Suami Yang Hero Di Mata Orang Lain

Confession ini sedikit panjang, tapi saya mengharapkan respon dari pembaca yang baca sehingga habis. Terima kasih banyak saya ucapkan. Saya dan suami telah berkahwin selama 3 tahun, dikurniakan seorang anak berumur 1 tahun 7 bulan.

Saya ada terbaca satu confession di sini yang bertajuk “Ada Sinarkah Atas Kesabaranku Ini” (https://iiumc.com/ada-sinarkah-atas-kesabaranku-ini/) dengan usia perkahwinan penulis sudah mencapai 15 tahun.

Sedangkan saya baru berkahwin selama 3 tahun, tapi setiap bulan hati saya tidak akan berhenti menitikan perkataan cerai kerana pasti akan ada isu yang akan timbul untuk dijadikan pergaduhan.

Saya bekerja sebagai seorang guru dengan gaji sebanyak 4K++ sebulan, tetapi separuh daripada gaji itu digunakan untuk membayar rumah yang dibeli untuk ibu dan ayah saya dan juga untuk membelikan lauk pauk bagi keluarga ibu saya.

Ibu dan ayah saya masing-masing berumur lewat 50an tetapi sudah tidak bekerja kerana masalah kesihatan. Saya berasal dari keluarga miskin, kami hanya menyewa rumah sahaja dari dulu. Sebelum berkahwin saya sempat membelikan rumah untuk mereka.

Saya dan suami menyewa berasingan dari rumah tersebut walaupun rumah kami hanya berhampiran dengan rumah ibu saya. Saya paksa suami untuk menyewa luar kerana saya tak tahan lihat suami culas dalam membelikan lauk di rumah ibu saya.

Sepanjang menumpang di sana, suami hanya membayar RM100 sahaja kepada ayah saya untuk bil dan duit lauk. Duit gaji yang selebihnya disimpan untuk kegunaan dia.

Suami sangat suka menyimpan duit tapi sangat sukar untuk gunakan duit tersebut bagi membantu saya dan anak. Dia lebih senang untuk berbelanja bagi keluarga dia.

Suami persis seorang hero di mata keluarganya tapi bukan untuk keluarga kecil kami. Suami bergaji 2K sebulan dan tanpa sebarang hutang kerana motor yang dimiliki suami dibeli secara tunai.

Saya teruskan cerita… sehinggalah kami berpindah ke rumah sewa baru. Barulah nampak perangai suami yang sebenarnya.

Saya bekerja sebagai seorang guru sebuah sekolah menengah yang mempunyai hampir separuh pelajar cemerlang. Maka 3-4 hari dalam seminggu, saya akan habis kelas tambahan sehingga jam 5 petang.

Selepas habis kelas tambahan saya sambung pula dengan kerja-kerja pengkeranian sehingga habis jam 6 atau 6. 30 petang.

Masa awal sesi persekolahan dibuka, pada jam 4 atau 5 petang saya sudah boleh habis kerja dan pulang ke rumah tapi apabila mempunyai kelas tambahan pasti terpaksa pulang lewat.

Saya selalu akan usaha untuk tiba di rumah sebelum jam 7 petang. Hari Sabtu saya juga akan sangat sibuk dengan kelas tambahan sekiranya musim peperiksaan tetapi maksimum hingga jam 12. 30 tengah hari sahaja.

Suami pula berbeza, waktu kerja hanya 8 pagi hingga 5 petang. Seterusnya suami akan balik dan singgah makan di rumah ibunya dan seterusnya singgah ke rumah pengasuh untuk ambil anak.

Kadang-kadang suami tak singgah makan, dia akan melepak sehingga cukup masa untuk ambil anak kami.

Tapi jika hari tersebut suami ada urusan, maka saya yang akan pulang dari sekolah awal sekitar jam 5 petang untuk ambil anak. Saya akan siapkan semua kerja-kerja pengkeranian di sekolah kerana di rumah pada waktu malam saya tidak boleh membuat kerja.

Apabila waktu malam pula, setiap malam kami akan keluar makan ke rumah ibu bapa suami yang dihuni bersama seorang kakak, adik perempuan dan abang suami (sudah berkahwin, tetapi PJJ).

Rutin ini untuk hari Isnin hingga Ahad kecuali hari Selasa, kerana hari Selasa suami akan melepak dengan kawan futsal.

Saya pernah masak semasa hari bekerja, tetapi suami kerap tidak makan dan makanan terbuang begitu sahaja kerana suami menetapkan untuk ke rumah ibu bapanya setiap malam.

Dalam seminggu mungkin 2 malam sahaja saya tidak ke rumah MIL kerana penat, tetapi hari lain pasti akan pergi tanpa gagal melainkan suami keluar melepak.

Di mana kah keadaan terseksanya? Di rumah ini, tugas suami adalah buang sampah, basuh baju dan jemur baju. Awalnya masa berpindah suami akan sapu rumah dan vakum rumah, suami tak pernah mengemop rumah.

Disebabkan semua kerja ini suami buat, apabila saya marah suami, suami menuduh saya sebagai isteri yang tidak bersyukur.

Dulu kalau saya tiada kelas tambahan pada hari tersebut sebelum pukul 5 petang pasti saya sudah ada di rumah. Tetapi setiap kali saya sampai awal ke rumah, suami akan tanya dengan sinis “bilik ni tak sapu ke? Rumah ni berpasir, macam mana ni? ” 

Saya balik dengan sangat penat, bukan saya main fon sebaliknya saya pulun menanda atau buat persediaan soalan untuk kelas esok, itupun dia masih asak saya dengan soalan itu.

Suami kerja sebagai pembantu am rendah, kerja suami kebanyakkannya di pejabat sahaja dan tidak pernah membawa balik kerja ke rumah.

Kerja-kerja rumah lain saya banyak setelkan semasa hujung minggu contohnya basuh tudung guna tangan, iron baju saya dan suami untuk seminggu, memasak sarapan dan lauk untuk hujung minggu kerana waktu malam sahaja kami di rumah MIL tetapi waktu siang kami di rumah.

Berus sinki dan toilet bowl setiap hujung minggu, lipat baju yang menggunung dan juga mop rumah.

Mungkin waktu weekday saya nampak rileks tetapi sebenarnya suami pun hanya mencuci baju semasa weekend sahaja, tetapi saya tidak faham kenapa suami tak boleh tengok saya bersantai.

Sedangkan saya, jika suami main fon saya faham dia penat, dia main je fon tanpa gangguan. Tapi kalau saya yang buat macam tu, dah berbakul dah saya kena peril dengan suami.

Ini menyebabkan saya dah terbiasa tiba di rumah jam 5 petang dan ke atas atau selepas suami tiba di rumah. Jika saya pulang lewat suami tidak akan menyindir saya untuk buat kerja rumh. Kerja-kerja di atas suami hanya akan buat sekiranya mood suami okay.

Sekiranya dia moody, jika dia ada sesuatu yang dia tidak puas hati dengan saya, dia akan stop buat semua kerja rumah tu.

Setiap hari dia breakfast guna mangkuk, mangkuk akan dibiarkan sahaja sehingga ada kuli datang basuh, baju di biarkan sampai berbakul-bakul, rumah akan dibiar tidak bersapu, anak pun dia akan biarkan sahaja.

Bila saya yang kena takeover semua semasa suami moody, saya akan buat semua tu sambil menangis.

Saya stress sangat sebab bila saya tanya, kenapa moody dan tak buat kerja rumah dia akan jawab takda apa dan sebagainya.

Contoh saya tak cucikan botol air dia, saya cakap botol air saya pun saya tak mampu cuci, kadang-kadang saya hanya bilas tanpa sabun sahaja, dan isi air baru, mana nak sempat tengok botol air dia pulak. Suami nak saya sediakan semua untuk dia seperti mana ibunya sediakan untukknya.

Setiap bulan pasti akan ada waktu suami moody. Suami kata nak mengajar saya bersyukur sebab bila dia tak buat kerja tu semua, saya akan kena buat.

Sedangkan saya setiap bulan langsung tak kisah untuk topup perbelanjaan rumah dalam 1 k termasuk yuran pengasuh, barang anak dan lauk, suami pulak sangat berkira untuk keluarkan kederat nya dalam rumah tangga kami.

Suami saya tidak boleh dinasihati, bila saya mempersoalkan tindakannya, dia akan cakap APA MASALAHNYA? Dengan nada yang sangat tak puas hati. Lama-lama suami mengajar saya untuk cuma berdiam diri.

Mungkin ada yang pelik kenapa setakat nak isi botol air pun boleh jadi isu? Jika saya buat kerja tu, setiap hari saya kena pastikan saya buat jika tidak dia sanggup pergi kerja tanpa bawa botol air dan minum air.

Seperti mana saya pernah tak iron baju dia sebab saya penat sangat, balik dari kerja tu dia longgokkan semua baju kerja dia suruh saya buang gara-gara saya tak iron baju dia.

Disebabkan perangai suami nak disediakan semua lah saya jadi malas untuk pakai sedondon dengan dia. Saya dah tolong lipat dan gantungkan baju, untuk dia bongkok dan keluarkan baju dari almari pun dia harapkan saya, saya boleh bantu iron baju tapi saya kata keluarkan lah dulu saya ironkan.

Dia langsung taknak keluarkan, dia malah pakai baju yang tak berbasuh seminggu untuk keluar demi nak tunjuk protes pada saya.

Selepas dari kejadian ini, saya langsung tak pernah ajak suami untuk pakai sedondon. Saya hanya pastikan saya sedondon dengan anak sahaja. Tuan puan, saya boleh siapkan semuanya kalau saya cukup tangan, ni anak pun saya kena siapkan mana saya nak sediakan baju suami lagi.

Selain itu, suami dan saya tidak pernah bersembahyang berjemaah dan suami tidak pernah solat sejak masuk ke rumah sewa ini. Saya kesian pada anak saya, langsung tak dapat ilmu agama dari kami.

Anak saya perempuan, kadang-kadang saya terfikir Allah bagi anak pertama saya perempuan untuk anak ini bantu saya buat kerja rumah agaknya nanti.

Sampai macam tu kadang-kadang fikiran saya menerawang. Saya hanya mampu buat solat subuh sebelum pergi kerja sahaja. Solat maghrib dan isyak tak pernah kerana waktu ini ke rumah MIL kan setiap malam.

Suami marah kalau saya masuk bilik tidur lambat semasa anak nak tidur, jadi bilakah masanya yang saya nak solat isyak kalau balik pun pukul 11 malam, sampai rumah terus siapkan anak, diri sendiri dan terus tidur.

Suami saya merupakan seoarang anak, kawan dan ayah yang sangat baik tapi dia bukan seorang suami yang baik. Seorang yang berego tinggi, yang kalau terjadi kesalahan pasti akan salahkan saya.

Contoh kalau apa-apa barang anak tertinggal, dalam kereta pasti akan salahkan saya,sedangkan dia asyik scroll handphone sahaja sebelum keluar dan tahu mengarah itu ini sahaja.

Kalau demi kawan, semua sanggup. Tolong kawan sebab kesian, tapi dengan isteri yang setiap bulan sama-sama bantu cukupkan keperluan rumah memang takda perkataan kesian dalam kamus suami kot.

Saya pernah tanya suami, andaikata satu hari nanti kami ditakdirkan bercerai, macam mana? Suami jawab, tak tahulah, ikut jelah. Saya sangat terpukul dengan jawapan daripada suami.

Kadang-kadang bila saya tiada duit, saya tak makan di sekolah, suami dia akan balik makan tengah hari di rumah ibu bapanya. Tapi suami tak pernah tanya saya makan ke tak di tempat kerja, bila saya kata tak makan sebab takda duit, dia diam je sambil sambung scroll phone.

Suami hanya akan gunakan duit gaji dia untuk keperluan rumah kami, sekiranya duit gaji itu tidak cukup dia hanya akan tunggu saya topup sahaja,

Dan jika dia membuat kerja part time pada setiap Sabtu dan Ahad sekalipun duit itu tidak akan digunakan untuk belanja rumah sebaliknya untuk dia guna upgrade spare part motor.

Saya ikhlaskan semua duit gaji yang digunakan untuk keperluan rumah ini kerana saya tahu gaji suami kecil.

Ansuran rumah yang saya bayarkan untuk ibu ayah duduk pula akan tamat dalam 8 tahun lagi. Jadi sebab itu kadang-kadang walaupun gaji saya besar, saya tidak cukup duit untuk makan di sekolah.

Selalunya seminggu sebelum gaji saya akan berkeadaan sebegitu kerana lauk di rumah semua dah habis, suami tak risau jika lauk di rumah habis kerana dia boleh makan bila-bila masa sahaja di rumah ibu bapanya.

Saya selalu tertanya-tanya antara semua anak-anak saya yang paling banyak sumbangan dalam keluarga dari bentuk wang ringgit tapi kenapa hidup saya paling kurang kasih sayang dari pasangan saya?

Setiap bulan saya masukkan duit ansuran rumah ke dalam bank dan berikan duit belanja lauk untuk ibu ayah saya,

Saya doakan semoga usaha saya dapatkan tempat berteduh untuk ibu ayah dan adik-adik saya dibalas oleh Allah dengan pasangan yang selalu akan menyayangi saya dan sentiasa ada di susah senang saya.

Tetapi belum tertunai lagi doa saya. Saya sampai hari ini selalu berdoa semoga Allah sihatkan tubuh badan saya supaya saya tak perlu mengharap bantuan dari suami untuk menjaga saya ketika saya sakit.

Saya pernah demam beberapa kali tahun ini kerana terlalu kuat bekerja, tetapi suami masih lagi gagah pergi bermain futsal tinggalkan saya dan anak di rumah.

Sedangkan saya kalau suami demam, jika ada kelas tambahan pun saya akan cancelkan kelas kerana risau dengan keadaan suami. Sedih sebenarnya bila kasih sayang tidak terbalas ni.

Berbalik pada penceritaan asal tadi, jika confessor tadi perlu tunggu selama 15 tahun baru dia mempersoalkan, saya pula perlu tunggu berapa lama baru betul-betul nekad untuk buat tindakan?

Yang mendambakan suami bertanggungjawab,

– Ungu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Awak kena solat lima waktu.
    bertegas lah dgn suami awak, tak boleh biarkan suami terus membuli awak….

  2. Ya betul. Kuncinya di solat 5 waktu. Awak luangkan sedikit waktu untuk Allah, Allah akan balas dengan kelapangan di perkara lainnya.

  3. Ya betul. Kuncinya di solat fardhu, cukupkan lima. Awak luangkan sedikit waktu untuk Allah, Allah akan balas dengan kelapangan di perkara lainnya.

  4. Tidak solat di rumah MIL. MIL &suami tahu akan solat tapi tak buat.
    Awak kena solat wajib tu cukupkan, PASTI Allah SWT cukupkan semua utk awak di dunia ni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *