Assalamualaikum WBT
Terima kasih admin, sekiranya sudi menerbitkan coretan ni. Aku terlalu gembira malam ni hingga tak boleh tidur. Rasa membuak2 nak kongsi perasaan ni dengan warga iiumc. Korang ni aku anggap sudah macam kawan sendiri walaupun aku bukan budak UIA, dan kita tak pernah jumpa.
Aku ni silver student. Silver student ialah golongan bekerja yang kembali menjadi pelajar. Dulu aku dah pernah masuk U. 1st degree aku dari Timur Tengah, di sebuah universiti yang sistemnya jauh berbeza daripada IPT Malaysia. Selepas grad, aku bekerja selama tiga tahun di bidang media. Walaupun degree aku tak sesuai dengan requirement dan terpaksa bermula dari zero, alhamdulillah, itulah cita2 aku sejak kecil nak menyebarkan maklumat yang betul kepada masyarakat.
Sampai satu ketika, aku terasa bahawa media bukanlah dunia aku. Makin lama bergelumang di situ, makin tak tahan aku dengan sepak terajangnya. Aku buat keputusan yang amat berat untuk meletak jawatan di saat kerjaya aku berada di puncak. Majikan amat sedih dengan tindakanku dan dia berjanji syarikat itu sentiasa terbuka untuk aku. Aku boleh kembali ke sana bila-bila masa yang aku mahu. Namun bagi aku cukuplah. Aku perlu cari ketenangan. Sesiapa yang pernah bekerja di bidang media mungkin faham tekanan yang kuhadapi.
Aku membuat keputusan untuk kembali ke kampus. Ini kerana jiwaku sentiasa inginkan sesuatu yang baru. Aku suka meneroka dunia baru. Selama ini aku sentiasa memikirkan bagaimana sistem dan suasana pembelajaran IPT Malaysia. Oleh itu kali ini aku membuat keputusan untuk mengambil degree kedua dalam bidang lain. Ramai mempersoalkan tindakanku. Sudahlah berhenti kerja di waktu kemelesetan ekonomi begini, belajar pula mula dari bawah. Kenapa tidak sambung master? Bagi mereka, aku membuang masa.
Entahlah. Pada aku, aku suka mencontohi ulamak terdahulu yang menguasai pelbagai disiplin ilmu. Mereka ahli falsafah, dalam masa yang sama menguasai perubatan atau astronomi. Bagi aku kalau hendak survive pada zaman yang penuh persaingan ni kita perlu ada back-up plan, perlu menguasai banyak ilmu dan kemahiran. Kalau satu pintu tertutup, kita tahu mana nak cari pintu lain yang masih terbuka. Oleh itu aku teruskan niat menjejaki menara gading.
Namun sebagai ‘orang tua’, kembali belajar bukanlah mudah. Cabaran pertama yang kuhadapi ialah kewangan. Walaupun bidang yang kuambil ini diberi tajaan, namun kos sampingan perlu kutanggung sendiri. Aku sudah dewasa dan takkan meminta dari orang tua. Aku gunakan sejemput simpanan yang ada (gaji aku dulu sejemput, simpanan pun sejemput jugalah) termasuklah KWSP. Universiti pertama aku dulu sistem belajarnya tidak banyak kerja kursus. Di Malaysia ni tidak sangka assignment memerlukan banyak wang. Buku-buku pula amat mahal tetapi tidak digunakan. Sampai pertengahan semester, aku sudah kehabisan wang dan akhirnya terpaksa kugadaikan dua utas rantai tangan emas hadiah orang tuaku. Ketika itu hati terasa amat sayu. Namun aku teringat ada orang lain yang lebih susah dariku. Ada orang tua yang sampai berjual rumah dan tanah. Apa sangatlah rantai tangan aku ni.
Cabaran kedua ialah usia. Aku belajar dengan adik-adik yang sepuluh tahun muda dariku. Cara berfikir dan kesedaran amat berbeza dan sering buat aku tertekan. Mungkin kerana mereka dimanjakan dengan teknologi, maka generasi kini aku kira amat lalai dalam hidup mereka. Contohnya apabila membuat assignment, akulah yang terpaksa mengetuk mereka semua bagai tukul dan pahat. Dekat tarikh hantar baru hendak bergerak, semua subjek hendak dibuat pada masa yang sama. Mulalah kerja tak sempurna dan cacat sana-sini.
Untunglah mereka yang sekumpulan dengan orang tua ni kerana aku yang akan membuat finishing bagi setiap projek. Kadangkala nama saja finishing, tapi sebenarnya 80 peratus aku yang buat. Pernah aku tidak tidak tidur beberapa malam menyiapkan tugasan hingga muka naik bengkak. Terpaksa ponteng kuliah kerana hendak tidur. Ya, pada orang lain mungkin tiada masalah jika tak tidur malam. Pada aku yang sudah berusia ni, kudrat aku tak secemerlang dulu. Tapi, aku ingin berjaya. Aku mahu kuasai bidang yang kupelajari ni. 4 flat sebagai penanda aras. I wanted it so badly. Kalaulah assignment tu boleh dihantar seorang diri sudah aku lantakkan budak2 tu. Langsung tiada rasa hendak berjaya. Kesal memikirkan seolah2 akulah yang baru hendak ambil degree dan mereka semua silver student.
Cabaran ketiga ialah peraturan. Aku belajar di sebuah IPTS yang peraturannya agak ketat. Sebagai pelajar kos tajaan, aku perlu tinggal di kampus sepenuh masa. Aku tiada masalah mematuhi peraturan, namun kadangkala cara mereka menguatkuasakan peraturan itu seolah-olah melayan budak sekolah. Aku pernah dituduh keluar dengan pelajar lelaki hanya kerana kami masuk ke pagar kampus pada waktu yang sama. Sedangkan aku baru balik dari pejabat KWSP untuk menukar akaun syariah, entah siapa pelajar lelaki tu aku pun tak tahu. Tiba-tiba guard menyoalsiasat aku. Aku memang pantang dituduh, terutamanya bab couple ni. Tak pasal-pasal aku bergaduh dengan guard tu.
Banyak kali fikiranku dihasut supaya berhenti belajar. Bahkan aku sudah pernah menghantar resume dan dipanggil interviu bekerja. Namun bila tiba harinya aku membuat keputusan untuk tidak pergi. Kupujuk juga hati ni supaya bertahan. Inilah cabaran terbesarnya, aku sudah ada degree. Oleh itu aku merasa tidak begitu perlu menghabiskan degree kedua. Sedangkan begitu banyak wang dan usaha kuhabiskan untuk semester pertama ini. Kumohon pada Allah peganglah hatiku, jadikanlah ilmu yang kupelajari ini bermanfaat kepada umat kelak.
Dan hari ini kulihat hasilnya. Result peperiksaanku sudah keluar dan aku berjaya meraih 4flat yang kuidamkan. Alhamdulillah……. syukur tidak terhingga! Terasa berbaloi aku membuat assignment hingga muka bengkak. Walaupun aku tidak berapa faham pengiraan gred, tapi cukuplah nilai CGPA tu mengakhiri penantian. Aku tahu, dalam bidang pekerjaan, gred bukanlah segalanya. Aku sendiri sudah bekerja di bidang yang tidak berkaitan dengan sijilku. Namun bagi aku, CGPA adalah cerminan usaha.
Aku kata begini kerana aku sudah melalui dua sistem universiti. 1st degree aku dulu tiada assignment, tiada attendance, markah 100peratus di dewan periksa. Siapa cerdik dan kuat hafalan, dia boleh score cemerlang. Yang tak kuat hafalan, macam mana usaha pun mesti susah nak lepas. Sistem IPT Malaysia ni pula aku lihat tidak bergantung hafalan. Pelajar yang kononnya kurang cerdik pun boleh lulus kalau dapat siapkan assignment dengan sempurna. But, you know what, takde pelajar IPT yang tak cerdik. Kalau kamu qualified masuk IPT maknanya kamu cerdik. Tapi kenapa tak score jugak tanyalah diri sendiri. Yang lulus dengan menipu tu tolak tepilah, kamu jawab sendiri dengan Allah.
Kos lain mungkin lainlah sistemnya. Mungkin ada juga yang perlu banyak menghafal. Apapun, berusahalah sebaiknya. Pasakkan dalam minda hendak KUASAI ILMU yang dipelajari, bukan hanya 4flat. Sebab, jika kita dapat 4flat belum tentu kita kuasai ilmu. Boleh jadi dapat 4flat kerana bodek lecturer atau ‘beli’ assignment. Sebaliknya jika kita kuasai ilmu, dapat buat assignment dan jawab exam dengan sempurna, insyaAllah 4flat yang kita yang datang kat kita.
Selamat maju jaya adik-adik.
– Akak Senior
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit