Suami Kaki Game

Nama saya Afni. Berumur 30 tahun. Saya telah berkahwin selama 9 tahun dan dikurniakan 3 orang anak lelaki. Saya bekerja sebagai kerani di sektor swasta.

Suami berumur 30 tahun dan bekerja sendiri. Saya tahu suami minat bermain game sejak dari belum berumah tangga lagi. Selepas berumah tangga baru saya tahu ketagihan bermain game (dota) sangat kronik.

Di awal perkahwinan kami kerap bergaduh kerana suami kerap mengabaikan saya dan anak pertama kami yang masih kecil pada waktu itu.

Kadang-kadang saya sibuk memasak dan memerlukan bantuan suami untuk menjaga anak, dan kebetulan itu dia tengah bermain game, anak kami menangis.

Dia lebih rela meninggalkan anak yang sedang nangis dari berhenti bermain game.

Kekerapan dia bermain game itu berlanjutan dari malam hingga ke pagi. Dan pagi esoknya oleh sebab dia bekerja sendiri, dia akan tidur siang dengan sangat lama.

Waktu siang kami anak beranak seperti tiada suami atau ayah, kerana suami tidur sahaja. Dia akan bangun untuk makan, mandi dan solat sahaja. Selebihnya hanya di depan komputer.

Ada waktunya bila dah terlalu lama mengabaikan kami anak beranak, dia akan mula tanggungjawabnya sebagai suami dan ayah. Dia akan membantu saya mengemas rumah dan mengurus anak.

Begitulah rutin dia sepanjang perkahwinan kami dalam 9 tahun ini. Saya terlalu sayangkan dia.

Tapi dalam masa yang sama, hati saya sangat sakit kerana terlalu lama bersabar. Saya ada menegur suami kerana kekerapan dia bermain game telah banyak mengabaikan anak-anak kami yang sedang membesar.

Dia tidak pernah mengambil tahu mata pelajaran anak-anak yang semakin merosot. Yang dia tahu, setiap hari dia akan tengok youtube dan belajar taktik bermain dota dengan pro.

Suami juga sangat jarang membaca Al quran. Bila saya tegur, dia akan menengking saya. Sampai satu tahap saya dah give up dengan suami sendiri.

Tidak berhenti di situ, baru-baru ini, suami ada confess dia pernah menjalin hubungan dengan wanita lain dibelakang saya. Dia sangat sedih, dan hari² memohon maaf dari saya.

Hati isteri mana yang tidak sedih. Walaupun pedih, saya tetap memaafkan.

Sepanjang hari demi hari dia memohon maaf dari saya, macam-macam dia bantu dalam kerja rumah untuk melembutkan hati saya.

Termasuk solat berjemaah bersama anak-anak. Dan saya yang bodoh ini telah tertipu dengan lakonannya.

Saya memikurkan dia sudah insaf dan telah berjanji untuk menjadi ayah dan suami yang baik. Tapi semua itu tidak lama, walaupun dia tidak lagi curang, tapi habit gaming dia masih berlanjutan seperti biasa.

Masih mengabaikan saya dan anak- anak. Bila saya suruh dia memilih game atau saya, sukar sangat untuk berbuat keputusan. Saya sangat sayangkan suami saya.

Perlukah saya mengundur diri demi minat suami yang suka bermain game? Saya sangat buntu.

Saya teringin punya suami yang boleh mendengar luahan saya. Pillow talk bila nak tidur. Tapi saya tak dapat merasai semua itu. Suami lebih gemar berbual dengan kawan di game dari saya.

Kadang-kadang saya cemburu mendengar suami saya bercerita, bergelak tawa ketika bermain game dengan kawan dia. Hati saya sangat pedih. Kadang-kadang saya tidur dengan linangan air mata.

– Afni (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *