Suami Yang Teruk

2022 genap 21 tahun melayari bahtera rumah tangga. Hampir separuh dari usia perkahwinan ini adalah secara pjj atas tuntutan kerja dan kini kembali tinggal bersama.

Suami mengambil keputusan untuk berhenti kerja tetap setelah terpengaruh dengan sumber pendapatan lumayan yang dimomokkan oleh pasangan yang berkecimpung dengan jualan langsung (padaku hanya MLM sebenarnya).

Pelbagai janji ditabur kepada ku semasa keputusan dibuat seperti ingin pendapatan tinggi untuk melunaskan segala hutang.

Tahun pertama dan kedua, nampak suami istiqamah dan juga pendapatan masih boleh menampung perbelanjaan keluarga namun selepas itu jualan makin kurang.

Bahkan suami beria-ria meminta nombor kontak kenalanku untuk proses pengiklanan. Aku tidak bersetuju dan terus dimarahi kerana tidak mahu menyokong usahanya untuk mencari rezeki.

Akhirnya tiada lagi jualan malahan wujud konflik dengan ketua Kumpulan kerana tiada sumbangan jualan yang dicatat..

Aku hanya mendengar segala keluh kesah kerana pendapatku hanya dipandang sepi oleh suami. Kos perbelanjaan rumah sudah tentu jatuh 100% jatuh ke batu jemalaku.

Aku sentiasa pujuk hati ini bahawa adalah ujian hidupku di dunia ini. Dari golongan T20, jatuh ke M40 dan pernah ke B40 kerana gajiku dipotong disebabkan mengambil cuti tanpa gaji atas faktor keluarga.

Terkadang terasa diri memang dipergunakan kerana berpendapatan tetap.

Sejujurnya sepanjang perkahwinan, nafkah zahir memang tiada diberikan dalam bentuk wang ringgit kerana suami berfahaman sudah cukup jika tempat tinggal dan perbelanjaan asas disediakan.

Namun kos makan minum dan belanja anak-anak memang ditanggung oleh ku dari awal perkahwinan.

Silap ku di sini sebab dah terbiasa tinggal sendiri dengan anak-anak yang mana aku tidak pernah meminta duit semasa tinggal berjauhan.

Jadi mungkin sebab itu dengan mudah suami mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana merasakan cukup segala duit perbelanjaan.

Ada ketikanya aku sangat malu dengan kedua mertuaku yang kerap menghulurkan wang ringgit untuk perbelanjaan anak-anak terutama ketika permulaan persekolahan.

Mahu sahaja aku tolak tapi ibu mertua ku mengatakan itu adalah untuk anak-anak jadi dengan berat hati ku menghulurkan tangan untuk menerima.

Kini sudah 7 tahun suami tidak bekerja jadi akulah yang diharapkan untuk menanggung segala perbelanjaan.

Urusan penyediaan makan minum dan anak-anak ke sekolah memang menjadi tanggung jawab suami namun sejak akhir-akhir ini suami rasa terbeban untuk urusan sekolah anak-anak (terutamanya selepas pkp).

Duit barangan basah juga kuberikan secara mingguan manakala barangan kering kubeli hampir setiap hujung minggu.

Pernah kuberikan secara bulanan namun suami terlebih belanja hingga perlu aku tambah. Jadi kewangan bulan itu akan terkesan teruk kerana 2 orang anak sudah belajar di peringkat lepasan spm.

Aku pernah membuat simpanan bulanan setiap anak sebelum ini namun terpaksa dihentikan kerana suami beria-ria mendesak untuk aku membuat pelaburan bersama ayah mertua kerana pulangan yang tinggi.

Puas aku dimarahi kerana lambat membuat pelaburan itu namun rupanya hanyalah scam sahaja. Satu lagi silap aku di sini kerana masih mempercayai suami.

Pernah ketikanya, aku menyediakan segala juadah yang dibekukan untuk 5 hari bekerja untuk menjimatkan belanja kerana aku akan pulang pada hujung minggu, namun dimaklumkan kepada ku yang anak-anak tidak suka makanan yang dipanaskan.

Baru-baru ini bertubi suami memarahiku dengan mengatakan aku seorang yang kedekut dan berkira dengan keluarga sendiri dan melebihkan orang luar. Sedangkan suami tahu bahawa hampir separuh gajiku dipotong termasuk pembiayaan rumah.

Juga dituduhnya aku sengaja melambat-lambatkan bayaran belanja mingguan. Aku rasa sangat penat otak kerana perlu memikirkan cara untuk menambah pendapatan dan berjimat cermat untuk belanja keluarga.

Pada pertengahan tahun ini kami berpindah ke rumah sendiri, jadi duit perpindahan adalah menggunakan duit KWSP suami yang diterima semasa pkp dan diserahkan padaku kerana suami risau akan menghabiskan duitnya itu.

Terkilan sungguh hati bila terbaca WA suami dengan bapa mertua yang telah memasukkan duit ke akaun suami untuk bayaran sewa lori.

Sedangkan duit yang telah diperuntukkan tidak mencukupi yang mana aku terpaksa menanggung kos tambahan itu. Namun suami hanya senyap sahaja seperti tiada apa yang berlaku.

Satu insiden lagi yang mana tayar kereta yang digunakan oleh suami perlu ditukar kerana pecah. Aku memintanya untuk menggunakan duit belanja pada minggu itu dan akan mengantikan semula jumlah yang digunakan.

Apabila hampir ke hujung minggu, suami memgingatkan aku agar tidak buat-buat lupa untuk menggantikan duit itu.

Allah Maha Kuasa, sekali lagi aku terbaca WA antara suami dengan adiknya, yang mana rupanya adik iparku telah memberikan sejumlah wang untuk menggantikan ke empat-empat tayar,

Tapi suami masih sanggup membentak aku menggantikan duit belanja yang kononnya digunakan untuk sebiji tayar itu.

Aku sebenarnya rasa penat nak bergaduh kerana suami adalah seorang yang suka menjerit-jerit apabila marah sehingga selalu aku malu dengan jiran tetangga.

Selama beberapa tahun ini ada jiran tetangga yang memuji suami kerana boleh menjaga anak-anak seorang diri kerana aku berulang secara mingguan (PJJ terkini ini anak-anak tinggal bersama suami).

Allah swt sahaja yang tahu betapa sengsaranya anak-anak sepanjang tinggal dengan suami.

Mereka akan dimarahi jika cuba mengadu apa-apa insiden yang negatif berlaku di dalam rumah semasa ketiadaanku.

Natijahnya, anak sulung aku keluar dari rumah dan sanggup tinggal dengan kakakku kerana terlalu bencikan suamiku.

Bodohnya aku kerana memang tidak pernah menjaja aib suami atas dasar malu pada keluarga kedua-dua pihak.

Pernah juga beberapa kali aku suarakan untuk berpisah tapi suami akan menangis-menangis meminta maaf atau menengking-nengking bergantung kepada mood pada ketika itu.

Padahal acapkali aku maklumkan aku tidak suka ditengking macam kucing kurap (hakikatnya mana ada manusia suka ditengking).

Dalam tempoh sebulan ini, hanya perkataan cerai bermain di minda sementelah kembali tinggal bersama, suami seolah-olah ingin melepaskan segala tanggung jawab ketua keluarga kepada ku hatta urusan pendidikan anak-anak di rumah.

Anak-anak kerap dicutikan dari sekolah atas alasan suami tidak sihat. Bila aku hasratkan untuk menggunakan perkhidmatan van sekolah, suami tidak bersetuju dengan alasan dia boleh laksanakan tanggungjawab ini.

Tapi bila dengar anak-anak mengadu yang suami ada ketikanya memgeluh bila dibebani dengan urusan ini, aku jadi buntu. Pada dasarnya perbelanjaan keluarga akan bertambah.

Barang pindah yang masih belum berkemas memang dipandang sepi oleh suami kerana suami mengatakan barang-barang kepunyaannya hanya sedikit. Aku pula masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan tempat kerja baharu.

Mohon semua doakan aku dikurniakan ketabahan dan juga kesihatan mental untuk mengharungi perjalanan hidup ini.

Maaf atas tulisan yang panjang dan ayat-ayat yang kurang sesuai. Banyak lagi hendak dicoret tapi cukuplah dahulu untuk kesekiannya. Terima kasih.

– Yang terluka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *