Siapa Penghuni Syurga?

Terima kasih admin sudi siarkan cerita ini. Aku perkenalkan diri sebagai Nur, seorang ibu anak dua. Apa yang aku coretkan ni adalah kisah hampir 10 tahun lalu.

Aku takkan pernah lupa aktiviti aku dulu masa muda remaja. Yelah. Baru 19 tahun waktu tu. Email pun mujahidah89 something. Bau sekolah agama tu kuat lagi. Kau expect apa.

Aku dengan 10 siswi buat Kem Ibadah di sebuah pusat pemulihan akhlak & perlindungan wanita di Kuala Lumpur. Kat mana? Biarlah rahsia. Penghuni dalam tu rata ratanya 90% mempunyai rekod mengandung anak luar nikah. Tu biasalah. Kau bayangkan, nak masuk dalam tu kena temuduga tau tak.

Sebab apa? List menunggu tu panjang. Sangat panjang. Yang apply beribu, nak 200 orang je. Mungkin faktor kemudahan/fasiliti yang terhad.

Prioriti utama diberikan untuk kes yang mengandung luar nikah & budak liar yang memang tahap family tak boleh control. Seperkara lagi, diorang tak boleh duduk lama dalam tu. Maksimum 2 tahun. Setahun fokus kelahiran anak, setahun lagi rawatan pembinaan jiwa (spiritual). Sebab apa tak boleh lama? List menunggu yang panjang tulah.

Kau rasa penghuni ni background dia macam mana? Gelandangan? Rumah flat busuk? Tak, okay. Dari pelajar sekolah, anak datuk, siswi kolej, maahad tahfiz pun ada. Yuran bulanan pun family tanggung.

Suasana tempat tu macam aspuri. Ada dorm, dewan makan n etc. Dalam banyak banyak tetamu pihak admin kata kitorang tetamu pertama dibenarkan bermalam sekali dengan penghuni. Yelah. Semua yang datang sebelum ni datang sebagai penceramah, fasi, pelajar master phd on research & semua ditempatkan dalam bilik tetamu. Takut timbul masalah apa apa kan.

So, malam tu sebelum dibawa ke dorm, semua barang kemas & benda tajam yang kitorang bawak diambil pihak admin bagi tujuan keselamatan. Admin pun pesan minta rahsiakan umur pada penghuni. Yang ni aku tak paham kenapa. Aku dah berdebar. Mula imagine yang bukan bukan. Kot tetiba malam tu ada penghuni yang bangun tekup muka aku dengan bantal ke, cekik aku ke. Haha. Yelah. Buat program tapi tersalah cakap ke buat diorang terasa hati ke kan. Pulak tu warden cerita masa kitorang sampai tadi, baru selesaikan satu kes gaduh kat asrama. Dahhh aku dok imagine muka diorang ni bengis bengis, berparut sana sini, tshirt lengan lipat sampai atas, jalan lagak samseng macam cerita kl gangster tu. Hmmm

Lepas solat maghrib, kitorang diiringi pegawai masuk ke dalam dorm. 1 dorm ada 20 orang. 2 orang fasi masuk satu dorm. Gile cuak. Siapa entah punya idea. Geram betul aku time tu. Haha. Lalu je kat tingkap dorm, bau jamu orang pantang menusuk kuat ke dalam hidung.

Masuk je pintu dorm, pegawai bagi pilih mana mana katil kosong. Guess what? Budak budak ni dah siapkan katil kitorang. Semua berkerumun kat tepi katil sambut sambil senyum senyum.

Boleh pulak aku terpandang kawat duri kat hujung pagar asrama sebelum masuk dorm tu. Peh. Macam nak luruh jantung. Dia punya tenung macam kitorang ni penghuni baru daftar macam cerita Juvana tu. Ya Tuhan. Masa tu aku rasa macam kaki tak jejak lantai. Patut time tu aku tengah makan mee siput depan tv tengok senario.

Sempat aku mengerling kat hujung dorm, ada beberapa penghuni yang masih terlantar baring berpilis & param di dahi. Baru bersalin agaknya. Cepat cepat diorang sambut kitorang depan pintu. Ada yang angkatkan beg, susunkan selipar dan tak kurang yang cuba berbasa basi.

“Masuklah, kak. Ni katil akak” senyum je dia.

Senyuman yang menghilangkan darah gemuruh aku. Dia panggil aku akak? Budak ni tau tak aku masih tengok sailormoon lagi? Fine.

“Kak, situ bilik air, kalau nak mandi ni baldi, ni sabun. Lengkap ubat gigi sekali” Terharu pulak aku tengok cara diorang sambut. Aku bayangkan diorang ni garang garang. Muka bengis. Sangkaanku meleset. Semua comel comel. Ramah pulak tu. Mungkin teruja 1st time tengok orang luar tidur sekali dalam dorm. Agaknyalah..

“Akak orang mana? Umur berapa? Dah kawin ke?” Aku jawab tersipu sipu malu. Biasalah. Baru half day. Program pun tak start lagi. Soalan macam aku balik esok pagi. Memang aku rasa nak balik pun. Bhaha

Esok paginya kitorang bincang bincang sikit modul. Alhamdulillah siswi yang join sekali program ni mostly senior kaunseling. Aku bersyukur. Banyak sangat benda aku belajar. Cara nak cakap dengan klien, entertain klien, do & donts bila bercakap dengan klien. Antaranya benda yang paling sensitif kat situ, jangan sesekali tanya pasal historical background atau kisah silam diorang. Unless diorang nak cerita tu lainlah.

Macam biasa kat mana mana program, pagi tu fasi semua conduct modul dalam dewan. Sesi ice breaking, modul pengenalan ape semua la. Aku pun masuk grup. Habis je conduct semua modul, aku start sembang kosong dengan ahli grup aku. Diorang ni pun budak dorm aku jugak.

‘Tau tak. Kitorang sebenarnya dah hafal dah semua modul ni. Tapi yelah. Tengok semua fasi semangat nak buat, kitorang layankan aje’ haha.

Dushh. Sentap betul. Masa tu aku taktau rasa nak ketawa ke menangis. Aku baru teringat warden bagitau jadual penghuni ni memang padat. Ada je orang datang buat program setiap minggu.

“Tapi tula kak..semua yang datang sini datang dan pergi. Datang bawak modul, lepas habis balik. Minggu depan datang orang lain pulak”

Sayunya hati aku dengar ayat tu. Rasa macam kita buat diorang ni bahan eksperimen pulak kan. Yelah. Mana taknya. Ada yang datang dapatkan data untuk bahan research. Ada yang nak buat rakaman untuk memenuhi slot tv. Ada yang sekadar mengisi takwim tahunan. Masing masing ada tujuan one off sampai lupa bimbingan yang kekal & berterusan. Macam kad touch & go.

Naluri rasa nak bimbing penghuni ni makin kuat. Terbit rasa kasih yang dalam entah dari mana bila aku tenung wajah sorang sorang.

Borak punya borak, ada sorang ahli grup aku mengaku yang dia baru habis pantang. Sempat dia cerita suasana kat Labor Room, menahan sakit contraction. Cerita sambil gelak gelak. Terbuntang mata aku dengar rakan sebaya aku cerita pasal pengalaman bersalin. Siap dia cerita tu anak kedua dia, juga hasil hubungan luar nikah. Yang pertama nama Haikal, Yang kedua ni dia namakan Zahid. Tiba tiba laju mulut aku bertanya,

“Lepastu anak awak tu siapa jaga?” Ye. Soalan budak plus spoiler. Rasa nak salotape mulut sendiri.

“Lepas je doktor sambut baby saya, dia bagi saya cium baby tu. Pastu ada orang datang ambil baby. Itulah kali terakhir saya tengok anak saya”

Sayu. Jiwa aku makin berkecamuk. Aku pandang luar pintu, sambil tarik nafas dalam dalam. Tak tau nak describe apa jenis perasaan yang bersarang. Tiada benci yang membuah rasa marah, tiada kata yang boleh menabur janji. Ya. Janji untuk membimbing sedang aku sendiri terumbang ambing. Yang ada waktu itu hanyalah rasa kasih. Apalah sangat yang aku boleh bantu untuk umat ini?

Dipendekkan cerita, kami dapat selesaikan sebahagian modul dengan baik, alhamdulillah. Banyak modul plan secara adhoc.

Kemuncak modul kami buat demonstrasi solat. Semua penghuni berdiri dalam kedudukan jarak kawad kaki. Seorang fasi conduct bacaan solat di depan, ada beberapa fasi cek posisi solat setiap orang dari baris ke baris.

Macam mana kedudukan tangan nak angkat takbir, kedudukan kaki dalam tahiyyat dan basic aurat yang perlu dijaga. Ramai penghuni puji slot tu. Katanya setakat ni tak pernah lagi fasi datang buat modul tu. Yelah. Kebanyakkan modul semua diorang dah hafal kan. Haha

Sehinggalah malam kedua tu. Selesai je modul, kami semua fasi berehat di surau sambil bincang modul untuk esok. Tengah duduk bersandar di dinding surau, datang seorang penghuni ni kat aku dengan perut membusung..

“Akak sibuk ke? Nak pinjam 10 minit boleh?”

“Boleh boleh. Takde masalah”

Aku bingkas berdiri dan bawa adik tadi di satu sudut surau. Perlahan-lahan dia mengekori aku dari belakang. Tangannya menongkat dinding untuk bersandar bagi melepas lelah. Sekali sekala diusap perut yang sudah sarat.

“Ada apa tu ya?” Meski keletihan, aku cuba memaniskan wajah.

“Boleh ajarkan saya doa tak kak? Doa untuk selamat dunia akhirat”

Aku keluarkan sehelai kertas dan mula menulis sepotong doa. Doa doa masyhur lain mana aku hafal. Rabbana atina jela mampu.

“Bila due awak?” Aku tunjuk perut dia.

“Oo minggu depan. Tak lama dah”

“Mak ayah tau awak kat sini tak?”

Soalku berbasa basi

“Mak ayah la yang hantar saya ke sini. Hehe”
“..Meraung mak saya tengok, kak. Balik balik rumah dari kolej tengok perut saya besar. Mak susah nak terima sebab dalam adik beradik saya yang paling baik sekali” sambung dia lagi.

Betul adik tu kata. Kalau tengok muka sekilas memang bukan jenis budak liar. Sopan santun. Suara pun lemah lembut.

“Takpe, dik. Benda dah jadi. Insyaallah, pandang ke depan ya”

Aku cuba menyusun kata tak mahu adik tu berkecil hati. Nak sembang ape pun taktau. Kekok serba serbi. Dia orang yang ada pendidikan. Dia tahu itu salah dan dia akui keterlanjuran tu.

Berkali-kali akak akak senior kaunseling ingatkan jaga kata kata bila bercakap dengan klien, jaga postur badan, eye contact semua tu. Lagi diorang remind aku, lagi buntu aku nak menyembang. Nak nasihat pun tak pandai. Macam budak form 1 nak nasihat budak form 5. Serba tak kena.

Sedang berbual dengan adik kolej ni, datang sepasang kembar untuk bersalaman. Mereka memperkenalkan diri sambil tergelak kecil malu malu. Cantik betul orangnya. Dahi luas dengan rambut ikal mayang. Aku difahamkan kembar ini menghidap penyakit kelamin akibat perbuatan lalu. Aku tak mampu nak bertanya lebih. Taknak faham. Dan taknak tahu.

Adik kolej tadi minta izin untuk balik ke dorm. Belum sempat aku berdiri, datang seorang kakak bertubuh kecil hitam manis. Lebih agresif.

Aku perhatikan, kebanyakkan penghuni bila berjumpa dengan fasi takdelah tangkap leleh. Barangkali sudah kekeringan air mata. Kini masa untuk mereka pandang ke depan.

“Nak curi masa awak kejap la. Boleh ke?”

“Boleh boleh. Hehe”

Jam dah menunjukkan jam 1 pagi. Aku dah mengantuk tahap dewa.

Baru aku perasan seorang demi seorang penghuni mula memenuhi sudut surau. Kebanyakkan fasi sudah ‘fully booked’. One to one session agak laku keras malam tu.

“Masa sesi taaruf haritu saya dengar awak ambil syariah undang undang ya?”

“Ye. Kenapa tu ya?” Soalku

“Yelah. Masa masuk sini kami ada perjanjian dengan pihak admin. Lepas bersalin anak yang kami kandungkan 9 bulan ni akan kami serahkan kepada pihak berwajib. Kami tiada hak ke atas anak itu”

Aku cuba dengar dengan teliti sambil anggukkan kepala sekali dua.

“Okay, apa yang saya boleh bantu?”

“Saya nak tahu ada atau tidak hak saya dalam undang undang syariah. Kalau ada, tolong ajar saya A sampai Z macam mana nak tuntut hak penjagaan anak saya semula”

Allahuakbar. Macam nak pitam aku dibuatnya. Kita telah menafikan hak seorang ibu! Kalau akak tu tahu rupa mahkamah pun aku tak pernah tengok mesti dia takkan tanya soalan tu. Terasa pahit air liur nak ditelan. Peluh mula merecik di dahi. Aku tetap berlagak tenang.

“Boleh saya tau akak masih contact dengan pihak sana? Emm maksud saya pihak lelaki ‘tu’?”

“Sebenarnya, akak ‘main’ dengan seorang pekerja di sebuah kilang tempat akak bekerja. Tu kali pertama akak terlanjur. Tapi masalahnya lelaki tu India. Dia pun entah ke mana dah. Tu akak nak tau sangat akak ada hak ke tidak”

“Kalau akak dapat anak tu balik akak nak jaga ke?”

“Yelah. Memang family akak hantar ke sini. Dan diorang pun takank bela anak akak tu. Kalau diorang taknak bela takpelah. Akak ada duit. Akak boleh sara anak akak sendiri”

Aku bungkam. Sambil mendengar akak kilang tu meneruskan cerita silamnya, ekor mata aku beralih ke susuk seorang penghuni bertudung labuh. Berjubah hitam. Juga dengan perut yang memboyot.

Agaknya itu penghuni baru yang dari maahad tahfiz. Aku senyum sekilas. Dia menyambut senyumanku dengan penuh makna. Malu untuk bertegur sapa mungkin.

Hakikat manusia itu lupa. Orang yang tahu hukum hakam juga tidak terlepas dari melakukan dosa.

Kepalaku terasa berat. Sakit berdenyut denyut. Emosi semakin menggila, dada berombak laju. Namun hanya mampu memendam rasa. Tak sedar bila masa akak kilang tu pergi, bila masa aku terlelap. Aku tidur dalam lelah…

Bangkit subuh baru sedar aku tertidur dalam surau. Begitu juga semua fasi. Aku masih mahu tidur, namun kugagahi langkah menyahut panggilanNya. Subuhku terasa kosong.

Aku bingkas ke dorm untuk kemaskan barang. Hari ini hari terakhir aku di sini. Suasana di situ terasa seperti aspuri sekolah. Aku mula bertegur sapa bersahaja tanpa ditemani rakan fasi. Dah mula rasa selesa agaknya.

Jam menunjukkan 8 pagi. Aku bingkas bersiap untuk ke dewan makan. Baru teringat aku tercicir buku nota di dalam surau. Masuk je pintu surau kedengaran sekumpulan suara yang begitu merdu sekali. Memecah hening pagi. Bergema di setiap pelusuk surau.

“Ya Tuhanku…
Ampuni aku…Kasihi aku..
Aku ini hamba yang lemah.
Tak lepas dari berbuat dosa..
Ighfirlana Ya Allah..
Kau Terimalah taubatku…”

Semua penghuni mengalunkan lagu taubat diselangi zikir yang begitu merdu.

Mereka duduk dalam halaqah. Duduk rapat rapat, memaut tangan sesama sendiri. Kepala ditundukkan ke bawah sambil memejamkan mata.

“Ampuni kami Ya Allah…
Ampuni kami Ya Allah..
Kami tak layak ke syurgaMu..
Tapi kami kan hambaMu jua..
Izinkan kami menghuni syurga..”

Aku tewas kali ini. Tak sedar bila masa empangan air mataku pecah. Bersungguh sungguh aku menangis di balik tirai. Tangisan tanpa suara. Tiga hari tanpa air mata sungguh menyesakkan.

Ya. Aku, engkau, dia, kita semua juga ingin ke syurga…

Barangkali yang rasa takut dengan dosa lalu jauh lebih baik dari seorang alim yang mengaku mulia.

Ampuni dosa kami, dosa sahabat sahabat kami Ya Allah…Allah..aku nangis semahu mahunya.

Mahalnya harga sebuah kemaafan. Kita hamba, sudah tentu menagih kemaafan dari Yang Menciptakan.

Wahsyi, orang yang menikam Saidina Hamzah dengan sebilah tombak ketika perang Uhud. Nabi tetap maafkan. Dan dengan sebuah kemaafan itu, dengan tombak itu juga Wahsyi menikam Musailmah Kazzab, seorang Nabi Palsu.

Maiz, sahabat Nabi yang mengaku berzina berkali kali minta Nabi jatuhkan hukuman kerana perbuatannya itu. Berulang kali juga Nabi minta dia pulang suruh lupakan. Iyalah. Barangkali dia sekadar bercumbuan, barangkali sekadar bersentuhan.

Islam ajar kita tutup pintu keaiban.

Kerana pintu taubat itu begitu luas terbentang.

Di penghujung slot, kami mengadakan sesi luahan hati ke hati bersama para penghuni. Slot ini memberi mereka kebebasan mereka untuk bersuara atau meluah apa saja yang terbuku di minda. Ketua fasi mengendalikan slot dengan baik. Sedang ralit memerhati, tiba tiba salah seorang dari mereka berdiri.

“Aku mintak maaf banyak banyaklah aku cakap. Aku tahu umur korang semua berapa. Aku curi curi tengok ic korang.

Aku bukan nak cakap apelah. Korang cakap sedaplah. Suruh itu ini. Kuatkan semangat apelah. Korang patut bersyukur datang dari family yang pentingkan agama. Yang ajar kau solat. Yang ajar kau puasa. Yang tunjuk kat kau mana betul mana salah. Mana dosa mana pahala.

Kitorang ni maaf cakaplah, keluar dari sini tengok muka lelaki pun dah tak tahan. Nafsu membuak buak tau tak. Gigil nak menahan. Datang pun dari broken family. Sampai kadang kadang kitorang pun takut nak keluar dari sini. Takut tak mampu nak hadapi dunia ni.

Sampai satu tahap nak doa selalu biarlah duduk sini sampai mati. Ada yang ingatkan. Ada yang tengokkan.

Aku mintak maaflah buat korang terasa. Aku cuba cakap jujur. Apapun aku cakap terima kasih kat korang sudi datang…”

Luah penghuni tu begitu emosi.

Barisan fasilitator semua tunduk mendiamkan diri. Kami bersiap pulang. Kami akhiri dengan memeluk setiap dari mereka. Erat tanpa suara. Hanya tangisan berbicara.

Jika yang ada di dunia ini telah mematikan sebuah pengharapan, aku doakan agar kalian tidak berputus asa dengan rahmat Tuhan.

Kami pulang menaiki ktm. Salah seorang dari kami pitam di coach ktm. Terpaksa dikejarkan ke hospital menaiki ambulans. Terlalu penat mental & fizikal barangkali. Apapun yang berlaku, memori ini semua tetap terpahat di ingatan kami.

Andai kiranya kita ini layaknya ke neraka, semoga dengan limpah rahmat Tuhan, kita semua layak menghuni syurga. Amin.

-Nur hanani

– Nur Hanani

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit