah ke harini, jika aku memberi mak duit atau hadiah mak tidak putus-putus mendoakan aku supaya dipermudahkan urusan jodoh sedangkan sudah banyak kali aku ingatkan emak yang aku tidak ada rasa untuk berkahwin buat masa sekarang. Bukan aku tidak pernah cuba berkawan dengan lelaki bahkan aku kerja di site dan berjumpa berbagai-bagai jenis lelaki dan ada yang sudah aku berkenalan rapat tapi cepat-cepat aku putuskan kerana aku belum membuka hati lagi untuk mana mana lelaki.
Aku takut jikalau mereka tahu tentang kisah silam keluargaku dan tidak dapat menerima aku dan familyku seadanya. Aku takut juga kalau kisah ini akan membuatkan aku bercerai berai, aku juga ingin bahagia seperti orang lain tapi aku pun masih bingung apa yang aku harus lakukan. Terus terang aku hanya ingin seorang lelaki biasa yang sederhana tapi dia mampu menjadi abang kepada adik-adikku kerana aku tahu betapa penatnya bertahan seorang diri ketika dilanda masalah.
Akhir kata, aku mintak maaf jika perkongsian aku ini melebih-lebih atau terlihat seperti mencari jodoh, jujur aku katakan aku hanya ingin melepaskan semua kepenatan yang aku hadapi sekarang. Kalian doakan aku kuat ya kerana banyak lagi yang perlu aku lakukan untuk membahagiakan emak dan adik-adik.
– Sya
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit