Sihir Itu Meragut Kebahagiaanku

Sebelum bercerita lebih jauh, cukuplah aku memperkenalkan diri sebagai N… seorang pemuda berasal dari negeri selatan tanah air, aku pemuda biasa yang mungkin mempunyai semangat yang luar biasa.

Aku seorang pemuda yang cukup aktif, berpersatuan, bermasyarakat, memegang beberapa jawatan penting bagi golongan belia di pelbagai peringkat dan aku juga mempunyai ijazah dari salah sebuah universiti tanahair.

Namun sehingga ke hari ini aku masih begini, tidak mampu bekerja, tidak mampu terbang bebas memburu impian yang aku impikan… walaupun ditawarkan jawatan yang bagus aku terpaksa menolak.

Keluargaku menjalankan sebuah perniagaan, hampir 5 tahun kami sekeluarga mengusahakan. Jatuh bangun kami tidak berputus asa. Berniaga sudah tentu ada pasang surutnya..

Namun kami ikhlas menjalankannya, lakukan yang terbaik dan sudah tentu menjadi pilihan pelanggan kerana mereka rasa berbaloi apabila berurusan dengan kami. Tapi sudah tentu apabila kita maju dan kehadapan ada yang berasa iri.

Sepanjang berniaga, ada sahaja dengki khianat yang kami terpaksa lalui. ‘Kedai tak buka ke hari ni?’ Itu perkara biasa yang kami dengar daripada pelanggan kami, sedangkan kami berniaga seperti biasa.

Sana sini kami berubat, alhamdullilah pulih dan kembali seperti biasa dan nanti adakala berulang lagi, namun kami tidak berputus asa.

Ibuku antara insan yang cukup kuat dalam situasi ini, sudah banyak kali diri nya menjadi sasaran individu berkiblatkan iblis ini . Jatuh bangun sakit secara tiba-tiba, ada sahaja yang dibuat oleh individu yang sakit hati itu.

Namun seperti yang aku katakan ibuku wanita hebat , ibuku wanita terpilih lindungan Tuhan, dia tidak pernah mengganggu orang lain.

HubunganNya dengan Tuhan dijaga baik, sesama manusia sentiasa dijaga sempurna sehingga ke hari ini ibuku masih mampu bertahan. Aku sangat bersyukur.

Abahku? Rasa tidak sanggup untuk aku ceritakan. Ketika luahan ini dikarang, emosiku sungguh tidak terkawal, rasanya seperti ada yang membentak jiwaku. Aku marah, sedih, kecewa dengan apa yang berlaku namun aku redha.

Semenjak awal januari 2020 kesihatan abahku merosot, selalu dia berkata abah sakit lah, bila kami tanya abah sakit apa entah la abah pun tak tahu nak terangkan. Sehingga la penghujung februari, dia seperti ada yang tidak kena.

Kemuncaknya sebelum kita semua dalam tempoh PKP boleh dikatakan seminggu hampir 3 hingga 4 kali aku membawanya ke klinik, berjumpa pakar namun masih sama dan Doktor menyatakan abahku tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Ahh ini tidak lain, terpaksa lah aku membawanya berubat secara alternatif. Namun abahku berkeras tidak mahu, marah apabila diajak berubat cara itu.

Masih aku ingat abahku mahu terjun dari kereta yang dipandu ketika dalam perjalanan ke tempat perubatan darul syifa.

Untuk rawatan alternatif ini aku rasa 3 tempat berbeza aku bawa dan jawapannya sama iaitu ayahku dikenakan oleh individu yang sakit hati dengan kami. Daripada pembayang yang diberikan semuanya memberikan bayangan yang sama.

Hari demi hari abah semakin teruk. Kami menjadi buntu, seolah tiada lagi penawar yang kami temui mampu untuk merawat penyakit misteri abahku. Ditambah pula dalam tempoh PKP pergerakan kami terbatas untuk membawanya kesana sini.

Sehingga lah abah terbaring merana tanpa makan dan minum langsung hampir dua bulan. Sebiji nasi tidak boleh ditelannya. Daripada badan yang berisi hinggalah menjadi tulang.

Rasanya sampai disini dulu, insyaallah aku akan sambung pada fasa 2 nanti. Aku tidak sanggup untuk teruskan.

– NN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *