Salam semua. Saya harap luahan saya ni dapat disiarkan. Saya dah lama memendam rasa bertahun tahun seorang diri sejak saya berkahwin.
Bukan tak nak bercerita dekat orang lain, tapi suami saya sangat pandai berlakon depan orang lain dan pandai manipulate saya buat diri saya yang salah.
Saya Wafa. Suami saya Adam. Kami dah berkahwin lebih dari 5 tahun. Sewaktu awal perkahwinan lagi, memang kami selalu bergaduh. Puncanya kerana Adam bawa saya tinggal bersama keluarganya.
Saya terseksa. Kena masak, kemas rumah, basuh baju, dalam masa yang sama saya bekerja. Kalau saya tak buat, Adam akan marah saya depan keluarganya. Disebabkan saya stress duduk di rumah itu, saya selalu jatuh sakit.
Sepatutnya baru berkahwin mestilah suami akan prihatin lebih kan? Tapi bukan Adam. Saya pernah tidur depan bilik air. Saya tak lalu nak ulang alik ke bilik air untuk muntah. Adam? Ada je tidur nyenyak tak hiraukan saya.
Saya pernah drive sendiri ke klinik dalam keadaan nafas tercungap cungap kerana batuk terlampau teruk. Adam? Ada je dekat rumah.
Depan family dia, baru la dia nampak ambik tahu sikit berkaitan saya. Belakang orang memang rasa macam saya ni hamba abdi sahaja.
Setahun perkahwinan, saya disahkan mengandung. Untuk jaga kesihatan mental saya, saya minta suami untuk cari rumah baru. Ajak dia untuk hidup berdikari tanpa masuk campur dari ibubapanya.
Pada mulanya hasrat saya ditentang ibunya. Tapi saya tekad dengan keputusan saya. Sama ada suami saya ikut pindah atau saya pindah seorang diri.
Atas pertolongan Allah, Adam ditawarkan kerja baru di terengganu. Jadi nak taknak memang dia kena berpindah. Saya berhenti kerja untuk ikut Adam ke terengganu. Bermula la episod perangai dua alam suami saya.
Di terengganu, saya berjaya dapat pekerjaan baru. Ikutkan hati nak berehat saja dirumah sampai saya melahirkan anak tapi Adam kata duit tak cukup nak tampung saya dan baby. Saya pun okay sahaja faham kewangan kami masih tak stabil.
Mula mula, saya nampak ada perubahan pada diri Adam. Tolong saya buat kerja rumah. Jaga saya tapi tu bertahan sekejap saja. Dalam penat mengandung, saya buat kerja rumah dari sekecil kecil kerja sampai la cuci tandas, cuci kipas siling, mop semua saya buat.
Saya malas nak menyuruh Adam berkali kali untuk bantu saya. Patutnya suami kena ada common sense. Buat kerja rumah tanpa perlu disuruh.
Disebabkan penat sangat, saya tumpah darah. Warded lebih dari seminggu. Manager nasihatkan saya untuk berhenti bekerja. Dia risau dengan kesihatan saya. Adam?
Mungkin dia terlampau risau sampai dia mengadu dekat ibunya tentang keadaan saya. Ibunya telepon saya dan menyuruh saya berhenti susahkan anak dia. Ingatkan Adam risaukan saya. Rupanya risaukan tentang dirinya sahaja.
Yela ulang alik hospital setiap hari, kerja lagi. Dia penat. Lagi penat dari saya yang mengandung. Sebulan sebelum due, saya buat keputusan untuk berhenti. Adam hantar saya pulang ke kampung saya. Waktu beranak, saya beranak seorang diri.
Saya tak ganggu Adam. Saya fobia kalau dimarah ibunya lagi kerana ganggu Adam. Ibu saya tanya keberadaan Adam. Saya cuma jawab Adam otw sahaja. Saya sembunyikan sedih saya. Saya nak fokus dengan kandungan saya.
Alhamdulillah tanpa suami di sisi saya berjaya keluarkan anak saya yang diberi nama siti. Seminggu lepas itu barulah Adam pulang untuk melihat anaknya dan bawa saya pulang ke rumah kami.
Ibu saya pada awalnya tak bagi kerana saya masih lemah dan tiada pengalaman untuk handle baby tapi Adam berjanji untuk upah seorang confinement lady untuk menjaga saya. Saya lega dengar Adam cakap begitu. Pulang ke rumah nampak Adam begitu suka melayan baby.
Meriah socmed Adam upload gambar anaknya dengan caption bersyukur, sayang anaknya dan macam macam lagi. Bersyukurnya hanya di socmed sahaja.
Di realiti, saya buat kerja seorang diri. Jaga baby, kemas rumah, sediakan makanan semua saya buat sendiri. Adam kata saya tak bekerja.
Mana ada duit nak upah CL. Saya sedih, tapi saya diamkan sahaja. Di socmed masih lagi Adam ternampak seperti suami dan bapa mithali. Tapi di luar saya je tau perangainya.
Ibubapa Adam datang melawat dan duduk di rumah kami selama lebih seminggu. Dalam seminggu tu, Adam seperti bukan Adam yang saya kenal. Adam suruh saya berehat. Saya cuma jaga baby sahaja. Semua dia buat. Makanan dia belikan.
Adik dia sampai kata saya bertuah berkahwin dengan abangnya. Ibunya pun memuji Adam. Saya pun angguk sahaja setuju walaupun dalam hati rasa nak anugerahkan pelakon terhebat kepada suami saya.
Punya la hebat lakonan suami saya, sampaikan ayahnya pun boleh bertanya kepada saya “memang dekat rumah tak pernah buat kerja rumah ke? Dulu bujang mak ke yang buatkan semua benda”.
Ayah Adam marah saya di depan semua orang. Adam pun ada tapi dia diam masih lagi dalam mode berlakon busy handle tugasan rumah.
Saya masih lagi dalam tempoh berpantang waktu itu. Walaupun kejadian ni dah bertahun, tapi masih berbekas di hati saya. Jujur cakap saya berdendam dengan Adam dan keluarganya terutama ayahnya. Adam memang sangat pandai berpura pura.
Bila ibubapanya ada atau kami pulang ke rumah ibubapanya, Adam akan bangun awal. 6.30 pagi dah bangun tercegat atas sejadah solat. Tapi kalau di rumah sendiri, setiap hari tak bangun subuh. Saya pun dah jemu nak kejut dia bangun.
Di rumah ibubapanya, dia akan keluar cari makan pagi. Memang tak bagi ibunya masak. Tapi di rumah sendiri, pukul 12 tengahari pun belum tentu lagi dia nak keluar belikan makanan. Kalau saya tak masak, dia sanggup makan biskut kering sahaja.
Di rumah ibunya, Adam yang basuhkan baju. Tolong ibunya masak. Sediakan meja makan siap package marah saya kerana tidak membantu. Sedangkan anak saya berpaut pada saya.
Di rumah sendiri, baju kotor Adam pun dia campak sahaja di lantai. Cawan pinggan letak di meja selepas makan. Kemas rumah? Memang kena tunggu ibubapanya datang rumah la baru dapat merasa hahaha.
Saya pernah terjatuh dari tangga ketika bersihkan kipas siling. Tangan melecur kena api pun Adam tak kisah langsung.
Saya la yang rawat diri saya sendiri. Tapi kalau depan ibubapanya, Adam siap suruh saya tidur rehatkan diri hahahaha. Banyak lagi benda yang terjadi sampaikan saya syak Adam ni narcissist sebenarnya.
Selepas dua tahun berehat dari bekerja, saya mula aktif mencari peluang pekerjaan. Alhamdulillah saya dapat peluang bekerja di KL.
Kami pjj. Sedangkan saya di depan mata pun Adam langsung tak kisah dengan saya apetah lagi dah pjj. Tapi sebab dah biasa, saya teruskan kehidupan macam biasa.
Adam ada orang lain di sana. Macam mana saya tau? Saya tau melalui mimpi dan di instagram Adam upload gambar dia bersama perempuan itu. Peliknya saya tak melatah. Saya terus ajak Adam untuk bercerai. Biarlah dia dengan kehidupan dia saya dengan kehidupan saya.
Adam ada ke tak ada ke sama sahaja. Semua saya buat sendiri. Single but married. Mungkin Adam terkejut kerana saya begitu tenang langsung tak ada tanya apa apa kaitan perempuan tu dan tak salahkan dia langsung.
Adam pula yang gelabah. Datang melutut minta maaf. Katanya masih sayang saya lagi. Takde perempuan yang boleh paham dia dan keluarganya. Dia minta peluang kedua. Minta saya berhenti kerja dan ikut dia pulang ke rumah.
Saya rasa kosong. Saya tau kalau saya masih tekad untuk bercerai tapi suami tak nak beri kerjasama, kes akan menjadi sangat lama. Saya takde duit nak hire lawyer lama lama. Jadi saya pun akur.
Waktu ni perkahwinan kami dah masuk 5 tahun. Ingatkan ada perubahan rupanya makin teruk.
Waktu ni saya perasan yang Adam suka gaslight saya. Apa apa pergaduhan, Adam suka salahkan saya. Dia langsung tak pernah salah. Dia seorang sahaja yang betul.
Dia sekat kebebasan saya. Saya tak dibenarkan keluar bekerja lagi. Duduk terperap di rumah sahaja. Hidup saya memang dikongkong.
Nak balik rumah ibubapa saya pun susah. Kalau balik pun mesti pecah telefon Adam. ibunya telefon tanya bila nak balik rumah ibunya pula.
Rutin Adam masih sama seperti dia bujang. Keluar melepak dengan kawan. Main bola setiap minggu. Balik rumah mengadap telefon. Saya bertambah mental di rumah. Setiap hari saya bayangkan diri saya tergantung di kipas ataupun lompat dari balcony.
Lakonan Adam pun masih sama bila didepan orang. Banyak lagi Adam menyeksa mental saya. Tapi bila saya minta untuk bercerai Adam akan mula menangis teresak esak. Dia akan buat macam saya yang jahat saya yang bersalah dan berjanji untuk berubah.
Saya tak nak akhiri hidup saya dengan bunuh diri. Hari hari saya menangis dalam sujud minta dipermudahkan. Hari hari saya minta Adam ditemukan jodoh yang baru. Biarlah dia curang asalkan dia jumpa jodoh yang baru dan ceraikan saya.
Saya rela bercerai dari hidup dengan orang seperti Adam dan keluarganya. Sekarang ni saya rasa seperti hidup saya tidak berguna langsung, hodoh tidak cantik seperti dulu.
Kalau ada orang macam tengok saya pun, Adam mesti akan cakap saya jangan perasan. Dia akan rendahkan saya. Tapi kalau ada orang tengok dia, dia akan cakap diri dia la paling hensem. Kadang kadang saya rasa nak hempuk dia dengan meja.
Banyak lagi yang berlaku dalam hidup saya sampai kadang buatkan saya putus asa dalam hidup. Cuma iman yang buat saya untuk tidak melakukan hal di luar jangkaan itu.
Tapi saya berharap sekiranya saya tewas ataupun sudah sampai ajal saya, saya harap terbuka la cerita penderaan saya ini dengan sendiri.
Bukan nak memburukkan suami tapi cukup la saya nak orang tau yang Adam bukanlah suami yang baik seperti yang ditunjuk Adam dalam socmed ataupun depan keluarganya. Itu sahaja cerita saya. Doakan saya kuat.
– Wafa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit