Assalamualaikum. Aku harap persoalan aku dan luahan aku orang akan baca, seterusnya jika ada pakar psikologi ataupun Doktor psiaktri boleh memberikan pendapat tentang keadaan aku secara logik dan bukanlah sekadar pendapat kosong.
Cukuplah aku gelarkan diri aku sebagai gadis misteri. Aku seorang yang biasa-biasa. Tiada keistimewaan dan hanya seorang yang masih belajar di universiti awam di selatan tanah air.
Dari kecil, aku seorang yang pendiam. Seingat aku masa aku kecil dahulu aku rasa malu untuk bercakap. Aku akan jadi stress kalau terpaksa berhadapan dengan orang yang memerlukan aku berkomunikasi dengan orang tersebut. Ini kerana aku terpaksa fikir banyak Kali apa yang harus aku cakap dan menjaga percakapan aku supaya orang tidak terasa hati atau berfikir negatif dengan apa yang akan aku cakapkan. Selain itu, pada pandangan aku waktu itu, sepatutnya kita bercakap tentang perkara yang perlu sahaja.
Bila masuk alam sekolah menengah, aku jadi semakin anti sosial. Masuk tingkatan dua, aku masih tiada kawan rapat. Ini kerana aku mudah tersinggung dengan gurauan rakan-rakan sekelas. Contohnya jika ada kelakuan aneh, yang aku tak perasan aku lakukan, mereka akan cakap ‘ Kau ni sengallah! ‘ Walaupun hanya gurauan aku akan tersinggung.
Akhirnya mungkin kerana aku bosan, aku cari kawan yang betul-betul menjaga pertuturan. Aku gelarkan dia si Siti. Hubungan kami sangat rapat bagai isi dengan kuku. Aku anggap dia seperti saudara kandung sendiri. Hinggalah pada selepas PMR diumumkan. Siti mula brrubah perangai hingga menyebabkan aku rasa kurang selesa. Mungkin Siti rasa sedikit cemburu dengan keputusan aku yang lebih baik dari dia.
Selepas PMR, dengan keputusan yang aku dapat, aku berpendapat supaya aku sepatutnya menjadi orang yang lebih berketrampilan dan yakin diri. Aku cuba untuk menyinar dan berharap untuk dapat lebih ramai kawan supaya setaraf dengan kebolehan akademik aku.
Di situlah aku cuba berkawan dengan ramai orang. Aku cuba membuat yang terbaik untuk kelihatan yang terbaik di mata kawan-kawan baru. Aku tidak akan mengatakan tidak sekiranya mereka meminta sesuatu dari aku. Aku rela bersusah payah, berpenat dan mencuba sedaya upaya untuk nampak sempurna dan baik di mata mereka.
Akhirnya aku jatuh sakit atas dengki khianat Siti. Dan pergaduhan mulut mula berlaku antara aku dan kawan-kawan baru. Sakit yang aku hadapi tambah memburukkan keadaan. Sehingga aku terlampau stress dan berpindah sekolah.
Sewaktu di matrikulasi, aku mengasingkan diri daripada kawan sekelas kerana aku seorang yang lambat ‘pick up’ dan merasakan aku tidak setaraf mereka. Tetapi aku rapat dengan budak bilik kerana hubungan dalam bilik tidak melibatkan pelajaran. Aku kerap ke mana-mana sendiri. Hal yang demikian membiasakan aku untuk hidup menyendiri, makan sendiri, bershopping sendiri dan sebagainya. Aku rasa selesa dengan bersendirian.
Seterusnya ketika aku masuk ke universities, selepas sem kedua aku mula bermasalah dengan budak bilik yang jugak merupakan rakan sekelas. Pada semester berikutnya aku pindah ke rumah sewa dan mulai bermasalah dengan rumah sewa pula..
Aku dapati housemate rumah sewa aku enggan bertolak ansur dan aku rasa jadi tidak selesa. Bermula dari itu aku kerap berpindah-pindah rumah. Aku jadi negatif terhadap budak rumah atau budak bilik. Aku memilih untuk senyap dan tidak berbual untuk mengelakkan kami menjadi rapat dan baik. Selain itu, aku kerap mempunyai roomate dan housemate yang tiada kenderaan. Jadinya menjadi aku terpaksa untuk menghantar ke sana ke mari. Aku trauma dengan kejadian yang menimpa aku di sekolah menengah. Jadinya aku benci untuk tolong orang sekiranya diminta. Buat baik kepada orang akhirnya orang tikam belakang. Bukanlah aku menganggap itu urusan bisnes. Cuma aku sangat takut dengan hubungan baik pada permulaannya akan jadi persengketaan yang hebat. Kawan menjadi lawan dan hanya merosakkan kualiti hidup aku dari segi pelajaran. Aku jadi negatif terhadap manusia sekeliling. Aku mengasingkan diri. Hidup berseorangan ke sana ke mari. Makan sendiri, belajar sendiri, kecuali jika ada projek berkumpulan yang memerlukan aku bersosial aku akan bersosial.
Aku rasa hidup sendiri itu sangat menarik dan membahagiakan. Aku juga berfikir jika aku tidak berkahwin pun tidak apa. Aku cuma percaya emak dan adik beradik aku.Aku sebenarnya sangat bersyukur kerana belajar dekat dengan kampung halaman aku jadi aku kerap pulang.
Untuk pengetahuan korang ini rumah sewa ni ke sembilan(termasuk asrama) yang pernah aku inap sepanjang 3 tahun lebih di universiti.
Jadi di sini, aku harap penjelasan ilmiah dapat diberikan untuk masalah aku. Sebab dalam tempoh kurang setahun, berkemungkinan aku akan dapat kerja jauh dari kampung halaman dan aku tidak reti bersosial dengan masyarakat sekeliling. Bantulah aku.
– Gadis Misteri.
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit