Suami, Hargailah Peluang Kedua

Assalamualaikum korang.. Aku seorang wanita yang bekerjaya dan telah berumahtangga hampir 5 tahun. Alhamdulillah kehidupan kami sentiasa mencukupi hanya rezeki zuriat belum dikurniakan. Adat berumahtangga mesti ada ujian mendatang.

Sejak tahun lepas aku dan suami diuji dengan sihir pemisah. Rumahtangga kami sentiasa panas dan perkara remeh pun menjadi punca kami bergaduh.

Walaupun di rumah aku dan suami tak boleh bertentang mata, tapi kami tak pernah putus asa. Terus berikhtiar untuk pulihkan rumahtangga.

Alhamdulillah, setelah berbulan, rawatan mula menampakkan hasil dan hubungan aku dan suami semakin pulih. Namun ujian tak terhenti di situ.

Suatu hari suami aku terlibat kemalangan. Kemalangan yang menyebabkan kecacatan kekal terhadap suami. Malam pertama setelah suami kemalangan, kedua-dua fon aku dan suami tak henti-henti panggilan masuk.

Lepas satu, satu panggilan aku jawab. Sehinggalah satu panggilan masuk, nama kawan baik suami tertera. Aku kenal tuan empunya nama, jadi aku jawab macam biasa.

Gugur jantung aku bila yang aku dengar adalah suara perempuan. Bila aku tanya ni siapa, pemunya suara tergagap nak jawab. Beberapa kali aku tanya baru dia bagitahu dia kawan sekerja, nama Ana.

Aku tak mampu husnuzon, kalau sekadar kawan kenapa perlu save nama lain. Tapi memandangkan keadaan suami yang belum sedar, aku tekad untuk telan sangkaan aku. Aku hanya mampu pendam, aku nak baca mesej diorang pun tak dapat sebab fon suami ada password .

Hampir 2 bulan suami terlantar di hospital. Aku mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh tu untuk jaga suami. Berak kencing suami semua aku uruskan sendiri. Makan tidur aku semua di hospital. Aku hanya keluar sekali sekala untuk ke dobi.

Dan Ana tanpa segan silu datang seorang diri melawat suami di hospital. Melihat suami yang bukan main mesra bersembang dengan Ana di depan aku, aku confront suami. Dan dia mengaku ada hubungan dengan Ana. Sejak sebulan sebelum suami kemalangan lagi.

Aku? Ikutkan hati nak ja aku tinggalkan suami masa tu. Bawak diri sejauh mungkin. Tapi melihat keadaan suami dan mengenangkan tanggungjawab, aku masih setia di sisi suami. Dalam keadaan terlantar suami aku berjanji akan putuskan hubungan tu.

Bila suami dah keluar dari hospital, waktu makan dan tidur aku tak tentu hala. Aku bangun awal pagi untuk siapkan sarapan dan makan tengah hari suami. Jarak perjalanan ke tempat kerja pula sejam. Balik dari kerja, aku kemaskan pinggan mangkuk dan sediakan makan malam suami.

Aku berjimat, untuk mencukupkan bayar bil-bil follow up suami di hospital. Selagi ada kudrat, aku siapkan makanan sendiri untuk suami dan bawa bekal ke tempat kerja. Sudah tentu, dengan keadaan suami, kerja lain di rumah pun aku yang siapkan sendirian.

Sehinggalah beberapa bulan, dan suami dah cukup kuat untuk masuk kerja. Aku teruskan rutin untuk uruskan suami macam biasa. Aku tak pernah mengeluh dengan suami. Aku buat semua atas rasa tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Sampai lah satu hari, aku terjumpa gambar-gambar suami keluar makan berduaan dengan Ana dalam fon. Gambar yang agak mesra, duduk rapat-rapat dan tersenyum mesra.

Sedangkan suami selalu mengelak bila aku ajak bergambar dan tak pernah nak ambil gambar aku macam dia ambil gambar Ana.

Rupa-rupanya diorang tak pernah berhenti berhubung pun. Aku yang bodoh, percaya semua penipuan suami aku. Aku terduduk. Demi Allah, hancurnya hati aku pada masa tu hanya Allah yang tahu. Apa kurangnya aku, apa salah aku sebagai isteri..

Tergamak suami duakan aku dalam keadaan dia yang masih belum sihat sepenuhnya. Sedangkan nak bergerak pun masih perlukan bantuan alat. Ya Allah tergamaknya kau suami. Aku rasa darjat aku sebagai isteri ketika tu ibarat dipijak-pijak dan dihenyak tanpa belas ihsan.

Bukan setakat keluar dating, suami ada jugak hadiahkan jam tangan mewah pada Ana, beberapa hari selepas ulangtahun perkahwinan kami.

Sedangkan aku yang berkorban menjaga suami siang dan malam, hanya dapat sekadar ucapan.

Tak cukup dengan tu, aku difitnah keluar dengan lelaki lain dan mengabaikan suami. Habis yang kehulu kehilir jaga makan pakai suami tu siapa?

Aku tak mahu berdiam diri. Aku panggil Ana untuk bersemuka. Aku mintak diorang putuskan hubungan di depan aku dan berjanji takkan berhubung lagi.

Aku simpan gambar-gambar mereka sebagai bukti. Beberapa hari aku tak makan dan hanya dapat tidur sejam dua saja sehari. Aku terlalu stress pada masa tu sampai kena anxiety attack. Aku pitam di tempat kerja dan ditahan di hospital beberapa hari.

Tapi Allah tu adil, Alhamdulillah Allah hadirkan insan-insan yang sangat baik, terus menerus support aku dan bagi semangat.

Aku kumpulkan kekuatan yang bersisa, untuk pastikan perkara ni tak berulang, aku minta nasihat peguam dan minta suami lafaz taklik di depan saksi. Walaupun dah beberapa bulan berlalu, jujur hati ini masih sakit.

Aku nampak perubahan suami, dia cuba ambil hati aku balik. Aku berharap sangat suami betul-betul berubah dan menyesal dengan perbuatan lepas.

Semoga suami aku tak mensia-siakan peluang kedua ini. Semoga semua wanita yang diuji dalam rumahtangga terus kuat menghadapi hari-hari seterusnya..

– Yulia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *