Assalamualaikum sahabat.
Mungkin ada yang pernah mengikuti cerita-cerita Si Yatim dahulu. Cerita ini sekadar mengisi masa lapang saya dan kenangan. Jadi saya cerita saja kenangan-kenangan persahabatan.
Selepas kejadian rumah setinggan yang saya diduduki dibakar orang kerana fitnah ibu saya janda… yelah, mak saya mungkin cantik kerana berbangsa Cina dan arwah bapa saya Melayu.
Saya dibuli mental dan fizikal, dihina, dipukul—perkara biasa. Orang sekeliling selalu hina saya ketika itu. Ibu saya diam, tak pernah membalas.
Akibat pelbagai tohmahan, saya berpindah keluar dari kampung tersebut. Keputusan Penilaian Rendah saya straight A. Saya ditawarkan ke asrama tapi saya tolak kerana kakak saya sedang belajar di sekolah terkemuka ketika itu dan perlukan kewangan yang besar, sedangkan ibu saya tidak mampu. Itu cerita yang sebelum ini—perjalanan Si Yatim.
Kali ini tentang persahabatan Si Yatim pula kala remaja. Haha. Zaman remaja saya tiba-tiba menjadi nakal ketika mula memasuki alam remaja. Mungkin mental saya dah rosak ketika kecil akibat tekanan sekeliling—dibuli, dipukul sampai patah-patah, mencuri makanan si kucing di dalam tempurung, mengemis makan si kucing.
Jika habis sisa makanan si kucing di dalam tempurung, balik dari sekolah ketika itu saya akan cari cebisan makanan dalam singki rumah ibu saudara saya—lebihan basuhan pinggan jadi alas perut saya.
Begitulah rutin semasa kecil apabila balik sekolah semasa permulaan pemergian arwah ayah. Saudara mara anggap saya seumpama beban ketika itu. Jika hidup… hiduplah. Jika mati… matilah.
Ibu saya ketika itu di bandar dan saya tinggal di kampung pada permulaan pemergian arwah ayah. Kisah dan jalan cerita ini ada dalam kisah Si Yatim sebelum ini.
Sahabat aku ini adalah kawan sepermainan semasa di kampung. Aku meredah belukar bersama, mandi sungai bersama. Kiranya teman menghilangkan resah dan melupakan derita ketika bermain. Dia seorang yang periang.
Suatu masa, aku meninggalkan semua itu untuk ke bandar dan menyambung persekolahan—meninggalkan teman yang meriangkan ketika suka duka. Kenangan kita berlari meniti permatang, berkejaran… semuanya bersatu dan semua terpaksa kutinggalkan.
Suatu hari aku terserempak kamu—ya, si Lan—ketika di sekolah menengah di bandar. Kamu diterima masuk asrama berdekatan sekolah aku. Kita terserempak tika sama-sama ingin solat Jumaat. Kamu diringi guru yang menghantar ke masjid. Aku hanya dapat berbual sebentar.
“Takpe Lan, nanti aku datang sekolah kau, kita borak,” kata aku.
“Kita sama-sama dah tingkatan 4. Kau dah masuk asrama sekolah agama dan aku sekolah biasa je, Lan,” tambahku.
“Camana kau nak datang? Aku dalam asrama,” kata si Lan.
Ahh… jangan kau risau, Lan. Aku budak nakal, getus hatiku. Kami berpisah di situ.
Jarak sekolah aku dengan Lan ni sangat hampir. Minggu tersebut aku terlupa nak panjat pagar sekolah dia untuk bertemu, jadi aku biarkan saja. Jumaat seterusnya aku terjumpa lagi di masjid yang sama. Kali ini dia tidak seriang dahulu. Dia nyatakan dia dibuli teruk oleh senior sehingga dia rasa nak lari.
“Takpe Lan, malam nanti aku datang,” aku yakinkan dia.
Lan ni dia tak tahu… sebenarnya aku ni budak nakal kat sekolah aku. Hahaha. Mungkin dalam hati dia, apalah aku nak buat… sama-sama penakut. Hahaha.
Malam itu aku pun panjat pagar sekolah si Lan. Aku zaman sekolah nakal, tapi anti-buli yang teruk. Di sekolah aku, siapa yang berani buli… mungkin kesan trauma aku masa kecil buat aku sangat berani. Jangan aku dengar siapa pun dibuli, aku akan ke depan. Masa remajaku, aku jadi sandaran kawan-kawan mangsa buli.
Mungkin melampau kalau aku nak cerita sini. Aku teramatlah anti-buli zaman sekolah. Ada yang pernah kena garpu bocor tembus kulit kepala, ada yang patah sebab aku hempuk dengan kerusi.
Boleh katakan siapa membuli masa tu memang aku cari. Kesan mental kot. Aku kena buang sekolah. Nasib baik SRP lulus dan sambung balik persekolahan. Kalau tak, habislah setakat tu sekolah.
Okay, aku sambung balik tentang sahabat baik aku ini. Malam tu aku datang dan aku balun senior si Lan. Macam mana dia kena tu tak payahlah cerita, tapi cukup untuk kawan-kawan senior si Lan tu tak masuk campur sebab dia kenal aku. Kiranya memang sekolah sebelah-sebelah kenal aku ni sebab jahat sangat kot. Pelesit hidup.
Esoknya, sekolah Lan kecoh—senior kena pukul dengan si Lan. Hahaha. Akhirnya pecah lobang. Aku kena panggil oleh GB sekolah Lan. Aku bagitahu dan cerita keadaan sebenar. GB dia berhubung dengan GB sekolah aku kot.
Sebenarnya kerana kenakalan aku, aku jadi anak angkat cikgu disiplin sekolah aku. Apa yang kedua-dua GB ni bincang, tidaklah aku ketahui.
Mulai hari tu aku jadi anak angkat sekolah Lan pula—sebuah sekolah agama. Dibenarkan keluar masuk asrama sekolah si Lan, kebenaran walaupun malam.
Bila dah dewasa ni terpikir, apa ke hal aku jahat sangat. Hahahahaha. Sekolah tu memang aman lepas aku jadi anak angkat, dan Lan pun belajar dan habiskan SPM serta masuk universiti. Kami putus hubungan selepas itu.
Lima bulan yang lepas, ada satu deringan telefon. Tiba-tiba Lan telefon.
“Eh, mana kau dapat nombor telefon aku ni, Lan?” kataku.
“Aku carilah kat kampung, mintak kat adik kau,” ujar Lan.
“Oii Zai, aku dah nak pencen cepat. Aku servis askar dah nak habis. Aku balik, aku nak jumpa kau.”
Teruja sungguh si Lan setelah 35 tahun tak jumpa aku.
“Aku ingat kau. Kerana kau aku jadi Mejar sekarang. Aku rindu kau,” katanya lagi.
“Aku nak balik semenanjung… tunggu aku,” kata-katanya terngiang-ngiang.
“Ehhhh… dah 5 bulan berlalu. Mana Lan kata nak call dan cari aku?” Aku teringat janjinya pada aku. Aku call tak dapat. “Eemmm,” getus hatiku.
Lan… lan… apa kebende. Maka aku memulakan pencarian dalam FB group kampung. “Siapa kenal Lan?” kataku. “Sekian-sekian, suruh contact aku.”
Maka tiba-tiba adalah sahutan dari abang beliau,
“Lan telah tiada. Dia meninggal ketika hampir nak balik ke semenanjung 5 bulan lepas.”
Allahuakbar. Menitis air mata lelaku kerana kehilanganmu, sahabat. Aku tak menangis ketika patah dipukul mencuri buah untuk mengalas laparku. Aku tak menangis ketika mencuri makanan kucing kerana kelaparan. Tapi air mataku jatuh kerana kehilanganmu.
Semoga memori kita membesar jadi kenangan.
Al-Fatihah sahabatku.
– Si yatim (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit