Aku seorang isteri yang seusai awal perkahwinan telah berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku dan suami sekarang dah masuk 8 tahun berkahwin tahun ini. Anak dah 4. Alhamdulillah atas rezeki Tuhan.
Sejak jadi suri rumah, masa aku memang aku tumpu sepenuhnya untuk keluarga. Anak bongsu aku baru saja 6 bulan. Jadi boleh agak betapa dekat jarak anak-anak kami, tapi kami okay. Dari segi kewangan semua okay, suami tolong pun memang tip-top.
Izinkan aku meluah luka di hati. Suami aku memang bercita-cita hendak kahwin dua. Aku tahu pun lepas kami dah berkahwin. Kalau aku tahu dari awal, mungkin dia takkan aku pilih, tapi takdir Tuhan telah tertulis.
Masa awal suami bagitahu akan niat dia, memang aku rasa macam nak gila. Susah untuk terima niatnya walau suci. Sampai aku minta cerai juga, mungkin sebab aku pun darah muda masa tu.
Sebaik mana lelaki aku, tetap aku kalah dengan perasaan sendiri. Cemburu, mencari sebab kenapa, mana kurangnya aku.
Suami memang menolak untuk bercerai. Dia memang sayang aku. Aku tak ada kurang, katanya fitrah dia.
Bertahun suami mendidik aku untuk menerima niatnya, dan suami aku, jika dia nak, dia akan usahakan sampai dapat. Dia tak akan mengalah. Jadi dia terus dengan niat poligami. Akhirnya aku dapat terima niat dia untuk poligami.
Benar, suami bukan hak milik mutlak aku seorang. Tapi sakit juga kan…
Beberapa calon sudah aku jumpa dan kenal, tetapi sama ada aku atau suami tak berkenan, atau calon tu sendiri tak nak teruskan. Selalunya keluarga calon isteri kedua pun tak merestui. Yelah, siapa je kan nak anak dia jadi yang kedua.
Semua apa yang suami lakukan, dia akan kongsi dengan aku. Jadinya aku tahu je dengan siapa dia berkawan. Jangan risau, suami aku memang nak berpoligami dengan cara betul.
Tapi kepercayaan aku meleset bila baru-baru ni dia tak kongsi pun tentang dia berkenalan dengan seorang perempuan.
Bila aku selidik, rupanya mereka dah berkenalan masa aku trimester ketiga, mengandung anak keempat… Allah… gelap rasa dunia…
Bila aku baca mesej mereka, aku tak salahkan perempuan tu. Dia pun tak tahu suami aku lelaki orang dan isterinya sedang mengandung. Aku salahkan suami aku sepenuhnya.
Perempuan tu tahu pun bila aku dah bersalin. Mesti dia terkejut kan? Tapi… dia pun masih nak berhubung dengan suami aku.
Aku rasa sebab dia memang dah suka dan sayang kot kat suami aku. Aku faham, sebab aku pun wanita. Jadinya aku okay untuk mereka teruskan.
Walaupun aku memang mengamuk sebab aku baru lepas habis pantang, baru nak baik, penat menjaga anak, hantar sekolah… Aku bukan merungut, tapi suami aku tak nampak ke pengorbanan aku?
Dari mesej aku baca, seakan suami pun bagi harapan dekat dia. Dia pun terima suami aku, siap bagitahu apa impian dia. Dia cuma nak masa dengan suami aku je, yang lain dia minta suami aku lebihkan keluarga kami.
Suami aku pun nak bawa dia jumpa aku lepas aku habis pantang, tapi tak ada bawa lagi. Mungkin dia nak aku bersedia juga kot.
Aku dah penat nak taip. Tolong doakan aku kuat untuk family. Aku sayang anak-anak dan suami aku. Aku pun tak sabar nak kenal dengan bakal madu aku. Harap ianya manis.
– CE (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Saya tak pasti kata-kata apa yang boleh melegakan hati CE. Soal hati, cinta suami puan kepada Allah dan Rasul yang mencambahkan rasa kasih/sayang suami kepada ibu ayahnya, isteri-isterinya, anak-anaknya dan saudara-saudaranya yang lain. Berdoalah kepada Allah agar suami CE dapat berlaku adil kepada isteri-isteri dan anak-anak. CE yang kenal baik suami CE, kami pembaca tidak. Jadi ada baiknya CE meluahkan rasa sedih kecewa itu kepada Allah bagi menghalang kata-kata luar masuk ke dalam ‘rumah’. Jika ada salah faham, selesaikan secepatnya, berbincang dan berkomunikasi dengan suami untuk mengelakkkan prasangka-prasangka buruk bertambah dalam kepala. Sebaiknya juga, jangan baca mesej dan ambil tahu lagi dah pasal mereka. Selagi bergelar isteri, buat yang terbaik untuk suami (hanya kerana Allah). Dekatkan diri kepada Allah dan fokus pada perkembangan anak-anak dan ajar ilmu-ilmu baik yang perlu diajar. Saya doakan CE diberikan kesabaran, dan semoga keluarga CE menjadi keluarga yang sakinah, mawaddah, wa rahmah.