Assalamualaikum semua. Pertama sekali aku nak minta maaf ayat aku berbelit yang mungkin membosankan anda membaca. Esok genaplah 14 tahun usia perkahwinan aku. Alhamdulillah kami dikurniakan beberapa orang anak yang comel, cerdik dan sihat semuanya.
Awal perkahwinan aku anggap suami adalah hadiah dari Tuhan yang cukup sempurna. Suami seorang sopan santun, lembut tutur bicara, lengkap agamanya, hormat orang tua walaupun pekerjaannya lebih rendah gaji aku tapi aku tak kisah pun semua tu. Masa tu apa aku minta apa pun sedaya upaya suami aku tunaikan walaupun susah nak dapat.
Sehinggalah selepas 3 tahun perkahwinan kami, Allah swt menguji satu ujian yang sangat berat. Suami aku dibuang kerja dengan notis 24 jam kerana syarikat tersebut bertukar tangan dengan pengarah lain, semua pekerja yang ada ditamatkan perkhidmatan mereka.
Masa tu kami berpindah ke tempat yang baru. Suami aku masa tu sangat buntu, selalu termenung, tak dapat tidur malam. Kereta, rumah dan belanja bulanan terpaksa bayar dengan duit simpanan kami. Sampai duit hampir habis. Pinjam pula dengan adik-beradik. Diorang pun tak kisah sebab ramai bersimpati. Ke hulu ke hilirlah suami mencari kerja baru sana sini.
Akhirnya suami dapat kerja baru tapi gaji yang rendah nak dibandingkan gaji sebelum ni. Masa tu lah aku perasan suami tak macam dulu. Dia jadi fobia dan takut kejadian yang sama berlaku lagi.
Masalahnya sebab ketakutan kena pecat tu dia buat hal bukan-bukan. Suka cari salah orang lain. Suka menuduh orang buat hal dan cari pasal dengan dia. Jiwa dia jadi mudah terusik, negatif dan sensitif melampau. Sampai satu tahap dia dipecat sebab suka ponteng kerja.
Sejak dipecat kali kedua kemurungan dia makin menjadi-jadi. Tak boleh tengok orang berdebat depan dia. Orang bangkang atau kontra cakap sikit dah cakap semua orang cari pasal. Tapi aku usaha juga pujuk dia cari kerja. Buat bisnes sendiri yang tak perlu modal. Jadi dia usaha buat bisnes direct selling walaupun aku yang carikan customer untuk dia. Bagi aku macam mana rezeki nak masuk kalau dah minda tu negatif nampak semua orang tu musuh? Memang tak masuk lah.
Akhirnya keadaan si dia semakin murung dia mula menjauhkan diri dari family dan kawan-kawan. Raya kami dah tak pulang ke kampung, rumah kawan-kawan ,saudara mara dah tak ziarah. Katanya buat apa kalau ziarah kalau semua orang nak cari pasal dengan dia? . Dia kata adik beradik dia akan kecam dan kutuk dia kaw kaw sebab jadi suami dan bapa tak guna. Aku tengok tak ada pun. Dia je berperasaan macam tu.
Awalnya aku tak pernah tahu lagi penyakit bipolar ni. Namanya pun aku tak pernah dengar. Ntah macam mana lalu kat wall fb aku. Masa tu aku tengok 100% ciri suami aku ada kat situ. Dan aku rasa dia ni lebih teruk lagi. Sejak itulah aku study sikit sebanyak penyakit mental ni. Dari situ aku dapat tahu saudara dan adik beradik dia ada simpton yang sama. Tapi tak seteruk suami aku yang sanggup tinggalkan kerjaya sebab alasan yang tak munasabah.
Si dia kalau tertekan mula bercakap satu topik ke satu topik penghujungnya agak membosankan aku sbb setiap kata-kata dia memang tak masuk akal. Setiap kali dia membebel macam orang hilang akal aku diam saja sebab kalau aku layan lagi ‘berhantu’ bebelan hilang akal dia. Tapi keadaan macam tu seketika dan kadang-kadang sajalah. Bukan selalu.
Aku berusaha seboleh mungkin elakkan bergaduh, kontra cakap atau apa sahaja yang buat dia tersinggung sebab padahnya aku juga yang menanggung ‘penyakit’ dia. Sampailah satu tahap dia kata ada orang tertentu berkomplot merancang sesuatu untuk menyerang dia. Ada pakatan tertentu telah dilatih dan direkrut untuk menyerang dia.
Aku cakap mana? Untuk apa? Siapa? Suami aku tak dapat jawab pun. Ada satu tahap dellusional dia teruk jugak tapi tak pernah cuba mencederakan diri dan orang lain.. Aku cakap macamlah kita tu orang hebat ada kebolehan tertentu sampai orang target kita. Bila aku menafikan cakap dia.. dah.. aku pulak kena tuduh turut berkomplot dengan ‘pakatan’ tertentu untuk serang dia. Sebab aku dah faham ending dia melalut macam tu aku tak layan awal-awal nanti aku jugak yang panas.
Disebabkan suami aku tak bekerja, tak keluar rumah dan tak berkawan dengan sesiapa jadi aku tahu setiap pergerakan dia. Dia hanya berharapkan aku untuk apa sahaja. Dia kata dia hanya percayakan aku. Orang lain termasuklah keluarganya dia tak berharap apa pun. Kejap dia cakap percayakan aku seorang, kejap lagi kata aku punca semua orang bermusuh dengan dia. Padahal kitorang tak pernah cari gaduh dan bermusuh dengan siapa pun.
Aku berusaha untuk pujuk dia berubat. Tapi orang berpenyakit macam ni korang ingat semudah itukah nak mengaku? Ya.. suami aku tak mengaku siap tuduh aku berpakat dengan semua saudara kawan-kawan untuk jadikan dia gila. Aku yakinkan dia ini bukan gila. Ini hanya penyakit sama macam fizikal lain juga..perlu berubat,jumpa doktor. Setiap kali aku sebut pergi jumpa doktor memang dia meroyan gila kat aku. Bodoh sombong ego tak mahu mengaku.
Walaupun dia tak mengaku tapi family terdekat kami memang perasan dia sakit. Aku sejak diuji macam ni aku sangat sedih. Kadang-kadang lost. Apa aku tak baca. Yasin 40 kali? Solat hajat? Nazar? Istighfar? Aku tulis ni bukan nak riya’. Aku agak aku ni pendosa yang mungkin belum tak diangkat hijabnya doaku agar keadaan suami ku sembuh macam dulu.
Seorang ustazah yang rapat denganku menyarankan membaca bacaan ruqyah selama 40 hari. Mana tahu hati dia terbuka untuk mengaku penyakit dia dan berubat. Sekarang aku tengah pasangkan ruqyah. Alhamdulillah.. hati dan jiwa aku sangat tenang, hilang baran dan panas aku. aku tengok dia tenang walaupun keadaan dia masih sakit.
Aku pun kadang-kadang letih juga sampai satu tahap putus asa dengan degil dia. Kalau kau tu nak gila nak berpenyakit. Kau gilalah sorang-sorang. Ini tak bagi aku dan anak-anak balik kampung, sebab nanti jumpa family. Tak bagi aku berbelanja sekian-sekian sebab nanti akan jadi itu dan ini. Kehidupan dia penuh kerisauan dan ketakutan melampau.
Syukurlah Allah swt kurniakan kerja tetap untuk aku menyara anak-anak. Dari suami, tak usah harap apa-apalah dah namanya berpenyakit mental tambah pula bodoh sombong tak mengaku.
Aku ni banyak kali jugalah hampir dicerai suami aku dengan perkara tak masuk akal. Tak angkat tuala pun tiba-tiba suami aku ugut nak cerai.Aku nak balik kampung jenguk orang tua aku pun nak cerai. Perkara yang tak susahkan dia pun dia tiba naik gila je.
Ada juga bila datang sendu dia cadangkan bercerai sebab tak mampu nak bahagiakan aku. Aku berkeras tak nak bercerai. Aku nak suami dan anak-anak hidup macam dulu. Ikutkan putus asa aku memang aku pilih jalan itu. Tapi aku ada anak yang perlukan ibu dan ayah bersama-sama dengan mereka. Anak-anak masih kecil dan sedang membesar. Aku tak sanggup. Aku hanya inginkan suamiku berubat dan sembuh.
Saranan aku yang punya masalah macam aku usahalah berubat. Macam aku setakat ini tak berjaya bawa jumpa doktor lagi tapi aku usaha tak tinggal solat hajat, yasin, ruqyah itu semua. Kesan positif dia sangat banyak. Bangunlah malam merintih dan berdoalah. Mungkin Allah swt ingin berikan pahala kepada kita melalui ujian ini. Mungkin Allah swt uji kau bahagian ini tapi Allah swt kurniakan nikmat yang lain.
Aku juga masih mampu bertahan dan happy di rumah dan di luar. Anak-anak pun sihat dan happy walaupun diorang tak faham ayah diorang sakit. Lambat laun aku percaya Allah swt akan kurniakan jalan keluar dan penyelesaian yang bahagia dan membahagiakan untuk kami anak beranak. Aku harap korang semua dapat doakan hajat aku makbul. Amin.
– Hayani (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit