Assalamualaikum wbt dan salam hormat kepada pembaca sekalian.
Pertamanya aku ucapkan terima kasih kepada admin IIUM Confessions sebab sudi menyiarkan kisah ni. Aku cuma nak luahkan perasaan dan minta cadangan pembaca, bukan mengutuk suami atau membuka aibnya. Bismillah aku mulakan ye..
Sedikit latar berkaitan kami berdua. Kami tak banyak beza umur, suami awal 40an dan aku penghujung 30an. Kedua-dua kami bekerja sebagai penjawat awam (professional), suami aku satu gred lebih tinggi daripada aku. Kami tinggal di sebuah bandar kecil di utara Semenanjung. Kami dikurniakan empat orang anak selepas 15 tahun berkahwin.
Banyak dugaan sepanjang perkahwinan kami, macam biasalah masa mula-mula dulu kewangan, kerja dan keluarga. Makin tahun kami bersyukur sebab makin banyak Allah kurniakan kami nikmat rezeki, kerja tetap dan berjawatan, keluarga kecil yang simple.
Mak ayah dan mak ayah mertua kedua-dua belah juga mempunyai pencen, maka kami tak ada masalah kewangan yang terikat dengan mertua atau ibu bapa aku.
Masalah mula timbul apabila setahun lalu, suami aku buat keputusan untuk beli rumah yang agak mahal. Tidak perlu aku sebutkan di sini, cukup aku katakan beliau ambil pinjaman kerajaan hampir full quota pinjaman. Aku dah cuba nasihatkan beliau supaya kita ukur baju di badan sendiri, nanti boleh beli lain kalau nak besar lagi memandangkan anak-anak masih membesar.
Aku juga katakan aku akan bantu selain daripada keperluan makan minum dan belanja anak-anak jika tak cukup. Tapi suami aku degil, dibuatnya juga loan, hasilnya yelah kami duduk rumah yang gah tersergam indah.
Namun dalam rumah hanya kami anak beranak saja yang tahu. Sejak ansuran bulanan rumah ditolak memang suami mengeluh setiap hari, katanya tak cukup nak belanja sampai habis bulan. Tapi sebenarnya beliau dah selesa dengan gaji yang banyak sebelum ni, beliau nak simpan supaya seolah-olah banyak dalam akaun.
Akibatnya, aku lah yang tanggung untuk makan minum kami sekeluarga. Demi Allah aku tak berniat mengungkit. Kalau pembaca di tempat aku, hati sangat terkilan sebab beliau tak gunakan sepenuhnya gaji yang ada untuk makan minum (barang basah untuk memasak).
Hal-hal lain selain makan minum aku tak kisah dan memang aku yang keluarkan (baju anak, barang-barang harian lain, bil-bil rumah). Peti ais setiap hari kosong tak pernah ada ayam ikan sayur kalau aku yang beli. Bila aku minta semula katanya aku kedekut..
Untuk pengetahuan pembaca, suami aku agak dikenali ramai di tempat kami begitu juga dengan aku sendiri sebab bandar yang kami tinggal ni agak kecil. Suami aku dikenali sebagai orang yang baik-baik, peramah, suka membantu. Aku tak mampu nak buka pekung beliau jika aku adukan pada mana-mana pihak (jabatan agama, atau nasihat kawan-kawan beragama yang baik).
Kami kerap bergaduh akibat daripada masalah ni. Demi Allah aku halalkan duit ringgit yang aku keluarkan kalau betul-betul dia dah habiskan. Tapi selalunya tak sampai dua minggu dah kata dah habis gaji, sebab beliau nak “simpan” sampai hujung bulan bagi ada baki ribu-ribu ratus-ratus jugak, maka mangsanya ialah aku.
Aku cukup sedih sebenarnya. Orang lain tak kerja tetap, peti ais mesti ada bahan mentah untuk masak. Seboleh-bolehnya nak juga usaha untuk tanggung makan minum walaupun susah. Lain hal pulak dengan suami aku.
Beras kalau tak habis dan aku tak suruh dua tiga kali beli, memang dia tak akan beli. Bahan mentah ayam ikan sayur pula, aku kesiankan anak-anak memang aku beli dan masak. Wallahi sekalipun tak pernah tanya, hanya makan. Seolah-olah makanan tu jatuh dari langit. Adalah dalam sebulan dua tiga kali beliau akan beli bahan-bahan mentah.
Aku ingin memohon pendapat para pembaca yang budiman sekalian, apakah yang patut aku buat? Aku takkan adukan pada sesiapa sebab pada aku akan membuka aib suami yang amat dipandang tinggi oleh orang sekeliling.
Aku bangun malam setiap hari, mohon Allah kuatkan aku dengan ujian suami yang sikapnya macam ni. Bukan masalah kewangan, masalah sikap beliau.
Cuma kadang-kadang aku rasa aku tak kuat untuk hadapi. Aku rasa aku nak lari (berpisah) daripada suami, tapi memandangkan ada anak yang akan ambil peperiksaan besar tahun ni aku gagahkan juga diri.
Oleh itu, aku mohon para pembaca kongsikan doa-doa yang makbul untuk dibaca, amalan-amalan yang patut aku buat atau apa-apa sahaja nasihat yang dapat membantu aku. Aku sedih dan keseorangan. Harap para pembaca dapat membantu, terima kasih.
– Diana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit