Terima kasih admin kerana sudi siarkan. Saya sebetulnya berkali-kali fikir sama ada mahu menulis tentang kisah ini atau tidak. Takut disalah tafsir. Takut juga dikata melepas dendam.
Tetapi demi kebaikan perempuan-perempuan yang mudah tergoda di luar sana, saya buat keputusan untuk teruskan menulis tentang Dato’ Sri ini.
Saya Rin, berusia awal 30-an. Bekerja di sektor swasta. Ada dua anak daripada perkahwinan terdahulu. Sekian lama menjanda, hati saya terbuka untuk menerima cinta seorang yang bergelar Dato’ Sri. Dia berusia 50 tahun.
Ceritanya begini. Penghujung tahun 2020, ada seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Dato’ Sri BB (BB stand for Big Boss). Dia datang ke tempat saya bekerja kerana urusan perniagaan.
Dari mula pandangan pertama saya sudah tahu dia tertarik dengan saya, lebih-lebih lagi apabila dia tahu status saya sebagai ibu tunggal.
Dan kemudian dia semakin kerap ke tempat kerja saya. Kerap memberi jambangan bunga yang bukan murah harganya.
Hari demi hari kami makin rapat. Jika berjauhan sentiasa berwhatsapp rindu rinduan. Hinggalah satu hari dia membuat kejutan memberi saya sebuah kereta yang agak mewah jenamanya.
Tetapi kereta terpakai sahajalah. Tetapi sangat cantik di mata saya. Hati sudah tergoda dengan kemurahan hati Dato’ Sri. Hati sudah terpaut. Almaklum orang kaya.
Takkan la ibu tunggal macam saya nak tolak pula. Saya dah berangan untuk hidup mewah dan sudah pasti masa depan anak-anak saya juga cerah.
Saya tak mahu hidup susah lagi. Saya betul-betul impikan dahan berpaut yang kukuh dan rimbun. Saya sanggup tolak lamaran rakan sekerja yang ikhlas mahu memperisterikan saya (saya dan rakan sekerja tu memang dah ada hubungan teman tapi mesra hehe)
Sebelum itu, DSBB dah berterus terang dengan saya. Dia sudah beristeri. Makin cair hati saya melihat kejujurannya. Isterinya bernama Faridah, bekerja sebagai pembantu klinik. Sampai sekarang Faridah masih bekerja kerana Dato’ Sri BB kata Faridah bosan duduk di rumah.
Masa tu dah heran juga, kalau bosan kenapa tak bukak butik ke, spa ke untuk level2 orang kayangan, kan. Mereka sudah 5 tahun berkahwin tetapi tiada anak. Mesti pembaca hairan kenapa dia baru 5 tahun berkahwin sedangkan dia sudah berusia 50 tahun.
Sebenarnya dia pernah bernikah sebelum itu dengan seorang guru bernama Kak Anne. Dengan Kak Anne, dia ada 3 orang anak yang sudah besar dan dah berkahwin semuanya. Mereka bercerai kerana Kak Anne tak sanggup bermadu.
Itu menurut cerita dialah. Dalam ceritanya dia mengutuk Kak Anne sebab sanggup tuntut fasakh hanya kerana tidak mahu berpoligami.
Sedangkan perkahwinan mereka sudah mencecah puluhan tahun.
Dato’ Sri memang tak akan lepaskan Kak Anne dengan talak sebab katanya masih sayang pada Kak Anne dan anak-anak. Sebab tu Kak Anne tuntut fasakh.
Saya pun ikut mengutuk sama, sebab bagi saya memang betullah tu Kak Anne salah. Kenapa nak bercerai sedangkan suami kaya raya. Pasti mampu sara banyak keluarga.
Dalam Islam poligami tak salah kalau suami mampu, kan. Lagipun mestilah saya sokong Dato’ Sri BB kerana saya sudah cinta mati kat dia, saya sanggup serahkan segalanya untuk dia. Yang penting dia akan jadi suami saya.
Dan dia yakinkan saya bahawa Faridah pasti akan terima saya, sebab dulu Faridah pun berkahwin dengannya ketika dia masih suami Kak Anne. Takkan Faridah nak marah pula sebab dia pun sama juga ambil suami orang.
Hati saya kembang berbunga-bunga. Dia kata saya pun akan digelar Datin Sri juga nanti kerana hak setiap isteri adalah sama. Saya dah berangan sambil memejam mata. Orang akan panggil saya Datin Sri. Fuhhh…tak pernah sangka hidup saya akan berubah sampai tahap itu.
Tubuh saya pasti akan bergemerlapan dihiasi intan berlian. Pakaian saya mestilah berharga puluhan ribu hasil tangan pereka terkenal.
Menurut Dato’ Sri, dia ada jet peribadi yang boleh bawa saya ke luar negeri holiday dan shopping. Dia ada kapal mewah juga untuk berlibur.
Banyak gambar pesawat peribadi dan kapal mewah dia tunjukkan, Wahhh….saya benar-benar terpesona.
Dato’ Sri BB (lepas ni saya akan tulis DSBB sahaja) juga sangat gentleman. Dia sanggup berjumpa ibu dan ayah saya berterus terang untuk mengambil saya menjadi isteri. Dia juga memberikan sejumlah wang yang banyak kepada ayah saya.
Ibu dan ayah saya turut gembira kerana berpendapat saya bertuah dapat memikat VVIP yang kaya raya. DSBB turut berjanji akan renovate rumah ibu bapa saya menjadi sebuah banglo indah.
Anak-anak saya juga sudah mula menerima DSBB kerana mereka gembira melihat saya gembira. Dan DSBB juga tidak lokek memberi mereka duit tunai yang banyak setiap kali berjumpa. Rm100 seorang dah terlalu banyak bagi budak-budak.
DSBB juga menunjukkan beberapa artikel tentang dirinya di google. Juga beberapa video sedang ditemuramah oleh wartawan di YouTube.
Memang lengkap namanya siap dengan gelaran YBhg Dato’ Sri.
Dan gambarnya sangat bertokoh dan jelas terlihat bagai jutawan. Cuma video ketika ditemuramah itu agak aneh kerana host bertanya dalam Bahasa Inggeris, tetapi dia menjawabnya seperti membaca buku teks, dalam Bahasa Melayu pulak tu. Seperti dah dikarang lebih awal.
Tapi tak apalah. Yang penting dia betul-betul kaya dan berpangkat. Bukti sudah jelas di sosial media. Bangga betul saya apabila menjadi pilihannya. Saya tak kesah pun jadi isteri kedua. Maknanya sekarang, Faridah isteri pertama dan saya bakal jadi isteri kedua.
Kalau dulu Kak Anne isteri pertama dan Faridah isteri kedua. Harap pembaca faham dan tak rasa berbelit hehehe.
Tidak berapa lama kemudian, DSBB mengatakan segala urusan pernikahan kami telah siap diatur. Saya agak hairan, bukankah urusan pernikahan banyak halnya.
Sepatutnya ada kursus nikah, ada ujian hiv, ada sekian banyak borang perlu diisi. Untuk berpoligami pastilah lebih sukar prosedurnya.
Bila saya suarakan kemusykilan saya, dia kata sayang jangan risau. Abangkan VVIP, semua orang di pejabat agama hormat abang dan mudahkan urusan abang. Saya fikir, betul juga.
Saya pun bersedia apa yang patut. Beli baju nikah. Beli baju cantik untuk keluarga juga. Semua DSBB sponsor. Pada awal Febuari 2021, saya dan keluarga datang ke sebuah hotel untuk majlis akad nikah.
Di sana, tuan imam dan saksi telah menunggu. Saya juga turut menandatangani borang yang disediakan. Suasana dewan agak suram kerana tiada orang kecuali saya dan keluarga saya (DSBB sewa satu dewan/ruangan kecil hotel).
Tiada sebarang majlis makan-makan. Hanya ada akad nikah di kerusi yang tengah-tengahnya meja. Tiada sebarang hiasan atau pelamin.
DSBB kata tak sempat nak tempah semua tu.
Ayah saya menjadi wali. Gembira bukan kepalang apabila saya sudah sah menjadi isterinya. Bertuahnya saya kan.
Betul-betul tak sangka ibu tunggal macam saya boleh jadi isteri jutawan. Biasanya VVIP suka pikat artis perempuan muda yang cun melecun.
Tetapi sebenarnya penampilan saya macam artis juga, saya cantik, kulit putih melepak. Rambut sentiasa bertukar warna. Berpakaian agak daring dengan sedikit terdedah terutama bahagian dada dan gemar memakai skirt atas lutut.
Memang itu kehendak karier saya sebagai penyambut tetamu di syarikat korporat ini. Perlu sentiasa kelihatan moden, elegant dan up to date dengan fesyen. Saya sedia dikecam untuk part ini. Doakan saya dapat menjadi lebih baik selepas ini.
Berbalik kepada pernikahan tadi, sayalah isteri terbahagia . Tetapi tidak lama. Dua tiga hari selepas itu, DSBB bagitahu saya Faridah dan keluarganya sudah tahu tentang pernikahan kami.
Dan DSBB mohon berikan dia masa untuk betulkan keadaan. Dia nak pujuk Faridah. Kerana Faridah sudah mengamuk tak ingat dunia. Saya ada juga menerima messenger daripada seseorang yang marah-marah dan maki hamun saya.
Pasti itu Faridah gunakan acc fake. Sebab real acc dia DSBB suruh saya block sejak kami mula bercinta.
Saya terfikir juga, kenapa Faridah mengamuk teruk sangat. Kata DSBB, Faridah benar-benar terluka dan sakit dengan pernikahan kami.
Ehh, bukankah dulu dia ganggu rumah tangga orang juga. Pasti Kak Anne juga merana seperti dia. Kenapa bila dia dimadukan, dia mengamuk pula.
Dan DSBB kemudiannya tidak muncul lagi. Takut betul dia dengan Faridah dan ibu bapa Faridah. Saya ada whatsapp DSBB, dia masih suruh saya sabar. Kerana masih lagi di fasa memujuk Faridah dan keluarganya.
Pada bulan Febuari dan Mac dia masih ada transfer duit kepada saya tetapi tak banyak. Bulan April dia minta saya transfer 20k kerana katanya ada masalah dengan payment projek.
Dia janji akan bayar semula minggu hadapannya. Saya tanpa berfikir panjang terus transfer. Ya lah, suami sendiri kan. Saya memang ada duit simpanan untuk pendidikan anak-anak. Bodohkan saya. Sebab dia sangat bijak memujuk.
Bulan berganti bulan, masih tiada sebarang nafkah. Duit 20k saya juga tidak diganti. Saya sudah hilang sabar kerana nafkah zahir dan batin sudah berbulan2 tidak diberi.
Kereta yang dia hadiahkan juga sudah ditarik kerana sudah berbulan-bulan tidak bayar ansuran. Bayangkan kami bercinta bagai nak rak selama dua bulan. Tapi hidup sebagai suami isteri cuma dua hari.
Saya whatsapp DSBB kenapa buat saya macam ni. Dia jawab keluarga Faridah paksa DSBB ceraikan saya, jika tidak repot polis akan dibuat.
Saya hairan, takkan sebab berpoligami kena repot polis. Dia kata ada sebab lain. Susah nak explain.
Dan kemudiannya dia ceraikan saya melalui whatsapp sahaja. Saya screen shot lafaz cerai tersebut untuk bukti pengesahan cerai di mahkamah nanti.
Saya pergi ke pejabat agama untuk failkan pengesahan ‘cerai melalui whatsapp’ tersebut. Alangkah terkejutnya saya apabila pegawai di pejabat agama mengatakan dokumen yang saya tandatangan di hari pernikahan itu adalah dokumen palsu.
Pegawai itu bagitahu, banyak kes perkahwinan sindiket yang gunakan borang palsu, malah sijil nikah palsu juga. Dalam sistem juga tiada nama kami yang bernikah pada tarikh tersebut. Maknanya pernikahan kami tak wujud pun.
Saya whatsapp DSBB kenapa tipu saya buat nikah sindiket. Dengan selambanya dia jawab, nikah kita sah sebab cukup rukun nikah termasuk wali tu ayah kandung.
Dan dia mengaku dia menikahi Faridah dulu pun dengan cara yang sama. Sebab tak mahu bersusah payah ikut prosedur poligami di mahkamah, yang pastinya Kak Anne takkan bekerjasama.
Allahu..saya terus terfikir. Entah-entah saya ini perempuan ke berapa dah yang dia nikahi secara sindiket. Mungkin Faridah tidak tahu. Ye lah, dah ada team nikah sindiket yang senang-senang aturkan pernikahan tu kan.
Apabila saya mendesaknya untuk bayar kembali wang saya, dia terus block saya di whatsapp dan di Facebook.
Saya benar-benar terduduk. Ini kifarah untuk saya sebab terlalu inginkan kemewahan. Terlalu terpesona dengan janji-janji manisnya.
Lama juga saya bersedih. Menyalahkan DSBB dan juga menyalahkan diri sendiri. Kasihan ibu ayah saya. Mereka lebih terluka.
Kemudian, ada kawan saya syorkan supaya hubungi Kak Anne untuk tahu siapa sebenarnya DSBB ni. Saya terus mencari info tentang Kak Anne.
Tak susah di zaman semua di hujung jari ni. Sebab DSBB pernah tunjuk gambar anak-anaknya di Facebook Kak Anne. Saya terus hubungi Kak Anne di Facebook, perkenalkan diri sejujurnya dan Kak Anne memberi nombor telefonnya.
Alhamdulillah, Kak Anne layan saya dengan sangat baik. Sebab Kak Anne kata bukan saya yang ganggu rumahtangga dia dulu.
Saya ringkaskan perbualan saya dengan Kak Anne.
Rin : Kenapa dia nampak kaya sangat masa mula2 nak pikat saya dulu?
Kak Anne: Dia tu scammer. Akak baru saja dapat surat dari mahkamah ni. Dia dituntut untuk ganti semula duit yang dia tipu sebanyak 4juta. Penipuan ni dalam bulan Nov 2020.
Masa tu la dia pikat awak dengan kemewahan tu. Dan sebelum2 ni banyak sangat surat mahkamah sampai untuk dia hadir perbicaraan dalam kes tuntutan balik duit.
Semua surat dia masih sampai ke rumah akak sebab dia masih gunakan alamat akak dalam kad pengenalan dia. Surat panggilan pertama, kedua, ketiga semua ada untuk setiap kes.
Sebab dia tak pernah hadir pun ke mahkamah. Surat kena halau dari rumah sebab dah berbulan tak bayar sewa dan bil utiliti pun ada ni ha. Kalau kat Facebook tu kemain lagi tunjuk rumah mewah kononnya harta sendiri. Padahal sewa saja. Gitu la dia, memang sentiasa menipu.
Rin: Dia dapat tipu orang 4juta tapi dalam beberapa bulan saja dah habis? Sampai tak bayar sewa rumah?
KakAnne: Polis ada bgtahu akak, team diorang ramai. Mgkin duit tu dibahagi-bahagi. Kalau dah bahagi 10 orang, berapa saja dapatnya kan.
Dan beli macam-macam untuk nampak mewah. Lagi satu dia boros. Duit tak berkat kan. Easy come, easy go.
Rin: Kenapa surat dihalau rumah sewa pun sampai kat alamat akak?
KakAnne: Sebab tuan rumah guna peguam. Tuan rumah takut jika DSBB ada kumpulan gangster yang boleh halang tuan rumah ketika arahan keluar dari rumah tu. Jadi sudah semestinya alamat dalam IC digunakan.
Lagipun semua perabot tuan rumah punya. Tuan rumah khuatir DSBB akan angkut semua barang. Itu semua ada disebutkan dalam surat peguam tu. Dalam senarai alamat penerima tu ada juga alamat yang DSBB sewa tu. Untuk serahan tangan.
Rin: Masa akak jadi isteri dia dulu, dia tak buat kerja menipu orang ke?
KakAnne: Akak tak tahu. Sebab dia licik sangat. Tapi menyamar jadi datuk, jadi Dato’ Sri tu dah lama. Kat fb, semua frenlist panggil dia Dato’ Sri.
Mungkin dah buat kerja scammer tapi secara kecil-kecilan. Sebab dia ada bawak balik motor besar, kereta jenama mewah. Bila akak tanya, dia kata pinjam kawan. Dan dah ada juga orang datang rumah akak gegar2 pagar tunjuk repot polis yang DSBB ambil duit orang beli tanah dengan dia.
Tapi tanah tak wujud pun. Bila akak tanya, macam-macam dalih dia buat. Orang khianat lah. Orang guna nama dia la. Tapi dia tak pernah pun bagi akak duit. Mgkin dia takut rahsia terbongkar. Syukur juga. Sebab tak termakan duit haram.
Rin: Artikel di google dan video di YouTube tu macam mana pulak? Takkan tipu juga.
KakAnne: Artikel dan konten itu betul. Akak ada tengok juga bila anak tunjuk. Tapi cuba tengok tarikhnya. Penghujung 2020 kan. Ketika itu dia sedang scam syarikat tersebut. Yang 4 juta tu. Namanya diletakkan sebagai orang kuat company tersebut.
Sebab company tersebut percaya dengan projek bernilai billion yang dia kata nak bawa masuk dalam company tersebut.
Maaf cakap, itu company bukan melayu yang sangat percaya kepada keistimewaan bumiputera/ melayu yang mudah dapat projek lebih2 lagi bergelar Dato’ Sri.
Artikel tu pun dari website company tersebut. Apa2 yang keluar sebagai content takde siapa boleh tahu betul ke salah. Dan kekal di situ selagi takde orang padam.
Dan kekal juga sebagai bahan untuk dia terus scam orang nanti. Harap2 ada yang hapuskan artikel dan content YouTube tu.
Rin: Betul ke akak mintak fasakh dulu sebab tak nak berpoligami?
Terdengar Kak Anne gelak besar di hujung talian.
KakAnne: Kat mahkamah tak terima alasan poligami untuk fasakh. Akak tunjukkan bukti dia tak bagi nafkah sepanjang perkahwinan.
Rumah, bill, anak sekolah, sara hidup semua akak yang tanggung. Dia kerja tak tetap. Kejap jadi pemandu lori, kejap jadi pemandu grab, kejap menganggur.
Tapi bagus juga la dia curang, dapat jadi kekuatan untuk akak teruskan fasakh. Kalau dia biawak hidup tapi masih setia, mungkin akak masih bertahan.
Rin: Betul ke dia Dato’ Sri? Dia pernah tunjuk kat saya surat Anugerah Darjah Kebesaran dari negeri P. Dia kata negeri P sahaja yang bagi gelaran Dato’ Sri. Negeri lain Dato’ Seri. Ejaan berbeza.
Kak Anne: Selama berpuluh tahun akak hidup dengan dia, tak pernah sekalipun kami naik istana terima apa2 darjah kebesaran. Kalau nak tahu juga, cuba call bahagian adat istiadat di SUK negeri tersebut. Berikan nombor ic DSBB. Mereka akan jawab terus sebab ada dalam sistem.
(Dan saya kemudiannya menghubungi SUK negeri tersebut bahagian adat istiadat, memang sah tiada sebarang anugerah yang dia terima.
Maknanya gelaran itu palsu. Tepuk dahi lagi).
Rin: Surat anugerah tu macam mana pula?
Kak Anne: Menurut polis yang pernah call akak, scammer macam tu biasanya ada team dia, yang boleh buat/edit surat bagi nampak betul2 real. Macam surat awak nak nikah dulu la. Begitu juga surat2/dokumen konon2 ada projek billion, padahal tak wujud pun kontrak tu.
Akak tahu sebab ramai mangsa datang ke rumah tunjuk salinan surat2 tu. Diorang datang rumah akak sebab alamat rumah akak tertera dalam setiap surat perjanjian projek2 dia. Bila akak tunjukkan dokumen fasakh akak barulah diorang tak ganggu lagi.
Rin: Mangsa tak repot polis ke?
KakAnne: Ada yang repot. Ada yang tak. Ramai saja polis datang rumah akak cari dia. Yang call akak pun ramai. Mereka kata masih dalam siasatan, sebab jenayah komersil susah nak tangkap.
Sebab ada yang guna keldai akaun. Alasan lain sebab mangsa bersetuju dengan sukarela untuk masukkan duit. Bukan paksaan/kekerasan. Sebab tu la kat Malaysia ni scammer bermaharajalela. Diorang tahu susah nak kena tangkap.
Ada sesetengah mangsa pula cuma jadikan kes mahkamah sebab nak tuntut duit mereka semula. Sebab pada fikiran mereka, jika DSBB ditangkap, mereka tak mungkin dapat duit mereka semula.
Dan kemudiannya KakAnne send semua gambar surat2 panggilan ke mahkamah, bukti2 dia tipu orang jutaan ringgit. Surat kena halau dari rumah sewa pun ada. Surat syarikat kewangan beri amaran kereta-kereta/motor2 besar yang dah lama dah tak bayar ansuran pun banyak.
Bagus betul Faridah masih setia. Mestilah malu sebab semua orang tahu dia dengan sombongnya berbangga ambil suami orang dulu. Dan sangat berbangga semua orang panggil dia Datin Sri Faridah.
Saya kemudiannya menghubungi nombor yang tertera dalam dokumen peguam untuk kes keluar rumah sewa tu. Saya ceritakan hal sebenar dan dari mana saya dapat nombor telefon.
Saya bagitahu peguam tersebut yang saya mahu pastikan apakah DSBB masih di alamat tersebut, kerana saya mahu hantar dokumen untuk kes mahkamah syariah.
Betul seperti apa yang KakAnne beritahu, DSBB sudah dipaksa keluar dan tidak mampu menyewa di situ lagi. Kalau ada gambar di facebook yang tunjuk seolah-olah dia masih duduk di situ hanyalah gambar lama.
Ohh ya lupa pulak. Saya ada google gambar jet peribadi dan kapal mewah. Memang ada yang sebijik DSBB tunjuk kat saya dan mengaku milik dia tu.
Padahal gambar di google tunjuk nama tempat dan pemilik sebenar. Bukan orang Malaysia pun. Semua jutawan luar negara punya.
Bodohnya saya tertipu. Malu betul bila teringat angan-angan saya dulu.
Entah di manalah agaknya DSBB dan Faridah merempat sekarang sementara menunggu mangsa scam yang berikutnya.
Saya teringat Kak Anne ada nasihatkan saya supaya bersyukur. Bersyukur kerana tidak lagi ada kaitan dengan DSBB. Sama seperti Kak Anne yang sangat-sangat bahagia sekarang dengan anak-anak. Kalau DSBB kena tangkap pun, kami berdua dah tak kena tempias.
Macam dah panjang sangat ni. Maaf sangat jika lari dari kronologi. Plot juga melompat-lompat. Sebab saya bukan penulis yang baik.
Motif cerita saya kat sini adalah nak sampaikan pada perempuan di luar sana, jangan percaya pada orang yang try hard sangat menunjuk-nunjuk kemewahan ni.
Sama ada di media sosial atau secara berdepan. Biasa yang gigih sangat tunjuk kekayaan kat socmed tu tak kaya pun. Lebih kepada berangan saja. Yang kaya sebenar-benar tak tunjuk pun. Sebab membahayakan keselamatan.
Sekali lagi saya nak ingatkan. Jangan terpesona. Nanti tergadai segala. Pilihlah yang sederhana dan beriman. Selidik dulu betul-betul. Jangan jadi macam saya.
– RIN ILYAS (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit