Siapa Yang Patut Dipilih?

Assalamualaikum semua. Saya merupakan kawan kepada sepasang suami isteri yang mempunyai 2 orang anak, seorang anak berusia 8 tahun dan seorang lagi baru beberapa bulan.

Asalnya saya adalah kawan baik si suami sejak dari kecil dan rakan sepejabatnya. Pasangan suami isteri ini bekerja dan mempunyai kesihatan yang baik.

Si suami berjawatan lebih tinggi dari saya kerana dia merupakan graduan luar negara, manakala isterinya bekerja dalam sektor pendidikan.

Awal tahun ini pejabat kami mendapat pekerja baru berusia 30an berstatus janda anak 2. Orangnya manis tanpa solekan, pakaiannya menutup aurat, bertudung bawah dada, memakai sarung lengan dan berstokin.

Janda ini bagus kerjanya dan sering memasak serta membawa makanan untuk dikongsi bersama rakan-rakan sepejabat.

Kadang kala janda ini bertanya sama ada kami semua ada teringin nak makan apa-apa dan dia akan masak makanan tersebut apabila berkelapangan. Agak kasihan juga kerana janda ini pernah di buang rahim kerana masalah kesihatan.

Saya mula perasan kawan baik saya suka pada janda ini apabila dia hampir bertumbuk dengan lelaki lain di pejabat gara-gara lelaki itu memberi cadangan kepada lelaki lain untuk jadikan janda ini sebagai stok geli-geli.

Bila saya tanya kawan baik, dia mengaku sukakan janda ini. Dia juga menyatakan hasrat untuk menjadikan janda ini sebagai isteri kedua walaupun dia tahu janda ini tak mampu berikan dia zuriat.

Kawan baik sukakan janda ini bukan kerana gaya seksi menggodanya, bukan kerana pakaian ketat tapi kerana janda ini selalu memasak makanan yang dia teringin nak makan dan membancuh air untuknya,

(Janda ini rajin membancuh air untuk semua orang yang ada di pantry termasuk cleaner). Layanan ini tak pernah dia dapat dari isterinya walaupun dari awal perkahwinan.

Kawan baik juga kata janda ini pandai menjaga diri. Tak terima call, tak balas mesej dan whatsapp dari rakan pejabat lelaki setelah tamat waktu kerja.

Bila kena keluar mesyuarat berdua dengan lelaki lain, janda ini lebih suka naik keretanya seorang diri sebab nak elak fitnah.

Saya juga secara peribadi merasakan janda ini lebih pandai menjaga diri berbanding anak-anak dara yang bekerja satu pejabat dengan saya.

Kawan baik juga pernah merisik dari pejabat lama janda ini sebab perpisahannya.

Walaupun janda ini pernah melahirkan 2 orang anak perempuan namun bekas suami janda ini rupanya inginkan anak lelaki. Dan dari sinilah bermulanya bibit-bibit kasih dan kasihan dia pada janda ini.

Berbalik kepada kawan baik, bila anak sakit demam, kawan baik yang menjaga dan menunggu anak di hospital.

Balik dari kerja, kawan baik yang bertungkus lumus memasak di dapur, lepas masak sibuk kemas dapur dan mencuci pinggan mangkuk (si isteri lebih suka makan makanan yang dimasak di rumah berbanding masakan kedai).

Kawan baik mengupah orang mengemas rumahnya 3 atau 4 kali seminggu. Malam hujung minggunya dihabiskan dengan mendobi pakaian. Kawan baik hanya boleh keluar bermain futsal, badminton atau bowling hanya selepas anak-anak tidur.

Pernah juga kawan baik luahkan dia hanya bersama dengan isterinya 2 kali setahun selepas kelahiran anak pertama.

Saya menjadi saksi penat lelah kawan baik menguruskan rumahtangga dan menjaga anak-anak sementara si isteri lebih banyak berehat dan tidur walaupun kerjayanya membolehkan dia pulang awal daripada kami yang bekerja pejabat.

Kawan baik pernah berbincang 4 mata dengan isterinya tentang perkara ini tetapi si isteri merajuk dan lari ke rumah mentua dengan membawa anak mereka.

Mereka pernah ke pejabat agama dan diberikan kaunseling namun si isteri hanya berubah untuk beberapa minggu dan kembali semula ke perangai lamanya atas alasan dirinya cepat penat (walaupun masa ini belum mengandung dan mempunyai anak kecil).

Hantar dan ambil anak di sekolah dan pengasuh juga kawan baik yang uruskan, sebab tu saya pelik apabila isteri kawan baik memberikan alasan cepat penat.

Si isteri seolah-olah sangat terpengaruh dengan ideologi ‘suami yang baik akan buat semua kerja rumah’.

Mak mentua kawan baik jenis yang menangkan anaknya dan memburukkan menantu. Mak mentua menyatakan anaknya sangat rajin mengemas rumah padahal sepanjang saya berkunjung ke rumah mereka,

Sekalipun saya tak pernah nampak si isteri memegang batang penyapu atau vacuum, hatta gelas secawan pun tak pernah di basuh.

Sepanjang hampir 10 tahun kawan baik berkahwin, inilah kali pertama dia menyatakan hasrat untuk kahwin lain kepada saya. Dia meminta pendapat saya berkenaan berkahwin dengan janda ini tapi saya buntu.

Bila fikirkan perangai isteri kawan baik, saya nak suruh kawan baik saya kahwin dengan janda ini tapi bila saya fikirkan anak-anaknya saya jadi kasihan tambahan lagi dia baru menimang cahaya mata pada tahun lepas.

Saya juga bimbang si isteri akan mohon cerai dan bertindak menghalang kawan baik berjumpa anak-anak apabila tahu kawan baik ingin berpoligami. Bila saya rujuk suami, suami minta saya jangan masuk campur urusan orang lain.

Pada pandangan kalian, apakah yang patut saya usulkan kepada kawan baik?

– Kawan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *