Solat

Assalamualaikum semua. Aku tak tahu nak mula dari mana untuk kongsi benda ni. Kalau rasa benda yang aku nak kongsi ni agak mendatar ceritanya atau takde plot atau tergantung, layankan je. Aku akan olah sebaik mungkin nak bagi korang faham. Seperti tajuk yang tertera, aku nak berkongsi tentang hakikat solat. Benda yang aku nak kongsi ni ada kaitan dengan ilmu makrifat. Siapa tahu mungkin kita sama2 akan dapat ilmu baru. Kosongkan fikiran, jangan baca dalam keadaan kepala berserabut takut2 benda yang aku nak kongsi ni tak sampai dan berbekas di hati.

Sedar atau tidak, daripada kita kecil, kita sudah diajar untuk berkira2 dalam melakukan ibadah. Contohnya, solat berjemaah. Kita disogok dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, sehingga kita tak nampak hikmah yang lebih besar tentang tuntutan solat berjemaah tu. Cuba berfikir sejenak. Untuk apa kita solat sebenarnya?

Solat itu adalah bukti kerinduan kita kepada Allah. Allah rindu kita lebih dari yang kita dapat bayangkan. Dengan solat ni la menunjukkan yang kita juga rindu kepadanya. Kita tinggal urusan dunia semata2 untuk sujud kepadanya. Sebab tu kita digalakkan untuk ke masjid dan solat berjemaah. Sebab apa perlu ke masjid dan solat berjemaah? Sebab masjidlah tempat yang buat kita lebih ingat kepada Allah, dekat dengan Allah dan para jemaah itu sebagai bukti kerinduan kita kepada Allah. Kita berkumpul beramai2 untuk menyatakan kerinduan kepadanya. Bukan untuk mendapatkan pahala 27 kali ganda semata2.

Kalau aku tanya korang, untuk apa korang solat dhuha, majoriti akan jawab untuk kemurahan rezeki. Agak2 betul atau tidak persepsi kita? Memang betul, solat dhuha umpama ‘magnet rezeki’. Tapi kalau kita solat dhuha hanya untuk dipermudahkan rezeki, agak2 ikhlas ke solat kita tu? Nabi saw solat dhuha bukan sebab nak tarik rezeki, tapi sebab terlalu kagum, takjub dengan kekuasaan dan keagungan Allah. Bila sampai je waktu dhuha, berdiri bulu roma baginda melihat ciptaannya. Sebab tu baginda solat dhuha. Kita pulak solat dhuha semata2 nak murah rezeki. Andai kata solat dhuha tidak dijanjikan kemurahan rezeki, agak2 kita buat ke tak solat dhuha tu?

Ada yang rasa dirinya hebat bila tak pernah tinggal solat. Tapi dalam tak sedar, dia cuma solat sebab terpaksa. Kerana solat itu diwajibkan ke atas setiap orang islam. Andai kata solat itu bukan benda wajib, agak2 kita nak solat ke tak? Andai kata kita tak dijanjikan balasan (nikmat atau azab) untuk solat kita, agak2 kita nak solat ke tak? Kita kenal diri sendiri.

Dalam Al-Quran ada menyebut bahawa Allah menciptakan manusia dan jin untuk beribadah kepadaNya. Kenapa Allah nak kita beribadah kepadaNya sedangkan ibadah yang kita buat tak memberi apa2 kesan kepadaNya? Takkan berkurang sedikit pun kekuasaan, keagungan dan kemuliaan Allah kalau kita tak beribadah kepadaNya. Jadi atas sebab apa Allah suruh kita beribadah kepadaNya?

SEBAB DALAM DIRI KITA SENTIASA ADA KERINDUAN DARI Allah YANG MAHA AGUNG WALAUPUN KITA TAK MERINDUINYA. Allah NAK DENGAR KITA SEBUT NAMA DIA. SOLATLAH, SEBAGAI BUKTI KITA JUGA MERINDUINYA.

– KRA

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *