Simpati Tidak Menyelesaikan Isu OKU Penglihatan

Terima kasih admin atas penyiaran luahan ini. Saya mengambil sedikit peluang dan ruang untuk meluahkan pendapat dan pandangan saya berkaitan OKU Penglihatan khususnya.

Saya mempunyai seorang anak yang juga merupakan OKU Penglihatan dan bersekolah di sekolah khas masalah penglihatan.

Saya terbaca confession seorang ibu mengenai masa depan anaknya di https://iiumc.com/an4k-oku-penglihatan-bagaimana-masa-depan-mereka/.

Anda boleh baca pendapat beliau mengenai pengalamannya bersua bersama golongan ini.

Isu yang ingin saya utarakan adalah berkaitan dengan konsep simpati masyarakat perlu diubah menjadi satu bentuk sistem sokongan bagi OKU Penglihatan di Malaysia khususnya.

Sistem sokongan ini melibatkan banyak aspek namun saya hanya mengutarakan pendapat pada aspek peranan masyarakat / NGO dan aksesibiliti mobiliti.

Seperti yang menjadi kelaziman dalam komuniti masyarakat kita, kebanyakannya akan bersimpati dengan golongan OKU. Namun demikian, simpati tanpa empati adalah tidak membantu diri mereka untuk meneruskan hidup di masa akan datang.

Hakikatnya jika dilihat kepada aspek kemenjadian modal insan OKU Penglihatan, hanya minoriti kecil dalam kalangan mereka yang memperoleh peluang pekerjaan yang profesional.

Kebanyakan daripada golongan OKU Penglihatan ini kurang diberi latihan kemahiran sosial serta tiada sistem sokongan yang berterusan dalam membimbing perjalanan hidup mereka.

Majoriti mereka yang tidak mampu bersaing dalam bidang akademik selepas tamat SPM di peringkat sekolah menengah akan menceburkan diri dalam bidang terapi urut, operator customer service, pemuzik jalanan, dan berniaga secara persendirian.

Apa yang menjadi kebimbangan ialah apabila pemikiran mereka yang ingin memperoleh hasil pendapatan secara mudah dan cepat, mereka akan mengikut jejak langkah menjual tisu sama ada di kaki lima jalanan ataupun menggunakan penarik warga asing.

Persoalannya, apakah OKU Penglihatan yang sihat tubuh badan serta memiliki tahap IQ yang baik juga masih memilih ‘pekerjaan’ sebegini bagi meneruskan kehidupan?

Apakah langsung tiada manusia yang celik matanya memberi peluang serta menunjukkan kepada mereka jalan kehidupan yang lebih baik?

Apakah perjuangan kehidupan mereka berakhir di titik noktah penjual tisu serta menerima elaun bantuan JKM sebagai ‘gaji’ bulanan?

Ingin saya kongsikan usaha yang dilakukan oleh negara jiran yang terdekat dengan kita dalam menyuluh jalan kehidupan yang lebih terang kepada golongan OKU Penglihatan ini iaitu Yayasan Mitra Netra.

Anda boleh meneruskan pembacaan selanjutnya mengenai latar belakang, usaha, serta pendapatan mereka.

Apa yang membuat saya berasa kagum adalah usaha mereka ini bukan semata-mata pertubuhan NGO biasa kerana mereka menggabungjalinkan kepakaran kedua-dua belah pihak iaitu pihak OKU Penglihatan dan juga individu celik dalam membangunkan kualiti berterusan sama ada OKU Penglihatan sejak kecil mahupun buta dewasa.

Perkara ini yang masih belum dipergiatkan di Malaysia kerana saya yakin usaha ini amat memerlukan komitmen selain hala tuju objektif yang jelas sebagai sistem sokongan di Malaysia juga.

Sistem sokongan dari aspek NGO memperlihatkan terdapat banyak NGO di Malaysia yang berteraskan OKU Penglihatan.

Namun sepanjang pengetahuan saya, tidak ada satu pun NGO yang benar-benar komited seperti Yayasan Mitra Netra.

Jika ada, sudah tentu golongan OKU Penglihatan ini tidak perlu bergantung kepada elaun JKM serta tidak ada lagi isu golongan muda yang sihat untuk menjual tisu di jalanan mahupun kedai-kedai makan.

Bagi saya, tidak perlu kita sebagai ibu bapa terlalu mengharapkan akademik untuk memperoleh kerjaya dalam sektor kerajaan.

Seperti yang dibentangkan oleh Senator YB Isaiah Jacob di persidangan [BBN] HAK-HAK OKU: DARIPADA AKTA KEPADA PENERIMAAN MASYARAKAT, aspek yang diberi penekanan oleh beliau adalah penambahbaikan sosioekonomi OKU dan mewujudkan Akta daripada polisi 1% pekerja OKU.

Apa yang penting kita sebagai ibu bapa seharusnya bekerjasama dan berganding bahu dengan semua pihak dengan kemampuan serta kepakaran masing-masing sebagai satu kumpulan sokongan untuk generasi OKU Penglihatan dalam meningkatkan tahap kualiti kehidupan mereka.

Jangan kita sebagai ibu bapa terlalu mengharapkan elaun JKM mahupun simpati orang. Fikirkanlah masa depan anak kita kerana mereka yang akan meneruskan kehidupan.

Belum tentu adik-beradik, anak-anak buah, saudara-mara, ataupun teman rapat akan mampu menjaga golongan OKU ini sebagaimana ibu bapa menjaga mereka.

Terdapat banyak isu hak-hak OKU disalah guna oleh ahli keluarga kerana mereka menganggap OKU hanyalah untuk disimpati dan langsung tiada fungsi sumbangan kepada keluarga.

Banyak hak-hak OKU dianiaya tanpa disebarkan kepada pihak media dengan pelbagai alasan. Persoalannya adakah OKU langsung tidak mampu memilih jalan kehidupan sendiri? Hanya duduk di rumah?

Secara peribadi, saya pernah berjumpa beberapa OKU Penglihatan yang telah berjaya menempuh liku-liku cabaran kehidupan dengan penuh kegigihan serta berdikari. Mereka tiada penglihatan.

Ada juga dalam kalangan mereka ditakdirkan hilang deria penglihatan ditambah kurang daya pendengaran. Ada juga yang tiada daya penglihatan dan tergolong dalam kategori masalah pembelajaran (LD).

Namun, mereka semua berusaha meneruskan kehidupan mengikut tahap kemampuan masing-masing terutamanya di Kuala Lumpur. Mengapa Kuala Lumpur? Hal ini jugalah yang dikaitkan dengan isu sistem sokongan di Malaysia.

Jawapan kepada persoalan isu aksesibiliti dan mobiliti di Kuala Lumpur adalah lebih mesra OKU selain penerimaan masyarakat amat memahami cara membantu golongan OKU berbanding di tempat lain.

Hal ini bermula apabila mereka banyak diberi peluang berdepan dengan dunia luar secara berkumpulan untuk meneroka setiap tempat serta perkara yang ingin dilakukan.

Pendek kata, mereka mampu bebas bergerak ke mana sahaja asalkan memperoleh petunjuk yang betul. Dan dari situ mereka akan turut meneroka peluang pekerjaan yang disediakan oleh majikan yang benar-benar ingin membantu OKU meningkatkan kualiti kehidupan.

Peluang demi peluang akan selalu tersedia asalkan golongan OKU Penglihatan ini gigih, tabah, dan rajin berusaha.

Hilang deria penglihatan bukanlah titik noktah dalam kehidupan seseorang individu. Tetapi itulah sebenarnya titik permulaan kepada kehidupan dalam mencabar keupayaan diri untuk mencapai impian setinggi langit.

Jika Profesor Dr. Ismail Salleh, Louis Braille, dan Helen Keller mampu mencabar diri sendiri, mengapa tidak bagi OKU Penglihatan lain yang masih memiliki IQ yang waras serta tubuh badan yang sihat?

Akhir kata, kita sebagai ibu bapa mahukan anak kita berdiri megah menabur bakti kepada masyarakat walaupun mereka OKU Penglihatan.

Sama-sama kita usahakan perjalanan terbaik bagi anak-anak kita yang ditakdirkan sebagai OKU umumnya. Semoga kita mendapat manfaat serta menyumbang sebagaimana Yayasan Mitra Netra.

– Ibunda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *