Ini kisah aku dan Siti, pasangan yang digelar orang merpati dua sejoli.
Hubungan cinta kami bermula sejak tingkatan satu lagi. Sama cantik sama padan, hubungan kami turut direstui orang sekeliling. Baik keluarga, cikgu dan jiran-jiran di kampung.
Berbekalkan rupa paras yang elok, tinggi dan tegap serta wakil tilawah peringkat negeri, atlet terbaik dan selaku ketua pelajar yang berkaliber, aku adalah lelaki idaman dan calon menantu pilihan acik-acik di kampung.
Di bidang akademik, aku mengambil aliran sains tulen dan satu-satunya pelajar yang boleh dapat A1 dalam Matematik Tambahan pada setiap ujian dan peperiksaan sehinggalah SPM sebenar. Kira hebat sangatlah untuk standard budak sekolah luar bandar.
Siti pula gadis desa yang sangat cantik dan ayu. Ibunya berkahwin dengan Pakistan jual karpet. Jadi, wajahnya saling tak tumpah persis Izara Aishah. Maka tidak hairanlah dia sering menjadi idaman setiap jejaka yang memandang.
Tingkah lakunya sopan, tutur katanya beralas lembut. Cuma dibidang akademik dia kurang menyerlah, tetapi seorang yang sangat tekun belajar. Dia belajar di kelas aliran sains sosial.
Selepas keputusan SPM, kami mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi yang sama.
Aku di bidang kejuruteraan dan dia di bidang kejururawatan, sesuai dengan cita-cita kami berdua. Biarpun berbeza bidang, kami sering meluangkan masa bersama-sama di universiti.
Ibu bapa Siti yang aku anggap seperti keluarga sendiri memberi kepercayaan kepada aku untuk menjaga anak tunggal perempuan mereka yang merantau jauh dari kampung halaman.
Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Baru habis dua semester, aku sudah berubah hati.
Pintu hati aku mula diketuk beberapa wanita lain. Semasa di alam universiti baru aku sedar, begitu ramai gadis yang lebih cantik daripada Siti.
Aku mula tertarik dengan awek-awek freehair dengan penampilan yang lebih moden dan seksi. Aku mula malu berjalan di samping Siti yang kekampungan dan cuma pandai berkurung cotton dan tudung bawal Aidijuma.
Pada cuti semester, aku mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Siti. Alasan klise aku berikan, Siti terlalu baik buatku dan aku ingin fokus kepada pelajaran.
Siti sangat patah hati. Keluarga aku di kampung tahu dan begitu marah. Keluarga Siti juga sangat sedih dan kecewa.
Selang beberapa bulan, ayah Siti kemalangan ketika menunggang motor dan meninggal dunia. Aku tidak balik kampung melawat jenazah pun disebabkan terlibat dengan kejohanan ragbi antara universiti ketika itu.
Kemudian aku dapat berita, Siti tidak kembali ke universiti untuk menyambung pengajian di semester ketiga. Aku tidak pasti kenapa.
Selepas tamat pengajian, aku terus diterima bekerja di sebuah syarikat multinasional. Kemudian aku dihantar bertugas dari satu negara ke satu negara yang lain.
Pada waktu itu, aku ada segala-galanya, kecuali cinta sejati. Mak ayah bising suruh kahwin, tetapi aku relaks sahaja.
Sememangnya aku sendiri belum berminat untuk menjalinkan hubungan serius dan mendirikan rumahtangga.
Apa cerita Siti? Jujurnya, tidak pernah terfikir atau ambil tahu. Pada aku, Siti cuma satu watak cinta monyet aku di zaman remaja.
Sehinggalah setahun selepas pandemik, aku diberhentikan kerja atas faktor-faktor peribadi. Aku pulang ke Malaysia tetapi tidak balik ke kampung halaman di Pantai Timur.
Aku hidup menyewa di Kuala Lumpur. Aku cuba-cuba berniaga tetapi tidak berjaya. Selepas setahun, wang simpanan semakin menyusut.
Akhirnya aku buat keputusan untuk mendaftar sebagai pemandu e-hailing. Cukuplah untuk aku seorang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di ibu kota ini.
Pada suatu petang Ahad yang damai, aku dapat job menghantar penumpang ke KLIA. Besar hati dan happy betul rasanya. Dapat job ‘jerung’ untuk pemandu macam aku kerana nilai tambang yang lebih besar daripada biasa.
Selepas menurunkan penumpang di terminal pelepasan, aku terus ke zon menunggu untuk menerima penumpang pulang.
Selepas hampir tiga jam, aku dapat job ke Bukit Jelutong. Alhamdulillah, rezeki aku dapat lokasi yang tidak jauh dari rumahku di Subang Bestari.
Nafas aku tiba-tiba berhenti. Jantung berdegup kencang. Saat aku mengambil penumpang di Pintu 3 Level 1 KLIA, terlibat wajah yang sangat aku kenal.
Wajah si tudung bawal yang pernah aku buang dan hancurkan perasaannya lama dahulu. Ye, Siti dan suami serta sepasang anaknya yang comel baru pulang bercuti.
Biarpun di sebalik pelitup muka, aku juga nampak riak wajah Siti yang turut terkejut dengan pertemuan selepas hampir 10 tahun ini.
Namun daripada matanya, aku dapat rasa yang dia cuba kekal tenang dan berlakon tidak mengenali aku di depan suami dan anak-anaknya.
Sepanjang perjalanan aku cuba untuk diam. Tidak sekalipun aku berani menjeling cermin untuk mencuri pandang wajah Siti. Namun suaminya yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu begitu peramah.
Nak tak nak aku terpaksa berborak mesra dengan pelanggan untuk menjaga rating pemandu.
Akhirnya, tahulah aku kini bahawa Siti yang aku tinggalkan dengan kejam dulu, berjaya mencapai cita-citanya menjadi jururawat sebelum bertemu suami, seorang doktor pakar di sebuah pusat perubatan.
Mereka dikurniakan sepasang anak kembar dan menetap di kawasan perumahan elit di pinggir kota.
Buat Siti, maafkan saya. Sememangnya awak berhak untuk menikmati segala kebahagiaan di dunia ini.
– Abang Driver Insaf (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit