Solat Yang Terakhir

Di dalam penghujung bulan ramadhan mulia ini terpanggil saya untuk berkongsi kisah saya yang lalu sebagai perkongsian dan pengajaran kita semua.

Sesuai tajuk diberi pasti ramai tahu atau pernah menyaksikan sendiri dari paparan video bagaimana insan yang terpilih dijemput ke rahmatullah ketika sedang bersolat. Kematian khusnul khotimah, pengakhiran yang dicemburui.

Mereka yang terpilih itu bukan lah calang-calang insan. Sudah tentulah mereka ini dari golongan beriman, berakhlak mulia dan beramal soleh. Saya sendiri menyaksikan berkali-kali peristiwa ini berlaku dimana-mana melalui youtube atau pun facebook.

Di kesempatan sini juga dengan rendah hati ingin saya kongsikan kisah yang hampir-hampir sama telah berlaku pada saya… (walaupun saya seorang pendosa..)

Sebelum itu ada eloknya saya bercerita dulu latar belakang saya. Saya berasal dari keluarga yang biasa-biasa dan amalan agama juga lebih kurang sahaja.

Sekitar umur saya 23 tahun berada saya pada tahun akhir di sebuah IPT di seksyen 1 di Shah Alam. Saya tinggal di asrama bersama rakan-rakan.

Ada rakan sebilik saya (dari pantai timur) tak suka kan saya malah dipandang jelek sebab dia tahu saya tak pernah solat kalau ada pun hari jumaat sahaja, Itu pun selang seminggu atau dua.

Semasa hujung minggu di IPT saya juga suka keluar berpeleseran dengan teman wanita, dua hingga tiga. Menonton wayang, bermain boling dan juga pergi konsert sehingga lewat malam.

Tidak hanya itu, berpegang tangan, berpelukan dan bercium-ciuman adalah rutin sampingan. Begitulah rosak nya akhlak saya ketika itu. Tamat belajar, saya terus dapat kerja.

Disebab kan teruja dengan dunia baru, saya terus leka dari solat. Perangai dengan teman wanita makin menjadi-jadi. Maklumlah sudah memilki wang dan berkereta sendiri.

Waktu ini saya menumpang di rumah ibubapa sendiri, tanpa perlu menghulurkan wang belanja kepada mereka dan tanpa rasa bersalah. Disebabkan itu jugalah saya mampu berfoya-foya dengan gaji permulaan yang tak seberapa.

Berbalik kepada soal solat, macam juga zaman IPT hanya solat jumaat saja.. Disebabkan saya bekerja di Sri Petaling, masjid untuk saya solat jumaat yang terdekat adalah Masjid Tabligh. (Mesti ramai yang sudah kenal masjid ini sekarang)

Disebabkan di masjid ini ramai ahli tabligh dan anak-anak sekolah tahfiz (mereka ini semuanya berjubah dan serban putih), pada mula nya saya agak tersipu-sipu atau kekok untuk bersolat jumaat disini. Tak apalah, ini sajalah masjid paling hampir, pujuk hati saya.

Di sebabkan terlalu lama atau jarang solat saya seolah- olah telah hampir lupa rukun-rukun solat. Untuk ambil wuduk pun saya terpaksa memerhati dan ikut orang di sebelah kiri atau kanan mengambil wudhuk. Risau dan malu jika tersalah tertib wuduk.

Semasa solat pun saya pasti memerhati mereka yang di hadapan dan di sebelah kiri atau kanan takut tersalah pergerakan atau rakaat walaupun solat jumaat itu hanyalah dua rakaat sahaja.

Begitulah teruknya keadaan saya bila sudah terlalu lama meninggal kan solat. Bacaan dalam solat pun hampir semua terlupa kecuali surah al fatihah.

Tetapi disebalik perangai dan akhlak saya yang rosak, masih lagi saya diberi Nya satu kesempatan. Satu hari saya datang kesedaran dan keinsafan untuk bersolat. Seolah – olah telah datang hidayah kepada saya.

Kali ini saya cuba solat malam di dalam ruang solat yang sunyi di tengah malam di mana ketika itu bersendirian sahaja. Ini lah peluang terbaik saya untuk memperbetulkan solat. Saya berazam untuk kusyuk dan bersungguh-sungguh dalam solat.

Allahuakbar… Usai doa iftitah dan bismillah, saya mula membaca surah Al Fatihah ayat pertama dengan lancar. Semasa membaca ayat kedua tiba-tiba.. bacaan saya sedikit demi sedikit mula perlahan..

Ketika ini saya rasakan seluruh badan dan sendi saya tersangat lemah untuk terus berdiri, saya muskil tetapi kerana sudah kusyuk solat jadi saya melabuhkan diri dan teruskan solat dalam keadaan duduk seperti antara dua sujud. Ketika ini tenaga saya pulih seketika.

Saya teruskan baca ayat ketiga dengan lancar. Tiba-tiba bacaan saya perlahan semula pada ayat keempat (sekali lagi saya kehairanan sebab terasa sangat lemah pula untuk duduk tegak, saya terus meluruskan kaki dan teruskan juga solat dalam keadaan baring). Ketika ini tenaga pulih semula.

Pada bacaan ayat kelima saya berjaya baca dengan lancar dan seperti diduga pada ayat ke enam bacaan saya mula perlahan semula. Kerana terlalu lemah untuk membuka mulut. Saya teruskan juga untuk cuba baca ayat ketujuh didalam hati.

Ketika sedang membaca ayat di dalam hati, saya sudah pun berniat meneruskan solat dengan pergerakan mata pula. Tetapi kelopak mata saya pula tak berdaya untuk terus terbuka.

Dengan keadaan mata terpejam saya berusha untuk menghabiskan surah al fatihah di dalam hati, sambil berniat melakukan pergerakan solat juga dalam hati.

Takdir allah hati saya juga akhirnya akur dan tewas dengan sisa-sisa kudrat yang di penghujungnya…..(saya sendiri tak pasti sama ada saya berjaya menghabiskan surah yang di baca)… seolah saya telah tidak sedarkan langsung ataupun koma.

*****************************************

Setelah beberapa seketika dengan izin allah saya perlahan-lahan bernafas semula.. kudrat pula seolah sikit demi sedikit dikembalikan dan pulih semula.. Saya juga mampu untuk membuka mata perlahan-lahan allahamdulliliah.. syukur.. seperti saya diberi peluang bernyawa sekali lagi.

Tetapi…… maha besar Allah. ketika saya sedar dan membuka mata saya, terkejut bukan kepalang lagi. Hati saya bedegup kencang. Saya bukan lah di atas sejadah di dalam masjid atau surau sebalik nya diatas katil di dalam bilik tidur.

Saya juga bukan lah berpakaian berbaju melayu, bersongkok dan berkain pelikat sebalik nya berbaju t shirt dan berseluar tidur.

Ketika itu saya di bilik tidur saya dalam keadaan gelap malam sekitar 2 atau 3 pagi. Bukanlah di ruang solat yang di terangi lampu. Baiklah saya akui saya baru tersedar dari mimpi . Saya akur… saya pun cuba untuk bingkas bangun..

Tetapi alangkah terkejutnya saya sekali lagi. Jantung saya berdegup lebih kencang.. Sebenarnya ketika saya tersedar saya bukan lah dalam keadaan tidur yang seperti kebiasaan nya, tetapi sebaliknya dalam keadaan terlentang badan dan kaki tegak lurus dan kedua-dua tangan di dada.

Seperti keadaaan saya bersolat ketika berbaring. Betul- betul seperti keadaan semasa saya solat pada posisi terakhir sebelum saya terkulai layu tiada berdaya…… Masyaallah.

Walaupun saya bermimpi dalam tidur. Tetapi mimpi benar-benar terasa seperti sebenarnya seperti keadaan tejaga. Di saat dan ketika itu perasaan saya berdebar-debar dan bercampur baur.

Terkejut dan keliru sebab saya hanya mimpi tapi seolah sepert dalam jaga, takut dan gembira kerana seolah mimpi itu adalah peringatan dan hidayah pada masa yang sama. Terharu dan bersyukur kerna dalam kejahilan masih diberi kasih sayang Nya dan petunjuk dari Nya.

Mungkinkah Dia telah menunjukkan solat kepada aku melalui mimpi dan praktikal sekali gus. Terfikir juga kalau-kalau mimpi itu (kematian) sebagai peringatan keras dari Nya.

Memang saya ketakutan yang teramat sangat. Tetapi perasaan saya pada ketika waktu itu menjurus kepada perasaan gembira dan syukur lebih daripada perasaan takut, membulatkan hati saya mungkin inilah peringatan (tanda sayang) Dia kepada saya. Insya allah.

Sering kali kita mendengar mimpi-mimpi dalam pelbagai keadaan dan cerita. Ada mimpi yang baik seperti bertemu rasullallah dan ada yang masuk kedalam Kaabah. Ada juga mimpi itu yang buruk seperti berada di dalam kubur ataupun sedang menerima seksa neraka.

Mimpi ini juga mungkin tiada bezanya sebagai tanda peringatan pada kita semua. Mungkin kah mimpi itu juga petanda kepada apa yang akan berlaku kepada kita kelak. Beruntung lah saya jika itu pengakhiran baik saya atau sebaliknya. (Minta di jauhkan) Wallahhualam.

Cerita ini adalah benar dan mimpi itu adalah sebenar benarnya. Bukan lah tulisan ini direka-reka untuk suka-suka bahkan sudah lama saya pendam rasa bersalah sebab tidak di kongsikan semua sebagai pengajaran. Terpulang pada pembaca apakah pengajaran disini.

Disimpulkan disini.. solat lah walau seteruk mana pun akhlak kita. Kerana allah masih sayangkan kamu. Solat lah kita dengan jiwa ikhlas dan kusyuk kerana ia akan sempurnakan solat kamu.

Solat lah kita berdiri jika mampu, jika tidak duduklah atau baring. Lakukan solat dengan isyarat mata dimana mampu atau didalam hati jika itulah kemampuan yang terakhir.

Sesunguh nya solat itu tetap di tuntut walaupun terlantar sakit dan uzur.  Solat lah di malam sunyi kerana ada ketenangan didalamnya.

Akhir sekali bersungguh-sunguh lah membaca al fatihah ketika solat kerana di situ lah antara salah satu datang nya keikhlasan dan kekusyukan solat….wallahhualam.

Diharap perkongsian ini diterima Allah sebagai perkongsian Ilmu… insyaaAllah. Dikesempatan ini saya turut memohon ampun maaf andai ada kesalahan dan kesilapan dalam penyampaian secara keseluruhan dan kekhilafan saya.

– Edruz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *