Sikap Suami

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terima kasih sudi membaca. Saya cuma nak minta pendapat orang yang dah lama berkahwin.

Alhamdulillah, usia perkahwinan saya dan suami hampir 3 tahun.

Untuk pengetahuan, saya dan suami mempunyai taraf pendidikan yang sama. Cuma tidak boleh dinafikan, suami memang seorang yang cerdik dalam bidang suami dan lain-lain. Saya mungkin pandai hanya dalam bidang saya.

Alhamdulillah, hal-hal lain dalam rumah tangga tiada masalah. Cuma ada perkara yang saya kurang gemar dengan sikap suami:

Sikap suami yang suka merendah-rendahkan saya (sudahlah saya memang rendah) hehe…

Bila saya tanya pendapat dari suami, kemudian ada salah dari perbuatan saya, dia akan tegur dengan emosi atau tinggikan suara.

Contoh: Saya tak tahu satu-satu perkara, dia akan bising pada saya. Biasa suami akan kata “Itu pun tak tahu”, “Sama je macam orang yang abang kenal” (atau macam tu la lebih kurang ayat dia) dengan nada yang tiba-tiba berubah.

Bila saya lewat sikit je (kadang lewat tu sebab buat kerja, bukan saja-saja melewatkan), jadi suami akan moody sepanjang hari.

Suami sering berkata penat.

Tahun pertama dan kedua perkahwinan, saya okey lagi. Masing-masing dalam proses nak kenal antara satu sama lain, atau perkara tersebut sudah dibincangkan. Kadang ada masa saya merajuk juga atau saya akan diam.

Biasanya suami tahu sebenarnya saya merajuk, tapi suami akan diam juga sampailah saya tegur dia. Kadang lepas solat okeylah semula, sebab saya akan mula minta maaf (cuma saya terasa hati).

Atau kadang-kadang saya terus terang dengan suami sampai menangis.

Saya tanya suami:

Isteri: “Kenapa abang selalu nak emosi kalau sayang tanya pendapat perihal yang sayang tak tahu?”

Suami: “Yela, geram tak faham-faham.” (Padahal hal tersebut saya perlu proses dulu untuk faham. Dah dilabel ibarat macam bodoh.)

Isteri: “Habis tu kenapa abang tak boleh cakap baik-baik macam tadi, sedangkan sayang tanya abang baik-baik. Sayang tak tinggikan suara pun bila dengan abang.”

Suami: “Memang abang macam ni kan.” (Itulah selalunya jawapan suami.)

Isteri: “Sayang tanya abang tu sebab sayang tahu abang tahu. Kalau tak, sayang tak tanya pendapat pada abang. Lagi satu, abang kan suami, takkanlah sayang nak tanya orang lain. Lagipun sayang kan isteri, sayang bukan kawan abang yang perlu abang tegur begitu. (Kalau kawan pun tak elok juga.)”

Maka, suami akan matikan perbualan yang akan nampak salah saya juga atau suami diam.

Satu lagi bab penat. Alhamdulillah, suami rajin menolong dekat rumah, masak dan sebagainya.

Ada masa suami kata, “Abang penat.” Okey tak apalah, saya kata, “Abang rehat je lah.”

Tapi, bila sesuatu terjadi yang tiba-tiba suami tak suka atau terpaksa ke mana-mana, mulalah suami akan kata, “Abang buat itu, buat ini hari ni. Penat tahu tak?” (dengan nada yang tinggi)

Saya terus diam (sedih sebenarnya). Tak lama bila dah reda sikit atau lepas solat, saya akan kata:

“Abang, sayang ni tak pernah nak duduk saja kalau dekat rumah. Even abang suruh rehat pun time abang masak, sayang mesti kemas ruang tamu, melipat baju atau tolong potong-potong bahan nak masak. Kalau ada pun, jarang sangat sayang nak duduk/baring saja-saja bila suami pun buat kerja.”

Suami pun akan diam. Bagi suami, saya yang salah. Padahal saya selalu juga kata pada suami, “Takpe, sayang masak” atau “Sayang kemas.” (Tapi suami risau saya pula penat.)

Atau masakan yang saya masak tak kena dengan selera dia. Sebab bab masak ni, memang awal-awal suami dah kata “tak sedap”. Mungkin tekak dia tak kena dengan masakan saya agaknya. (Suami memang pandai masak.)

Tapi yang pelik, bila saya di kampung, saya suka/selalu masak. Tak pernah orang kata tak sedap, selama hampir 30 tahun saya hidup. Sebab tu saya jadi lagi sedih.

Tambah pula, sebelum kahwin saya pernah cerita pada suami. Masa kecil saya membesar mungkin tak sama macam orang lain.

Masa kecil, orang keliling suka ejek saya dengan perkataan yang kurang gemar didengar. Jadi saya akan jadi lebih sensitif bila suami suka merendah-rendahkan saya atau bercakap dengan suara tinggi.

Dulu saya pernah bagitahu suami yang saya tak nak masa dewasa saya tak gembira. Saya nak hidup tenang dengan keluarga semua + beribadah + nak happy bekerja dengan kawan-kawan. Dan nakkan perkahwinan yang baik-baik.

Suami kadang dia tahu, tapi dia akan diam. Bila saya minta maaf, barulah suami akan kata maaf juga.

Lepas 2–3 hari, sikap suami jadi semula. Kadang bila suami ada kerja luar, saya sampai bagitahu suami, syukur juga saya pernah gugur. Kalau ada anak, mungkin abang lagi emosi. Suami diam.

Saya sebenarnya nak dia terasa dengan apa yang saya kata. Tapi pengakhirannya, dua-dua akan diam.

Sampai kadang-kadang, saya selalu bagitahu suami:

“Kalau abang ada orang perempuan yang memang sempurna dan setaraf dengan pemikiran abang, tak apa abang carilah. Mungkin perempuan tersebut boleh buat abang tenang dan bahagia. Kahwinlah dengan dia. Sayang okey je.”
Lepas tu suami akan diam atau alih topik lain.

Entahlah… Saya sangat terasa hati bila suami sendiri yang sering kata begitu. Sampaikan saya selalu fikir, lebih baik saya tiada dalam hidup suami, mungkin suami akan bahagia.

Sebab saya ingat ayat suami sebelum kahwin — nak cari isteri yang sejuk mata atau buat dia rasa tenang bila suami nampak saya. Tapi sekarang macam tak ada pun. Bila ditanya, suami akan jawab atau alih topik.

Saya anggap ini ujian buat saya. Tapi dalam masa yang sama, saya sedih sebab dia adalah suami.

Jauh di lubuk hati saya, saya sayang suami saya, dan sentiasa doakan dia dalam kebaikan selalu.

Tolong semua bantu saya ya, apa yang perlu saya buat atau ubah…

Terima kasih,

Hugs…

– Puteri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

8 Comments

  1. Sy seorang lelaki. Sy rasa suami puan ni dia sentiasa rasa dia lebih baik drpd puan. Dia seperti lelaki alpha yg kononya ketua di setiap perkara. Sy faham je perasaannya sbb sy pon lelaki. Ubat utk org mcmni adalah puan kena yakin diri, tambah ilmu apa yg patut dan tunjukkan puan pon ada something yg tak perlu depend pada dia. Supaya dia sedar isteri dia bukan manusia yg berada di bawah dia. Puan jd keras sikit, kalau sebelum ni manja cuba kurangkan sikit. Tegas2 kat rumah. Lelaki mcmni selalunya dia mula rasa mcmtu sebab dia pandang rendah pada isteri dia. Dia rasa isteri dia tak boleh hidup tanpa dia. Bukan tegas marah tau, tapi tegas cam ada pendirian sikit. Jgn semua benda say yes je kat suami, bagi pandangan juga kenapa puan pikir atau buat sesuatu yg dia rasa salah kat mata dia tu.

    Sy cakap ni sebab sy pon dulu mcmtu jugak.

  2. Salam,

    Cuba mintak tolong dgn org yg dia segan, contohnya pakcik dia ke, suruh dia tanya kenapa selalu buat emotional abusive dekat awak.. dia ni mcm tak.cukup matang lagi, sbb tak boleh nak rationale thinking… mudah nak lost control nak tengking awak mcm tu.. very bad flag so far.. sorry to say, maybe dia dah mula nak hilang rasa sayang tu dekat awak,.mungkin juga dia tak move on lagi atau dah jumpa org lain yg dia sangka lagi baik dari awak.. tanya dia terus terang.. kalau dah tak sayang, kalau rasa boleh cari yg lagi baik dari awak.. be a gentleman not selfish or even a coward, beranikan diri mengaku dan lepaskan awak sahaja sementara masih takde anak lagi ni.. hidup ni terlalu singkat kalau nak dibazirkan dgn sengsara yg boleh kita elak sebenarnya.. love yourself first.. saya doakan yg terbaik untuk awak.. amin

  3. Ambil masa. Teruskan cakap dan luah..kita nk ubah diri sendiri,mudah .tp nk ubah org lain pyh . Teruskan memberi dan sabar .
    Perkahwinan no 1 SABAR..

    Doa bnyk2 kepada Allah sb yg pegang hati manusia hanyalah DIA..
    insyaAllah suatu hari suami akan berubah ..mgkin 5,10 tahun lg .

    • Punca konflik ni sebenarnya ego. Kalau saya, saya akan buat silent treatment. Kalau dia rasa dan dia akur itu kesan keegoan dia, ajak dia dapatkan bantuan daripada kaunselor perkahwinan. Kalau dia enggan, teruskan berdoa dan dapatkan petua daripada asatizah. Cuma benda mcm ni letakkan tempoh sebab setiap orang berhak untuk rasa bahagia. Sayangi diri dulu, baru sayang orang lain. Sebelum puan down berterusan, benda mcm ni boleh bagi kesan pada kita punya kesihatan mental.

  4. Mungkin suami awk tu sayang jugak kpd awk, tp dia ada ‘ego’ dia sendiri, sementara awk isteri yg sentiasa ‘mngalah’ dgn sikap dia tu.. org kta, klaw nk lembutkan hati suami n ank2, sambil basuh beras or memasak tu, bacalah zikir “Ya Latif” n surah “al-kauthar”, supaya lembut dan sejuk hati mrk, xlah slalu ada je yg xkena, or marah2.. pengalaman sya ada seorang kakak yg suaminya sebegitu; apa yg saya nmpak, stiap kali suaminya ‘mnegur’ krn ada perkara yg xkena, dia akan ‘balas balik’, dgn lembut, tp ada alasan yg munasabah, cth klaw ada ‘silap faham’ atau berbeza pandangan, dan suaminya kta, “takkan tu pon tak tahu”, dia akan balas balik, “Yela, bkn semua org tahu semua benda, lain org lain tahap pemikiran nya, Rasulullah pon ada mintak pandangan sahabat2nya.. inikan kita yg cetek ilmu ni.. bla..bla..”, so bla dia slalu je bg ‘reasons’ yg logik mcm tu, lama2 suaminya kurang nk naikkn suara or tunjuk ‘ego’nya.. mngkin boleh ambil iktibar, & bnyak2 la berdoa.. Allah kan maha mendengar rintihan hamba2-Nya.. wallahu a’lam

  5. Isteri, letakkan sepenuh pergantungan hidupmu pada Allah, bila hati letak pada Allah..ujian, cabaran semuanya akan diterima dengan tenang dan redo. Redo kerana suami mu insan biasa sahaja, bkn sempurna.

  6. Kena ikhlas dan redha,.
    Sabar banyak2 dengan perangai suami. Selagi dia elok menjalani tanggung jawab nya. Akak kena banyak bercakap pada kawan kalau malas berbincang dengan suami yg dah tahu jawapan dia menyakitkan

  7. Hi putri.

    Saya ada sedikit cadangan untuk masalah puteri ni.

    1. Puteri boleh belajar tentang karekter suami. Ada banyak tempat boleh belajar. Ada youtube boleh tengok video Dr Aisyah Dahlan. Banyak tipz tentang karekter suami beliau share. Atau boleh follow kaunselor Kamalia Kamal dia Ig atau tiktok. Kamalia Kamal pun ada ajar pasal karekter manusia.

    2. Belajar juga pasal bahasa cinta. Tiap manusia bahasa cintanya tak sama. Saya rasa puteri punya bahasa cinta lebih kepada pujian. Tapi suami puteri pula lebih kepada act of service. Kena belajar bahasa cinta ni untuk penuhi tangki cinta masing masing.

    3. Doa minta Allah lembutkan hati suami. Tiada senjata paling kuat selain doa seorang isteri buat suaminya dan perkahwinannya.

    Percayalah puteri. Suami bukan tak sayang. Cuma belum faham karekter dan bahasa cinta masing masing. Terus belajar dan cari ilmu ya. Jangan putus atas dengan perkahwinan puteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *