Hai korang. Nama aku Embon. Singkatan dari bentuk badan aku yang tembon. Tembon ni kalau sesetengah negeri tu maksudnye gems (maaf aku tak mampu nak sambung. Korang jela teruskan).
Kebetulan ada waktu lapang sikit hari ni jadi aku pun berbesar hati lah nak menceritakan kisah aku yang tak seberapa ni. Sebab kadang-kadang aku sedih baca confession macam-macam masalah.
Betul kata orang, dunia ni memang pentas ujian dan setiap ujian itu berbeza-beza ala2 ‘custom made’ untuk setiap manusia bergantung pada kemampuan seseorang.
Bagi aku hidup ni macam ‘PA system’ tu. Ala yang selalu DJ kenduri kawen tekan atas bawah tu pastu cakap kat mikrofon “cakk cakk sound check one two three four check check”.
Kalau orang tu lebih itu, dia akan kurang ini, lebih ini, kurang itu. Ala.. tak paham lagi? hmm sebab tu la aku gagal ujian nak jadi cikgu dulu.
OK aku terangkan lagi. Sape tak faham pegi tanya jiran sebelah. Aku guna contoh, orang kaya dia lebih bab harta, tak semestinya dia bahagia bila dia kaya. Ujian dia part anak ke, kesihatan ke. K
alau orang tak cantik/ tak hensem pulak, mesti ada kelebihan part lain macam senyum manis ke, rajin buat kerja rumah ke.
Jadi kita pun macam tu sebenarnya. Ada kelebihan masing-masing yang telah di custom made. Macam gigi palsu nenek kite la, walaupun suami isteri, atok tak boleh nak pakai gigi palsu nenek sebab bentuk gusi nye tak sama. Hagitew.. nampak tak?
Aku seorang yang ceria dan suka berjenaka. Tapi itu hanya luaran untuk menutup sedihku.
Aku orangnya biasa-biasa. Tuhan ambik ibu ayah aku sejak kecil kerana kesalahan jenayah.
Jadi aku dijaga oleh saudara terdekat yang jalan ceritanya macam drama Cinderella yang korang tengok dulu-dulu. Bezanya keluarga tu tiada anak, dan aku satu-satunya budak yang dibesarkan.
Aku tak pernah merasa bangun pagi dengan ciuman di dahi, pelukan dan ucapan “sayang Embon”. Pujian apatah lagi. Dari kecil tugasku memasak dan mengemas.
Lepas sekolah aku tak boleh keluar. Perlu di rumah siapkan kerja sekolah. Pernah kawan-kawanku datang ke rumah. Lewat pulang diherdik menyuruh pulang. Aku husnuzon. Mungkin kami yang salah.
Sindiran dah jadi makanan aku. Tapi aku tak pernah ambil hati. Sekurang-kurangnya aku dapat makan dan tempat berteduh.
Sebab itu aku diam bila pasangan mohon didoakan dikurniakan zuriat, sebab aku pun faham, Tuhan tahu bila masa yang tepat untuk satu-satu pasangan tu layak dikurniakan zuriat.
Sebab aku pernah baca, kalau anak yatim piatu ni sedih, orang yang menjaga tu masuk neraka. Jadi aku tak nak la manusia yang dah bagi tempat berteduh dan bagi aku makan dapat balasan tak baik.
Bila aku hampir meningkat remaja, aku mula menulis diari. Zaman dulu mana ada telefon. Hanya yang ada telefon rumah. Diari aku dibaca oleh penjaga aku.
Luahan aku dikatakan tidak patut dan aku dilabelkan sebagai tidak tahu diuntung sebab aku meluah dileteri oleh penjagaku. Zaman dahulu ilmu keibubapaan masih kurang barangkali. Cara Asian parents ni masih dianggap berkesan.
Aku pun bukanla baik sepenuhnya, ada juga nakal cara budak-budak macam main telefon dail nombor 1-800 xxx jawab kuiz sampai bil beratus ringgit.
Sebab aku ni keseorangan, aku selalu main masak-masak sorang. Bila aku fikir balik, uish nasib baik tak de bunian yang syok nak bekawan dengan aku.
Kesannya, sampai sekarang aku terbiasa cakap sorang-sorang. Zaman remaja aku dah dimasukkan ke asrama sampailah ke alam universiti dengan bergantung sepenuhnya pada duit pinjaman pendidikan.
Aku ada sikit awkard untuk bergaul dan berkongsi, juga cara komunikasi dengan masyarakat luar. Tapi lama kelamaan aku dah ok seiring usia.
Sekarang aku dah dewasa, telah pun berkeluarga. Suami aku lelaki Malaysia yang biasa. Bukan yang jenis dalam novel.
Cara dia menunjukkan kasih sayang sama macam ayah-ayah di Malaysia, melalui perbuatan. Nak berkata sayang, manja, kirim salam. Romantik jauh sekali. Pegang tangan pun tidak.
Kalau membeli belah bersama, dia akan berjalan seorang meninggalkan aku. Malu jalan dengan orang gemuk, katanya. Aku hanya mampu tunduk menelan rasa. Ya, aku gemuk dan hitam.
Kalau melawat zoo Negara, dia akan mengajak aku ke kandang badak air. “Meh la cepat melawat kawan ni” katanya sambil ketawa. Anak kembarku pun ketawakan aku. Aku pura-pura ketawa untuk menutup sedihku.
Punca aku jadi gemuk kerana sejak kecil, bila aku sedih aku akan mencari makanan manis untuk menghibur hati sebab aku tahu tiada siapa yang akan memujuk. Sejak itu berat badanku berterusan bertambah.
Kini aku memegang jawatan tinggi di dalam sebuah syarikat. Personalitiku masih sama, ceria dan gembira.
Namun di sebaliknya, aku merupakan seorang yang menyimpan banyak kesedihan dan inginkan kasih sayang. Terjaga di tengah malam, aku akan menangis sendirian mengenangkan nasib.
Alangkah indahnya kalau ada manusia yang sudi memeluk ku dan memberi semangat untuk aku meneruskan hidup.
Status sebagai muslim selalu mengingatkan aku untuk lebih redha dengan ketentuan Tuhan. Mungkin di luar sana lebih ramai lagi yang bernasib lebih teruk dariku.
Kisah peribadi seeloknya disimpan sendiri. Bukan semua mampu memahami dan melontarkan simpati. Manusia hari ini hanya tertarik kepada individu yang mampu memberikan faedah kepada diri mereka.
Kepada yang sedang dibendung masalah, aku doakan kalian dipermudahkan urusan. Doakan aku juga dipermudahkan urusan yang baik-baik.
Tiada apa yang sempurna di dunia ini. Tetaplah teguh dan sabar menghadapi dugaan. Adios..
– Cik Embon dari Malaya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit