Assalamualaikum… takziah buat keluarga mangsa kebakaran tahfiz baru-baru ini. Saya amat terkesan dengan kejadian yang telah berlaku. Tapi yang lebih memberi kesan adalah betapa tenatnya generasi kita sekarang. Ya, memang betul kita bersimpati dengan mangsa-mangsa yang terkorban. Tapi nasib mereka disana tentunya lebih baik dari kita kerana meninggal dalam keadaan mendekatkan diri dengan Allah. Saya lebih bersimpati kepada kanak-kanak yang telah melakukan kesilapan besar dalam hidup mereka dengan bertindak diluar kemanusiaan yang saya rasa mereka sendiri pun tidak terfikir akan impak yang begitu besar akan terjadi disebabkan oleh tindakan bodoh mereka.
Memang saya akui, salah yang teramat salah apa yang telah dilakukan oleh mereka. Membakar satu sekolah disebabkan oleh hanya mungkin salah faham, ejek mengejek antara kanak-kanak. Saya sangat sedih apabila membaca komen-komen dari netizen yang memaki hamun, menyumpah, mengeluarkan kata-kata kesat kepada kanak-kanak yang melakukan jenayah tersebut. Ramai yang menunding jari, menyalahkan mereka, menyebar gambar-gambar mereka, menuntut pihak berwajib menjatuhkan hukuman mati, penjara seumur hidup dan macam-macam lagi tindakan yang difikir setimpal dengan dosa yang mereka telah lakukan.
Disebalik kejadian tu, kita sikit pun tidak mengambil iktibar dan mencari penyelesaian yang dapat memberikan kita kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Siapa kita untuk menghukum mereka. Ya memang mereka berdosa, tetapi adakah dengan memaki hamun ( siap sebut lahanat dan lain-lain yang amat tidak mencerminkan kita sebagai umat islam) menjadikan kita lebih baik dari mereka. Kasihani mereka. Nanti ramai yang kata, buat apa nak kasihan, apa yang mereka buat tu terlampau jahat. Ya, memang apa yang mereka buat itu jahat. Tetapi sedarkah kita, mereka masih kanak-kanak. Bayangkan kehidupan mereka akan datang, macammana mereka nak meneruskan hidup? Gambar mereka telah tersebar luas, alamat mereka didedahkan. Yang meninggal telah pun meninggal dan kita semua yakin, syurga buat mereka. Tapi kanak-kanak yang tersilap langkah ini, macammana dengan kehidupan mereka.
Bila terkeluarnya berita mengatakan kanak-kanak ini yang membuat khianat, bila terkeluarnya gambar-gambar mereka, saya menangis. Saya bayangkan ahli keluarga saya yang jadi kanak-kanak itu. Saya pun ada adik-adik lelaki. Kehidupan kita seharian macam menidakkan kita untuk memantau segala perbuatan mereka. Dengan siapa mereka berkawan, apa yang mereka lakukan, baikkah mereka, jahatkah mereka. Kanak-kanak sekarang tidak seperti dulu. Dulu kita telefon pun tidak ada. Sekarang semua dihujung jari. Maklumat senang saja boleh dapat. Ni apatah lagi untuk berhubung dengan kawan-kawan yang telah terjebak dengan benda yang kurang sihat. Senang sangat. Kita dulu sebelum magrib dah pulang ke rumah. Sekarang, selagi belum pagi, masih sedap berlibur di luar. Dulu sebelum magrib mak ayah dah ada dirumah dengan anak-anak. Sekarang, mak ayah sibuk mencari rezeki di luar. Siang bekerja, malam kerja kedua, pagi baru balik.
Saudara-saudaraku, baiknya kita, bagusnya kita, terdidiknya kita adalah sebab didikan orang tua kita. Terjahatnya mereka, ternakalnya mereka, kurang ajarnya mereka adalah sebab kurang mendidiknya kita. Kita yang mencorak mereka. Dengan maki hamun, hina menghina, tidak menjadikan hidupnya semula mereka yang terkorban tetapi mewujudkan generasi pemarah, tidak berbudi bahasa pada masa akan datang. Yang terkorban, kanak-kanak. Yang membuat khianat pun kanak-kanak. Kita simpati dengan keluarga mangsa, jangan sampai kita menghina keluarga yang membuat khianat. Kita sesama manusia. Boleh jadi akan datang ahli keluarga kita yang membuat onar. Adakah kita mampu untuk menerima segala tohmahan, hinaan dari orang sekeliling? Tepuk dada tanya iman. Marilah kita muhasabah diri. Mungkin Allah mahu kita lebih cakna kepada anak-anak, adik-adik serta keluarga kita.
– Kakak sulong
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit