Assalamualaikum dan Salam Sejahtera para pembaca.
Baru kali ini ada kekuatan untuk menulis dan meluah kerana aku tahu perkara ini tidak patut diketahui oleh orang-orang sekelilingku sedangkan aku perlu nasihat dan doa.
Penulisan sedikit panjang jadi aku kurang yakin samada penulisanku ini bakal disiarkan atau tidak tapi cukuplah aku dapat menaip meluah di medium ini.
Aku Suci, berumur lewat 20-an, seorang isteri, ibu kepada dua orang anak yang berumur 6 bulan dan 3 tahun serta aku seorang anak tunggal.
Aku seorang penjawat awam yang baru dilantik setahun yang lalu dan suamiku membuka perniagaan keluarga bersama 8 orang adik beradiknya (suamiku anak sulung dengan 8 orang adik perempuannya)
Memandangkan aku anak tunggal dan ibuku tinggal sendirian, aku dan suami mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibuku selepas berkahwin.
Usia perkahwinanku sudah menginjak ke tahun ke-4 dan seperti biasa pada awalnya indah belaka. Namun sekarang sudah terasa dugaan rumah tangga yang mula menggugat keadaan dan perasaan.
Dugaan pertama bermula apabila perniagaan suamiku semakin merosot dan aku menanggung hampir 80% perbelanjaan keluarga tanpa ibuku tahu.
Aku selalu katakan itu semu duit suamiku demi menjaga maruah suamiku di depan ibuku.
Biarpun simpananku yang selama ini 5 angka kini menjadi kurang daripada RM500, tapi aku ikhlas dan anggap inilah pengorbananku susah senang hidup suami isteri.
Namun keikhlasanku mula tercabar apabila aku rasakan suamiku seolah-olah mengambil kesempatan diatas pengorbananku ini.
Dia kononnya tidak pernah mengambil gaji syarikat dan lebih mengutamakan gaji adik-adik perempuannya yang bersuami.
Sedangkan isterinya ini yang membeli beras, barang basah, pampers anak, susu anak dan barang dapur di rumah.
“Tiada duit, tiada untung” itu sudah ibarat zikir di bibirnya dengan harapan aku tidak mengharap dan meminta-minta darinya.
Untuk makluman juga, suamiku yang paling berkerja keras dalam syarikat mereka, keluar subuh dan balik malam tapi tetap tiada hasil dituai untuk anak-anak dan isteri.
Sampai satu tahap aku berharap suamiku keluar daripada syarikat mereka itu dan duduk di rumah uruskan anak-anak.
Jadi tidak perlulah kami mengeluarkan duit membayar taska anak-anak kerana tiada bezanya dia berkerja atau tidak.
Dugaan kedua adalah hubungan dingin suamiku dan ibuku. Tapi kedinginan itu lebih daripada ibuku.
Boleh dikatakan perkahwinan kami ini kurang dipersetujui oleh ibuku pada mulanya kerana ibuku belum bersedia untuk melepaskanku berkahwin.
Ya, aku sangat rapat dengan ibuku memandangkan aku membesar berdua dengan ibuku dan banyak perkara serta dugaan kami tempuhi bersama.
Aku tidur bersama ibuku dari kecil sehingga malam sebelumku bernikah. Ayahku? It’s complicated. Kalau bercerita tentang ayahku mungkin 4 bahagian tidak selesai.
Ibuku sangat sensitif dan agak negative thinking towards others. Ada suatu masa ibuku menangis menyatakan dia sunyi sejak aku berkahwin dan bersalin.
Dia kurang dapat perhatian dariku dan dia rindu hubungan kami yang dulu. Since aku selalu bawa ibuku jalan-jalan setiap hujung minggu dulu ketika aku bujang.
Ya Allah, sesungguhnya ibuku belum redha yang aku sudah berkahwin. Sedangkan selepas kahwin pun kami selalu bawa ibuku bercuti tapi itu sebelum timbulnya masalah kewangan kami.
2 kali aku berpantang, 2 kali juga aku hampir meroyan oleh sikap ibuku yang menekan emosiku dengan sindiran serta cemuhannya ketika aku berpantang.
Aku hampir menghempaskan bayiku yang berusia 8 hari sambil meraung-raung menangis sehingga jiranku datang menenangkanku dan ibuku hanya menunggul di depanku waktu itu.
Ya, sampai sekarang suamiku tidak tahu tentang itu kerana dia tiada di rumah, kalau suamiku tahu mungkin sudah lama aku dibawa keluar dari rumah ini.
Ibuku sangat suka membandingkan kami dengan orang lain terutamanya anak-anak buahnya. Pantang nampak orang lain lebih, mulalah dia dengan ayat sinis serta sindirannya.
Kadang-kadang aku menangis kerana aku tahu banyak kebaikan serta kelebihanku (since I’ve always met her expectations since I was young) tapi tetap yang buruk juga dipandangnya.
Befikiran negatif dan bersangka buruk adalah sikap ibuku yang paling aku kesali. Tidak lekang dari doaku memohon agar ibuku berubah.
Kami suami isteri pun sering ibuku bersangka buruk, ini lagi orang luar. Aku perasan yang ibuku sangat tidak suka akan keluarga mertuaku.
Pantang aku bercerita tentang kebaikan ibu mertuaku, mesti ibuku akan bidas dengan tanggapan negatifnya sedangkan ibu mertuaku melayan aku dan ibuku dengan sangat baik.
Tapi ibuku tidak pernah menunjukkan di depan yang dia tidak suka akan suamiku serta ibu mertuaku. Dia tetap melayan dengan baik tapi dibelakang mereka, akulah menjadi mangsa menadah telinga mendengar cemuhannya.
Aku stress menjadi orang tengah. Aku terpaksa serap dan diam. aku tidak dapat bercerita masalahku bersama suamiku kepada ibuku dan aku tidak dapat mengadu tentang ibuku kepada suamiku demi menjaga hubungan mereka berdua.
Sekarang ini, ibuku seperti dapat menghidu masalah kewangan kami dan dia banyak membantu mengeluarkan belanja dapur tetapi senang untuk dia mengungkit jika suamiku ada menegur sedikit tentang keadaan masakannya (sudah basi).
Ibuku akan mula marah-marah dengan bercakap sendiri sambil menyindir dengan keadaan tidak mahu kami dengar tapi dengan harapan kami terdengar.
I know her well, benda ni sedikit sebanyak buat aku sedih dan tertekan sebab I don’t know what to do since aku dari kecil sampai sekarang tidak reti dan tidak pernah melawan/menjawab ibuku dan kini aku buat benda yang sama kepada suamiku.
Aku hanya banyak berdiam dan menangis. Itu sahaja yang aku mampu.
Tapi ibuku tetap ada sisi baiknya. Tersangat baik. Tapi ada masa keluar sisi buruknya. Mood berubah sepantas kilat.
Aku perasan mood dia akan selalu baik dan gembira bila suamiku tiada di rumah dan bila aku berjalan berdua dengannya sama seperti aku bujang dulu.
Kalau ada suamiku, semua benda menjadi kesalahan di mata ibuku. Aku bersyukur suamiku bukan sejenis yang mudah terasa dan sentap.
Sabar serta hormatnya masih ada ke ibu mertuanya ini.
Aku mohon para pembaca semua tolong doakan aku dan suamiku terus kuat dan tabah menghadapi semua dugaan ini.
Doakan semoga kami sekeluarga sentiasa diberikan kesihatan yang baik serta diluaskan rezeki seluas langit dan bumi.
Doakan juga semoga ibuku berubah menjadi orang yang lebih positif dan lembut hatinya, aamiin.. sesungguhnya aku sayang kedua-dua mereka.
– Suci (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit