Salam admin dan pembaca tegar IIUM Confession.
Berat hati aku nak tulis. Selalu aku jadi pembaca sahaja, harini terdetik aku nak tulis dan luahkan perasaan aku setelah baca confession: layakkah dia peluang kedua? (https://iiumc.com/layakkah-dia-peluang-kedua/).
Okay, baiklah. Aku bukan watak perempuan yang sedang alami masalah itu. Aku adalah watak lelaki dalam cerita itu, kenapa aku kata aku watak lelaki itu?
Ya aku adalah bekas penagih dan juga pengedar. 15 tahun berlalu kisah hitam aku tapi rasa seperti baru semalam aku buat kerja bodoh tu.
Aku faham sangat perasaan confessor: layakkan dia peluang kedua? Sebab aku pernah 15 tahun dahulu buat benda yang sama kepada orang yang aku sayang.
Bezanya aku dan bekas isteri sudah berkahwin. Situasi ketika itu memaksa aku berbuat demikian tanpa berfikir panjang, dan hanya Allah yang tahu betapa tertekan dan sempitnya hidup aku masa tu.
Iya, aku buat bukan sebab suka tapi situasi memaksa. Kalau dapat aku undur masa, demi Allah, aku takkan buat! Tak akan terlintas pun aku untuk buat semua tu.
Masa kejadian 15 tahun lepas, ramai orang kecewa dengan aku. Bekas Isteri aku? Kami baru 2 tahun berkahwin dan dia tengah mengandung anak pertama kami. Boleh kau bayangkan hati dia? Betapa kecewanya dia?
Menangis sampai bengkak mata dia semasa dia melawat aku semasa tahanan reman. Merayu menangis aku minta maaf dekat dia, minta dia maafkan aku, terima aku, tunggu aku.
Ya, dia berjanji dia tunggu. Tapi 5 bulan selepas lahirnya anak kami, dan aku masih berbaki 2 tahun dalam penjara, dia meminta untuk berpisah.
Perasaan aku? Sumpah, aku hilang semangat. Aku hilang arah.
Padahal hari hari aku doa, aku solat taubat, untuk Allah ampunkan dosa aku, beri aku peluang untuk tebus kesalahan aku, beri aku peluang jadi suami terbaik, tapi, isteri aku minta dilepaskan? Dimana silap doa aku?
Tak layakkah aku peluang kedua?
Mak dengan ayah aku, dah tak ada dari aku kecik. Hanya ada kakak dua orang dan adik lelaki 2 orang.
Semasa aku ditangkap dan dipenjara, hanya kakak sulung aku dengan adik bongsu aku yang datang. Datang pun untuk ambil syarat simpati dan hutang budi kerana aku pernah menolong mereka.
Kakak sulung, aku pernah bayarkan hutang dia semasa dia hendak mulakan perniagaaan.
Adik aku pula, akulah yang membantu menjadi tukang driver untuk dia masuk universiti dan menolong memberi kelengkapan belajar.
Tiada sokongan untuk aku berubah. Tiada semangat untuk aku menebus dosa dan silap aku.
Padahal hari hari aku berdoa, untuk Tuhan beri aku peluang kedua,untuk Tuhan hadirkan orang- orang yang aku sayang untuk memberi aku sokongan dan semangat. Lagi sekali aku bertanya, tidak layakkan aku peluang kedua?
Aku mahu berubah, aku mahu jadi orang baik. Untuk berubah aku perlukan keluarga di samping aku. Tapi dimana mereka? Kenapa tak tolong aku?
Aku tahu ini karma untuk aku, balasan untuk perbuatan jahat aku. Tapi, tidak layakkah aku peluang kedua?
Bukan aku tidak pernah buat baik sebelum aku terjebak dengan benda kotor tu, tapi kerana nila setitik, habis kotor sebelanga susu. Inilah hukuman untuk aku.
Dan bila aku baca komen-komen di confession : layakkah aku peluang kedua? . Tiba- tiba aku rasa sedih dan kecewa. Ramainya yang mencaci dan mengeji orang seperti aku ini.
Bagaimana seorang penagih dadah hendak berubah kalau masyarakat membenci dan menghina kami? Macam mana kami mahu sembuh dan pulih kalau tidak ada sokongan dari orang orang yang kami cintai?
Memang susah nak berubah, aku faham sebab aku berada di situasi itu, akulah yang jahat itu. Akulah yang dihina itu. Tapi aku berjanji aku mahu berubah, dan alhamdulillah, sudah 15 tahun berlalu, aku berjaya pulih dari kerja kotor itu.
Setelah keluar dari penjara, dengan seorang diri aku merantau mencari belas ihsan seorang manusia.
Bekas isteri mulanya menjauhkan aku dari anak aku satu-satunya. Tapi lama-lama bila dia nampak perubahan aku, dia lembut hati untuk mempertemukan aku dan anakku.
Ketika itu dia sudah bernikah lain. Adik beradik? Usah cakap, pandang aku seolah aku lah darah daging paling busuk dalam kehidupan mereka, seolah aku ni bukan lahir dari rahim sama seperti mereka.
Maka merantaulah aku, 15 tahun di negeri orang, memulakan hidup baru bersama orang lain. Alhamdulillah aku berjaya berubah. Dan tidak akan aku ulangi lagi perbuatan keji itu.
Wahai manusia, tidak layakkah seorang penagih dadah mendapatkan sokongan dan bantuan untuk kami berubah? Siapa nak tolong kami ni? Siapa nak bantu kami ni? Tidak layakkah kami mendapat peluang kedua?
– Abu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit