Sim Lep Si Pemutar Alam

Aku dalam cerita ini bukanlah aku yang menulis. Siapa yang tahu kisah ini harap diam dulu sehingga habis penceritaan kerana ada mesej besar yang ingin disampaikan.

Aku, Che Lia, seorang gadis yang percaya cinta untuk bahagia. Aku selalu terbuai dengan kisah cinta dongeng dahulukala. Namun aku tahu realitinya sukar mencari cinta sejati.

Mari kubawa kalian menelusuri kisah pencarian cintaku dan keindahan yang dibawanya semoga menjadi pedoman untuk semua.

Telah 7 tahun aku berdaftar dengan portal pencarian pasangan ini. Sudah beribu match tetapi tiada 1 pun yang sangkut. Aku cuma mahukan seorang lelaki yang sama sealiran dan serius membina bahagia.

Ditakdirkan satu ketika ada 1 match memukau hatiku. Sepasang mata yang seolah mengatakan sesuatu, wajah kacak, penampilan kemas, pakaian berjenama.

Gaya hidup berstatus tinggi, business meeting, berhibur dan bersiaran, semuanya nampak lain dan aku benar-benar tertarik.

Aku swipe ke kanan dan ting! Dia membalas sepantas kilat. Katanya kebetulan akan ke kotaraya L tempatku bekerja dan mengajak aku berjumpa. Aku menemuinya di cafe hotel terkemuka. Aku sampai agak awal. Beberapa ketika menunggu dia pun sampai.

Berdetak hatiku. Penampilannya sama kemas dan kacak seperti dalam gambar. Nyata tarikannya sangat luar biasa. Biar aku namakan lelaki ini sebagai Sim Lep.

Kami berbual tentang kerjaya. Dia seorang CEO syarikat pengedaran batu permata, syarikat warisan keluarga. Aku kagum dengan karismanya. Kemudian kami beralih ke topik peribadi, soal diri dan keluarga.

Dia punya seorang anak perempuan berusia hampir 2 tahun namun telah berpisah dengan ibunya. Rupanya dia ke kotaraya L kerana mahu melawat mereka. Di hujung pertemuan dia mengatakan hasrat mahu mengenaliku dengan lebih rapat.

Dia mempelawaku ikut serta trip businessnya ke negara B dengan menaiki private jet. Aduh, ini peluang 1 dalam sejuta bisik hatiku. Aku sangat teruja tetapi berlagak cool sahaja. Aku setuju.

Sim mengarahkan pemandunya membawa aku pulang untuk berkemas dan mengambil paspot. Sebuah Roll Royce muncul di depanku. Aku bagai puteri di dalam mimpi.

Setelah siap berkemas kami terus ke airport. Di sana ramai staf pengiring Sim sudah menunggu. Turut serta ialah anak perempuan Sim yang didukung oleh seorang wanita. Itulah ex saya, bisik Sim. Mereka akan ikut kami ke luar negara.

Bekas pasangan dan anak Sim bersama date kami yang pertama, aku merasa sangat lain tetapi setuju sahaja. Suasana dalam private jet sungguh luar biasa dengan makanan dan minuman mewah yang belum pernah aku rasai. Hatiku melonjak suka.

Sempat berbual dengan ex Sim, dia beritahu Sim ayah yang baik. Masih menanggung belanja mereka berdua walaupun tidak bersama lagi. Ini menambah rasa kagum aku kepada Sim.

Tiba di ibukota negara B, kami mendaftar masuk sebuah hotel terkemuka dunia. Aku dan Sim tinggal sebilik. Kami menikmati saat bersama.

Aku ternampak parut di belakang badan Sim. Sukar tetapi dia beritahuku, parut itu angkara pertelingkahan tentang bisnes di sebuah negara A dan dia dipenjara di negara itu atas kesalahan yang tidak dilakukannya.

Aku dapati Sim seorang lelaki yang berkuasa, di bahunya tanggungjawab besar, berkarisma tetapi tetap manja dan rapuh. Seorang wanita seperti aku perlu ada di sisinya.

Tidak lama kemudian panggilan demi panggilan diterimanya. Sim memberitahu ada perkara penting yang mesti diselesaikan dan menyuruhku pulang dahulu. Aku agak kecewa tetapi menurut sahaja. Di tempatku, aku meneruskan kehidupan seperti biasa.

Aku mengharapkan hubungan ini diteruskan tetapi tidak terlalu berharap kerana aku tidak pasti apa yang dirasakan oleh Sim. Aku menyatakan rindu, tanpa diduga Sim juga merindui aku!

Kami berhubung di WhatsApp dengan mesej-mesej manis dan mengujakan. Dia benar-benar menggoncang hatiku apabila mengirim sejambak besar bunga ros merah.

Suatu hari Sim menghantar lokasinya yang terkini. Di bandarku! Di sebuah hotel mewah. Sim mengajakku datang. Sememangnya aku ingin bertemu dan tidak lepaskan peluang itu.

Selepas itu agak sukar juga kami berjumpa kerana jadualnya yang sibuk. Terbang ke sana sini untuk urusan bisnes. Aku pula pulang ke kampungku di negara N. Kukira aku tidak dapat berjumpa Sim lagi tetapi siapa sangka Sim menjejakiku hingga ke tempat asalku.

Dia mengatakan serius mahu bersamaku. Di sinilah aku yakin Sim benar-benar milikku dan hanya aku miliknya.

Sim mula secara terbuka bercerita tentang bisnesnya. Katanya sebagai pasangan kami harus tidak ada rahsia. Bisnes batu permata itu sesuatu yang sangat bahaya.

Musuh di mana-mana dan sentiasa ada ancaman menanti. Sim tunjuk gambar peluru yang dikirim di dalam surat, rakaman CCTV pecah masuk rumahnya di negara I, dan sebagainya.

Aku sangat takut dan bersimpati tetapi Sim memberi jaminan semuanya akan selamat dan kami akan tetap bersama. Aku kembali ke kotaraya L. Agak lama kami tidak berjumpa kerana Sim sibuk seperti biasa tetapi kami tetap berhubungan.

Suatu hari Sim membuatku benar-benar terkejut. Dia mengajak aku tinggal bersama! Aku terus setuju kerana sememangnya aku mahu sentiasa di sisinya. Urusan mencari apartment Sim serahkan kepadaku.

Aku membuat panggilan video sewaktu melihat rumah yang akan kami duduki. Akhirnya aku temui 1 apartment mewah yang sesuai buat kami dan Sim setuju.

Suatu malam, Sim menghantar gambar Pit, body guardnya yang besar tegap itu dalam keadaan berdarah di kepala. Mereka sedang dalam ambulans untuk rawatan. Aku sangat cemas.

Apa terjadi? Sim beritahu musuhnya telah bertindak, mujur ada Pit jika tidak mungkin Sim yang maut.

Tetapi apa pun keadaan telah selamat dan Sim menyuruh aku tidur. Pagi esoknya Sim menghantar mesej suara. Keadaan keselamatan mereka semakin mendesak. Sim dinasihatkan untuk tidak menggunakan kad kredit miliknya kerana lokasi mereka akan mudah dijejaki musuh.

Dia meminta pinjam kad kreditku buat sementara. Sebagai kekasih aku tidak keberatan membantu Sim dalam keadaan genting seperti ini.

Kad platinum atas namaku aku serahkan. Sekejapan sahaja kadku sampai ke tahap maksima tetapi kata Sim jangan risau bayaran dia aturkan terus ke bank. Tidak cukup itu dia meminta wang tunai 25,000 dollar pula.

Aku pelik kenapa perlukan tunai. Jawab Sim supaya lokasinya tidak mudah diketahui.

Aku tidak punya tunai sebanyak itu. Demi Sim, aku mohon pinjaman segera di bank. Wang itu aku bawakan kepada Sim di bandar A negara Ne.

Aku sungguh takut membawa tunai sebanyak itu. Apa akan jadi sekiranya aku tertangkap. Akhirnya aku sampai ke tempat Sim dengan selamat.

Sejurus aku tiba, Pit menelefon katanya maklumat telah bocor dan pihak musuh sudah tahu lokasi mereka. Pit akan menjemput Sim dan kapal terbang telah sedia menunggu tetapi tidak boleh beritahu ke mana. Pit minta semua lampu dimatikan.

Aku sungguh gementar apalagi melihat seseorang yang kucinta dalam bahaya. Sim mohon maaf kerana terpaksa pergi tergesa-gesa. Keesokannya Sim menghantar lokasi di sebuah negara lain.

Aku kembali ke rumah. Sim menghantar mesej katanya kadku tidak boleh digunakan. Kerana kad itu milikku jadi aku yang kena call pihak bank.

Beberapa kali aku melakukan itu setiap kali Sim menggunakan ke tahap maksima. Sim menyarankan aku minta pihak bank naikkan limit kad. Bagaimana?

Sim menyediakan slip gaji dengan angka gaji yang sungguh lumayan konon aku bekerja dengan syarikat batu permatanya. Senang-senang sahaja limit kadku dinaikkan.

Dalam keadaan aku kekhuatiran, Sim menghantar kiriman wang dari luar negara sebanyak 250,000 dollar.

Wang itu mengambil sedikit masa itu sampai. Aku lega kerana jumlah itu melebihi dari apa yang Sim sudah pinjam dariku.

Aku mahu pulang ke kampung untuk menjenguk orang tuaku. Aku mengajak Sim tetapi katanya tidak boleh kerana keadaan keselamatan belum pulih.

Aku akur asalkan dia selamat. Sementara itu dia masih sibuk ke sana sini untuk urusan bisnes. Membelanjakan sejumlah besar wang untuk melayan client-client kelas atasan.

Sim meminta wang dariku lagi dengan alasan yang sama. Aku mohon pula pinjaman 40,000 dollar dari bank lain. Setiap 3-4 hari pasti ada saja wang diminta. Setiap kali limit kad habis digunakan aku terpaksa memohon dari bank berlainan sehingga kini 7-8 bank kesemuanya.

Wang 250,000 dollar yang dihantar tempuh hari masih belum diterima. Setiap hari aku semak baki akaun tetapi hampa. Aku agak tertekan dengan keadaan itu tetapi isu keselamatan Sim bagiku lebih utama.

Sim meyakinkan aku semuanya akan baik dan inilah peluangku untuk menunjukkan pengorbananku kepadanya. Aku tidak sedar semua hutangku kini berjumlah 250,000 dollar.

Aku kini menjadi buruan bank. Aku meminta Sim membayar wangku. Sim meminta aku datang ke tempatnya untuk beri cek. Setibanya di sana, cek telah tersedia. Tetapi Sim bersikap dingin denganku. Tiada lagi kemesraan dan kasih sayang. Aku cuba berbual tetapi janggal.

Malam itu tidak berlaku seperti yang aku harapkan.

Aku kembali ke rumah. Cek itu segera aku tunaikan. Selama 4 hari aku menunggu tetapi wang tetap tidak muncul di akaun. Aku call Sim.

Dia seakan terganggu dengan pertanyaanku soal wang. Katanya sudah membuat seperti yang sepatutnya. Aku kini terasa sungguh asing dengan Sim seolah dia bukan kekasihku lagi. Aku kini tahu aku dalam masalah besar. 9 bank sedang mengejarku.

Aku membuat panggilan ke bank yang mengeluarkan kad kreditku. Dari suaraku mereka tahu aku dalam masalah besar lalu menghantar dua pegawai berjumpaku.

Kepada mereka kuceritakan semuanya. Siapa yang gunakan kad, penipuan yang aku buat sewaktu memohon dan semuanya.

Aku ceritakan tentang Sim. Mereka minta gambar Sim.

Kedua mereka berpandangan sesama sendiri dan berkata inilah orangnya. Apa pula ini? Salah seorang pegawai berkata Sim Lep hanyalah 1 nama di antara banyak nama yang digunakan lelaki ini. Banyak nama? Aku terkedu.

Rupanya Sim seorang penipu profesional. Bukanlah anak billionaire batu permata. Semuanya dusta belaka. Lelaki yang aku cintai itu tidak wujud.

Jauh di sudut hati aku masih berharap semua ini mimpi. Aku masih cintakan Sim! Aku tidak faham bagaimana seseorang boleh melakukan sekejam dan sekeji itu.

Aku pulang ke rumah ibuku. Nombor Sim sudah kublok. Tiada apa lagi yang aku harapkan. Tiba-tiba telefon rumah ibu berdering. Baru aku teringat Sim ada nombor telefon rumah ibu. Dia ada semuanya.

Sim memberi aku mesej suara berbaur ugutan. Aku takut setakutnya tetapi ibu lebih takut lagi. Kami menelefon polis tetapi tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

Aku seakan gila memikirkan hutang bank dengan kadar faedah tinggi menggunung. Seolah seseorang sedang menarik aku ke air untuk dilemaskan. Pernah aku terfikir untuk membunuh diri saja. Aku terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri.

Saat terbaring di katil wad psikiatri, aku mencari lebih maklumat tentang Sim.

Aku tahu Sim menipuku tetapi bagaimana dengan orang-orang di sekelilingnya seperti Pit si body guard itu. Adakah mereka sebahagian komplot? Siapa sebenarnya wanita yang mendukung anak perempuan Sim. Adakah anak Sim benar-benar wujud?

Aku hubungi pegawai bank tempoh hari. Aku mahu lebih maklumat tentang Sim. Mereka menyuruhku Google 1 nama iaitu Samdul Hanyut.

Ada 1 artikel dalam bahasa F dari negara F. Aku tekan Google translate. Artikel itu bertajuk “Billionaire Penjerat Wanita”. Beberapa tahun sebelumnya dia dipenjarakan di negara F kerana menipu 3 wanita tempatan. Tetapi setelah bebas lelaki masih meneruskan aktiviti terkutuknya.

Adakah Samdul Hanyut dan Sim Lep orang yang sama? Siapa yang akan menghentikan kedurjanaan ini? Aku! Tiba-tiba aku mendapat keazaman. Aku temui editor syarikat berita yang terbesar di negaraku. Aku ceritakan semuanya.

Mereka meminta bukti. Segala perbualan WhatsApp dan mesej suaranya aku serahkan. Aku tahu tindakan ini seolah membuka pekungku tetapi aku nekad untuk menghentikan Sim dari menganiayai wanita seterusnya. Para wartawan menyiasat ke akar umbi.

Artikel tentang Samdul Hanyut dari negara F itu aku serahkan kepada wartawan. Melalui kerjasama wartawan negaraku dengan wartawan negara F, mereka berjaya mendapatkan tiga nama wanita mangsa Samdul Hanyut. Setelah aku Google nama-nama ini, 1 wajah itu sangat aku kenal.

Wanita bekas pasangan Sim yang mendukung anak Sim di dalam private jet. Bagaimana mungkin salah seorang mangsa penipuan tiga tahun lepas, boleh bersama kami dalam private jet itu. Kenapa dia tidak memberiku sebarang amaran tentang Sim?

Kami perlu membuktikan Sim Lep dan Samdul Hanyut orang yang sama. Kedua mereka berasal dari negara I. Wartawan negaraku menghubungi rakan sejawatan negara I. Mereka berjaya mendapatkan alamat Samdul Hanyut dan menjejaki lelaki itu.

Menyedihkan kawasan perumahan itu berlainan sekali dengan gaya hidup mewah yang ditonjolkan oleh Sim. Mereka menemui ibu kepada Samdul tetap tidak mendapat layanan baik. Kemudian mereka ke balai polis tempatan.

Polis mengesahkan Sim Lep dan Samdul Hanyut adalah orang yang sama. Banyak nama digunakan dalam penyamarannya. Melakukan penipuan demi penipuan sejak dari umur belasan tahun.

Polis I mengesahkan mereka memang mencari Samdul tetapi lelaki itu telah lari ke luar negara dan tiada sebarang tindakan dapat dilakukan.

Rupanya, selama berhubungan dengan aku, Sim juga menjalin hubungan dengan wanita lain. Wang daripada aku dileburkan untuk wanita lain. Trip luar negara, urusan bisnes itu semuanya penipuan belaka. Segala kemewahan ditaburkan kepada wanita seterusnya.

Setelah mendapat kepercayaan wanita itu, hal yang sama akan dilakukannya. Iaitu menunjukkan gambar Pit berdarah di kepala, keadaan keselamatan yang genting dan meminta wang tunai untuk perbelanjaan mewah bagi misi seterusnya.

Ayat dan situasi semuanya sama. Setelah wanita itu kehabisan sumber kewangan, Sim akan memutuskan hubungan. Begitulah cara Sim menikmati kehidupan mewah. Bukan sedikit tetapi telah 10 juta dollar wang dikikis dari teman-teman wanitanya.

Sementara itu wartawan teruskan siasatan mereka. Dari statement kad kreditku, mereka temui 1 nama wanita yang dibelikan tiket penerbangan. Wanita itu, P dihubungi segera. P nyata terkejut. Seperti aku, dia juga ditipu sehingga berhutang beratus ribu dollar.

Aku diaturkan pertemuan dengan P. Kami berpelukan dan menangis bersama. Tiada orang lain yang lebih mengerti perasaan kami selain kami sesama sendiri.

Selepas P, Sim menjalin hubungan dengan A. Usia perhubungan mereka 14 bulan bilamana A terbaca artikel yang diterbitkan oleh akhbar negaraku. Wajah Sim, wajahku, wajah P, segala cerita tentang kami, segala perbualan WhatsApp kami di dalam artikel itu.

Artikel itu telah viral ke banyak negara sehingga aku dan P dihubungi oleh ramai mangsa Sim dari serata dunia. Mereka memberitahu ditipu Sim dengan pelbagai cara dan pelbagai identiti.

A terkejut kerana modus operandi Sim sama seperti yang dialaminya sendiri. A juga telah berhutang beratus ribu dollar demi membantu Sim. A lantas menghubungi Sim tetapi Sim mengatakan aku dan P diupah oleh musuhnya untuk menjatuhkan beliau.

A kini tahu dirinya sedang ditipu. A mula memasang perangkap. Situasi A agak beruntung kerana Sim kini tiada tempat bergantung, tiada wanita baru yang boleh digodanya kerana wajah Sim telah viral.

Wangnya juga telah habis sehingga terpaksa tinggal di hostel 1 bintang dan makan sisa orang lain di restaurant.

Sim sangat terdesak mendapatkan perlindungan. Ketika inilah A menggunakan peluangnya. A berpura-pura masih sayang dan ingin membantu Sim mendapatkan wang. A mencadangkan supaya barangan dan pakaian Sim yang mewah berjenama itu dijual. Sim setuju.

A berjaya mendapatkan sebahagian wangnya semula tetapi tidak menyerahkan kepada Sim. Sim berulang kali mendesak dan mengugut tetapi dalam masa yang sama masih memujuk rayu.

Sehingga suatu hari Sim memberitahu A dia mahu ke negara Pr. Senyap-senyap A menghubungi polis negara Pr dan sebaik tiba, Sim ditangkap atas kesalahan pemalsuan paspot dan identiti.

A menelefon P dan P pula menelefon aku. Betapa gembiranya aku dengan berita ini. Memang inilah yang aku mahu. Sim ditangkap dan digari.

Sim dihantar pulang ke negaranya dan dipenjara 15 bulan atas kesalahan yang dilakukan di negaranya tetapi bagaimana pun dibebaskan hanya selepas 5 bulan.

Sim kemudiannya dilihat mengiklankan khidmat nasihat bisnes di website. Hidupnya masih berlegar kemewahan dan tidak dapat disabitkan dengan kesalahan menipu aku dan wanita lain di luar negara. Sementara aku dan mangsa lain terpaksa menanggung hutang beratus ribu.

Malah Sim masih aktif bergiat semula di platform pencarian pasangan di mana dia temui aku dan semua mangsanya. Teman wanita terbarunya seorang gadis cantik senegara.

———

Terima kasih kerana sudi membaca coretan panjang ini. Bukan kisah aku sendiri tetapi kisah dari dokumentari yang aku tonton. Kisah benar. Penceritaan dari wataknya sendiri. Segala tajuk dan nama watak aku rahsiakan kerana khuatir ada isu plagiat atau penerbitan semula.

Tujuan aku hanya satu. Berhati-hatilah para wanita. Di negara kita pun tidak kurang kes love scam. Wanita yang polos, wanita kesunyian sering menjadi mangsa. Jangan cepat terpedaya dengan wajah luaran dan godaan kemewahan.

Watak Sim Lep ini sangat pandai menggunakan kelemahan wanita atas sifat belas ehsan dan sifat ingin mencintai dan dicintai mereka. Aku merayu wahai wanita. Gunakan kepintaran akalmu saat diuji. Sekian.

– Kemboja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *