Suami Juga Punya Ibu Bapa

Selepas saya selesai diijab kabulkan bersama suami pada beberapa tahun lepas, ibu mertua saya memberi pesan kepada saya; “Jaga anak mak elok-elok,”.

Sewaktu itu saya agak kaget dengan pesanan ibu mertua saya, dalam mata ibu mertua saya berkaca menahan sebak barangkali. Tetapi saya hanya menjawab, “InsyaAllah, dia pun kena jaga saya nanti,”…

Selama bertahun-tahun berlalu, saya masih tidak dapat mendalami pesanan tersebut dengan sedalam-dalamnya.

Jangan salah faham, saya jaga suami saya dengan baik. Ibu mertua saya selalu memuji saya dan berkata dia amat-amat bersyukur saya berkahwin dengan anaknya.

Barangkali saya masih mentah dalam naluri keibuan. Maklumlah, saya dan suami masih belum dikurniakan anak. Pernah mengandung, tetapi masih belum lagi ditakdirkan untuk mempunyai zuriat.

Sehinggalah baru-baru ini, saya ambil gambar suami bersama ibunya. Saya suka ambil gambar spontan aksi mereka supaya boleh dijadikan kenang-kenangan.

Pada masa itu ibu mertua saya sedang menyapukan ubat kepada suami saya.

Saya dapat lihat bagaimana matanya fokus pada anaknya dan sambil tersenyum melihat radang kulit suami saya semakin baik selepas dia menyapukan ubat pada tempat yang sama beberapa hari lepas.

Dan pada ketika itulah saya betul-betul faham perasaan ibu mertua saya.

Anak; baik anak lelaki mahupun perempuan, adalah permata dan nyawa ibu bapa mereka. Ibu mertua dan ayah mertua saya telah bertungkus lumus membesarkan anak-anak mereka, menjaga dan menyayangi anak-anak mereka.

Apabila seseorang berkahwin, kehidupan mereka akan dipengaruhi oleh pasangan mereka. Kalau baik hubungan perkahwinan, maka kebiasaannya kita boleh lihat betapa bahagianya seseorang.

Anak yang ditatang, dikasihi, dimanjakan dan dididik ini akan menyusuri satu perjalanan yang baharu bersama pasangan masing-masing; dan perjalanan ini boleh jadi membahagiakan atau boleh juga menderitakan.

Dahulu saya hanya selalu berfikir dari sudut ibu bapa saya yang menyerahkan anak perempuan mereka ini kepada seorang suami untuk dicintai, disayangi, dilindungi dan dididik.

Dahulu saya selalu berfikir perempuan sering dizalimi jika tersalah pilih pasangan.

Sedangkan ibu bapa suami saya juga, punya perasaan yang sama.

Bagaimana anak mereka yang mereka kasihi ini boleh menderita sekiranya isteri gagal memberi sokongan kepada si suami khususnya ketika mereka sedang jatuh atau sakit.

Bagaimana juga suami boleh rosak dan hilang harga diri dek kerana isteri yang tidak setia.

Bagaimana ibu bapa suami kita menyimpan pengharapan yang tinggi, agar kehadiran kita sebagai bidadari syurga anak mereka dapat menjadikan anak mereka lebih bahagia dan berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Saya tahu ramai yang sedar akan hakikat ini. Mungkin saya sahaja yang lambat sedar sedangkan saya telah berkahwin bertahun lamanya.

Diharap perkongsian ini dapat membuka mata khususnya bagi anak-anak gadis yang masih belum mendirikan rumah tangga bahawa bakal-bakal suami anda juga punya ibu bapa yang mencintai mereka sepenuhnya.

Di awal-awal perkahwinan nanti, mungkin ada antara kita yang akan rasa sedikit emosi kerana suami kita contohnya apabila balik ke rumah ibu bapanya sendiri,

Mereka mahukan masakan ibu atau mereka mengadu sakit badan dan minta diurut, diletakkan ubat dan macam-macam lagi.

Padahal kita lupa, itulah tempat mereka bermanja sejak dari kecil hinggalah sebelum berkahwin dengan kita.

Biarkan sahaja mereka bermanja dengan ibu mereka. Ia akan memberikan emosi yang positif buat mereka dan sebenarnya memberi kerehatan kepada mereka selepas menjadi ketua dalam rumah tangga.

Percayalah, ibu mertua kita tidak akan menghakimi kita seolah-olah kita tidak menjaga anak mereka dengan baik. Sekali sekala mereka juga berbesar hati untuk memanjakan anak-anak mereka yang telah mereka lahirkan ini.

– AI (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *