Assalamualaikum.. Maaf kalau cerita aku ni tak menarik untuk sesetengah orang. Tapi aku rasa terpanggil nak kongsi kisah ni sebab sampai hari ni, ia masih berbekas dalam hati kami sekeluarga.
Ayah aku disihir dan pengalaman tu takkan aku lupa sampai bila-bila.
Tahun 2017, beberapa bulan sebelum ayah jatuh sakit teruk.. Waktu tu ayah sembur air ruqyah dekat kedai sendiri sebab banyak sangat gangguan melibatkan kedai.
Tapi masa dia nak sembur dekat bumbung tiba-tiba mata dia terbeliak, badan kaku. Mak aku yang ada sekali terus terkejut, cepat-cepat pimpin ayah tapi ayah terbaring keras macam batu.
Mak panik, panggil orang datang tengok. Bila ayah sedar semula, dia macam nak lari. Nasib baik sempat dihalang.
Kami terus bawa ke hospital.. tapi peliknya, doktor kata “pakcik ni sihat je, kenapa bawa?”
Tengah hari tu ayah siap kemas kedai, buat kerja macam biasa.
Selang beberapa bulan, ayah makin teruk. Meracau, badan lemah.. Kami pun bawa ayah ke hospital.
Bila doktor buat CT Scan, kejap nampak hati rosak, esoknya hati elok pulak, tiba-tiba paru-paru rosak, pastu usus bocor pula. Semua berubah-ubah. Doktor sendiri bingung.
Akhirnya doktor decide untuk operation. Tapi bila belah perut ayah.. SEMUA organ dalam elok, tak ada yang rosak pun. Yang keluar cuma air hitam 2 liter dari perut.
Doktor sendiri tak tahu air tu datang dari mana sebab sebelum tu perut ayah makin membuncit hari demi hari.
Pada masa yang sama kami juga jumpa ustaz.
Ustaz kata, “Kalau doktor nak belah, biarkan. Nanti lepas keluar hospital, bawa jumpa saya.”
Ustaz kata ayah disihir..
Masa tu baru kami betul-betul yakin. Ya, ini bukan sakit biasa. Ini Sihir busung.
Waktu tu keadaan ayah sangat teruk. Agresif walaupun diberi ubat tidur.
Mak bacakan doa, barulah ayah perlahan-lahan tenang. Penuh pakar keliling katil ayah, tapi semua buntu. Akhirnya doktor kata,
“Kami tak tahu nak ulas macam mana. Tak sama macam apa yang kami nampak dalam X-ray & CT Scan.” perut ayah berparut sampai hari ini.
Lepas keluar hospital, ayah nampak kelibat hitam dalam rumah. Ikhtiar lagi dengan rawatan Islam. Alhamdulillah, perlahan-lahan ayah pulih. Lepas mak dan ayah berhenti berniaga, kedai tutup kejadian-kejadian pelik pun tak berlaku lagi.
Pengajaran?
Jangan pandang ringan bab sihir. Bukan semua orang boleh faham, sebab tak semua pernah lalui. Tapi bagi kami luka tu sangat dalam. Sihir ni kerja orang dengki. Tak sanggup tengok orang senang, terus guna jalan kotor.
Bukan semua benda boleh nampak dengan mata kasar. Ada sakit yang tak berdarah, tapi perit dia sampai ke tulang. Ada gangguan yang tak nampak bayang, tapi boleh runtuhkan semangat satu keluarga.
Orang luar mungkin anggap mengarut, tapi bagi yang pernah lalui. Setiap malam tu macam berperang. Setiap doa, setiap sujud itu saja penguat. Yang tak rasa, takkan faham.
Tapi yang pernah rasa, tahu betapa kuatnya diri yang masih mampu senyum di tengah ujian yang tak nampak di mata orang lain.
Kepada manusia yang suka menyihir orang, berhentilah sekarang. Bertaubat sebelum nyawa sampai di kerongkong. Dunia ni sementara tak berbaloi gadai akhirat hanya kerana sakit hati, dengki dan dendam.
Apa sangat yang jin boleh tolong kalau Allah murka? Kau sangka syaitan itu setia? Hari akhirat nanti, dia pun lepas tangan dan kata, ‘Aku hanya ajak, kau yang ikut.’ Masa tu baru kau tahu, kau bukan dihina oleh orang lain tapi oleh makhluk yang kau agungkan dulu.
Kau pakai jin buat kerja kotor, tapi tak sedar jin tu nanti tarik kau masuk neraka sekali. Sedangkan orang yang kau sihir, Allah peluk dia dengan rahmat.
Doa aku, moga Allah pelihara mak ayah aku dan jauhkan kami dari manusia yang berniat jahat. Dan moga sesiapa yang baca ni, diberi perlindungan dari segala kejahatan yang tak nampak oleh mata kasar.
– Melur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit