Simpati Yang Membunuh

Hi. Sebelum saya mulakan cerita saya, sedikit intro tentang saya. Saya berstatus single parent, penjawat awam dalam pengurusan profesional dan merupakan pesakit mental yang didiagnos major depressive disorder dan anxiety.

Berdasarkan latarbelakang pendidikan dan jawatan, di mata umum, saya ternampak gah dan boleh dikatakan dalam golongan yang dihormati. Tapi disebalik semua itu, saya terhimpit dalam masalah kewangan yang serius.

Walaupun masih boleh meneruskan kehidupan, masih mampu menyara pakai makan minum anak tanpa bantuan tapi saya juga terpalit dengan hutang yang teruk.

Ditambah pula dengan penyakit mental yang sedia ada menyebabkan saya menjadi orang yang meminggirkan diri. Malu dengan keadaan diri sendiri. Tapi bukan ni cerita yang saya nak sampaikan kali ni.

Apa yang saya nak sampaikan adalah bagaimana simpati atau concern yang ditunjukkan bos dan rakan sekerja di tempat kerja saya membuatkan saya semakin jauh dalam dunia saya dan semakin malu untuk berhadapan dengan orang.

Sebagai seorang pesakit mental, secara amnya saya memang kurang bergaul dengan orang. Lebih suka bawa diri dan ada masa saya banyak rehat kerana letih yang tak tahu punca dan mungkin juga efek ubat ubatan.

Disebabkan personaliti saya yang juga introvert, saya amat kurang makan di kafe. Tambahan pula saya memang jenis makan memilih.

Pada awalnya ni semua tak menjadi masalah. Sehinggalah ofis kerap menerima panggilan dan surat dari pemungut hutang, segala rekod peribadi saya mula disemak oleh pegawai atasan.

Pada mulanya, semua masih terkawal setelah saya mengemukakan tindakan yang saya akan ambil untuk mengawal masalah hutang ni supaya tidak menganggu kerja. Tapi tak lama selepas tu, secara tiba-tiba semua rakan sekerja terlebih ramah dan mengambil berat.

Kerap memaksa dan mengajak saya makan sehinggakan bersungguh-sungguh cakap nak belanja makan saya dihadapan semua orang. Bila ada majlis apa-apa, semua pakat suruh saya tapau makanan untuk bawa balik.

Dah jadi macam saya orang yang tak cukup makan. Orang mula buat macam saya tak ke kafe kerana memang tak berduit nak makan.

Saya mula naik rimas. Saya mula gelisah bila ada rakan yang menghampiri tempat saya. Saya mula mengelak untuk bertembung dengan rakan sekerja. Betul saya ada masalah saya. Saya berterima kasih bila ada yang bersimpati.

Cuma setakat ni saya tak pernah lagi mohon bantuan dengan rakan walaupun saya kesempitan. Bukan sebab ego. Tapi sebab itu akan membuat emosi saya lebih teruk. Saya akan lebih malu nak berhadapan dengan orang.

Jujurnya, saya kecewa. Sebab bos saya membincangkan masalah peribadi saya dengan rakan lain. Dan sebab itulah rakan sekerja mula menunjukkan concern yang ketara pada saya. Saya rasa lemah semangat dengan perubahan ni di tempat kerja.

Ada yang bersungguh-sungguh nak bantu saya dekatkan diri dengan tuhan. Ada pada tahap yang saya rasa mereka mula memaksa saya untuk ikut rentak dan kehendak mereka.

Ayat masing-masing semuanya ikhlas dengan harapan jadi saham mereka di akhirat. Seolah-olah saya lah terpaling jahil. Sebab kurang dekat dengan tuhanlah saya sakit mental. Itu anggapan mereka. Sungguh, saya dah tak mampu nak hadap.

Saya harap readers kat luar sana, kalau ada kawan yang sakit mental, tolonglah jangan terjah terus.

Kalau mereka dah memang dalam rawatan, tak perlulah kita pula nak tambah sesi kaunseling dan rawatan untuk mereka. Pesakit mental ni bukan semua nak meluah sesuka hati.

Kebanyakan yang dalam rawatan ni dalam perhatian doktor dan kaunselor yang pakar semuanya. Janganlah gopoh sangat nak sihatkan orang sampai makin sakit jadinya. Tegurlah mereka macam biasa.

Tanya sekali sekala tak jadi masalah pun, tapi janganlah nampak sangat dalam pejabat tu semua tengok kawan yang mental macam orang yang paling menyedihkan di dunia. Ini yang saya kena.

Mungkin mereka tak sedar, tapi mereka buat seolah-olah saya di tangga paling bawah dalam strata masyarakat.

Terima kasih kerana simpati.

Tapi saya makin sakit.

– Labu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *