Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saya Aizat. Saya pernah menghantar konfesyen di ruangan ini menggunakan nama ‘Aizat Abang Hensem’ yang disiarkan pada 21/10/17 lalu.
Terimakasih kepada admin yang telah menyiarkan kisah saya itu. Terharu sungguh rasanya saya membaca segala komen yang diberikan oleh pembaca, semoga ramai yang memperolehi manafaat daripadanya.
Untuk pengetahuan, isteri saya Anna telahpun selamat melahirkan puteri sulung kami lebih kurang tiga minggu yang lalu. Kepada puan yang menawarkan untuk menjadi besan kami, kami amat berbesar hati dengan hajat puan itu. Anna ada menyimpan profil puan. Tunggu selepas 20 tahun nanti insyaallah kita lihat ada atau tidak antara anak-anak kita yang sesuai dijodohkan. Sementara itu semoga kita semua mendidik amanah Allah dengan ilmu dunia dan akhirat yang seimbang.
Kepada saudara-saudaraku yang masih bujang, yang secara dasarnya sudah sesuai menjadi seorang suami (sesuai bagi saya ialah yang berumur 25++, sudah berkerjaya dan berkeinginan), saya nasihatkan usahlah bertangguh-tangguh untuk mendirikan rumahtangga. Alasan kewangan belum stabil, belum mempunyai rumah dan sayangkan kehidupan bujang jangan digunapakai sangat. Ini sekadar pendapat saya, samada boleh menerimanya atau tidak terpulang kepada diri masing-masing. Cuma saya suka sangat memberitahu, berdasarkan pengalaman sendiri – kehidupan berumahtangga membuatkan kita lebih matang dan bertanggungjawab. Ditambah pula dengan kehadiran cahayamata, Tuhan sahaja yang tahu betapa indahnya hari-hari yang dilalui.
Ada tak yang akan berkata; “eleh baru kahwin berapa tahun, anak baru seorang bolehlah cakap…. Belum jumpa dugaan berat lagi”? Lapangkanlah dada kita hatta mendengar nasihat daripada sesiapapun. Jangan lihat siapa yang bercakap tetapi dengarkan apa yang dicakapkan. Baru atau lama usia sesebuah perkahwinan bukanlah kayu pengukur untuk layak bercerita tentang bahagia atau derita kerana dugaan setiap manusia itu berbeza. Tidak juga kita perlu tua baru Allah mendatangkan ujian. Carilah panduan daripada mereka yang berpengalaman, praktikkan dan selebihnya berserah kepada Allah.
Jadi, abang-abang bujang, jomlah cari pasangan hidup.
Saya sebenarnya mahu menyampaikan cerita mengenai rakan sepejabat saya, Johan namanya. Dia terjumpa confession saya tempohari lalu mengungut (ugut-ugut manja sahaja) akan membocorkan rahsia penulis artikel itu kepada orang-orang di sekeliling kami. Sungguh tidak patut kan si Johan? Malah dia bersyarat pula, rahsia akan kekal rahsia jika saya sudi mewakili dirinya menulis d IIUM. Alasannya dia tidak pandai mengarang. Sayapun taklah sepandai mana, jenuh juga memikir cara menyusun ayat betul dan elok agar tidak menyinggung hati mana-mana pihak. Ada yang berkata jarang berjumpa orang lelaki menulis panjang-panjang dan ada yang mendakwa dia menghabiskan masa satu jam membaca karangan saya tempohari. Saya harap tulisan saya kali ini (yang panjang berjela juga) tidak membebani pembaca untuk menghabiskannya. Maafkanlah saya justeru mencuri masa saudara saudari sekalian. Mungkin boleh dibaca langkau-langkau tetapi nanti tak faham jalan cerita pula tak begitu?
Saya bersetuju untuk memenuhi permintaan Johan bukanlah disebabkan takut dengan ugutannya (rahsia apa sangat yang hendak dibocorkan itu ya?), sebaliknya kerana saya rasa kisah beliau boleh dijadikan teladan.
Inilah kisah Johan. Jeng jeng jeng…
– Aizat Abang Hensem
(dah jadi penulis upahan)
*********
Hai, aku Johan. Rakan sepejabat Aizat sejak empat tahun lalu. Memang aku ugut dia walhal sebenarnya aku dan kawan-kawan kami tahu perihal dia mengurat Anna dan segala cerita alam nyata sepertimana yang ditulisnya. Cuma tak sangkalah kisah itu keluar dalam IIUM confessions.
Aku masih bujang, sedang dalam frasa mengenali seseorang yang aku berhajat untuk menikahinya secepat mungkin. Waktu ini aku masih menunggu jawapan sidia (Liya) samada menerima atau menolak hajat aku yang tulus ikhlas itu. Aku mengenali dia melalui kakak-kakak kami. Mulanya kakak aku tercebur urusan jual-beli online dengan kakak Liya tetapi disebabkan kakak aku kurang arif penggunaan internet banking maka ditumpangnya akaun aku. Dululah tak pandai, sekarang sudah sampai tahap mahir dia melakukannya sendiri.
Akupun memang menyelidik dengan siapa kakak aku berurusan semasa dia blur tentang internet banking tempohari. Akulah yang berwassap apabila ada transaksi dan lama-lama kenallah dengan kakak Liya. Sekali aku terpandang wajah Liya di halaman muka buku kakaknya. Terpana mataku, dup dap dup dap jantungku. Aku lelaki normal yang sudah lama berseorangan memang tertewas dengan keinginan untuk mendekatinya. Bagaimana cara aku ‘masuk jarum’ tidak perlulah aku ceritakan. Ia tak sama dengan cara encik Aizat sebab aku dan Liya tinggal di negeri berlainan yang lima enam jam juga jarak perjalanan satu sama lain. Dekat di hati sahajalah kiranya.
Bergetar sudah tulang rusukku haha. Liya meminta aku memberikan sedikit masa untuk kami saling mengenali dan mencari keserasian dahulu. Oklah tidak mengapa, aku menunggu dengan sabar walaupun setiap saat tidak pernah aku tidak mengingati dia. Angau!
Baru-baru ini seseorang yang menggunakan identiti tidak dikenali (fake account) telah menghantar satu mesej peribadi kepadaku. Tersirap darah aku tatkala membacanya, bukan kerana marah sebaliknya aku rasa bagaikan ditampar dengan satu tamparan yang sangat kuat dan memedihkan seluruh mukaku.
Siapakah yang ‘menampar’ Johan?
Johan a.k.a aku tidak tahu.
“Awak, awak mungkin orang yang baik dan merasa diri sempurna pada masa sekarang. Tetapi perasankah bahawa awak terlalu banyak mencari-cari kesalahan orang? Awak juga gemar menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada (riak dengan ibadah). Undurkan sedikit diri awak ke belakang dan periksalah jika aib masa silam awak sudah dibersihkan bersama taubat yang sebenar-benarnya?”
Begitulah pesanan yang aku terima yang menjadikan aku gelisah umpama cacing kepanasan. Aku membalasnya dan meminta insan misteri itu berterus terang mengenai maksud pesanannya, tetapi dia hanya menjawab; “aib awak banyak terpapar di Facebook, carilah sendiri sebelum mencalarkan nama baik sendiri dan mungkin memusnahkan masa hadapan oranglain”.
Huh! Berat tuduhan dia ni… Masa hadapan siapa pula boleh musnah dek aib aku? Aku perlu mencarinya di Facebook, tetapi apa dia… yang mana? Banyak sangat posting aku di Facebook ini hasil tulisan sendiri, salin tampal dan perkongsian daripada posting pihak lain. Puas aku skrol satu persatu sehinggalah aku sedar.
Zaman aku di universiti. Umur awal 20an, ketika akal tidak berapa matang. Melihat kawan-kawan mempunyai teman bercinta, hatipun teringin mengasihi dan dikasihi. Misi mengurat pelajar junior yang bermuka comel dan berperwatakan manjapun berjalan. Tersangkut seorang, namanya Intan. Bila diajak berkapel, dia bersetuju. Mudahnya memberi dan menerima cinta.
Hampir dua tahun aku dan Intan memegang title pasangan kekasih, sumber inspirasi katanya. Dalam masa yang sama apabila umur meningkat dewasa sikit, aku terikut-ikut juga geng yang rajin ke surau dan ke ceramah agama. Namun hati yang berbunga-bunga cinta sentiasa tergoda untuk berjumpa dengan Intan. Konon tak buat benda tak elok… dating di siang hari sahaja itupun cuma pergi makan-makan, tak pernah bersentuhan atau berpegang tanganpun, dudukpun jauh-jauh. Hahaha ingat tak berdosa ke macam tu?
Bab berjumpa mampulah aku kawal kerana ada juga kawan yang tegas melarang aktiviti ini. Terimakasih kawan kerana kau menyelamatkan aku daripada hanyut lebih jauh. Tapi text message setiap hari berkali-kali, telefonpun parah juga isi kredit. Habis macamana nak ucapkan sayang, rindu dan memujuk bila Intan merajuk? Oklah komunikasi dua hala, orang tak nampak sangat. Waktu ini belum ada applikasi wassap lagi. Yang teruknya bila Facebook yang sangat popular ketika itu dijadikan medium mencurahkan perasaan dan isihati.
Aku tulis apa-apa status, Intan akan jawab di ruangan komen dan begitulah sebaliknya. Kawan-kawan kamipun ikut sama sessi usik mengusik.
“Kau rindu dialah tu, uwekkk”
“Takde jelezpun, saya tahu awak sayang saya”
“Awak jaga diri masa saya takde kat kampus ni”
Itulah antara status/komen (sikit sangat tu, sekadar bagi contoh) yang lalu lalang di muka buku kami. Langsung tak timbul rasa malu menulis perkataan gedik begitu. Tengah bahagia bagaikan dunia milik kami sahaja. Intan yang perempuan dan muda lagi serta manja orangnya mungkin sesuai dengan gaya sebegitu, tapi aku yang lelaki yang telah separuh pengajian (kan aku senior) ni?
Melepasi setahun aku dan Intan berkapel, aku mulai sibuk dengan pengajian yang jadualnya bertambah padat. Jarang sangat kami dapat berjumpa dan kami mulai bergaduh. Biasalah orang perempuan… kalau kita berubah sedikit mulalah dia mengesyaki kita ada skandal lain. Akupun tak mampu sangat melaburkan wang untuk kerap-kerap belanja Intan makan atau membeli topup. Kursus yang aku ambil memerlukan perbelanjaan yang banyak. Mak dan ayahlah yang mencukupkan apabila duit pinjaman habis di akaun. Rasa berdosa pada mak dan ayah. Sekarang baru aku rasa, dulu masa mengambil kesempatan ke atas mereka tak fikirpun dosa pahala.
Perselisihan faham antara aku dengan Intan kian kerap berlaku. Selain berpunca daripada kesibukan, Intan mula pertikaikan mengapa aku semakin cenderung berkawan dengan pelajar-pelajar geng surau. Sebenarnya aku mulai memperlahankan rentak dalam percintaan. Aku sudah takut menghampiri maksiat, aku dah mula berkias-kias tentang kewajipan menutup aurat dengan lebih sempurna kepada Intan. Hinggalah suatu hari Intan menyuarakan yang kami tidak boleh bertahan untuk bersama lagi kerana perbezaan cara hidup. Katanya dia tidak akan mampu masuk dalam kelompok kawan-kawan dan kaum keluarga aku.
Nampak? Baru aku perasan, apa yang Intan cakap itu betul belaka. Kakak, abang dan adik aku pernah bertanya tentang Intan suatu masa dahulu tetapi mak ayah aku memang tak tahu. Tidak tergerak hati untuk nemperkenalkan Intan kepada mereka, begitu juga di sebelah Intan. Cuma menurut Intan, ibubapa dia maklum mengenai hubungan kami. Maklum gitu-gitu sahaja dan mereka tak kisahpun…
Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk berpisah. Intan aku lupakan, dengan mudah dan tanpa kecewa yang terlalu dalam.
Aku terus aktif dengan rakan-rakan usrah dan program keagamaan sampailah sekarang. Lama juga aku menyendiri sehinggalah aku menemui Liya yang entah akan menjadi milikku ataupun tidak?
Aku tanya encik Aizat, apa pendapat beliau mengenai hal ini. Jawabnya, ada juga betulnya teguran si pengirim mesej misteri itu. Mungkin selama ini tiada yang menegur, maka aku rasa diriku sentiasa betul. Baru ada ilmu sedikit, aku angkuh hingga kadangkala mempersendakan oranglain, mempertikaikan pemimpin, kutuk itu kutuk ini. Semuanya menggunakan Facebook. Buruk rupanya perangai aku ini.
Kumpulan usrah itu tidak salah, orang di dalamnya (baca: sebahagian kecil sahaja) yang menjadi setitik nila tertumpah ke dalam sebelanga susu. Akupun termasuk golongan nila juga gamaknya, adoiii. Perasan baik jangan katalah, memang silap penerimaan terhadap pujian orang selalunya. Salah satu contoh; sekali tu aku menjadi imam ganti untuk solat Maghrib. Ramai yang memuji bacaan aku sangat merdu. Selepas Isyak masuk pula mesej dari orang yang aku tidak kenal, katanya “suara ustaz menusuk ke sanubari, bertuahnya jika ustaz menjadi imam saya”. Ya Allah perempuan manalah yang menyimpan angan-angan begitu? Muslimat-muslimat ini, maaf cakaplah (ikut pengalaman aku), asal nampak/kenal stok-stok lelaki soleh (soleh pada pandangan merekalah) mulalah tanpa segan silu menyampaikan hasrat hati samada melalui orang tengah bahkan ada yang lagi berani meluahkannya sendiri.
Encik Aizat ada baca ke status aku yang lama-lama dahulu? Tak ada katanya dan tak kuasa hendak menyelak buku aku yang tebal berjilid-jilid itu. Malu aku weyh kalau orang macam encik Aizat baca. Habis tu dengan Tuhan aku tak malu? Malu, malu sangat-sangat selepas disedarkan akibat kena tamparan daripada pengirim mesej misteri.
Hampir menangis aku bila menatap semula mesej/komen antara aku dengan Intan dahulu. Menangis bukan kerana sedih tetapi kerana kesal atas kelalaianku tidak memadam komunikasi kami sekian lama. Sungguh aku terlepas pandang akan hal tersebut.
Aku tidak membaca semua komunikasi yang ada (takut termuntah), tetapi aku berusaha memadam setiap bicara lagha yang melibatkan aku dan Intan. Dalam diam aku juga berharap Intan menyedari perkara yang sama dan mengambil tindakan serupa. Seram aku membayangkan jika suami Intan (Intan telah menikah pada bulan Ogos lalu) menjumpai butiran komunikasi kami dahulu.
Panjang analoginya. Sedangkan nasihat yang ingin aku sampaikan pendek (sedikit) sahaja. Nasihatku; duhai saudara-saudara kesayanganku,
1. yang pernah melalui zaman percintaan, kemudian putus di tengah jalan, tolonglah buang gambar kau bersama dia, padamkan semua mesej dengan sidia. Kau tak akan menjangka siapakah akan menjumpai dan melihat semua itu di media sosial, mungkin bakal suami/isterinya, kawan-kawan suami/isterinya, saudara mara atau makcik/pakcik bawang.
2. yang sedang berbahagia di alam percintaan, tak perlu menayang sangat kebahagiaan kalian sebab belum tentupun sidia jodoh kalian.
3. yang terjumpa ‘kesan percintaan yang tertinggal di media sosial’ kenalan, sudi-sudikanlah memberitahu kenalan yang berkenaan supaya membersihkan kesan tersebut.
Untuk kaum muslimah, kalaupun saudari minat kepada seseorang lelaki, jangan menampakkan sangat kepada umum yang saudari sedang cuba menarik perhatiannya. Apa maknanya kamu acah-acah tidak mempamirkan wajah di media sosial tetapi cara kamu menulis seperti meminta sang lelaki menjejaki kamu. Banyak pula kamu menyelitkan komen pada status Facebooknya.
Saat ini aku masih tertanya-tanya dan terfikir-fikir, siapakah agaknya yang menghantar tamparan berguna ini kepadaku? Adakah dia,
1. Intan
2. Suami Intan
3. Kawan aku atau kawan Intan
4. Liya
5. Adik beradik Liya atau adik beradik aku
6. Peminat rahsia aku
7. Aizat. Bukan dia, dia tak ada masa menjadi “stalker” kerana terlampau sibuk dengan keluarga terutama selepas memiliki anak
Baiklah, walau siapapun dia, aku amat bersyukur dan berterimakasih atas tegurannya itu. Kini aku hanya berserah kepada Tuhan atas kealpaanku, semoga dijauhi daripada fitnah. Semoga tidaklah perkara sebegini menjadi punca kemusnahan masa hadapan oranglain. Aku juga sedang menapis posting-posting lain dan akan lebih berwaspada pada masa akan datang.
Doakan aku menjadi lebih baik.
– Johan Belum Juara
– Johan Belum Juara
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit