Sombongkah Aku?

Aku anak sulung dari lima beradik. Empat adik lelaki dan perempuan. Ibu dan ayah kami bekerja dalam sektor kerajaan, berpangkat biasa. Tak kaya, tapi cukup-cukup saja. Diorang selalu menekankan kepentingan akademik dan agama dalam mendidik kami.

Tapi, seperti kebanyakan keluarga biasa, tak semua dari kami berjaya mendapatkan 100% dalam segala hal. Kami bukan keluarga yang mewah, tetapi kami juga bukan keluarga yang miskin. Cukup untuk hidup, cukup untuk makan, cukup untuk belajar. Itu sahaja.

Sejak kecil, aku berazam untuk mengubah ekonomi keluarga. Aku ingin memberikan kehidupan yang lebih baik kepada ibu dan ayah. Dari kecil, aku sudah belajar menabung setiap sen yang aku ada. Aku tak pernah meminta wang untuk membeli apa-apa; aku lebih senang mengumpulkan duit sendiri.

Begitu juga ketika aku remaja. Aku mula bekerja sambilan, mencari duit tambahan untuk menambah simpananku. Aku jual tutup botol, membantu di kedai makan, ambil upah cuci kereta.

Pelajaran aku tak lupakan, setiap wang anugerah atau hadiah akedemik yang aku dapat, aku akan pastikan ia masuk dalam tabunganku. Aku mahu menjadi contoh yang baik untuk adik-adik. Terpulang kepada diorang jika ingin mengikut jejak langkahku.

Waktu di universiti, aku fokus pada pelajaran. Tak pernah aku jemu belajar. Dalam masa yang sama, aku masih bekerja sambilan, jadi barista, jadi pelayan restoran, walaupun keletihan. Tapi aku yakin, semuanya akan berbaloi suatu hari nanti.

Alhamdulillah, aku berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian yang membanggakan dan juga dengan simpanan yang mencukupi.

Setelah tamat pengajian, aku berbincang dengan ibu dan ayah. Aku meminta izin diorang untuk menangguhkan untuk masuk ke alam pekerjaan. Aku mahu melihat dunia, merantau ke luar negara, mengutip pengalaman hidup yang lebih luas. Diorang tidak menghalang.

Dengan duit simpananku, aku mula mengembara ke beberapa negara. Thailand, Turki, Belanda, beberapa lagi negara di eropah. Aku turut membuat kerja gig untuk menampung hidup aku. Aku kerja sebagai waiter, cleaner, pekerja am dan lain-lain.

Walaupun kehidupan di luar negara mencabar, aku rasa lebih hidup daripada sebelumnya. Aku belajar banyak perkara yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini. Namun, tanpa aku sedari, konflik bermula ketika aku berada jauh dari keluarga.

Adik aku berhenti pengajian dan pulang ke kampung. Aku mendengar berita itu dengan perasaan yang bercampur baur. Adik-adik yang lain masih belajar, dan diorang mula menyalahkan aku. Diorang tuduh aku tidak peduli keluarga, kata aku lebih mementingkan diri sendiri.

“Kau pergi merantau, siapa yang bantu mak ayah?” Diorang berkata begitu, seolah-olah aku bertanggungjawab atas segala masalah keluarga.

Aku hanya menjawab dengan tenang, “Aku tak minta pun duit dari mak ayah. Aku merantau untuk pengalaman hidup.”

Namun, kata-kata diorang mengganggu fikiran aku. Aku bukan mahu melarikan diri dari tanggungjawab. Aku hanya mahu mencari pengalaman yang mungkin tidak akan aku peroleh jika terus berada di tanah air. Aku tahu, hidup ini perlu seimbang antara tanggungjawab dan keinginan untuk berkembang.

Dua tahun berlalu, aku kembali ke tanah air. Aku mula mencari kerja dengan kelulusan yang ada. Ketika itu, adik-adik pon ada yang dah mula bekerja. Aku mendapat tawaran kerja dengan gaji yang sederhana, namun aku terima dengan penuh rasa syukur.

Aku berusaha dengan sepenuh hati dalam kerjaya ini, dan dalam beberapa tahun, aku naik pangkat. Gaji pun semakin baik, tetapi keadaan di kampung tak pernah berubah.

Adik-adik, walaupun sudah bekerja, masih mengharapkan aku. Aku yang kena bagi duit bulan-bulan ke kampung. Diorang masih menjadikan aku tempat bergantung. Gaji ayah pun kadang-kadang habis untuk diorang. Aku yang dahulu menjadi contoh terbaik, kini dilihat sebagai sumber kewangan tanpa henti.

Aku mengirimkan duit ke kampung setiap bulan. Tetapi semakin banyak aku memberi, semakin banyak pula yang diambil. Aku diamkan saja, sebab aku tak mahu bergaduh. Aku fikir, diorang akan sedar suatu hari nanti. Tapi diorang tak pernah sedar.

Pada suatu Hari Raya, kemarahan meletus. Aku tidak tahu apa yang lebih menyakitkan, berdepan dengan kenyataan bahawa aku sudah bertungkus-lumus bekerja keras demi keluarga, tetapi masih dipersalahkan atau melihat mak ayah yang merasa tertekan kerana tidak cukup untuk memenuhi keperluan kami semua.

Diorang kata aku sombong. Kata aku dah kaya, lupa daratan. “Ko boleh la, ko pandai, gaji tinggi, sekarang ko nak berlagak!”

Aku tak faham. Jika aku sudah sombong, siapa membayar bil rumah? Siapa yang pastikan makanan di rumah cukup? Tapi diorang hanya melihat apa yang diorang mahu lihat.

Aku cuba untuk tidak melibatkan emosi, tetapi hati ini begitu berat. Setiap bulan aku teruskan hantar duit, walaupun terasa ada yang tidak kena. Aku mulai rasa bosan dengan sikap adik-adik. Diorang sudah besar, ada yang sudah berkahwin, tetapi masih mengharapkan ayah dan mak.

Aku berfikir, “Kenapa diorang tidak cuba untuk berusaha sendiri? Bukankah diorang sudah cukup dewasa untuk mengubah nasib diorang?”

Namun, keadaan tidak ada yang berubah. Aku teruskan hidup, meraih rezeki, melangkah lebih jauh dalam karier, dan akhirnya mampu membeli rumah sendiri. Ibu dan ayah sudah pencen, dan aku rasa lega kerana diorang tidak lagi perlu bekerja keras.

Tetapi konflik dengan adik-adik terus berlanjutan. Setiap kali aku terlewat sedikit menghantar duit, diorang akan salahkan aku.

Aku nekad, aku tidak lagi kirimkan duit ke kampung. Tetapi aku akan pastikan semua bil rumah terbayar, Astro dan Internet aku cancelkan. Itu semua adik-adik subcribe, tapi ayah yang kena bayar. Aircon semua bilik aku cabut, kecuali bilik ayah dan mak.

Makanan? aku mintak tokey kedai runcit hantar ke rumah setiap minggu. Aku pastikan peti sejuk mak tak kosong. Duit pencen ayah dan mak sepatutnya cukup untuk perbelanjaan mereka.

Adik-adik? makin marah bila aku buat begini. Diorang seakan-akan lupa, diorang sudah bekerja dan seharusnya boleh berdikari. Tapi diorang terus melihat aku sebagai ‘perbendaharaan hidup’ diorang.

Tindakan aku untuk tidak lagi menghantar duit secara tetap membawa kemarahan yang lebih hebat. Bagi diorang, aku zalim kepada semua. Diorang terus menyalahkan aku.

Aku menjadi lebih tegas, aku memilih untuk hanya menjalankan tanggungjawab sebagai anak. Aku nak balas jasa mak ayah. Mungkin aku memang terlalu keras hati, tapi aku rasa tidak ada pilihan lagi. Adik-adik harus belajar berdikari.

Konflik terbaru muncul apabila aku mendapat tahu ibu aku terpaksa menggadaikan barang kemasnya dan ayah jual keretanya untuk membantu salah seorang adik yang tertunggak pembayaran kereta dan masalah lain adik-adik.

Aku tidak dapat menahan marah. Kenapa boleh sampai ke tahap ni? Ketika aku pulang ke kampung, aku bertanya kepada diorang, “Kenapa korang nak susahkan orang tua ?”

Namun, diorang malah menyalahkan aku. “Kau sepatutnya bantu mak ayah lebih lagi! Kalau kau hantar duit setiap bulan, takkan jadi macam ni!” kata diorang.

Aku merasa seperti semuanya sudah terlewat. Aku tidak boleh terus diam. Aku faham, dalam situasi ini, ibu dan ayah tidak mahu menyusahkan aku. Tapi kalau aku marah-marah, adik akan cakap aku mengungkit. Dalam hati, aku bertanya, “apakah aku yang salah?”

Aku berfikir panjang. Adakah aku seorang anak yang sombong dan tidak peduli keluarga? Atau adakah aku sudah cukup melakukan yang terbaik?

Aku sedar, dalam hidup ini, tak semua keputusan akan membuat semua orang gembira. Tetapi aku juga perlu menjaga diri dan masa depan aku. Aku tidak boleh terus berkorban tanpa batas.

Aku merancang nak bawa ibu bapa aku tinggal bersama aku, agar diorang tidak perlu lagi memikirkan hal-hal berat. Aku akan cuba memberi diorang kehidupan yang lebih baik, lebih selesa. Tetapi, apakah keputusan ini membuat aku sombong dan egois?

Entahlah, aku hanya mahu jadi anak yang baik untuk parents aku bahagia.

– Hakim (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *