Stay At Home Mom II

Assalamua’laikum, hi pembaca semua. Masih ingatkah lagi korang pada aku? Aku ialah Leha (sudah pasti bukan nama sebenar). Anak sulung yang sudah berkahwin dengan seorang lelaki tipikal dan kami mempunyai zuriat yang sedang membesar.

Confession pertama aku disini, https://iiumc.com/stay-at-home-mom/

Susulan dari bacaan luahan Mawar, (https://iiumc.com/taat-pada-suami/).

Sesiapa yang dah baca Confession pertama aku, ingin aku highlight semula tentang tradisi tipikal dalam keluarga aku yang aku ingin nak ubah ke arah yang lebih baik:

1) Bagi mak dan ayah kita mengasuh anak kita sepenuhnya. Sampai kita tak pernah hadap keadaan hidup susah senang bersama suami dalam membesarkan anak-anak.

2) Lelaki tak boleh masuk dapur dan tak boleh buat kerja rumah.

3) Hanya perempuan yang bekerja dipandang hebat dan tinggi.

4) Perempuan yang bekerja tujuan nak bantu suami 100%. Biasa isteri ni diminta dahulukan duit dulu kemudian suami bayar atau ganti balik. (Kalau boleh elakkan ye!) Sebab nanti suami takkan all out bekerja sebab tahu backup baik punya.

Aku kira, ramai diantara kita juga mengalami atau dilanda ujian yang lebih kurang sama.

Aku juga baca setiap komen. Terima kasih kerana cuba fahami situasi aku. Ya, memang aku trauma.

Buat para isteri yang sedang mengalami situasi yang lebih kurang seperti aku, aku doakan korang diberi kekuatan untuk menempuh kehidupan berumah tangga.

Jangan mengalah dan kuatkan semangat selagi suami kalian bukan seorang kaki pukul, kaki judi, kaki minum, kaki hutang Ah Long ataupun penagih dadah.

Kita tak dapat ubah kelemahan suami kita. Kita ubah mindset dan diri kita dahulu supaya belajar menerima, lakukan sesuatu agar tidak dizalimi, serta pentingnya mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hati kita pasti menjadi lapang dan mudah untuk mencari penyelesaian yang terbaik tanpa perlu berpisah.

Selalu ingat, badan kita nak pakai lama, nak besarkan anak nak mengurus rumah tangga jadi buatlah sekadar kemampuan kita mengikut situasi yang kita hadapi.

Jujur aku kata, aku selalu je nasihat dan ajak suami aku sama-sama buat kerja rumah dengan cara berhemah. Sebab aku tak suka mengarah atau menyuruh suami.

Aku tahu mana letak duduk aku sebagai seorang isteri dan aku tak suka digelar sebagai Queen Control, atau suami pula digelar sebagai TB (Takut Bini). Bukan mudah nak menjadi seorang isteri solehah dan taat tapi aku tetap cuba.

Ada mood baik, memang suami aku akan hulurkan bantuan bila dia tak sibuk dan berada dirumah.

Tapi semenjak ada anak ni, dia semakin sibuk cari rezeki jadi aku tutupkan sebelah mata kerana dia memang seorang yang bertanggungjawab bekerja mencari rezeki untuk kami anak beranak.

Semoga Allah melindungi suami aku dan suami kalian semua dalam mencari rezeki.

Aku pernah duduk berbincang dengan suami tentang perancangan aku selepas dua tahun membesarkan anak since anak aku menyusu badan. Aku nyatakan hasrat aku untuk kembali bekerja.

Namun, aku luah yang aku mungkin tak mampu nak berikan terbaik sebagai seorang isteri dan mak sekiranya aku bekerja kerana kebanyakan hal mengurus rumah dan anak semuanya atas aku.

Suami aku pula bekerja sendiri terlalu sibuk sehingga tiada cuti hari minggu mahupun pada hari lepasan Am. Kebiasannya dia akan tetapkan cuti dia pada hari raya sahaja atau pada hari berkumpul bersama keluarga aku atau dia.

Jadi di mana hak aku untuk dapatkan bantuan mengurus anak bersama dan dapat sedikit rehat nanti sekiranya aku juga bekerja?

Pastinya waktu kami takkan sama dan lebih jarang berjumpa. Aku terfikir tentang emosi anak. Cukuplah apa yang terjadi pada diri aku.

Korang tahu tak, aku selalu tak ada semangat bila buat sesuatu kerja. Aku mudah mengalah dan mudah sangat menyerah. Ini salah satu punca anak yang kurang kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Mereka akan jadi low self esteem.

Jadi setelah berbincang. Suami, aku putukan untuk aku menjadi seorang surirumah. Suami aku lebih rela pertahan sikap lama dia dari sama-sama ingin berubah dan bersusah payah uruskan anak.

Aku takkan berhenti berdoa semoga suatu hari nanti pintu hati suami aku terbuka dan dia berubaha menjadi seorang suami yang rajin, ringan tulang dan penyayang suka layan anak-anak.

Bila dia dah bagi green light tu, dia juga beri galakan dan keizinan sekiranya aku nak buat bisnes kecil-kecilan untuk duit poket sendiri tanpa terlalu bergantung harap kepada dia untuk benda -benda yang aku berkehendak.

Aku pula tiada komitmen yang besar melainkan kereta yang aku guna untuk pergi dan pulang kerja sebelum ni.

Hutang yang masih berbaki kurang dari 3 tahun disambung oleh suami aku kerana dia yang tak benarkan aku jual kereta tu bagi memudahkan pergerakan aku kalau ada urusan kecemasan bila dia tak ada.

Aku bersyukur kepada Allah SWT kerana mempermudahkan segala urusan aku untuk menjadi seorang surirumah yang pada mulanya aku risau juga sebab terlalu memikirkan macam mana nanti aku tak ada duit, tak cukup makan atau teringin sesuatu seperti sebelum ni.

Percayalah, bila kita niatkan sesuatu itu baik untuk suami, anak-anak dan keluarga kita, Allah yang Maha Kaya, Maha Pemberi Rezeki tak akan biarkan kita kelaparan.

Aku pun selalu dengar kuliah agama dan baca tentang mendidik diri supaya bersifat Qana’ah iaitu sentiasa rasa cukup.

Keluarga aku dari segi materialnya boleh dikatakan mewah dan berada kerana mak dan ayah aku bekerja tapi aku langsung tak rasa Sakinah, Mawaddah dan Rahmah dalam keluarga aku.

Jadi, sejak berkahwin dan punyai kehidupan sendiri, material bukanlah keutamaan aku. Yang aku nak, keluarga yang penuh rasa kasih sayang, bonding yang erat dan kuat.

Keluarga belah suami aku pula, lain ceritanya. Tapi salah satu sebab juga niat aku nak jadi surirumah semakin kuat.

Mak mertua aku seorang yang bekerjaya. Pegawai tinggi di organisasi yang aku kira semua kenali kalau disebut. Gaji dia besar, tapi dia cukup cermat dalam berbelanja. Seorang yang berdisiplin tinggi dan tepati waktu.

Cuma kelemahan dia adalah dia kurang masa dengan keluarga dan dia tak suka memasak. Kebiasaan rutin makan kelaurga adalah beli atau makan diluar.

Dia ada kesamaan dengan mak aku dari segi status bekerjaya dan sibuk dengan urusan kerja tapi mak mertua aku amat menjaga kebajikan anak-anak terutamanya pendidikan.

Semua adik beradik suami aku tip top dalam pembelajaran dan sudah tentu berkarier yang bagus-bagus. Cumanya bab empati, pengurusan diri memang lemah.

Yang buat aku sedih dan bersimpati dengan mak mertua aku adalah bila aku dapat tahu, mak mertua aku telah dimadukan. Ayah mertua aku kahwin lagi seorang di seberang dengan alasan general dia “suka sama suka dan nak elak berzina”.

Ayah mertua aku ni mempunyai karakter yang berbeza dengan mak mertua aku. Dia seorang yang pandai masak, tahu serba serbi kerja rumah, rajin ke dapur rajin urus rumah, makan pakai anak-anak. Seorang yang tegas dalam diam tapi amat penyayang.

Aku nak tanya korang lah. Agak-agak apa sebab utama Ayah mertua aku kahwin lain?

Aku tak salahkan ayah mertua aku 100% pun sebab bila aku perhati dan fikir panjang.

Memang ada kerompongan dalam keluarga belah suami aku juga iaitu ambil ringan bab memberi perhatian kepada keluarga dan ambil remeh bab “jaga perut suami melalui masakan seorang isteri”.

Aku rasa Ayah mertua aku teringin juga layanan istimewa seorang yang bergelar isteri lebih lagi luangkan masa bersama. Ini cuma pandangan aku dari pemerhatian aku saja.

Sebelum tembelang pecah, kebiasaan dalam keluarga mereka, bab duit biasanya mak mertua aku yang akan advanced adakala memang dengan rela hati keluarkan duit untuk bantu suami dalam urusan rumah tangga. Dia berduit jadi duit bukan masalah bagi dia.

Namun, sejak mak mertua aku dapat tahu dia dah bermadu, segala perkara sering dibangkit terutamanya bab duit lagi-lagi bila tengah marahkan sesuatu yang berkaitan dengan isteri kedua ayah mertua aku. Macam mana aku tahu?

Aku pernah dan selalu juga tinggal dengan mereka. Tapi aku dengar dan perhatikan je. Aku cuma berdoa hubungan mak dan ayah mertua aku kekal sehingga akhir hayat sebab aku trauma dengan perceraian mak ayah aku.

Alhamdulillah aku tengok, mak mertua aku dalam fasa menerima dan redha dengan qada dan qadar ketentuan Allah SWT.

Kadang-kadang tu, aku lah tempat dia meluah perasaan yang terbuku tentang belah sana. Aku cuma mampu tadah telinga. Yang paling perit adalah, mak mertua aku ni juga trauma.

Sebab Ayah dia juga berpoligami namun kehidupan dia serba susah sebab ayah dia selalu bersikap tak adil dan culas bab pengurusan kewangan keluarga. Yelah, bukan 2 keluarga tapi 3 keluarga yang perlu disara.

Setelah beberapa lama semenjak mak mertua aku dapat tahu suami dia berpoligami tu kan, ayah mertua aku mulanya berduit,

Tak berapa lama lepastu entah macam mana sumber rezeki dia satu-satu ditarik dan sangkut. Akhirnya mak mertua aku jugalah yang kena bantu support perbelanjaan dia, dan keluarga sampai sekarang.

Oh ya, isteri kedua ayah mertua aku pun bukan calang-calang orangnya ya. Seorang ANDARTU yang berkarier. Jadi, aku kira ayah mertua aku seorang yang bijak jugalah. Masih boleh berdiri dengan steady kerana dikanan dan kiri dia supporter yang cukup mantap.

Aku cuma nampak pengajaran dimana, bila suami buat isteri tu sedih, rasa dizalimi setelah banyak benda dia berkorban tanpa berkira sedikit pun duit yang dibelanjakam tapi dikhianati, sikit demi sedikit Allah tarik rezeki si suami.

Sekalipun poligami ni halal dalam Islam, tapi melukakan dan mengkhianati isteri pertama dalam diam juga satu kesalahan.

Apapun, aku langsung tak campur urusan mereka sekeluarga.

Jadi berdasarkan pemerhatian aku dengan kehidupan manusia lain disekeliling, maka aku tekad untuk fokus sebagai seorang isteri dan mak dirumah mengurus keluarga dan membiarkan suami aku menanggung segala beban perbelanjaan keluarga.

Kepada para wanita sekalian,

Sekiranya anda seorang surirumah, teruskan lah meraih pahala mengurus suami dan anak-anak. Setiap penat lelah dan kesakitan kita pasti akan terbalas apabila kita dapat lihat keluarga membesar dalam suasana yang sihat dan penuh mawaddah dan rahmah.

Dengan ujian zaman sekarang yang semakin berat, duduk dirumah adalah lebih utama melainkan anda ingin membantu suami menyara keluarga. Tapi jika bekerja untuk penuhi nafsu dan kehendak sendiri saja, maka pertimbangkanlah semula niat tu.

Untuk wanita yang bekerja, berusahalah sehabis baik untuk melaksanakan tugas utama iaitu mengurus dan memberi kasih sayang secukupnya kepada suami dan anak-anak agar keluarga sentiasa harmoni.

Aku mohon kepada pembaca, mana yang boleh dijadikan iktibar korang ambillah. Mana yang buruk tu kita sama-sama jauhkan. Aku minta maaf tulisan aku yang tak sempurna. Hanya Allah SWT Yang Maha Sempurna.

Sekian…

– Leha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *