Sifu Hartanah, Pelaburan Hartanah ke Pelaburan Ke-Tanah?

Assalammualaikum. Kebetulan saya terbaca banyak konfesi berkenaan sifu hartanah di IIUM Confession kebelakangan ini –

Doktrinisasi Sifu Hartanah (https://iiumc.com/doktrinisasi-sifu-hartanah/), konspirasi sifu hartanah (https://iiumc.com/konspirasi-sifu-hartanah/) dan juga mangsa sifu hartanah (https://iiumc.com/mangsa-sifu-hartanah/).

Hal ini membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya, bersemuka bersama salah seorang sifu hartanah, beberapa tahun yang lalu.

Sebelum itu, izinkan saya berkongsi sedikit latar belakang mengenai diri saya.

Saya merupakan seorang graduan dalam bidang hartanah dan bekerja dengan sebuah syarikat hartanah bertaraf antarabangsa yang beribu pejabat di Kuala Lumpur semenjak tahun 2011.

Skop kerja saya melibatkan penilaian serta pengurusan jual beli hartanah untuk client koporat yang datang ke Malaysia.

Kisah yang ingin saya kongsikan ini berlaku pada tahun 2018. Salah seorang sahabat saya ingin memulakan pelaburan dalam hartanah.

Beliau telah membuat temujanji bersama sifu hartanah dengan bayaran RM380 bagi mendapatkan nasihat sifu selama satu jam.

Mengenangkan pengalaman saya yang berkerja dalam bidang professional hartanah, beliau telah mengajak saya untuk menemani beliau berjumpa dengan sifu hartanah ini.

Pada hari temu janji, slot yang ditetapkan untuk kami adalah dari jam 11am – 12pm. Kami tiba dilokasi temu janji pada jam 10:30am.

Namun, kami terpaksa menunggu lebih dari 1 jam kerana sifu lambat tiba di lokasi temu janji. Ironi nya, sahabat saya membayar masa sifu, sifu pula yang tidak menghormati masa kami.

Bermulanya sesi kami, kami mula mengenalkan diri masing-masing.

Sifu mula memberitahu kami pengalaman pelaburan beliau dengan membeli 5 buah hartanah serentak dalam julat RM400k – RM600k, jenis “pre-con” pada tahun 2013.

Setelah pembangunan hartanah tersebut siap, beliau akan menjual hartanah-hartanah tersebut. Tanpa menanyakan keupayaan kewangan sahabat saya, sifu tersebut telah menyarankan cara pelaburan yang sama dilakukan oleh sahabat saya.

Setelah mendengar saranan ini, saya bertanya kepada sifu mengenai cara yang sesuai untuk melakukannya pada masa kini seperti yang telah disarankan beliau.

Untuk membeli 5 buah hartanah pre-con serentak dalam satu kawasan yang sama, seseorang memerlukan kuasa pegangan yang sangat tinggi.

Cara ini masuk akal untuk dilakukan pada tahun 2013 (dan sebelum 2016), kerana pada tahun-tahun ini, “Developer Interest Bearing Scheme (DIBS)” masih wujud.

Kesemua pembeli hartanah “pre-con” pada waktu kewujudan DIBS ini, tidak perlu membayar sebarang faedah (interest) kepada pihak bank sehingga hartanah siap dibina.

Cara yang telah disarankan ini tidak lagi praktikal untuk diamalkan selepas 2016, lebih-lebih lagi untuk hartanah pre-con yang tidak dapat menjana sebarang pendapatan, sehingga hartanah ini siap.

Mendengarkan penerangan saya, sifu tidak dapat menjawab persoalan saya dan mula memberikan jawapan yang tidak berkaitan.

Sifu juga menyatakan pengikut beliau menganggap beliau “Demi-God” kerana sebarang saranan yang diberikan pasti akan diikuti oleh pengikut beliau.

Saya dan sahabat amat terkejut mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Sifu pada ketika itu.

Saya juga menanyakan soalan-soalan lain berkaitan pelaburan hartanah, seperti pulangan yang Sifu harapkan dalam pelaburan beliau. Beliau juga tidak dapat menjawab persoalan saya mengenai perkara ini.

Setelah selesai sesi kami bersama Sifu tersebut, saya menasihati sahabat saya agar tidak meneruskan hasrat beliau untuk sertai kumpulan Sifu ini.

Pada pandangan saya, manusia yang bergelar “Sifu Hartanah” ini tidak layak digelar sedemikian,

Kerana hakikatnya, beliau tidak memahami asas pelaburan hartanah semasa dan beliau hanyalah berkongsi pengalaman pelaburan hartanah beliau kepada orang awam.

Cara beliau tidak lagi sesuai dilakukan pada masa kini dan tidak juga sesuai dilakukan oleh semua pihak.

Tindakan Sifu hartanah ini untuk pukul rata saranan pelaburan beliau kepada orang awam adalah tindakkan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Analogi yang dapat saya berikan untuk situasi ini adalah seperti seseorang yang berjaya sembuh daripada demam dengan menelan antibiotik dan mula menyarankan orang awam menelan antibiotik untuk sebarang penyakit yang mereka hadapi.

Nasihat saya, dalam mendapatkan sesuatu ilmu, dapatkan lah nasihat daripada mereka yang betul-betul ahli dalam sesuatu bidang,

Dan bukanlah daripada mereka yang menasihati hanya berasaskan pengalaman yang dilalui, agar tidak seperti “Kerbau yang dicucuk hidung”, takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula”.

Untuk perkara berkaitan hartanah, carilah Penilai Berdaftar (Registered Valuer) dan Estate Agent Berdaftar (Registered Estate Agent). Anda boleh layari www.lppeh.gov.my untuk mencari mereka yang ahli ini.

Jadi sebagai peringatan untuk semua, hemat antara belum kena, hemat antara belum habis.

– Q (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *