Hai semua. Aku tak pernah share dekat IIUM Confession sebelum ni. Sebenarnya banyak kali aku cuba simpan je pengalaman ni sebab rasa orang mesti takkan percaya kalau aku cerita.
Aku sendiri pun ambil masa lama nak hadam apa yang aku lalui. Bukan sekali dua aku kena, tapi berkali-kali. Setiap kali benda tu jadi, aku cuba convince diri aku mungkin aku penat, mungkin aku halusinasi.
Tapi bila ia berulang dengan cara yang sama, hati aku dah tak boleh nafikan lagi. Sebab tu kali ni aku nekad nak tulis, biarlah ada yang ketawa, ada yang skeptikal. Aku cuma nak lepas rasa yang menghantui aku sampai sekarang.
Aku rider sepenuh masa, dah lebih tiga tahun dalam kerja ni. Biasanya aku malas nak cerita benda pelik, tapi pengalaman ni terlalu kuat untuk aku simpan sorang.
Bukan nak takut-takutkan orang, cuma nak kongsi apa aku alami sendiri. Dan sampai sekarang, aku masih tak tahu nak percaya ke tidak.
Kisah ni pasal seorang customer bernama Puan Salmah. Apa yang pelik? Aku tak pernah nampak dia, tapi aku selalu dapat order atas nama tu. Setiap kali order datang, alamat rumah sentiasa berubah tapi masih dalam blok flat lama yang sama.
Blok tu orang memang tahu, lif selalu rosak, lampu koridor banyak padam, cat dinding terkopek, macam rumah tinggal. Tapi apps Food delivery aku tetap sahkan order valid, siap dengan payment.
Malam tu hujan gerimis. Aku dapat order nasi lemak ayam goreng. Customer: Puan Salmah. Notes dia jelas tulis: “Letak makanan depan pintu. Jangan ketuk.”
Aku fikir, mungkin customer tak suka diganggu. Sampai blok flat tu, aku dah seram sebab lif rosak, kena panjat tangga. Unit 6-13. Koridor sunyi, lampu berkelip macam nak padam. Bau hapak menusuk, campur dengan bau lembap.
Aku letak makanan depan pintu, snap gambar bukti. Masa nak turun, aku dengar bunyi pintu berkeriut kat atas. Perlahan, panjang. Aku nak pandang balik tapi hati aku kata jangan. Aku terus turun tangga dengan laju.
Beberapa hari lepas tu, aku dapat order lagi. Nama sama, alamat lain – unit 8-09. Notes masih sama: “Letak depan pintu.” Aku fikir, makcik ni cleaner kot, order untuk lunch.
Aku letak makanan, snap gambar. Masa aku scroll balik dalam apps, gambar tu nampak pelik. Pintu yang aku ambil gambar tu macam pintu reput, cat mengelupas, berhabuk, bukan macam yang aku nampak depan mata.
Aku convince diri aku mungkin kamera phone aku glitch sebab lampu koridor malap. Tapi rasa tak sedap hati tu kekal.
Order ni tak sekali dua. Semakin lama, makin kerap. Setiap kali alamat berubah, kadang aras lima, kadang aras sembilan, tapi semuanya dalam blok sama. Notes pun tak pernah berubah. Tak pernah ada permintaan lain. Tak pernah ada mesej nak cepat. Cuma satu: “Letak depan pintu.”
Aku pernah tanya rider lain. “Bro, pernah tak dapat order nama Puan Salmah dekat blok D, Pangsapuri XYZ?”
Semua geleng kepala. Ada sorang rider senior kata, “Blok tu memang banyak unit kosong. Aku kalau dapat order sana, aku reject. Takut aku kalau naik sorang-sorang.”
Aku pelik. Kalau aku boleh dapat order tu, kenapa rider lain tak pernah? Sedangkan sistem Food delivery biasanya random. Aku sorang je ke yang kena “pilih” untuk hantar makanan tu?
Satu malam, aku naik sampai tingkat tujuh. Aku letak makanan depan unit 7-05. Koridor masa tu senyap sangat, cuma bunyi air menitik dari paip rosak. Aku snap gambar, nak cepat turun. Masa aku pusing, seorang makcik jiran keluar rumah sebelah, pegang plastik sampah.
“Eh dik, kau letak apa depan rumah tu?”
Aku jawab, “Food order, makcik. Customer suruh letak.”
Dia terus pandang aku lama. “Rumah tu dah takde orang duduk. Kau jangan naik sini selalu, bahaya.”
Aku terdiam. Aku tak cerita pun pasal nama customer. Tapi malam tu juga, aku check balik apps, order tetap valid, payment tetap masuk. Soalan dalam kepala makin banyak. Kalau rumah tu kosong, siapa yang order?
Selepas tu makin kerap aku dapat order Puan Salmah. Kadang seminggu sekali, kadang dua kali. Alamat berubah-ubah, tapi tetap dalam blok sama. Notes tetap: “Letak luar rumah.”
Yang seramnya, setiap kali aku letak makanan, aku akan rasa diperhatikan. Koridor tu sunyi, tapi udara macam berat. Kadang bau hangit, Kadang bau wangi bunga, tiba-tiba je tercium bila aku berdiri depan pintu.
Satu malam, aku letak makanan depan pintu. Masa aku turun tangga, aku jeling ke atas sebab rasa tak sedap hati. Aku nampak plastik tu bergerak, macam ada tangan tarik perlahan ke dalam. Tapi pintu langsung tak terbuka. Aku terus lari turun tanpa fikir.
Hari lain, aku ambil gambar bukti, tapi bila aku check balik, gambar berubah. Dari gambar plastik makanan biasa, jadi imej pintu reput dengan bayang hitam samar berdiri di belakangnya. Padahal masa aku ambil gambar, pintu tu nampak biasa.
Bila aku balik rumah, aku rasa sangsi sangat. Aku check apps history. Semua order Puan Salmah valid, siap ada waktu pickup, harga, payment success. Aku pun dapat commission. Tapi bila aku cuba call balik nombor customer, tak pernah ada yang angkat. Kadang terus masuk voicemail kosong.
Aku pelik, kenapa aku je yang dapat order dia. Aku nekad tanya guard flat. “Bang, kat blok D ni ada orang nama Puan Salmah ke?”
Guard tu pandang aku lama, lepas tu jawab,
“Kalau makcik tu memang ada dulu. Tinggal sorang, Dia baik, suka minta orang tolong belikan makanan, Lepas tu dia kasi upah.”
Dia sambung lagi “Saya pun selalu tolong dia dulu. Banyak juga dia kasi. Lepas la nak beli keperluan anak-anak. Tapi dia dah meninggal lama. Sejak tu, rumah dia kosong. Saya pun dah takde duit tambahan.”
Aku rasa darah aku beku. Guard tu cerita macam benda tu normal, tapi aku yang dengar terus rasa menggigil. Kalau betul dia dah meninggal, macam mana aku masih dapat order valid dari apps? Siapa yang bayar? Dan kenapa hanya aku yang dapat, bukan rider lain?
Satu malam aku cuba berani. Aku letak makanan, tapi kali ni aku tak turun terus. Aku menyorok hujung koridor, nak tengok siapa ambil. Sepuluh minit tunggu, tak ada apa. Koridor gelap, senyap. Tapi tiba-tiba, plastik tu hilang. Sekelip mata. Macam ditarik tanpa tangan.
Yang buat aku lagi seram, masa aku turun, aku check apps. Gambar bukti penghantaran berubah. Kali ni bukan pintu, tapi gambar aku sendiri tengah berdiri di hujung koridor, snap dengan angle yang aku tak pernah ambil.
Seolah-olah, ada sesuatu di situ yang tengok aku, dan hantar balik ke apps.
Sejak tu, aku jadi takut setiap kali dapat notifikasi. Nama Puan Salmah muncul, tangan aku automatik menggigil. Aku selalu berperang dengan diri sendiri: nak cancel atau nak hantar juga? Kadang aku cancel, tapi kemudian datang order tu semula. Macam ada orang tunggu makanan tu.
Ada juga malam aku bermimpi. Dalam mimpi, aku berdiri depan pintu reput dengan plastik makanan, tapi aku tak boleh bergerak. Dari dalam rumah, aku dengar suara perlahan, “Terima kasih, nak.” Aku terjaga dengan peluh sejuk, rasa macam suara tu betul-betul berbisik dekat telinga.
Sampai sekarang aku masih buat kerja rider. Aku masih dapat order random. Dan kadang-kadang, nama Puan Salmah muncul lagi.
Bila fikir semula, betul cakap abang guard tu, kalau aku hitung-hitung commission dari Puan Salmah ni, cukup untuk aku isi minyak motor sebulan.
Aku cuba buat macam biasa, tapi jauh dalam hati aku tahu, ada sesuatu yang tak kena. Hatiku berkata, “Dia nak kasi upah kat aku ke?”
Persoalan yang masih menghantui aku: kalau betul Puan Salmah dah lama meninggal… siapa yang sebenarnya ambil makanan tu? Dan kalau betul semua tu cuma gangguan, kenapa semua valid? kenapa gambar aku boleh muncul dalam apps?
Wallahualam. Aku share ni supaya orang tahu, bukan semua order datang dari manusia. Ada yang datang dari tempat yang lain.
– Adik Rider (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit