Sihir Cinta.
Assalamulaikum dan salam sejahtera. Aku hanya mahu dikenali sebagai M dan berusia dalam lingkungan 30an. Sehingga kini aku tidak masih mempunyai teman lelaki dan seringkali patah hati dalam mendapatkan cinta. Rakan-rakanku juga tidak mempercayai aku tidak pernah bercinta dan macam-macam yang mereka katakan padaku, mereka berpendapat aku terlalu memilih ataupun mempunyai naluri songsang. Aku normal dan mempunyai perasaan terhadap lawan jenis, namun seringkali aku memulakan kisah cinta, ianya pasti berakhir dengan air mata. Kadangkala aku pernah terfikir mungkin aku perlu mandi bunga untuk mendapatkan jodoh. Aku cepat-cepat tepis sangkaan itu dan berfikiran positif, mungkin single lebih baik kerana aku bebas melakukan apa sahaja.
Sehinggalah pada tahun 201X, insiden paling menyeramkan berlaku yang mengubah 360 kehidupan aku. Sebaik sahaja aku pulang dari outstation, aku ditindih 3 malam berturut-turut dan mimpi seram yang berulang-ulang. Malam pertama ditindih sangkaanku mungkin kerana tidur selepas asar, namun apabila ia berlarutan sehingga ke malam ketiga, pada firasatku ada sesuatu yang tidak kena. Aku segera meminta pertolongan daripada rakan-rakanku yang arif mengenai perkara-perkara ghaib dan mereka mengesyorkan aku untuk berubat dari jauh.
Orang yang merawat aku itu menjanjikan rawatan hanya tiga malam dan insyallah aku akan sembuh pada hari ketiga. Katanya lagi, ada “benda” suka dan ikut aku balik ke rumah. Semasa rawatan tersebut, aku dapat merasakan diriku seperti hilang kawalan dan mula menangis, ketawa, melompat-lompat, menari, berlagak seperti diva dan menjerit. Tapi aku tidak mampu berbuat apapun mengenainya. Rawatan tersebut sepertinya berkesan dan aku dapat rasakan benda itu keluar daripada badanku. Aku menangis kegembiraan kerana telah sembuh kerana beberapa hari ini tidurku tidak lena kerana diganggu oleh makhluk halus ini.
Namun, rupanya ia bukannya penamat malah ia merupakan permulaan bagi insiden seram dalam hidupku. Malam tersebut aku tidak dapat melelapkan mata. Setiap kali aku cuba pejamkan mata, aku dapat rasakan beribu-ribu jarum halus menusuk ke kakiku sehinggakan aku terpaksa tidur di bilik abang dan kak iparku. Aku berasa ada suatu yang tak kena dan beranggapan ia bukannya “benda” biasa yang mengangguku.
Atas saranan rakan aku pergi berubat di sebuah pusat rawatan islam di tempat terpencil di Selangor. Sungguh tidakku percaya sebaik sahaja ustaz membacakan ayat quran kepadaku, aku menjadi hilang kawalan, mula bertindak buas dan cuba menendang ustaz. Aku menjerit melolong dan menurut abangku, mukaku berubah menjadi wajah yang menyeramkan. Setiap saat dalam rawatan itu aku sedar namun aku tidak dapat mengawal diriku. Sepertinya ada sesuatu yang mengawalku. Oleh kerana melihat kelakuanku yang ganas ustaz menyarankan aku untuk berendam air garam selama 3 hari berturut-turut dan datang semula dalam 2 minggu kemudian. Namun ustaz tidak memberitahu sebab aku menjadi sebegini. Pulang dari rawatan aku memikirkan apakah yang sebenarnya terjadi pada diriku dan cuba mengingatkan apakah aku pernah menyakiti hati sesiapa.
Dipendekkan cerita, dalam masa setahun dua aku berubat, aku mendapat tahu bahawa aku sebenarnya disihir (pelalau) oleh kenalanku sendiri. Sihir itu menyebabkan aku sukar bertemu jodoh dan perkara ini tally kenapa aku sukar untuk memulakan relationship. Banyak lagi perkara yang tak dapat dijelaskan dengan akal fikiran berlaku kepada diriku baik ketika rawatan ataupun dalam kehidupan seharian. Kadangkala aku mahu sahaja menyerah kerana kesakitannya tidak terperi. Betapa sakitnya apabila ustaz memicit ibu jari, mencucuk dadaku dengan batang chopstick, menepuk-nepuk belakangku untuk mengeluarkan “benda” itu. Padahal kelakuan ustaz itu hanya perlahan namun ayat quran itu yang menyakitkan benda itu dan aku menjadi terkena tempiasnya. Aku rasa seperti mati hidup semula semasa dalam rawatan itu. Itu belum dicampur kesakitan apabila “dia” melancarkan serangan balas kepadaku. Kadangkala hampir setiap hari aku sakit, terasa dicucuk-cucuk kakiku dengan jarum. Disebabkan kesakitan dan trauma yang aku alami ini dan memandangkan keadaan aku sudah hampir pulih, aku mengambil keputusan untuk berehat di luar negara buat seketika untuk melupakan semua kenangan pahit ini.
Keadaanku kini bertambah baik dan aku tahu orang di sebelah sana masih belum boleh melepaskan aku. Apa yang aku boleh lakukan hanya redha dan berdoa kepada Allah agar dia mendapat hidayah dan berhenti daripada terus menyakiti aku.
Aku mahu ingatkan kepada mereka yang suka melakukan kerja terkutuk ini,
Kau rasa puas apabila menyakiti mereka, membuatkan mereka gila, memalukan diri sendiri dan menghalang mereka mendapatkan benda yang mereka sukai. Kau rasa gembira mereka mati perlahan-lahan dan duit mereka habis dibelanjakan untuk berubat. Namun kau lupa Allah itu ada, kau akan membayar 100 kali ganda kesakitan yang mereka alami.
Kepada mereka yang teraniaya,
Jangan mudah putus asa dan kuatkan diri untuk melawan “benda” itu. Tiada ada satu zarah pun akan bergerak melainkan dengan keizinan-Nya. Selagi kita berpaut kepada jalan Allah, kemenangan akan sentiasa berpihak kepada kita. Ingatlah doa orang teraniaya tiada hijab, mintalah Allah untuk berikan kekuatan. Aku mohon supaya pembaca mendoakan kesihatan aku dan agar aku ditemukan jodoh. Insyallah aku akan terus kuat!
– Cik M
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit