Assalamualaikum w.b.t semua warga IIUM Confession. Ini kali ke tiga luahan hati saya kat sini. Dua confession saya yang sebelum ini pernah disiarkan adalah berkisarkan tentang rumahtangga saya.
Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik. Allah jua yang Maha bijaksana.
Kalau anda semua masih ingat sayalah penulis confession isteri di atas k*****. Tapi jangan risau, kali ini posting saya tiada kena mengena dengan confession yang dahulu.
Okay, untuk tidak membuang masa kalian saya straight to the pointlah. Luahan saya ini santai-santai sahaja. Hanya meluahkan rasa hairan dan mungkin juga sedikit pesanan buat lelaki-lelaki diluar sana.
Saya sebenarnya merasa agak pelik kerana sejak saya kembali single saya sentiasa menerima mesej-mesej daripada kenalan lelaki. Ada yang sudah berumahtangga dan ada juga yang masih bujang.
Ramai yang prihatin dan terlalu mengambil berat akan keadaan saya. Janganlah cakap saya perasan pula sebab ini memang yang berlaku pada saya.
Rasanya dah ada beberapa nombor telefon yang saya terpaksa block kerana melampaui batas.
Saya seorang yang berfikiran terbuka namun ada beberapa situasi yang saya tidak suka.
Contohnya, suami-suami orang yang galak menghantar mesej yang saya rasakan seperti tidak sepatutnya mereka berkelakuan sedemikian.
Ada yang mahu menawarkan bantuan kewangan yang nak sponser tiket kapal terbang pun ada. Fuh!! Ini ujian. Saya bukanlah seorang yang materialistik.
Jangan cuba sogok saya dengan kemewahan kerana saya seorang wanita yang biasa-biasa sahaja.
Saya punya kerjaya dan punya gaji untuk menampung hidup saya. Mohon Allah tak gelapkan hati saya dengan wang ringgit.
Sudah hampir 4 tahun pun saya hidup sendiri tanpa memberitahu pada dunia akan sejarah silam saya. Hanya keluarga dan teman rapat sahaja yang tahu.
Kadang-kadang saya rasa tawar hati apabila ada yang bertanya bila saya akan berumahtangga semula.
Saya hanya membalas dengan jawapan InsyaAllah. Mungkin kerana pintu hati saya masih belum terbuka lagi. Atau Allah sudah menetapkan aturan yang lain untuk saya.
Sekarang barulah saya faham perasaan wanita-wanita yang senasib dengan saya.
Bukan kami sombong dan bukannya kami memilih tetapi peristiwa lalu banyak mengajar kami wanita untuk lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
Wahai lelaki, hargailah isterimu yang sekarang. Dia yang sanggup merosakkan tubuh badan demi mengandungkan zuriatmu,
Dia yang terpaksa mengorbankan cita-citanya untuk bersama-sama denganmu, dan dia jugalah yang bersengkang mata sanggup berusah payah denganmu. Kasihilah isterimu itu sebagaimana mereka mengasihimu.
Mohon pembaca semua mendoakan kesejahteraan untuk kita semua ye. Maafkan saya andai ada yang terguris hati dengan luahan saya ini.
Saya sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati. Sekali lagi saya mohon maaf. Semoga bertemu lagi di lain confession kalau ada yang nak tahu lebih details (eh ada lagi ke?) haha.
Salam sayang,
– Lea (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit