Su4mi dan PJJ

Assalamualaikum dan hye semua. Ini pertama kali aku menulis di sini, dengan harapan mampu melegakan sedikit hati dan menerima kata-kata nasihat serta doa dari kalian.

Nama aku Aliya, di awal usia 30-an, sudah bekerja dan berumahtangga yang baru berusia setahun jagung.

Apa yang ingin aku luahkan di sini adalah berkenaan kisah perkahwinan aku dan suami.

Tidaklah berniat untuk membuka aib melainkan aku hanya ingin meluahkan rasa.

Mungkin ada yang beranggapan, perkahwinan yang belum mencecah usia 5 tahun pertama ini apalah sangat badai yang melanda tapi tiada tempat untuk aku meluah rasa.

Perkahwinan yang terjalin ini adalah melalui perkenalan kami menerusi orang tengah.

Setahun tempoh kami berkenalan, bertunang dan akhirnya melangsungkan perkahwinan.

Sepanjang tempoh itu, kami berhubung hanya melalui whatsapp kerana bekerja di dua negeri yang berbeza.

Beberapa kali kami pernah berjumpa di rumah ibu aku sepanjang tempoh perkenalan itu dan semuanya baik-baik sahaja.

Sebelum memutuskan untuk berkahwin, kami pernah berbincang akan situasi PJJ yang perlu ditempuhi selepas ini dan dia memberikan respon bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.

Aku percaya padanya kerana aku tak mahu overthinking.

Lapangan kerja yang berbeza dan waktu cuti yang tidak sama ternyata menggugat perasaan aku serba sedikit setelah kami berkahwin.

Kesibukan suamiku seolahnya aku tidak wujud dalam hidupnya.

Semasa tempoh berkenalan dan bertunang, aku faham sekiranya dia tidak cuba untuk call aku kerana tiada keperluan untuk kami call setiap hari, cukuplah sekadar whatsapp untuk kami berhubung.

Namun sekarang aku ini berstatus isteri. Jarak yang jauh, kekangan untuk pulang ke pangkuan suami setiap minggu benar-benar menyesakkan dada.

Di awal perkahwinan, ada juga kami videocall walaupun tidak setiap hari, aku faham tugas suamiku.

Sekarang aku tidak mampu lagi untuk faham kesibukan suami aku sendiri.

Sekarang kami berhubung melalui whatsapp seperti sebelum ini namun aku boleh kira berapa kali sehari kami bermesej di whatsapp.

Seolah tiada lagi kemesraan, tiada lagi cerita dari suamiku seperti semasa kami berkenalan dahulu.

Aku pernah luahkan rasa terhadap suamiku, aku cuba sampaikan sebaiknya kepada dia kerana aku tak mahu dia rasa terbeban dengan keperluan aku,

Dan jawabnya adalah dia akan cuba untuk perbaiki kelemahan tersebut selepas ini tapi hasilnya masih sama.

Sehinggakan aku merasa adakah aku perlu mengemis perhatian dari suami aku sendiri?

Aku tak minta banyak, cukuplah sekadar seminit dua dalam sehari untuk aku bersembang, bercerita, berkongsi rasa.

Aku tinggal sendirian di sini dan rasa sunyi itu hanya Allah yang tahu. Aku hanya perlukan perhatian dari suami aku, bukan duit atau emas permata yang aku minta darinya.

Setiap malam aku menangis sehinggakan bila ke tempat kerja aku lebih rela menyendiri untuk mengelakkan dari rakan sekerja melihat mata aku yang sembab ini.

Tak pernah aku luahkan berkenaan perkara ini kepada ahli keluarga terutamanya ibu aku yang sudah semakin lanjut usianya.

Aku tak mahu membebankan ibu aku dengan masalah peribadi aku, biarlah ibu aku tahu bahawa anaknya sedang begitu bahagia walau hakikatnya berbeza.

Aku cuba berbincang dengan suami aku berkenaan kedatangan dia ke sini.

Jarak yang melebihi 400km ini membataskan aku untuk pulang setiap minggu dan aku meminta kepada suami aku untuk kami berjumpa 2 kali sebulan iaitu dengan dia datang ke rumah aku di sini.

Suami aku menyatakan bahawa akan menelan kos perjalanan yang banyak untuk dia berulang alik 2 kali sebulan. Aku cuba faham keadaan kewangan suami aku.

Di sebalik aku cuba fahami keadaan suamiku ini, aku sendiri buntu dan letih melayan perasaan aku sendiri. Sehinggakan terdetik di hati aku untuk minta dilepaskan dengan baik.

Aku sentiasa merasakan aku yang gagal memahami keadaan suami aku sendiri tetapi hati aku berkata sebaliknya. Aku terasa berdosa kerana bersangka buruk dengan suami aku sendiri.

Kepada pasangan suami isteri terutamanya pasangan PJJ yang lain, harapnya sudi kongsikan pengalaman kalian untuk dijadikan tauladan buat aku.

Minta kalian doakan agar rumahtangga aku ini mendapat solusi dan berkekalan. Aku masih sayangkan suamiku.

Terima kasih dan maaf andai apa yang disampaikan ini menimbulkan ketidakselesaan.

– Aliya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *