Assalamualaikum.. Saya Saga, umur 20+. Sebelum ni saya pernah confess di sini, tapi dengan nama samaran yang lain (mengikut situasi cerita).
Hari ini, untuk confession perkara lain. Kat sini saja tempat yang saya ada untuk membaca semangat dari orang-orang yang menghadapi masalah yang sama seperti saya.
Saya ada teman lelaki (Wira) yang usia satu tahun muda dari saya.
Pada awal perkenalan kami, dia nampak normal, mungkin kerana hanya berbual-bual melalui panggilan telefon sahaja. Tak pernah video call atau berjumpa. Dia banyak bercerita tentang family dia, dan keadaan dia yang dianggap olehnya serba sederhana dan tak susah.
Pernah juga saya rasa ada beberapa perkara yang pelik, perkara yang diceritakan nampak macam tak kena dengan realiti yang sebenar dia lalui. Tapi memandangkan baru kenal dan tak pernah berjumpa, jadi saya sentiasa fikir positif. Wira ni juga selalu cerita semua benda dekat mak dia.
Termasuk la dia berkenalan dengan saya pun dia cerita dekat mak dia. Wira pernah cakap dekat saya, apa-apa yang dia lalui, dia akan cerita dekat mak dia. Saya ok saja, sebab tak ada benda buruk yang dia cakap pasal saya.
Sampai la suatu hari.. saya dapat bekerja di daerah yang sama tempat dia tinggal. Jadi, macam biasa lah, Wira akan cerita pada maknya.
Mak Wira ajak saya datang ke rumah. Banyak kali mak WIra pujuk, sebab saya malu dan tak biasa pergi rumah orang kecuali hari raya saja.
Disebabkan dah berkali-kali mak Wira mengajak dan pujuk (mak Wira siap nak bercakap dengan saya dalam call waktu saya dengan Wira tengah on the phone), jadi akhirnya saya pergi juga la ke rumah mereka.
Maaf kalau bahasa saya agak kurang sopan. Sewatu tibanya saya ke rumah keluarga Wira, saya agak terkejut sedikit. Sebab Wira kata keluarganya bukan orang susah. Tapi selepas kenal lebih rapat dengan keluarga Wira, apa yang Wira katakan selama ni tak sama dengan apa yang saya lihat.
Wira ada 5 orang adik beradik, ada sorang kakak ipar, dan ada sorang abang ipar. Tapi dalam 9 orang tu (termasuk mak, ayah dan ipar-ipar Wira), hanya Wira dan abang sulungnya sahaja yang bekerja. Yang lain semua duduk di rumah tak ada buat apa-apa.
Dan setiap bulan hanya menunggu duit bantuan masuk. Maaf sekali lagi kalau apa yang saya katakan ni agak kurang senang. Saya tak biasa dengan persekitaran yang begitu.
Keluarga saya juga bukan orang senang. Tapi kami semua berusaha untuk mendapatkan apa yang kami mahu dengan bekerja, walaupun jual selimut masa awal-awal kesusahan kami dahulu, bukan setiap bulan menunggu duit percuma masuk akaun.
Dan terus terang saya katakan, setiap kali ke rumah Wira, saya sangat-sangat tak selesa. Sebab rumahnya agak usang dan kotor (maaf, ada banyak lipas ke sana sini, dan keluarganya tak pernah buat apa-apa untuk hapuskan lipas tu, dan ada tikus hmm).
Ditambah pula abang ipar dan kakak Wira tinggal bersamanya, dengan keadaan rumah yang sempit, kecil dan hanya dua bilik tidur. Wira selalu mengalah setiap kali keluarganya bergaduh.
Disebabkan bilik tidurnya kini abang ipar Wira yang duduk, jadi Wira kena tidur di ruang tamu bersama adik-adiknya yang lain sampai ke hari ini.
Wira kerja kedai makan sahaja, dan tak ada keinginan hendak cuba minta kerjaya yang lebih stabil. Saya penat nasihatkan dia untuk fikir masa depan.
Tapi dia tetap degil dan tak mahu cuba minta kerja lain sedangkan dia ada diploma. Dia hanya nak kerja kedai makan tu sebab kerja tu mudah (ambil order, serve makanan, basuh pinggan, pastu balik).
Dan dia selalu merasakan gaji RM1k tu dah terlalu banyak walaupun untuk bina keluarga nanti. Saya stress sangat-sangat. Sebab dah banyak kali nasihat tentang masa depan dan simpanan untuk hari tua nanti. Tapi dia tetap macam tu dengan pelbagai 1001 alasan yang tak munasabah.
Wira sama seperti mak dan ahli keluarganya. Walaupun sekecil-kecil nilai wang, mereka anggap dah terlalu banyak dan boleh beli sebiji rumah. Ini cerita betul.
Pada mulanya saya fikir positif. Saya fikir, mungkin mereka ni jenis orang yang bersyukur, jadi mereka sentiasa rasa cukup dengan apa yang mereka ada.
Tapi semakin lama saya kenal, saya semakin rasa stress dan tak boleh nak faham. Paling saya ingat, mak Wira cakap gaji RM1k tu dah boleh beli cash sebiji rumah kalau menabung. Ye saya faham, “sikit-sikit lama-lama jadi bukit” kan? Tapi keluarga Wira macam katak bawah tempurung.
Nak menabung sampai berapa tahun untuk dapat sebiji rumah? Dan masa tahun tu, harga rumah dah berapa sen? Sedangkan orang yang gaji RM2k pun belum tentu boleh lepas loan. Inikan pulak nak beli cash.
Dan mak Wira selalu cakap dia nak buat rumah dan besarkan rumah sampai 2 tingkat. Maaf cakap, mereka sekeluarga selalu cakap besar dan banyak angan-angan kosong.
Keluarga Wira juga tak pernah pergi klinik/hospital kalau mereka sakit. Sebab mereka tak percaya ubat tu boleh menyembuhkan penyakit.
Pernah beberapa bulan lepas saya sakit, saya makan ubat panadol depan mak Wira. Kemudian mak Wira macam pandang enteng dekat saya.
Pastu mak Wira cakap dia tak makan ubat-ubat macam tu, dia cakap Allah la yang sembuhkan segala penyakit, dan dia hanya minum air clorofil ke apa entah yang warna hijau tu? Dia cakap dia ikhtiar pakai air tu. Hmm ubat klinik bukan ikhtiar juga ke?
Wira juga ada masalah dalam memahami setiap apa yang saya luahkan. Termasuk sikap dia yang taknak usaha itu pun saya pernah luahkan sampai menangis-nangis. Tapi dia tetap tak boleh nak hadam dan tak faham apa yang saya sedang sampaikan.
Kadang-kadang saya rasa nak pecahkan kepala dia, sebab terlalu geram. Saya meluah panjang lebar apa yang saya tak puas hati dengan dia. Sebab saya nak dia berubah. Tapi dia senyap saja. Bila saya tanya faham ke tak, dia cakap faham.
Tapi bila saya suruh dia ulang balik, dia tak boleh ulang. Dan dia cakap saya marah sebab benda lain. Contoh, saya marah dia taknak usaha majukan diri, taknak usaha cari kerja yang stabil.
Lepas dah siap membebel, saya tanya faham tak, dia jawab faham. Saya tanya dia balik, apa yang saya cakap tadi tu? Dia cakap saya membebel pasal dia pakai baju terbalik. Haa korang faham tak level dia tak boleh nak hadam apa yang saya bebel tu macam mana? Teruk sangat.
Jadi, sampai hari ini, saat ini, jam ini, dia masih ulang dan ulang kesalahan yang sama walaupun saya dah nasihat beruta-juta kali. Banyak benda saya ajar dia sebijik macam tengah mengajar budak-budak tadika.
Saya ajar dia menabung macam mana, saya ajar dia bercakap dengan orang secara profesional macam mana, macam-macam dah saya ajar dan pesan, tapi dia tetap tak boleh nak faham dan tetap ulang kesalahan yang sama.
Saya cuba tukar kaedah, saya ajar dia macam budak-budak. Tapi masih juga dia buat lagi kesalahan tu. SAYA PENAT sangat-sangat. Banyak kali dah saya rasa nak putuskan hubungan. Saya taknak dah.
Saya tak rasa dia boleh jadi ketua keluarga yang matang. Tapi dia selalu tunggu depan bilik sewa saya dari malam sampai pagi untuk pujuk saya dan ambil hati saya balik. Benda tu buat saya rasa kesian sangat dekat dia.
Bila saya google tentang ciri-ciri yang ada pada Wira ni. Keluar artikel berkenaan “Sindrom Peter Pan”. Ada sesiapa pernah kenal lelaki seperti Wira ni tak? Macam mana ye nak bagi dia semangat supaya jadi lelaki yang berguna dan matang?
Saya taknak dia jadi macam abang ipar dia, tak bekerja langsung sejak bujang sampai nak masuk anak dua dah, pastu menumpang rumah mentua saja.
Saya taknak dia jadi macam abang sulung dia, nak kerja kedai makan tu sampai nak masuk anak tiga dah, dan tak benarkan adik-adiknya sambung belajar dengan alasan “ilmu dunia ni biasa saja”.
Saya taknak dia jadi macam mak dan ayah dia, yang sentiasa mengharapkan duit bantuan sedangkan kudrat empat kerat masih gagah. Saya nak Wira ni sedar yang dunia ni tak senang seperti petik jari. Saya nak dia sedar realiti, bukan fantasi.
(Ye saya tahu akhirat lebih utama kan.. tapi selagi masih hidup, apa salahnya kita usaha untuk kesenangan kita sampai dah tiba ajal nanti?
Saya tak nak jadi macam keluarga Wira, sampaikan nak beli lauk apa-apa kena pergi rumah sedara mara untuk pinjam duit. Sampai bila kita nak meminjam dengan orang tanpa kita usaha?)
Dan ada ke perempuan yang dah terlanjur kahwin dengan lelaki slow macam Wira ni juga? Cakap apa pun semua dia tak faham. Dan berterusan masih lalukan kesalahan yang sama sedangkan dah pesan banyak kali walaupun seminit yang lalu.
Atau saya saja yang masih bodoh sebab masih bertahan dan bersabar?
– Saga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit