Simpanan 6 Angka Pada Umur 28 II

Assalamualaikum. Cuti Maulidur Rasul ni banyak pulak masa aku nak menjawab persoalan lazim yang terbit daripada komen-komen netizen pada confession terdahulu. Aku tak nak tulis panjang-panjang (kalau terpanjang, maaf) sebab takut ada yang baca tak habis macam confession hari tu.

Aku dah tulis confession tu berbulan-bulan kot. Berapa puluh kali aku baca sendiri sebab nak perbaiki supaya takde ruang boleh dikecam. Tapi kena kecam juga kakaka. Adoi lah netizen. Aku dah baca semua komen, yes hampir semua! Apa yang aku dapat simpulkan, yang kecam tu samada dengki atau tak baca confession betul-betul / sampai habis. Tak kisah lah tak nak baca sampai habis ke, nak baca tajuk je ke, tapi tak malu ke komen memandai? Yang judge aku takde life tu boleh terima lagi tau, sebab berasas.

Ok, kali ni aku tulis pendek je (pendek ke?) biar semua boleh baca sampai habis. Cuma nak menjawab komen-komen korang je.

1. Takde life
Betul aku takde life, aku sendiri yang tulis kan. Aku tak kisah, dah biasa dah orang cop programmer takde life. Walaupun begitu, aku tak rasa boring tau. Melainkan series/movie yang aku layan tu memang boring haha. Menganggap aku menyeksa diri, aku tak bahagia, itu tak betul. Aku cukup bahagia sekarang. Aku gembira dengan hidup aku, dengan pekerjaan aku. Aku jarang sekali mengomel pasal hidup dan pekerjaan. Aku selalu mengomel pasal ekonomi je; tapi aku bukan mengomel saje, aku susuli dengan tindakan.

Mungkin juga aku jenis suka terperap dalam rumah bila duduk dengan family (zaman menyewa dulu, normal je) sebab dah terbiasa sejak kecil. Dulu sebelum bersara, abah bekerja sebagai security guard. Kerja siang malam tak tentu, weekday weekend tak tentu. Weekend belum tentu boleh berjalan macam orang lain. Bila raya pun, belum tentu boleh pergi beraya. Percaya lah, setiap ketidak-normal-an tu, pasti ada sebab disebaliknya. Macam Darwina dan ibunya juga.

Bagi aku (buat masa sekarang), bahagia tu bila hidup takde masalah. Tapi mustahil takde masalah. So, kurang masalah pun dah cukup membahagiakan. Lain orang, lain definisinya tentang “bahagia”. Aku tak pernah sebut pun orang yang tak banyak duit tu tak bahagia.

Tak adil betul bila seorang perempuan nak compare life mereka dengan aku. Aku lelaki, aku bertanggungjawab sepenuhnya untuk sediakan kehidupan selesa untuk bakal isteri dan anak-anak aku nanti. Aku kena merancang dari sekarang. Perempuan lain lah, nak enjoy zaman muda ke, apa ke, tetap akan ada suami yang bakal menanggungnya nanti. Aku rasa betul kata pengomen-pengomen positif hari tu. Bukannya aku takde life, tapi ini lah life aku. Aku kena betulkan tu lepas ni.

2. Travel
Siapa je tak suka travel kan. Lagi-lagi dengan orang tersayang. Aku pun ada impian nak honeymoon ke Turkey. Aku lebih suka pergi negara-negara yang mesra Muslim. Senang nak makan, cebok, solat. Tak perlu ambik wuduk kat sinki toilet airport. Tapi tu lah, terpaksa tangguhkan kehendak satu ni. Harap dapat travel ke 31 negara bila semua keperluan (rumah, kereta, kahwin) dah selesai. Travel bukan keperluan buat masa sekarang. Sekarang ni dapat travel via company trip pun dah cukup sesangat. Harap tahun depan company bawak ke Jepun pulak. Johor pun boleh lah, asalkan luar negara, mesra Muslim pulak tu. K k, gurau.

Oh by the way, “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri Cina” tu hadis dhaif ya. Hadis apa yang sahih? “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”. Mujur ulama dah longgarkan ikut kesesuaian zaman. Boleh google lah kalau nak ulasan yang lebih terperinci.

3. Konsert
Tak logik betul aku dah habiskan hampir RM6000 untuk barang muzik, tapi tak pernah pergi konsert. Gig/konsert metal/hardcore lagi. Tapi itu bukan lah sesuatu yang aku boleh banggakan. Konsert terakhir aku pergi, Avenged Sevenfold 2012 di Sunway Lagoon. Masa tu jugak lah aku dapat hidayah. Masa kat konsert tu aku rasa kosong. Berdiri tegak je. “Apa aku buat kat sini?”, meanwhile orang keliling terjerit-jerit, terlompat-lompat, moshing. Tapi aku stay situ jugak lah sebab pergi dengan kawan. Kepuasan? Takde langsung waktu tu. Aku anggap zaman muda, zaman rebel aku dah tamat kat situ. Sejak dari tu lah aku berazam tak nak lagi join event super-lagha dan perbaiki diri agak drastik; sampaikan ada kawan yang tanya apa jadi pada aku nampak lain. So, pergi konsert tak semestinya happy okay.

4. Pelajaran
Ok yang ini ada kisah menarik aku nak kongsi. Aku takde Degree, apatah lagi Master macam akak tu. Aku pernah sambung Degree di IPTA terkemuka, tapi aku langsung tak gembira sebab masa tu dah takde passion nak belajar. Yang paksa aku sambung Degree pun emak. Aku turutkan je asalkan dia gembira. Tapi bila dah tak mampu teruskan, terpaksa quit juga lah. Tak nak buang masa repeat paper/semester #BenciCalculus. Mak pun redha je. Lepas dapat kerja, aku bayar balik emak RM700 duit yuran yang aku sia-siakan tu. Ada orang suka belajar tinggi-tinggi, ada orang tak suka. Kawan perempuan aku pun ramai belajar sampai Master. Lain orang, lain life goal nya kan?

Kenapa takde passion belajar? Sebab aku dah merasa bekerja dan pegang duit kot (kerja setahun sebelum sambung Degree, gaji RM1300). Lagi satu, masa tu aku dah dibrainwash oleh bekas senior programmer, dia cakap “Kalau boleh diputarkan masa, aku tak belajar sampai Master. Lepas Diploma, kerja terus”, sebab programmer ni boleh pergi jauh dengan pertaruhkan pengalaman, skill & portfolio je. Sebelum quit Degree aku siap tulis kat blog, perbandingan terus belajar vs quit belajar & kerja. Apa yang aku tulis tu memang menjadi kenyataan. Antara yang aku harapkan “kalau dapat gaji RM2000 pun okay dah”. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

Nak tahu apa lagi yang aku tulis? Ringkasannya lebih kurang macam ni..
“Apa yang aku dapat 3-4 tahun dari sekarang (2012)?
Teruskan belajar: Ilmu (lebih meluas) + hutang + sijil
Quit & cari kerja: Ilmu (lebih relevan) + simpanan + pengalaman”

Bila bekerja, lagi macam-macam aku belajar. Calculus pun tak guna bila kerja ni haha. Bukan bermaksud aku tak galakkan korang belajar tinggi tau! Lain bidang lain caranya, lain orang lain kemampuannya.

4. Makan
Seperti ramai yang dah tolong jawabkan, aku kedekut dengan diri sendiri je, bukan dengan family. Dengan isteri apatah lagi, satu perut je nak isi. Paling suka komen lebih kurang camni.. “Kedekut dengan diri sendiri je, tapi dengan family first class. Tak macam orang lain, makan sendiri first class, tapi belanja family krik krik”. Pergh padu bro!

Catu makan tu aku tak seksa diri pun. Aku lagi seksa kalau habiskan makan sekaligus. Perut aku kecik walaupun lemak di luarnya tebal. Sekarang kalau lunch pun, half dari nasi (hidangan ala carte) bagi kat kawan yang boleh makan banyak, tak nak membazir. Kalau makan nasi campur, nasi ambik sesenduk je.

Processed food tu jugak yang korang nampak kan? Begedil, telur, tempe, apa semua aku nak campak mana? Bukan hari-hari makan lauk processed food tu. Seminggu sekali lah. Eleh, macam lah korang tak pernah makan hotdog, nugget, burger, fast foods & meatballs beserta jem lingonberry. Apa-apa pun, aku terharu sebab ramai ambik berat pasal kesihatan aku. Terima kasih. Tapi itu semua cerita lama, sekarang ni pemakanan normal je.

Nak tanya.. kalau ada kawan korang bawak bekal dari rumah untuk lunch, korang hina jugak ke? Aku rasa sama je konsepnya. Nasib baik takde komen “Puasa isnin khamis?? Kedekutnya!”. Anyway, takde siapa pun paksa korang catu makan. Makan je lah macam mana yang korang nak. Jangan makan bah kut teh sudah.

5. Kakak & Makcik Bawang
Terbaca beberapa komen camni.. “Kalau saya ada anak perempuan, saya tak bagi bermenantukan dia ni”. “Laki camni memang tak lah aku jadikan pasangan”. Kakak, makcik, saya pun tak hingin nak jadi pasangan akak dan menantu makcik *emoji menangis*

6. Kawan
Kawan datang dan pergi. Kawan baru boleh dicari bila-bila masa, di mana-mana. Bila susah belum tentu kawan ada, family yang sentiasa ada di sisi (tak semua juga). Dulu aku ada ramai kawan pun, kena tikam dari belakang jugak. Sampai membunuh impian aku nak dapat Anugeran Naib Canselor. Jatuh teruk prestasi pelajaran aku. Nasib baik semester terakhir dah. Nak pergi convo pun pikir 100 kali tau sebab tak nak tengok muka diorang tu. Dengan life aku sekarang, kawan online pun dah cukup.

“Kalau motor rosak, takde kawan nak tolong”. Sekarang ada je kawan, bukan takde langsung. Hari tu motor rosak pun, aku tak call officemate suruh datang. Aku tak suka menyusahkan (meminta) orang. Tiga kali motor rosak, ketiga-tiga kalinya Allah hantar budiman tolong tow motor aku. Jangan risau, brotherhood among bikers amat kuat walaupun tak kenal. Kami bikers bukan pentingkan diri sendiri bila nampak orang tolak motor.

7. Duduk Rumah Mak Bapak
Yang kecam ni memang tak baca habis lah ni. Aku rasa apa yang aku spent sekarang sama banyak je kalau aku duduk menyewa pun. Lebih RM700 sebulan. Bila aku buat kira-kira, tolak itu tambah ini, kalau aku duduk sendiri lepas ni pun, aku akan spend lebih kurang RM700 juga sebulan.

8. Duit Tak Bawak Masuk Kubur
Betul. Tepat sekali. Tapi ini komen pesen tak habis baca jugak. Bukannya aku nak kumpul sampai mati. Tahun depan aku akan jadi tak berduit jugak macam korang yang kondem tu sebab nak bina rumah. Kalau ada komen “rumah pun tak bawak masuk kubur brader”, ni elok lah bawak family tinggal dalam kubur nanti. Kalau aku mati sebelum bina rumah pun, mak abah aku akan dapat semua duit Tabung Haji, EPF, takaful aku (dah daftar nama pewaris) tu, dan aku gembira dapat sumbang sesuatu pada mak abah meskipun dah takde di dunia. Sekurang-kurangnya aku tak meninggalkan hutang.

9. ASB Financing & Bitcoin
Aku tahu tu option yang lebih bijak untuk menjana wang, tapi dah aku tak yakin, aku tak boleh teruskan. Korang pun sedia maklum ada bermacam fatwa pasal ASB. Bitcoin lagi lah. Yang aku rasa syubhah aku elakkan terus. Biarlah lambat, asal selamat. Tapi terpulang pada diri masing-masing nak pegang fatwa mana. Aku tak judge. Abang aku pun buat ASBF, adik aku sendiri simpan dalam ASB.

Dulu, aku pernah anggap islamic banking ni backdoor riba, tapi sekarang aku lebih terbuka. Tak nak dah memandai bab muamalat, serahkan pada yang ahli. Tu sebab dah berani nak beli kereta guna pembiayaan. Yang penting, kena faham konsepnya. Pembiayaan ok, bukan pinjaman. Profit ok, bukan interest. Bank beli, markup harga (profit), lepas tu jual kat kita dengan bayaran ansuran. Pada aku, anggapan/pemahaman tu penting sebab berkait dengan niat/akad. Tapi kalau pembiayaan peribadi, aku kurang yakin sebab jual beli tu macam tak jelas sandarannya.

Aku macam berminat pula dengan Unit Trust tu. Sebenarnya hampir buat pun dulu, Public Mutual. Tapi tak jadi sebab belum kaji betul-betul fund mana yang terbaik.

10. Bina Rumah
Tanah dah diukur dan dibahagi tiga siap-siap untuk kami adik beradik supaya tak bergaduh tarik rambut di masa depan. Belum tukar nama kat geran. Leceh, banyak proses sebab geran kongsi dengan pakcik-pakcik aku a.k.a adik beradik Abah. Tu salah satu sebab juga tak buat rumah guna pembiayaan, sebab tanah bukan nama sendiri. DBI? Haha aku dah follow scam rumah ni sejak zaman Alfafa lagi. InsyaAllah takkan tertipu. Dah jumpa beberapa kontraktor yang ratenya agak murah dan yang penting dipercayai.

Sebab lain nak bina rumah cash?

Satu, sebab insecurity. Takde siapa berani jamin kita takkan dibuang kerja di masa depan. Takde siapa berani jamin kita akan kekal sihat dan boleh terus bekerja di masa depan. Aku selalu terbayang kalau rumah kena lelong. Kereta kena tarik takpe lagi, jangan rumah weh :( Macam-macam kisah lah pasal rumah kena lelong ni. Kerja oil & gas gaji besar pun tak terkecuali. Aku memang jenis takutkan risiko. Tu sebab tak reti sangat melabur dan berbisnes.

Dua, sebab nak kurangkan komitmen lepas kahwin sebab nak enjoy life dan mula menyimpan untuk anak-anak dan hari tua pulak. Tak boleh harapkan 100% pada EPF. Aku tak nak tergolong dalam “too poor to retire” huhu. Lagi satu, aku ada satu impian; nak jadikan isteri sebagai fulltime domestic engineer sebab nak anak-anak dapat perhatian, penjagaan dan pendidikan yang sebaiknya. Itu pun kalau dia setuju. Ramai perempuan nak bekerja sebab nak pegang duit sendiri, dan rasa insecure takut ditinggalkan. Aku pun faham lah apa yang mereka rasa dan fikirkan, tu sebab tak nak memaksa. Benda boleh bincang. Rasanya surirumah + part time online bisnes adalah solusi terbaik..?

11. Jodoh
Rasa macam dah terjumpa jodoh kat ruangan komen hari tu. Tertarik betul pada komennya. Dah lah tahu purpose of life, comel pulak tu. Eeee turned on betul saya. Mohon check message request ya semua hahaha. Jangan lah kenen-kenenkan saya dengan Darwina, segan aih #GedikMuch Anyway, good job Darwina. Saya kagum dengan apa yang awak buat tu. Membuatkan saya rasa nak berkhidmat lebih untuk mak abah. Moga terus dimurahkan rezeki dan bahagia selamanya.

12. Jaime Lannister
Aku pun baru perasan “A Lannister always pays his debts” hahaha. Aku pilih nama tu sebab tu karakter kegemaran dalam Game of Thrones dan ejaannya hampir sama dengan nama aku #ValarMorghulis #BukanIncest

Terima kasih pada yang bagi komen-komen positif. Mata aku basah membacanya. Korang positif sebab korang faham apa yang aku cuba sampaikan. Yang kecam tu mesti tak faham. Typical netizen. Takde sesiapa pun paksa korang simpan duit bebanyak. Aku cuma kongsi bagi yang berminat dan nak memanfaatkan tips tu. Aku faham, setiap orang lain matlamat hidupnya. Apa-apa pun, moga kita semua gembira dan berjaya walaupun cara kita berbeza.

Aku harap korang dah nampak lah apa visi & misi aku sampai aku sanggup buat semua ni. Harap dapat menulis lagi 3-5 tahun akan datang. Yela, aku pun nak tahu jugak anak bini aku kebulur ke tak seperti yang diramalkan makciks bawang. Itu pun kalau aku panjang umur lah. Terima kasih admin sebab approve. Terima kasih pada yang sudi baca.

– Jaime Lannister

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit