Confession ni aku buat susulan dari bacaan luahan Mawar, (https://iiumc.com/taat-pada-suami/).
Aku Leha (sudah pasti bukan nama sebenar). Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih kerana membuka mata ramai pembaca IIUM Confession terutamanya kaum Adam berkenaan lelaki tipikal Melayu.
Untuk pengetahuan pembaca, aku juga antara isteri yang Allah jodohkan dengan lelaki tipikal seperti tu. Jelas, bab komitmen biasa seperti bil, keperluan dapur, keperluan anak-anak semua diberi tanpa culas. Alhamdulillah.
Cuma satu yang kurang. Iaitu bab membantu isteri menguruskan rumah waima pinggan dan cawan yang dia makan sendiri pun aku yang basuhkan.
Bila kerja rumah biasa tak pandai buat sebab mak tak didik dari kecil dan tak bagi buat, membawa ke sifat pengotor dan jenis tak hairan pun kalau rumah kotor ke apa. Aku pula jenis tak boleh benda kotor atau bersepah. Automatik aku kemas, bersihkan tanpa disuruh pun.
Oh ya, aku dibesarkan oleh nenek dan atok. Bila dah besar ni aku memang terbiasa dengan hasil didikan mereka. Suka bersih, suka mengemas, memasak dan berkebun.
Mak Ayah aku? Mereka hidup lagi. Tapi mereka juga mak ayah yang tipikal. Biarkan aku dan adik-adik dijaga dan dibesarkan oleh nenek dan atok alasan mereka yang sering diulang adalah sebab nenek dengan atok yang beriya nak jaga sebab nak main dengan kami.
Tapi lepas semua tanggungjawab 100% pada nenek dan atok waima susu dan pampers pun. Mereka fokus kerja sampai anak-anak kurang perhatian dan kasih sayang mereka.
Apabila kami mula bersekolah rendah baru diambil kami duduk bersama. Tapi tetap rasa kekok dan kurang perhatian dek kerana sibuk fokuskan kerja.
Mak aku jenis pembersih tapi bukan dia yang buat kerja rumah. Pandai masak tapi tak masak. Masak beriya bila tetamu kesukaan dia datang je atau untuk skandal dia. Sekarang skandal yang dulu sakan kesana sini macam nak kahwin tapi hilang entah kemana.
Tak pernah aku lupa dari kecil setiap kali dia balik kerja mesti ayat ni yang diulang-ulang,
“Rumah dah bersihkan? Dulu nenek korang garang, selalu aku buat kerja rumah sebelum nenek korang balik. Korang pun jangan jadikan aku hamba abdi pula nak buat kerja rumah ni.”
Jadi, setiap kali mak kami nak balik kerja, aku dan adik-adik memang akan pastikan rumah kami tip top kemas dan bersih. Tapi asakan ayat tu tak pernah terpadam dalam memori aku.
Kenapa dia rasa buat kerja rumah ni kerja hamba abdi? Dia kan mak. Bukan ke dia perlu tunjuk contoh dan ajak kami mengemas bersama itu yang terbaik?
Dan dulu mak aku selalu kata “Aku rimas la duduk rumah ni, ada korang bising je. Baik aku kerja”.
Bukankah lumrah anak-anak kecil tu bising dan jadikan rumah riuh rendah dan meriah? Kenapa mak sendiri tak suka? Sebab tu taknak luangkan masa dengan kami waktu kecil sebab kami bising?
Oh ya, mak ayah aku juga dah bercerai pada usia aku 20an. Mak aku yang usulkan sebab alasan dia ayah aku langsung tak pernah bagi nafkah sejak kahwin sebab ayah aku dah izinkan bekerja.
Jadi, dah ada duit sendiri serba serbi tanggung sendiri. Sebenarnya mak aku pun terpalit dengan kes skandal.
Bila dah selalu sangat rapat dengan kawan lelaki, luah segala masalah pada lelaki. Manakan tak jatuh cinta kan? Kelemahan dia mengurus dan menyelia rumah tangga dia tak nampak pula.
Broken family?
Ya. Itulah terma sesuai untuk aku dan keluarga aku. Semuanya berantakan.
Aku, anak sulung. Sentiasa cuba melawan arus. Sentiasa cuba tunjuk gagah aku okay sebenarnya aku tak okay, aku cuma nak pastikan adik-adik aku tak terpalit emosi dan down lebih teruk dengan kesan perceraian mak ayah.
Sejak aku kahwin dan ada anak, aku cuba nak ubah tradisi segala mak nenek yang tipikal dalam keluarga aku iaitu:
1) Bagi mak dan ayah kita mengasuh anak kita sepenuhnya. Sampai kita tak pernah hadap keadaan hidup susah senang bersama suami dalam membesarkan anak-anak.
2) Lelaki tak boleh masuk dapur dan tak boleh buat kerja rumah.
3) Hanya perempuan yang bekerja dipandang hebat dan tinggi.
4) Perempuan yang bekerja tujuan nak bantu suami 100%. Biasa isteri ni diminta dahulukan duit dulu kemudian suami bayar atau ganti balik. (Kalau boleh elakkan ye!) Sebab nanti suami takkan all out bekerja sebab tahu backup baik punya.
Nak nak isteri ni sanggup berkorban demi sayang dan cinta kan. Elakkan supaya kemudian hari kalau diuji dan merana jangan diungkit semula pertolongan dan pemberian. Kalau suami memang confirm soleh baik, abaikan poin ni.
Berbalik kepada kisah suami tipikal, pernah satu kejadian ketika awal-awal aku mengandung. Aku jadi sangat pemalas.
Selalu aku akan basuh terus pinggan dan cawan selepas guna. Tapi masa tu aku biarkan dan basuh kemudian. Ada satu kali tu aku biarkan. Suami aku pula, ingat dia bantu basuhkan.
Dia pun timbunkan je dan sanggup tunggu aku basuh semua. Yang paling tak tahannya aku saja biarkan dekat seminggu ya. Tengok suami aku tolong basuh ke tak.
Dia lagi tahan biarkan sampai akhirnya aku yang basuh. Memang berlonggok. Bayangkan waktu tu aku baru je beberapa bulan hamil. Inikan dah tak bawa apa-apa. Agak-agak dia tolong atau offer diri tak nak bantu?
Sememangnya takla. Kena juga aku suruh dan minta tolong.
Mak mertua aku sibuk suruh ada anak kedua pula sebab katanya surirumah tak buat apa, jaga rumah je baik mengandung lagi. Kalau anak dia tu jenis ringan tulang, toleransi sama membantu, aku beranak satu kilang pun aku tak kisah.
Aku tak faham lah lelaki ni. Dia tak suka orang perempuan suruh dia itu ini. Tapi dia sendiri tak pandai nak hulur bantuan atau fikir logik.
Bila perempuan arahkan itu ini ohhh tahu pula cakap “You jangan nak jadi Queen Control pula eh”.
Ya Allah, bantu kerja rumah sikit-sikit je pun, tak jatuh la maruah kau. Betul kata Mawar, Rasulullah SAW pun ringan tulang bantu keluarga dirumah malah menjahit pakaian yang koyak sendiri.
Aku berhenti kerja masa mengandung tu ye. Aku memang tak tahan dengan tekanan di tempat kerja, dan tekanan dirumah pun ya juga.
Ada suami tapi semua letak beban kerja rumah pada isteri. Sembang pasal agama sana sini memang cukup bagus, tapi bab praktikal dan tunjuk contoh seperti akhlak Nabi jauh sekali.
Jadi, aku sanggup korbankan diri tak bekerja demi nak jaga dan besarkan anak, urus makan pakai suami. Sekarang aku dalam fasa menerima dan sabar je dengan kerenah suami aku yang tipikal tu sebab aku tak boleh pun nak ubah dia.
Hanya Hidayah Allah yang mampu ubah seseorang tu. Aku cuma mampu tunjuk contoh yang baik lagi-lagi aku dah ada anak. Selagi suami aku tak culas bab komitmen keluarga, aku redha.
Sejak aku berhenti kerja, aku memang niat nak besarkan anak aku juga dengan baik. Beri sepenuh perhatian dan kasih sayang yang mana aku tak pernah rasa sebab mak ayah aku suka lebihkan kerja. Letih, tertekan, sunyi semua tu aku tolak tepi.
Aku abaikan cucukan dan bisikan syaitan sebab aku pasak dalam kepala aku cuma satu. Pahala surirumah ni besar. Niatkan semua ni ibadah pasti Allah kurniakan kau hati yang lapang, redha dan tentunya ganjaran Syurga.
Suami dan anak-anak pasti terjaga dengan baik emosi mereka, kasih sayang bertambah erat selagi masing-masing jalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing.
Aku nak didik anak-anak aku baik lelaki mahupun perempuan supaya tahu buat kerja rumah, ringan tulang, rajin tolong menolong sesama keluarga.
Bukan setakat mengejar pandai dan sekolah terbaik tapi akhlak buruk, kebersihan teruk, sekaligus memberi kesan buruk jangka masa panjang.
Ada je bisikan yang kata aku kena kerja balik. Seronok ada duit sendiri dapat beli itu ini dapat enjoy puas-puas. Enjoy macam mana lagi kalau dah sibuk kerja tapi keluarga terabai? Aku isteri aku dah jadi mak. Ini yang ramai perempuan ambil ringan ye.
Wahai sekalian isteri, ibu-ibu,
Keutamaan kita adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan mak.
Aku tak nak nanti di akhirat Allah tanya, aku tak mampu jawab sebab aku lebih pentingkan duit nak enjoy shopping, nak me time. Yang nak bantu suami teruskan dan abaikan nasihat aku part ni ye.
Sebenarnya bila dah kahwin, mindset kena berubah. Banyak perkara kita kena korbankan dan perlu ada rasa cukup dan syukur dengan nikmat walaupun sekecil nikmat.
Aku hormat dan tabik pada isteri dan mak yang bekerjaya yang mampu menguruskan kedua-dua kerja dan keluarga dengan amat baik.
Keluarga bagus, anak akhlak mulia, hormat orang tua, rajin, pandai, mak juga cemerlang dalam kerjaya. Dua-dua stabil. Namun, cuma segelintir saja bilangan yang hebat begini kerana wanita ini dicipta dengan emosi yang rapuh.
Mudah tertekan, stress dan jiwa kacau. Lebih lagi bila pasangan tak ok. Berapa ramai isteri mak yang stress sampai depresi disebabkan tekanan di tempat kerja masuk pula hal rumah tangga dan sebaliknya?
Ada juga yang kerap tanya aku bila nak mula bekerja? Suami kau dengan suami aku berbeza ye cik kak. Suami kau mungkin rajin, ada rasa empati nak tolong isteri sama-sama urus rumah dan anak. Suami aku, dua-dua tu atas aku.
Aku tak nak sebabkan aku bekerja, aku tak mampu atau culas dalam laksanakan tanggungjawab aku membesar dan mendidik anak, menguruskan rumah tangga. Lebih lagi emosi anak aku terganggu. Emosi ni, kesan dia paling mendalam tau. Membawa hingga ke besar.
Aku juga tak bekerja sebab aku memang nak jadi surirumah sepenuh masa sambil cari ilmu agama untuk didik anak-anak,
Cari peluang jana pendapatan sendiri yang sekarang orang panggil “Stay at Home Mom” sambil melayan dan membesarkan anak-anak depan mata dan beli apa aku nak.
Kos pun jimat banyak, tak perlu hantar anak ke pengasuh, nak cuti atau EL tiba-tiba kalau anak sakit. Anak pun sayang lebih dengan kita bila besar dia mudah dengar kata, Insyaa Allah.
Aku juga tak bekerja sebab.. Sebelum aku ada anak aku bekerja sebagai Pegawai A. Tak dinafikan gaji banyak, seronok jumpa kawan-kawan dan banyak me time. Tapi sibuk juga dah nama pun kerja makan gaji.
Aku taknak kerja dan terlalu sibuk sehingga tak ada masa untuk keluarga aku. Ni ada kaitan dengan masalah keluarga aku yang dah aku jelaskan tadi, dan juga ada kaitan dengan keluarga suami.
Disitu aku mulai pelajari sesuatu pengajaran. Kalau korang nak aku sambung bab kenapa tu, nanti aku sambung Part 2 sebab dah panjang sangat ni.
Kalau tak nak sambungan sekalipun, aku mohon janganlah kecam atau kritik tak membina. Aku cuma meluah rasa terbuku dan perlukan sokongan moral.
Mana ada teladan yang baik, ambillah. Yang buruk tinggalkanlah. Aku juga insan yang tak sempurna yang sentiasa cuba perbaiki diri.
Terima kasih.
– Leha (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit